Tuesday, March 31, 2009

Demam EXAM!!

Sementara di library ini, aku tengok kebanyakkan mahasiswa menghabiskan saki baki masa yang anda untuk mentelaah pelajaran. Sudah semestinya demam peperiksaan sudah bermula di taman Ilmu dan Budi ini.

Melihat kepada diriku ini. relaks semacam jek? Fahmi! Dah sedia ke? Hmm.. Ntahla.. Bagi aku persiapan sem ini paling teruk dalam sejarah. Jadual sudah dibuat pertengahan bulan 3 lepas. Sekarang da masuk bulan 4. Tak lama lagi akan tiba juga masa untuk aku duduk memikirkan jawapan-jawapan. Jika bersedi. Alhamdulillah. Bagaimana pula kalau tidak?

Study group pun tiada. Inikan pula mahu mengulangkaji bersorangan pada ketika ini. Harap dipermudahkan.

Dikesempatan ini, aku ingin memohon seribu kemaafan kepada semua yang menhenali. Minta untuk mendoakan agar segala urusan selepas ini dipermudahkan. Rasa bersyukur sangat pada-Nya kerana masih memberi ruang dan peluang kepada diriku ini. Allah masih menyayangi diriku.

Tidak lupa juga nasihatku kepada diriku dan kawan-kawan sekalian agar dapat menjalinkan hubungan lebih dekat kepada-Nya. Kepada Dialah kita memohon. Juga kepada kedua ibu-bapa kita yang berada jauh dimata. Dan yang terakhir kepada pensyarah-pensyarah yang mengajar kita supaya mereka memberkati segala ilmu yang diajarkan.

Semoga kita diberikan kekuatan. Berikut merupakan jadual peperiksaan aku.


PUBLIC FINANCE Monday Apr 6 2009, 9:00 AM

INTERMEDIATE MACROECONOMICS I Saturday Apr 11 2009, 9:00 AM

FIQH FOR ECONOMIST III Monday Apr 13 2009, 2:30 PM

INTERMEDIATE MICROECONOMICS II Wednesday Apr 15 2009, 9:00 AM

USUL FIQH II Thursday Apr 16 2009, 2:30 PM


Good Luck and All the Best!!

Sekian,
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Earth Hour

Tanggal 28 Mac 2009 merupakan hari yang dinantikan ku. Bukan untuk menyambut ulang tahun rakan-rakan walaupun saudara Aziz pun menyambut ulangtahun kelahiran beliau. Tahniah yea Mr President IRK! huhu. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Kebetulan waktu itu aku ada program di The Zone Hotel di KLCC. Sudah tentu detik 8.30 malam sehingga satu jam mendatang suasana bandaraya metropolitan di Kuala Lumpur akan gelap gelita kerana menyambut saranan kempen 'Earth Hour'.

Terbaca aku akan artikel rasionalnya sambutan earth hour ini. Sudah tentu ini mengambil iktibar daripada kesusahan nenek moyang kita dahulu kala kerana kemudahan yang diperoleh hari ini tidak sama pada zaman mereka. Mungkin kita boleh berfikir sejenak.

Kempen ini dianjurkan oleh WWF. http://www.earthhour.org dan boleh juga melawat laman panda.org . Mungkin ada yang berkata ini adalah propaganda Barat dan berfikiran sejam tu apa nak dibuat? Anggaplah ini satu simbolik mengingati dan menyayangi bumi ini.

Sebenarnya idea untuk shutdown elektrik selama sejam ni adalah untuk jimatkan penggunaan tenaga (janakuasa). Kalau 200,000 orang shutdown elektrik, jumlah tenaga yang diperlukan untuk menjana elektrik di stesen janakuasa dapat dikurangkan. Kalau 200,000 orang memandu dibandingkan 200,000 orang on lektrik selama 1 jam. 200,000 orang yang menggunakan elektrik masih memberikan kesan yang lebih buruk. Tak tahulah kalau stesyen janakuasa sekarang menggunakan Petrol Tanpa Plumbum.

Sebab apa 1 jam?dan pukul 8-9? Sebab, selepas 1 jam, pukul 8.30-9.30 di Malaysia. Masuk pulak pukul 8.30-9.30 di negara lain. Secara teorinya, selama 60jam, tiap-tiap satu negara di seluruh dunia akan menutup elektrik selama 1 jam secara berselang-seli. Selepas Malaysia tutup 1 jam, Thailand pulak tutup 1 jam, kemudian Thailand bukak balik, Vietnam pulak off, dan seterusnya..

Sebagai akhirnya, dunia ini makin nazak. Tidak cukup dengan kesan rumah hijau, ditambah pula dengan krisis ekonomi dunia yang semakin mencengkam. Terpulang kepada kita manusia yang ditugaskan sebagai khalifah dan hamba Allah di bumi ini untuk menunaikan amanah dengan sebaiknya.

Adakah kita hanya menyambut kempen ini pada 28 Mac sahaja? Penggunaan elektrik harian perlu diminimumkan oleh kita selepas ini. Selalu sahaja aku melihat di bilik Mahallah kipas pada kelajuan 5 berpusing dan tiada penghuni didalam bilik. Di tambah pula dengan lampu meja yang terang berderang menyuluh bilik yang sudah tentu cerah.

Bak kata Prof. Izi "Fikir-fikirkan dan selamat beramal!".

Sekian,
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Library IIUM

Thursday, March 26, 2009

Assalamualaikum wbt. kepada semua..

Sudah lama aku tak menulis nie..

Makin ditinggal makin malas la jawapanya.

Sungguh! Diriku masih belum lagi mendapat rentak yang betul dalam usaha persiapan Final pada 6April sehingga 16 April ini. Moga diberikan kekuatan oleh Dia..

Tanggungjawab kita untuk bersangka baik diatas segala yang dialami oleh diri ini. Allah S.W.T itu Maha Mengetahui.

Walaubagaimanapun, jika mana kita ikhlas dalam segala amal perbuatan yang dilalakuan. InsyaAllah Yang MAha Esa akan memberi balasan. Kalau bukan sekarang mungkin kemudian hari. Kita hanya merancang dan Allah yang menentukan.

Semoga kita mendapat rahmat lindungan daripadaNya..

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Dar-Hikmah IIUM
26.01.2009

Thursday, March 12, 2009

PM dianugerah ijazah kehormat Doktor Falsafah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menerima ijazah kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemikiran dan Tamadun Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Isnin ini.

Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, berkata penganugerahan ijazah kehormat itu adalah pengiktirafan terhadap usaha Abdullah dalam memperjuangkan Islam Hadhari sebagai pendekatan menyeluruh bagi membangunkan umat manusia, masyarakat dan negara, yang meletakkan Malaysia sebagai negara Islam progresif pada era globalisasi.

“Sejurus selepas mengambil alih teraju kepimpinan negara, beliau secara rasmi mengumumkan bahawa ajaran Islam yang sebenar menjadi asas dan inspirasi bagi tadbir urus yang baik dan pembangunan di Malaysia," kata Syed Arabi kepada pemberita di sini, semalam.

Penganugerahan ijazah itu juga, katanya, menjadi simbol memperingati Abdullah sebagai Perdana Menteri Kelima.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Raja Abdullah Abdul AzizAl-Saud dari Arab Saudi dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, yang menerima ijazah doktor falsafah daripada universiti itu sebelum ini, adalah antara tetamu istimewa pada majlis konvokesyen khas untuk Abdullah,” katanya.

Syed Arabi berkata, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan kira-kira 1,500 pelajar juga akan hadir pada majlis itu. - Bernama

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

KUALA LUMPUR: Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba terpilih penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2009 yang julung kali diperkenalkan.


Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Dr Sidek membawa pulang RM50,000 dan plak.


Penerima Anugerah Maulidur Rasul pula ialah Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, Pengarah Urusan Syarikat Laksamana Nusantara Sdn Bhd, Mortadha Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia, Mohd Yunus Pathi Mohd, pelajar Muhammad Ahmad Zahid dan kanak-kanak istimewa yang kurang upaya dari bahagian pinggang ke bawah, Muhammad Haziq Samrat.

Kelima-lima mereka menerima wang tunai yang semuanya berjumlah RM22,000 dan plak.

Sambutan hari ini bermula dengan perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang terdiri daripada kontinjen jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, sekolah, institusi pengajian tinggiawam dan institut latihan dan wakil masjid membabitkan kira-kira 100,000 peserta.

Sambutan kali ini turut dihiasi dengan persembahan nasyid dan lagu-lagu ketuhanan, penceritaan kisah-kisah nabi, sketsa dan pukulan kompang oleh artis tempatan.

Wednesday, March 11, 2009

Memorandum GMP kepada Yang di-Pertuan Agong Gerakan Mansuh PPSMI

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik sekalian mohon diampun.

Adapun Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) ini telah dilancarkan di Kuala Lumpur pada 31 hari bulan Januari 2009. Alhamdulillah sejak itu sambutannya di seluruh negara sangat memberangsangkan.


MENGAPA KAMI SEKALIAN MEMBANTAH PPSMI

Patik sekalian membantah PPSMI dan meminta kerajaan memansuhkannya atas beberapa sebab utama seperti yang kami jelaskan berikut:

1. Dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu (iaitu Bahasa Kebangsaan Malaysia) di sekolah kebangsaan yang telah dilaksanakan sejak Kemerdekaan berdasarkan Ordinan Pelajaran 1957, kemudian Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya Akta Pendidikan 1996, telah mencapai kejayaan yang luar biasa dan tidak pernah menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius.

Banyak pelajar kita, beratus ribu banyaknya, malah lebih 3 juta (dari tahun 1957 hingga tahun 2003) telah berjaya mempelajari ilmu sains dan matematik dalam bahasa mereka sendiri dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi.

Semua orang tahu akan kejayaan dasar yang asal itu dan banyak bukti tentang kejayaan itu dapat kami tunjukkan tetapi kami tidaklah berhasrat untuk membebankan pembaca dengan datanya yang agak banyak dan panjang.

2. Tidakkah orang yang membuat keputusan yang tidak munasabah itu sedar bahawa hasil daripada dasar pelajaran kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan Malaysia) sebagai bahasa pengantar utama, ratusan ribu pelajar kita (seperti yang tersebut di atas) pandai sains dan matematik dalam bahasa sendiri, dan ribuan daripada mereka berjaya menjadi profesor yang mengajar sains dan matematik di peringkat pengajian tinggi dalam bahasa sendiri, menjadi ahli sains, jurutera, pakar-pakar perubatan, pandai berbincang, mengarang buku sains, menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa sendiri, iaitu bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris (kalau perlu)?

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum tahun 2003 jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dalam bidang sains dan matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih 2,000 (dua ribu buah) manakala tesis Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang tersebut yang ditulis dalam bahasa Melayu berjumlah lebih kurang 400 buah?

3. Maka kami berasa amat hairan dan terperanjat mengapa dasar yang sudah baik dan berjaya itu, dasar yang tidak menimbulkan apa-apa masalah yang besar dan serius itu, tiba-tiba dimusnahkan dan digantikan dengan PPSMI?

4. Keputusan PPSMI yang dibuat dalam tahun 2003 itu dibuat dengan mengejut tanpa apa-apa perbincangan, tanpa apa-apa perundingan dengan pakar-pakar pendidikan dan bahasa, tanpa memikirkan baik buruknya terhadap bahasa Melayu dan terhadap pelajar dan guru yang telah cukup biasa mengajar dan belajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (atau dalam bahasa ibunda di Sekolah Jenis-Kebangsaan Cina dan Tamil) selama lebih 37 tahun!

Tiba-tiba anak-anak kita yang tidak mengetahui bahasa Inggeris sepatah pun, kebanyakannya dari kawasan luar bandar, dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa yang mereka tidak tahu itu. Beberapa orang ahli bahasa di Barat menganggap bahawa ini adalah contoh dasar English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris yang berlaku di beberapa banyak negara bekas jajahan British, menyebabkan kebanyakan bangsa peribumi atau negara itu tidak maju sains dan teknologi.

5. Antara sebab yang dikemukakan oleh pihak yang cuba mempertahankan PPSMI ialah: Kalau orang Melayu atau pelajar Melayu mahu pandai dan maju dalam bidang sains dan matematik mereka hendaklah mempelajarinya dalam bahasa Inggeris, tidak dalam bahasa sendiri, yakni bahasa Melayu. Mengapakah setelah lebih 37 tahun pendapat yang salah dan karut ini digunakan untuk mengubah dasar asal dan menggantikannya dengan dasar PPSMI? Tidak ada bukti ilmu dan empiris yang kukuh untuk mempertahankan alasan itu.

Hampir semua bangsa dan negara yang maju sains dan teknologi mengajar sains di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda mereka masing-masing. Sekadar menyebut beberapa contoh, Negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, Indonesia, semua negara Eropah (termasuk Britain), Rusia dan negara-negara Skandinavia tidak mengajar sains dan teknologi dalam bahasa asing.

6. Kebanyakan negara Afrika yang menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Perancis sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, baik di peringkat menengah dan peringkat tinggi, mahupun di peringkat sekolah rendah, tidak maju sains dan teknologi. Negara Brunei Darussalam tidak menggunakan bahasa Melayu untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di universiti dan kita tahu negara itu tidak maju sains dan teknologi, yakni negara itu tidak sama taraf kemajuan sains dan teknologinya dengan negara seperti Jepun, Korea dan negara China atau Taiwan.

Korea Utara adalah negara kuasa nuklear. Negara itu tidak mengajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitu juga, di Filipina, negara berbahasa Inggeris yang terbesar di Asia atau Asean, tidak menggunakan bahasa Filipina untuk mengajar sains dan matematik di sekolah menengah dan di peringkat pengajian tinggi, dan kita tahun negara itu tidak merupakan negara maju sains dan teknologi.

Kebanyakan eksport Filipina, menurut seorang ahli ekonomi Filipina, ialah pembantu rumah dan pekerja biasa; kelebihan mereka ialah, mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris di peringkat rendah.

7. Beberapa banyak kajian yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan dan bahasa di seluruh dunia membuat kesimpulan bahawa manusia, mulai peringkat kanak-kanak, lebih mampu berfikir secara kreatif dan dapat memahami konsep-konsep ilmu dengan lebih mudah dan cepat dalam bahasanya sendiri.

Hal ini dapat kita lihat berdasarkan hakikat bahawa semua karya besar di dunia, baik dalam bidang sains mahupun sastera, dihasilkan dalam bahasa ibunda atau bahasa asal atau bahasa kebangsaan pengarang itu.

Kebanyakan pemenang Hadiah Nobel tidak datangnya dari golongan berbahasa Inggeris. Yang terbaharu, Hadiah Nobel Fizik tahun 2008 ialah 3 orang ahli sains Jepun yang menghasilkan kajian dan karya mereka dalam bahasa Jepun.

Kajian di Amerika Syarikat, Kanada dan beberapa buah negara di Eropah dan Afrika dan Hong Kong menunjukkan bahawa pelajar sains dan matematik dalam bahasa bukan ibunda merosot prestasi mereka dan tidak pula meningkatkan penguasaan atau kemahiran bahasa asing mereka. Pertandingan antarabangsa sains dan matematik yang diadakan tiap-tiap tahun untuk pelajar sekolah dimenangi oleh pelajar yang belajar sains dan matematik dalam bahasa ibunda masing, tidak dalam bahasa asing.

8. Setelah enam tahun berjalan, PPSMI masih tidak berkesan dan banyak menimbulkan masalah yang kebanyakannya tidak didedahkan kepada umum. Pengumuman Keputusan UPSR Tahun 2008 menunjukkan hanya 31.1% (159,234) murid sahaja daripada 511,875 murid Tahun 6 yang menjawab Kertas Sains dalam bahasa Inggeris. Ini bererti sebanyak 68.9% (352,641) murid tidak menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bukti kegagalan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, walaupun dipaksakan kepada pelajar itu.

9. Dalam mata pelajaran matematik pula, 46.6% (238,153) murid daripada 511,499 jumlah murid yang menduduki peperiksaan Matematik UPSR menjawab dalam bahasa Inggeris. Ini bererti 53.4% atau seramai 273,346 murid menjawab dalam BM atau BM/BI. Ini juga bukti kegagalan pengajaran matematik dalam bahasa Inggeris kepada pelajar berbahasa Melayu.

10. Kedua-dua angka yang tersebut pada para 8 dan 9 di atas menunjukkan peratus pelajar atau seramai 352, 641 pelajar tidak faham bahasa Inggeris untuk menjawab soalan dalam bahasa ini, dan seramai 273, 346 murid tidak memahami matematik yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. [Catatan: ini tidak bererti bahawa pelajar itu tidak mempunyai "otak" atau minat untuk belajar atau memahami sains atau matematik; puncanya ialah, mereka tidak memahami soalan yang dibuat dalam bahasa Inggeris, samalah seperti kita cuba mengajar sains dan matematik kepada pelajar Inggeris di England dalam bahasa Melayu atau bahasa Jepun dan bahasa-bahasa lain yang mereka tidak faham satu patah pun].

HASIL KAJIAN

11. Hasil kajian sebenar dan bebas yang dilakukan oleh pasukan penyelidik seramai 50 orang pensyarah dari 7 buah Universiti (UPM, UiTM, UPSI, USM, UUM, UMS dan UTM) dengan selain Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di 70 buah sekolah menengah (pelajar Tingkatan 4) dan 90 buah Sekolah rendah di seluruh negara (murid darjah 5) membuat kesimpulan bahawa PPSMI telah gagal memberikan manfaat kepada pelajar, khususnya pelajar-pelajar Melayu di sekolah kebangsaan luar bandar.

Di beberapa buah negeri, misalnya Perlis, Kelantan, Sabah dan Sarawak, peratusan pelajar yang gagal (markah D & E) melebihi 50%. Prestasi SPM 2007 jelas menunjukkan bahawa bilangan pelajar Melayu yang cemerlang dari Sekolah Berasrama Penuh dan Maktab Rendah Sains MARA (MPRSM) juga menunjukkan kemerosotan yang merudum, terutama dalam mata pelajaran Kimia dan Matematik.

12. Dua kajian lain telah dilakukan, iaitu (a) kajian yang dibuat oleh Profesor Emeritus Dato� Isahak Haron dari UPSI Januari 2008), terhadap 1703 murid tahun 5 di 28 buah Sekolah rendah dan terhadap 1692 guru, dan (b) kajian yang dibuat oleh Profesor Datin Dr. Juriah Long (dari UKM) ke atas pelajar Tingkatan 2 di 242 buah Sekolah Menengah di seluruh negara yang meliputi 7,236 pelajar (2004) dan 707 guru matematik dan 701 guru Sains. Hasil dapatan kedua-dua kajian ini hampir sama dengan kajian yang dibuat oleh PEMBINA.

APAKAH UKURAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGABSAHKAN PPSMI?

13. Perkara yang sangat merunsingkan kami ialah, dalam percubaannya untuk mempertahankan PPSMI dan membuktikan bahawa dasar PPSMI itu 'sudah berjaya' atau 'akan berjaya', para pegawai di Kementerian Pelajaran cuba menurunkan markah lulus mata pelajaran sains dan matematik sehinggakan murid yang mendapat markah 30% dianggap sudah boleh lulus (yakni mendapat markah B dan C).

Kalau cara yang 'mengelat' ini digunakan untuk mengatakan bahawa jumlah pelajar yang lulus dalam sains dan matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkat alamatlah mutu pelajaran pelajar kita dalam bidang ini akan menurun, tidak tinggi. Sebelum tahun 2003 semasa sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu mutu pelajaran dalam mata pelajaran ini tidak direndahkan atau dengan kata lain, markah lulusnya tidak diturunkan.

GMP TIDAK FANATIK BM DAN TIDAK ANTI BAHASA INGGERIS

14. Kami tidak didorong oleh apa-apa emosi atau fikiran yang tidak rasional atau oleh perasaan anti-bahasa Inggeris. GMP juga bukan 'gila bahasa Melayu'. Kami cuma mahu mempertahankan dasar yang betul dan baik dan menolak dasar yang salah. Dasar yang salah, yang boleh memudaratkan bangsa kita, harus ditolak. Dasar yang baik harus disokong.

Pendapat yang mengatakan bahawa bangsa yang tidak menuntut ilmu sains dalam bahasa Inggeris, bangsa itu tidak akan maju dalam bidang sains adalah pendapat yang sama sekali tidak benar. Kita tidak perlu membuang masa membuat kajian yang panjang lebar untuk membuktikan bahawa pandangan itu sama sekali salah.

15. Hal yang sangat menghairankan kami dan orang yang berilmu di mana-mana sahaja ialah, 'pendapat' atau 'teori' yang mengatakan bahawa pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kalau pendapat ini benar, tidak perlulah pelajar kita belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tersendiri. Tidak pernah kita mendengar orang belajar bahasa asing melalui pelajaran sains dan matematik dalam bahasa itu.

Bahasa Inggeris seharusnya diajarkan melalui pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang tersendiri (mengajar nahu, membaca sastera dalam bahasa Inggeris, dan sebagainya), tidak melalui pelajaran sains dan matematik. Kajian yang disebut para perenggan 7 di atas mengesahkan perkara ini.

16. GMP telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua atau bahasa asing (foreign language) di sekolah kebangsaan untuk memastikan pelajar kita dapat menguasai bahasa ini dengan baik setelah mempelajarinya selama sebelas tahun dari Darjah I hingga Tingkatan V.

Selama ini kebanyakan pelajar kita, terutama di Sekolah Kebangsaan di luar bandar, tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun bahasa ini telah diajarkan kepada mereka selama 11 tahun. Masalah inilah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan, bukan mengubah dasar yang sudah baik dan berjaya, lalu menimbulkan masalah yang tidak patut timbul.

17. Terakhir, bangsa Melayu hendaklah sedar bahawa bahasa Melayu adalah salah satu bahasa yang terbesar di dunia, diketahui oleh lebih 280 juta manusia di seluruh dunia, khususnya di kawasan induknya, iaitu kawasan Melayu-Indonesia.

Akhir kalam, patik sekalian, dengan penuh takzim, dengan harapan yang tinggi, memohon kepada Ke Bawah Duli Tuanku, Raja Yang Berdaulat dan Ketua Perlembagaan Negara Malaysia, sudi apalah kiranya Duli Tuanku berkenan menerima Warkah Memorandum ini.

Atas limpah berkenan Ke Bawah Duli Tuanku menerima perutusan patik sekalian menghadap Tuanku untuk mempersembahkan Memorandum ini ke bawah Duli Tuanku, patik sekalian menjunjung kasih yang tidak terhingga, dan berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Duli Tuanku Dilimpahi rahmat dan hidayah sebagai Ketua kepada Perlembagaan Negara Malaysia.

Sekianlah patik sekalian persembahkan. Wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Patik sekalian yang berdatang sembah....

Muhasabah...

Beberapa rakan datang menyapa aku.. Bila nak update blog Fahmi?

hmm.. aku hanya senyap tanpa memberi sebarang respon.. Bukan tidak mahu update. Banyak perkara perlu dianalisis...

Isu PPSMI di UIA dan demonstrasi di istana Negara walaupun terkilan tidak dapat kesana. Kursus KPO di Melaka yang mana melibatkan semua MPP se-Malaysia. Pengisian program bagiku yang tidak terlalu sesuai untuk disisi oleh bakal pemimpin. Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM60 Billion dan sedikit sebanyak peristiwa pahit dan manis yang terjadi kepada diriku..

Tetapi masa sekarang tidak mengizinkan aku untuk berbuat demikian..

Perlu muhasabah diri....

Banyak perkara yang berlaku pada diriku...Baik dan Buruk..Semuanya Menunjukkan Kuasa Maha Pencipta. Menyedari diri ini sentiasa diberikan hukuman yang setimpal atas apa yang dilakukan sepanjang hidup ini. Sesungguhnya Allah masih menyayangi diriku ini. Jika tidak sudah lama aku tiada didunia ini.

Banyak perkara perlu untuk aku renungi dan teladani... Semoga diri ini diberikan kekuatan oleh-Nya...

Harap dapat menempuhi semua ini dengan penuh hikmah dan tenang..

Mohon doa daripada rakan-rakan..

Sekian

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Edu IIUM...

p/s: maaf sekiranya sms tidak berbalas dan tidak dapat jawab panggilan....

Monday, March 2, 2009

DIALOG ISU PPSMI DI UIAM

Assalamualaikum wbt.

Jemputan ke Dialog Isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) bertajuk:

PPSMI : Building or Destroying the Nation?

bertempat di Auditorium Utama UIAM pada 4 MAC 2009 jam 8.00malam.

Kehadiran anda semua amat dihargai. Sama-sama kita membicarakan dan membincangkan isu Ummat ini....






Sebarang pertanyaan:

Hubungi : AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN 013-2226925

Sunday, March 1, 2009

MAHASISWA SOKONG LANGKAH KERAJAAN

Baru-baru ini mahasiswa dikejutkan dengan keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana mengeluarkan warta PU (a) 62 yang meluluskan akhbar kontroversi Kristian Katolik Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ ‘baitullah’ ‘kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan mereka. Walaupun kelulusan ini dikenakan secara bersyarat di bawah Internal Security (Prohibition On Use of Specific Words on Document and Publication) Order 2009', yang hanya mengkhususkan kepada penerbitan sahaja, tetapi kesan jangka panjang kepada permasalahan ini bakal memberi kesan yang tertentu jika tidak dibendung dari awal. Ia juga bertentangan dengan enakmen kawalan pengembangan agama bukan Islam dan bertentangan dengan keputusan kabinet pada 19 Mei 1986.

Disebalik pelbagai bantahan yang telah dibuat oleh NGO-NGO Islam, orang persorangan, ahli politik dan sebagainya namun pihak Herald masih berdegil dan mendesak untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa mereka sengaja untuk mengambil kesempatan dalam keadaan umat Melayu Islam di Malaysia sibuk dalam kancah permasalahan politik nasional.

Sememangnya di Malaysia pengamalan agama lain selain daripada agama Islam tidak dihalang, namun tindakan sesetengah pihak yang secara jelas cuba menggangu gugat kestabilan keharmonian dengan menggunakan istilah-istilah tertentu yang sudah tentu boleh membawa kepada kekeliruan kepada umat Islam di negara ini. Sudah tentu jika tiada langkah pencegahan segera dilakukan oleh kerajaan tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia bakal mengikuti jejak Indonesia yang dilihat liberal dalam pengamalan keagamaan di negara mereka.

Sememangnya Islam mengamalkan prinsip toleransi dalam kehidupan masyarakat bermajmuk, tetapi isu mempertahankan hak istimewa kalimah Allah secara eksklusif untuk ummat Islam harus dipertahankan. Dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu banyak lagi istilah-istilah lain yang boleh digunakan oleh akhbar Herald selain menggunakan istilah tertentu yang sudah difahami dan diyakini oleh umat Islam di Malaysia.

Bantahan seperti ini juga dilihat sebagai membendung usaha dakyah Kristianisasi yang semakin menular masuk ke dalam masyarakat Islam dewasa ini. Mahasiswa memandang bahawa pihak Herald tidak ikhlas dalam menerbitkan akhbar rasmi agama Katolik mereka, dan semacam ada udang disebalik batu dalam usaha bersungguh mereka menggunakan nama Allah.

Justeru, kami menyahut baik tindakan kerajaan mengambil serius isu ini melalui tindakan yang sewajarnya dengan menarik balik warta yang dikeluarkan dan tidak memberikan kebenaran meluluskan akhbar kontroversi Kristian Katolik Herald menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan mereka.

Kami menggesa dan berharap agar pihak kerajaan bertegas dalam segala tindakan dan keputusan yang bakal dibuat dalam beberapa perkara selepas ini. Kerajaan juga tidak wajar untuk berkompromi dengan mana-mana pihak yang membuat sebarang tuntutan yang tidak berasas dalam isu yang melibatkan sensitiviti umat Islam.

Oleh:
AHMAD FAHMI MOHD SAMSUDIN
871112-11-5181
EXCO MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur

013-2226925 / 017-9733995

Gunung Datuk Negeri Sembilan

Hmm..Sudah beberapa lama tidak menaip ni. Kadang-kadang memang rasa skema bila difikirkan balik. Ayat mana yang perlu digunakan dulu. Baiklah! Kali ini penulis tak SKEMA huhu. Sepanjang minggu lepas pada 20 hingga 22 Februari aku berada di Gunung Datuk Negeri Sembilan.


2tahun lepas aku pernah kesana. Program Tamrin Qiyadi rasanya. Waktu itu aku tak berkesempatan untuk merasai pendakian hingga kepuncak gunung itu. Hanya jungle tracking di kaki gunung tersebut. Masih lagi teringat waktu itu apabila melihatkan Dato’ Yunus Khalid dan beberapa rakan ekspedisi ke Gunung Everest. Mereka mengadakan latihan insentif sebelum kesana dengan menjadikan Gunung Datuk sebagai lokasi terbaik. Bagi kita orang biasa mendaki gunung, tapi mereka ibaratkan naik bukit sahaja. 2,3 kali dalam satu hari. Bayangkan!

Aku kesana dengan beberapa rakan lain untuk menjadi ‘KOMITI KHAS’ di program HEWI PKPIM. Tugas kami waktu itu hanyalah menyediakan makanan dan minuman selain menjaga keselamatan mereka sepanjang program tersebut berlangsung. Bukan apa, semuanya perempuan. Risau juga jika berlaku apa-apa kan? Lingkungan 50 orang dari serata IPT, Maktab dan Kolej. Aku pula kadangkala akan menemani mana-mana tetamu jemputan untuk sesi ceramah dan sebagainya.


Gunung Datuk memang menjadi tempat tumpuan awam terutamanya pada hari minggu. Bukan kami sahaja yang berada disana. Terdapat juga IPT, pelajar sekolah dan agensi kerajaan lain yang menganjurkan perkhemahan dan expidisi mendaki gunung. Kadang kala aktiviti sampingan yang dilakukan oleh pelajar IPT ini tidak bersesuaian dalam konteks mahasiswa. Terkinja-kinja dan begitu bising sekali dengan pengisian modul-modul yang diambil daripada Barat ditambah dengan iringan muzik yang sudah tentu menggangu sedikit sebanyak pengisian program HEWI waktu itu.

Alhamdulilah, dewan yang digunakan kami digunakan untuk solat berjemaah. Semestinya ajakan untuk menunaikan solat disambut baik oleh mereka. Sepanjang program tersebuat aku juga agak risau memandangkan mid-term exam menanti selepas ini. Buku Int. Micro hanya disentuh buat bebeapa minit dan terus diabaikan sehingga program habis. Isk2..

Pengisian sepanjang program juga sangat menarik untuk diikuti. Walaupun program ini dikhaskan kepada HEWi tetapi input-input yang diambil sepanjang slot ceramah tidak disia-siakan. Tambahan pula penceramah yang dijemput bukan calng-calang orangnya. Abg Azwan pun sudi turun daripada Istana Negara dengan pengisian bertajuk “FEMINISME” dan juga modul yang dibawa beliau sememangnya banyak mengajarku dalam berorganisasi.

Saat ditunggu-tunggu untuk kemuncak program ini ialh pendakian 880M Gunung Datuk ini. Pendakian ini dimulakan dengan regangan. Jika kita tak betul-betul stretching. Memang akan ada masalah selepas ini. Kebiasaan pendakian memakan masa selama 2 jam untuk naik hingga ke puncak dan 1jam untuk masa untuk turun dari puncak. Pagi itu, kesemua peserta begitu bersemangat. Inilah kali pertama aku berkesempatan mendaki gunung. Ada juga sebahagaian daripada peserta mengalami masalah.Tetapi pujian perlu diberikan kepada mereka kerana kesemuanya berjaya sampai kepuncak Gunung Datuk. Alhamdulilah.


Ada kisah mengatakan bahawa dipuncak gunung ini ada tinggalan tapak kaki pahlawan Hang Tuah. Mengikut cerita, tapak kaki ini hanya sebelah kanan kerana tapak kaki sebelah kiri terletak di Tanjung Tuan, Melaka. Hang Tuah ketika itu dikatakan pergi bertapa di Gunung Datuk sebelum beliau menunaikan perintah Sultan Melaka untuk melamar Puteri Gunung Ledang. Dengan kuasa yang ada pada Hang Tuah itu, beliau hanya menggunakan sebelah kaki untuk sampai kepuncak. (cerita ini tidak boleh dipercayai jika anda tidak yakin)huhu..

Apa yang penting ialah ketenangan dan kedamaian yang diperolehi ketika sampai kepuncak Gunung ini. Melihatkan kepada keindahan ciptaan Allah. Kuasa Allah S.W.T yang mencipta alam dengan begitu hebat sekali. Kita sebagai hamba perlu bersyukur dan seharusnya berfikir akan keagungan ciptaan Ilahi ini.

Allah S.W.T berfirman.

Dan Dia (menundukkan pula) apa yang Dia ciptakan untuk kamu di bumi ini dengan berlainan macamnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pelajaran.

(An-Nahl 16:13)


Allah S.W.T juga berfirman

Dan Kami hamparakan bumi dan menjadikan padanya gunung-ganang dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menuntut ukuran

(Al-Hijr 15:19)

Bumi ciptaan Tuhan ini perlu dijaga. Ya, tidak salah untuk berkhemah, berexspidisi dan sebagainya. Apa yang penting ialah penjagaan kebersihan dan adab-adab tertentu yang sepatutnya dipatuhi oleh kita semua. Melihatkan longgokan sampah sarap yang dibuang begitu sahaja sudah tentu tidak mencerminkan matlamat sebenar program-program yang dijalankan di Gunung ini.

Akhir kalam, pendakian gunung dan bukit seperti ini perlu dijadikan sebagai aktiviti tahunan. Ianya memang mencabar ketahanan dan kekuatan fizikal dan jasmani seseorang. Pengalaman penulis menuruni gunung ini dengan berkaki ayam sememangnya memberikan kesan ‘refleksologi’ yang begitu berkesan. Mungkin selepas ini Gunung Angsi, Gunung Ledang dan Gunung Kinabalu menanti?

Malaysia Boleh!

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Mahallah As-Siddiq

UIAM

28.02.2009