Wednesday, September 17, 2008

Nuzul Al-Quran & Lailatul Qadar

Hari ini 17 September 2008. Kalau semalam saya menganalisa tarikh 16 September. Kita lupakan dulu berkenaan fenomena politik Malaysia ini. Hari ini genaplah puasa kita selama 17hari. Untuk mengisi makna 17 September ini, saya mengambil artikel daripada Dr. Samsu Adabi Mamat daripada Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga melalui pembacaan ini kita mendapat manfaat.

Hari ini merupakan Hari Nuzul Quran. Hari ini adalah merupakan hari memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran) kepada Nabi Muhamad S.A.W. pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira pada malam Jumaat pertepatan pada tanggal 17 Ramadhan iaitu tehun ke 41 hari kelahiran baginda atau pada tanggal 6 Ogos 610M.

Peristiwa Nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Nuzul Al-Quran ini juga tidak dapat lari daripada peristiwa lailatul Qadar.

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.


Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Tuesday, September 16, 2008

ADA APA DENGAN 16 SEPTEMBER

Tanggal 16 September 2008. Tarikh keramat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia mahupun masyarakat dunia. Kenapa 16 September?Jawapannya ialah berkenaan ura-ura penukaran kerajaan Barisan Nasional(BN) kepada Pakatan Rakyat(PR)

Saat saya menulis ini masih tiada lagi berita terbaru berkenaan penukaran kerajaan ini. Jelas menunjukkan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) untuk memastikan PR mengambil alih Putrajaya masih lagi tidak kesampaian. (16 September) Walau bagaimanapun jika kita melihat kepada media arus perdana milik kerajaan seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian jelas menafikan propaganda peralihan ini.

Tidak ketinggalan juga majoriti pemimpin kerajaan baik daripada UMNO mahupun BN menafikan sekeras-kerasnya berita Ahli Parlimen yang akan melompat parti. Adakah mereka ini masih lagi dibelenggu oleh ‘states of denying’? ataupun mereka mahukan pengikut-pengikut mereka tidak terikut dengan rentak PR.

Di sisi yang lain pula , PR pula rancak dengan agenda penukaran kerajaan ini. DSAI dalam sidang akhbarnya hari ini memberitahu lebih 31orang Ahli Parlimen sudah memberikan taat setia untuk bersama PR. Beliau juga telah menghantar surat untuk berjumpa dengan Pak Lah untuk membincangkan berkenaan peralihan kerajaan ini. Kata dua juga diberikan kepada Pak Lah jika tidak memberikan respon berkenaan pertemuan ini, maka mereka akan terus ‘direct’ berjumpa Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan untuk mendapatkan perkenan Baginda.

Persoalannya : Adakah peralihan kerajaan ini benar-benar akan berlaku? Berdasarkan situasi sekarang, banyak kejadian atau episod menarik baru yang berlaku mewarnai suasana politik Malaysia. Ini membuatkan rakyat tertanya-tanya dan timbul juga pelbagai andaian dan persoalan.Baik dari media alternatif yang menjadi pilihan majoriti rakyat, jelas ura-ura penukaran kerajaan ini tetap akan berlaku walaupun bukan pada 16 September.

Walaubagaimanapun, daripada aspek yang lain, timbul juga polemik yang menimbulkan masalah dalaman ‘keluarga’ BN dan PR. Terbaru daipada pihak kerajaan adalah perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim kerana kecewa dengan tindakan kerajaan mengenakan Internal Security Act(ISA) kepada beberapa individu dan ahli politik dan juga usaha beliau untuk melakukan perubahan terhadap system kehakiman tidak mencapai matlamat. Selain itu, PR juga tidak terkecuali dengan ‘pertikaian’ antara Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato Mustaffa dengan Mursyidul AM PAS,Tuan Guru Nik Aziz.

Saat ini sudah masuk 17 September 2008. Apakah perancangan terbaru dan strategi daripada kedua-dua pihak selepas ini? Adakah 16 September merupakan permulaan kepada pengakhiran? Bilakah episod drama politik tanahair ini akan berakhir? Persoalan-persoalan ini akan terjawab akhirnya.

Sama-sama kita mendoakan sempena Bulan Ramadhan ini. Kita doakan agar ALLAH memberikan jalan yang terbaik dan penyelesaian kepada persoalan yang membelenggu rakyat ini.

Kita tunggu dan lihat.

Selamat Hari Jadi Malaysia!!!

01.30am (17 Sept 08)
Blok C 1.4 Mahallah As-Siddiq
UIAM

Monday, September 15, 2008

Cerita di Bulan Ramadhan

Salam Ramadhan diucapkan kepada semua pembaca blog ini. Walaupun agak lewat untuk mengucapkan salam ini, saya ingin mengambil juga ruang untuk mengucapkan selamat berjuang kepada muslimin dan muslimat sekalian. Berjuang kita untuk mendapatkan yang terbaik sepertimana yang telah dijanjikan Allah.

Pejam celik, pejam celik tanpa kita sedari Ramadhan ini sudah menjangkau pertengahan bulan. Justeru, marilah kita bertanya dan bermuhasabah! Adakah puasa kita ini adalah puasa orang awam atau orang khas? Tepuk dada tanyalah iman. Teringat tazkirah yang disampaikan oleh Abg Anip ketika usrah Jumaat “Permulaan Ramdhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan diakhirnya terlepas dari siksaan neraka.”
Sedikit perkongsian cerita semasa Ramadhan ini.

Sepanjang Ramadhan ini, banyak juga majlis ifthar diadakan. Sebelum ini pun, sudah banyak juga membuat perancangan untuk berbuka puasa bersama-sama.Baik dengan kenalan lama atau kakak-kakak dan abang-abang. Kebiasaannya Bulan Ramdahan ini jugalah rasanya masa yang sesuai untuk ‘saving’ duit. Bukan apa, berbuka pula di surau-surau atau di majlis-majlis iftar. Huhu..

Hari Sabtu, saya ke Kolej Lagenda di Negeri Sembilan bersama-sama senior GPTD untuk majlis berbuka puasa dan solat tarawihkh. Bertolak ke sana pukul 4.30petang dan seusai disana selepas berbuka puasa, dapat berjumpa dengan sahabat lama sewaktu di MRSM Jaisn dulu, Raja Hazrin. Orang Terengganu juga. Solat tarawih di sini agak berbeza. Bersesuaian dengan maksud Tarawih juga iaitu “rehat”. Solat tarawih diimamkan oleh Abg Suhail dan selepas 4 rakaat, Abg Rizal member pengisian. Lewat 11 malam baru sampai UIAM.

Semalam (14.9.2008) sempat saya ke Majlis Iftar Jamie yang dianjurkan oleh ABIM,PKPIM,WADAH dan lain-lai (banyak juga rupanya keluarga ABIM ini )di Koleh Darul Hikmah, Kajang. Sepatutnya, saya maklum untuk hadir iftar anjuran WAMY(World Assembly Muslim Youth) di UIAM. Tetapi atas sebab-sebab tertentu, saya di izinkan ke KDH.

Kesempatan yang ada ini, saya gunakan untuk mengenali lebih dekat ahli keluarga besar ABIM ini. Sempat berkenalan dengan pensyarah kejuteraan di UPM dan Pengarah Hospital Al-Islam. Pengisian Tazkirah Ramadhan yang diberikan oleh Al Fadil Ustaz Dato Dr Siddiq Fadzil selepas berbuka sungguh terkesan. Beliau kritis memberikan tafsiran Al-Quran dan mengadaptasikan tafsiran itu kepada situasi politik semasa di Malsysia.

Malam itu saya dan sahabat-sahabat (Izzat,Abe,Ali dan Umar) tidak dapat pulang ke UIAM. Jam sudah melewati 12 tengah malam. Nak bermalam di mana ya? After 12 tak boleh masuk UIAM. Nanti kena saman! (Cerita bab saman ini, sudah 2 kali kena saya saman sem ini. :( Kesalahan yang sama dan pada hari (jumaat) yang sama. Semalam, selepas solat Jumaat selepas usrah kelihatan surat cinta daripada Pak Guard UIA ini.)

Umar mencadangkan supaya bermalam sahaja di Kondominium Kg Baru milik keluarganya(keluarga Umar di Sarawak) Malam itu sempat juga “drift” dengan Izzat dari highway Sg Besi ke bandaraya KL. Dari kondominium, kelihatan KLCC dibelakang dengan begitu jelas.(sempat bergambar)

Keesokannya (AHAD),saya mengikuti rombongan pimpinan PKPIM-UIAM melawat seorang daripada sahabat kami yang baru sahaja kematian ibu kesayagan akibat kanser. Takziah diucapkan kepada Saudari Syira Jamil. Junior saya di Matrikulasi UIAM. Begitu tabah sekali melihat beliau dan keluarga. Saya tidak berkesempatan melawat keluarga beliau sebelum ini. Semoga di bulan Ramadhan ini dapat memberi rahmat kepada allahyarhamah dan juga keluarga. Ameen.

Hari ini (Ahad) sekadar berbuka puasa dengan kurma dan kismis. Terima kasih kepada Dr Rusni (Principal Mahallah Nusaibah)kerana pemberian kurma dan kismis ini. Perancangan awal untuk ke Surau di Taman Melewar (air tea tarik disini sangat ‘umph’) Tetapi, masalah motor Honda C70 (TR 3742). Tidak dapat dihidupkan. Berkemungkinan ‘demam’ disebabkan hujan lebat sebelum itu atau minyak sudah kehabisan. Jadi. Maggie dan telur ayam milik Syah di bilik menjadi mangsa. (Jangan mara yea Syah)

Sebelum pengakhiran blog ini,saya banyak mendapat ‘feedback’ yang positif daripada rakan-rakan berkenaan impak program Dialog AUKU baru-baru ini.Ramai juga kenalan dari IPTA lain yang merancang untuk mengadakan program yang sedemikian. Terima kasih juga diucapkan kepada media-media massa yang mengeluarkan artikel dan berita berkenaan program tersebut. Terima kasih kepada (Berita Harian, Sinar Harian, Harakah & SIASAH)

Tuesday, September 9, 2008

AUKU & UIAM


UIAM MENCATAT SEJARAH TERSENDIRI


UIAM, 29 Ogos 2008 - Empat ahli panel dalam satu program Dialog Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bersepakat dan sekata bahawa AUKU merupakan undang-undang ‘drakonian’ yang memenjara kebebasan mahasiswa. Dialog tersebut juga mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya UIAM menemukan ahli Parlimen daripada 3 parti politik -UMNO, PKR, PAS dan seorang wakil pelajar.

Program dialog itu dianjurkan oleh Badan Perwakilan Pelajar Mahallah As-Siddiq dengan kerjasama Kelab Intelektual Muda (IYC) dan Sekretariat Akademik dan Penyelidikan, Persatuan Ekonomi dan Sains Pengurusan berlangsung pada jam 9 malam hingga lewat 12.30 tengah malam bertempat di Auditorium Utama, UIAM.

Dialog yang memakan masa lebih kurang tiga jam setengah itu menampilkan Sdr. Muhammad Faisal bin Abdul Aziz mewakili mahasiswa, YB Dato’ Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, merangkap Ahli Parlimen Temerloh - UMNO, YB Mohd Yusmadi Mohd Yusuff Ahli Parlimen Balik Pulau Pinang dari PKR dan YB Salahuddin Hj. Ayub, Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Kehadiran keempat-empat panel ini berjaya menarik lebih 600 orang hadirin yang memenuhi dewan yang terdiri daripada para mahasiswa, pensyarah, ahli akademik dan pentadbir universiti dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Wakil-wakil daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut kelihatan untuk terlibat sama dalam dialog ini. Walaupun notis penyebaran makluman berkenaan program ini agak singkat, namun kehadiran yang luar biasa ini menunjukkan komitment mereka dalam isu ini.

Menurut Pengarah Program, Sdra Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dialog ini diadakan bertujuan membuka mata lebih ramai pelajar yang tidak mengikut dengan dekat rang undang-undang AUKU tersebut. “Kami fikir ini masa yang sesuai mengadakan forum sebegini kerana parlimen akan membahaskan cadangan pindaan akta ini,” katanya.
“Kami juga ingin menunjukkan, mahasiswa bukan hanya berdemonstrasi saja (terhadap AUKU) tetapi juga boleh membincangkan sesuatu secara ilmiah dan tidak partisan.”

Pada sesi dialog tersebut, setiap ahli panel diberi masa selama 10 minit untuk memberi pandangan dan ulasan mereka berkenaan AUKU sebelum sesi dialog bersama hadirin. Kesemua ahli panel sebulat suara bersetuju bahawasanya AUKU telah melemahkan mahasiswa yang merupakan barisan pelapis pimpinan negara pada masa akan datang.


Sdra Faisal, pelajar tahun ketiga jurusan Undang-Undang UIAM yang mewakili mahasiswa pada Dialog tersebut membawa hadirin kepada konteks sejarah apabila AUKU ini mula-mula diperkenalkan. Beliau berkata AUKU telah memenjara kebebasan mahasiswa dan mengurungnya dalam dunia kecil kampus-kampus di universiti. “Mahasiswa perlukan kebebasan dalam mendewasakan dan mematangkan diri bagi menghadapi cabaran dunia yang sebenar” ujarnya.


YB Salahuddin pula menekankan bahawa mahasiswa merupakan golongan pelapis yang akan memerintah Negara. Sehubungan dengan itu, AUKU perlu dimansuhkan kerana menyekat kebebasan mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam proses pembinaan Negara. Beliau juga mahu generasi mahasiswa pada masa ini bebas daripada undang-undang kejam ujarnya.


YB Yusmadi pula menekankan kepada aspek perundangan dan falsafah AUKU. Beliau juga menyarankan agar mahasiswa pada zaman sekarang tidak terikat dengan orientasi lama kerana pada zaman dahulu, gerakan pelajar adalah mengikut hiraki atau centralized manakala pada zaman sekarang adalah bersifat horizontal. Beliau juga berbangga kerana diberi peluang untuk berada di atas pentas bersama ahli-ahli politik yang berbeza parti untuk membincangkan isu-isu bersama.


YB Dato’ Saifuddin menegaskan orientasi gerakan mahasiswa terdiri dari tiga jenis, iaitu ‘aktiviti’, ‘bakti’ dan ‘advokasi’.“Advokasi adalah ciri utama gerakan mahasiswa, dan yang membezakannya dengan pelajar sekolah, tetapi ia dihalang AUKU”.Beliau juga menjelaskan bahawa AUKU banyak dipinda tapi bahagian yang tidak dipinda itu sebenarnya isu yang paling utama.


Dialog tentang isu kontroversi ini yang dikendalikan oleh Sdr Mohd Saifullah Zulkifli sesekali diselang-selikan dengan jenaka dan sindiran berbaur politik. Ini mengundang senyuman dan gelak tawa para hadirin yang datang pada malam itu.


Semasa sesi Dialog, para hadirin terutamanya mahasiswa dan pensyarah memberikan respon dan pandangan yang bernas dan kritikal kepada setiap ahli panel. Terdapat juga mahasiswa Indonesia yang bertanyakan kepada panel “Adakah dengan termansuhnya AUKU, maka pelajar Malaysia akan menjadi seperti mahasiswa di Indonesia?” Majoriti daripada ahli panel bersepakat bahawa keadaan dan situasi di Malaysia adalah berbeza dengan Indonesia dan mahasiswa adalah cukup matang dan pandai menilai dalam membuat keputusan.


Selepas tamatnya sesi dialog antara para hadirin dan para panel, moderator dialog memberi laluan kepada Pengarah Program, untuk membentangkan beberapa penegasan hasil daripada perbincangan dialog tersebut.


Penegasan Forum Pindaan AUKU menekankan keada dua aspek iaitu;

  1. Kebebasan mahasiswa

· Idealisme - mahasiswa bebas bertindak atas dasar idealisme iaitu menegakkan kebenaran dan mempertahankan keadilan tanpa terikat dengan kepentingan politik kepartian.

· Rakan Pembina Negara & Partnership Leadership- Mahasiswa juga perlu diberi ruang dan peluang secara aktif sebagai “rakan tulen” pembangunan terutamanya dalam struktur dan proses membuat keputusan.

· Kebebasan Berpersatuan - Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan yang berdaftar di bawah pendaftar organisasi belia (ROY) dibenarkan untuk berdaftar secara sah di dalam universiti.

· Kebebasan Bersuara - Mahasiswa bebas untuk menyuarakan pendapat tanpa rasa takut atau terikat dengan kepentingan mana-mana pihak. Suara mahasiswa perlu didengari, isunya ditangani, peranan mahasiswa diiktiraf dan diambil perhitungan serius. Budaya advokasi perlu disemai dalam memastikan mahasiswa tidak hanya terikat dengan aktiviti di bilik kuliah semata-mata.

  1. Autonomi Universiti

· Kebebasan Akademik - pensyarah diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan tanpa rasa takut kepada mana-mana pihak atau terikat dengan politik kepartian.

· Undang-Undang Kecil Universiti- Sekiranya AUKU dipinda, universiti-universiti yang tidak tertakluk kepada AUKU seperti UIAM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan IPTS seharusnya mengambil tindakan yang sama dengan meminda Undang-Undang kecil Universiti membawa kesan yang sama seperti AUKU yang ada pada hari ini.

· Kebebasan Universiti - Pentadbiran universiti bebas daripada pengaruh politik kepartian.

· Bahasa Melayu -Mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa teras dalam semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tanpa mengabaikan bahasa lain.

Pihak penganjur juga tidak ketinggalan dalam melakukan kaji selidik tentang pindaan AUKU ini. Keputusan bancian menunjukkan 72.12% hadirin setuju agar AUKU dimansuhkan, 26.55% meminta agar AUKU dipinda dan hanya 1.33% sahaja menyatakan agar AUKU dikekalkan seperti sedia ada.

Perbahasan isu AUKU di Parlimen ini akan disambung pada waktu yang tidak diketahui tarikhnya dengan tepat.

Sebagai mewakili suara-suara mahasiswa di Malaysia, kami berharap dan menggesa agar status AUKU ini dapat ditentukan secepat mungkin dan berharap agar ahli-ahli parlimen ini dapat menyampaikan suara mahasiswa di Parlimen.

Penganjur juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat ahli panel dan para hadirin yang hadir pada malam itu. Tidak dilupakan, terima kasih ditujukan kepada pihak pentadbiran universiti dan Ahli Jawatankuasa Kuasa Program kerana bersikap terbuka dan memberikan kerjasama dalam memastikan program Dialog ini berjalan dengan lancar.

Pihak penganjur juga berharap agar program perbincangan ilmiah yang bersifat akademik ini akan dapat diteruskan dan disuburkan di pusat-pusat pengajian tinggi dengan adanya penglibatan mahasiswa secara langsung seterusnya dapat mendedahkan mahasiswa kepada isu-isu kontemporari.

Disediakan oleh :

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Pengarah Program Dialog Pindaan AUKU

Merangkap,

Exco Akademik dan Penyelidikan,

Persatuan Ekonomi dan Sains Pengurusan UIAM

017-9733995/ 013-2226925

fahmi.iium@gmail.com

http://fahmisamsudin.blogspot.com