Friday, September 18, 2009

Demo jalanan: Budaya demokrasi atau kebejatan sosial?

sumber: Sinar Harian online

Mutakhir ini deria penulis kerap melihat, mendengar dan membaca tentang polemik demonstrasi jalanan di media tradisional mahupun moden. Sewaktu bersekolah di pedalaman Kelantan dahulu penulis tidak pernah tahu apa itu demonstrasi – kecuali semasa ibu membuat demonstrasi Tupperware di rumah bersama jiran-jiran terdekat di awal 80-an.

Dalam konteks kehidupan kita hari ini, demonstrasi jalanan lazimnya dihubung kait dengan agenda politik tempatan. Lucu bila melihat makcik-makcik separuh umur turut melonjakkan sepanduk dan poster, geram bila terperangkap dalam kereta berjam-jam kerana jalan ditutup untuk memberi laluan kepada penunjuk perasaan; marah apabila melihat si kecil turut diheret bersama untuk melihat dan terkilan apabila gas pemedih mata dilemparkan ke arah mereka.





Secara peribadi penulis juga pernah berdemonstrasi ala kecil-kecilan di Walk of Justice dalam tahun 2007, di mana beribu peguam (yang masih berdaftar dan belum dinyahkeluar dari senarai-peguam oleh Majlis Peguam) berjalan dari Istana Kehakiman hingga ke kaki Jabatan Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum menuntut badan kehakiman dibersihkan dari pengaruh anasir luar.

Demonstrasi tersebut juga tidak berpermit, tetapi penulis berasa amat teruja kerana dapat menunjukkan apa yang difikirkan terkhilaf dalam badan kehakiman negara. Walaupun disimbah hujan lebat semasa berjalan, lencun baju dan dingin yang mencucuk hingga ke tulang sum-sum tidak terasa kerana tegarnya pendirian untuk menyelamatkan sistem keadilan kita yang sering dikutuk.

Pada bulan Jun yang lepas, penulis sekali lagi terserempak dengan demonstrasi jalanan, kali ini ketika berjalan bersama selembar peta dan sebuah kamera lapuk di Murray Street, Perth. Lebih 1000 warga Perth berdemonstrasi membantah kematian seorang lelaki kaum asli Australia, Ward, semasa berada dalam tahanan polis kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Di dalam perjalanan untuk dipindahkan dari Laverton ke penjara Kalgoolie - lelaki tersebut telah menemui ajalnya di dalam van penjara kerana kerosakan alat penghawa dingin tanpa disedari oleh pemandu dan pegawai polis yang duduk di bahagian depan.

Bedah siasat yang telah dijalankan terhadap mendiang Ward menunjukkan beliau telah mengalami kebakaran peringkat ketiga dan hyperthermia apabila suhu di dalam kenderaan berlantai dan berdinding besi tersebut mencecah 50 darjah selsius. Pendek kata, Ward telah 'dipanggang' sehingga mati yang memangkinkan kemarahan penujuk perasaan pada hari itu.

Apa yang amat menarik perhatian penulis ini ialah apabila menyedari hanya dua orang anggota polis sahaja yang mengawal tunjuk perasaan tersebut.

Tidak kelihatan beratus anggota polis; tiada Black Maria di pinggir jalan; tiada salur gas pemedih mata; tiada ancaman atau ugutan dari pihak berkuasa. Suka hatilah berapa lama hendak menunjuk perasaan asalkan ketenteraman awam tidak dikompromikan.

Suatu demokrasi yang amat ideal di mata penulis.



Ketika menuntut di luar negara dahulu, penulis juga sering terkandas perjalanan apabila pekerja British Railway atau London Underground berpakat mogok menuntut kenaikan gaji.

Dalam setiap masyarakat bertamadun, kebebasan bersuara tanpa batas mencerminkan tahap kepercayaan yang jitu di antara rakyat dan pemerintah. Walau bagaimana pun, di akhir Ramadan ini, penulis ingin mengajak pembaca untuk merenung kembali apa yang terjadi di Shah Alam baru-baru ini. Kebebasan bersuarakah yang kita cari apabila penunjuk perasaan menggunakan kata-kata kesat untuk melepas amarah di dada? Perlukah kepala binatang diarak dan dicerca?

Penulis teringat kepada terjemahan Surah Al-Kafirun oleh saudara Abdullah Yusuf Ali yang berbunyi: “Untukmu agamamu dan untukku agamaku.”

Apa yang kurang di sini hanya satu: Toleransi. Satu elemen yang sangat getir apabila kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

Untuk ingatan kita bersama juga, di antara menjadi seorang pemimpin dan seorang yang dipimpin itu amat dalam jurang pemisahnya.

Natijah yang dapat saya simpulkan hari ini, sudah menjadi fitrah manusia untuk menyanggah apa yang dirasakan salah, tetapi wajarkah batas-batas kesopanan dan susila kita orang Timur diperjudikan atas nama kebebasan bersuara? Apatah lagi apabila kita mencaci-cerca di bulan Ramadan – penghulu segala bulan di mata Tuhan.

Tepuk dada tanya selera. Salam Aidilfitri.


Elviza Michele Kamal ingin mengikut resam padi, semakin berisi, semakin menunduk. Insya-Allah.

Salam Aidilfitri


assalamualaikum...

Kepada semua pembaca blog Analisa Fahmi. Maaf diminta sekiranya sepanjang perkenalan saya ada mengguris hati dan perasaan kalian.. Maaf Zahir dan Batin..

Semoga terhibur dengan pantun negeri ini....

Wednesday, September 16, 2009

“Mahasiswa ,budaya ilmu dan perjuangan pendidikan”

Oleh: Wan Mohamad Wasif bin Wan Mohamad*

(Dibentangkan pada Konvensyen Transformasi Malaysia 13 September 2009
anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(PKPIM-GAMIS-KARISMA-DEMA-KAMI)

“Mahasiswa ,budaya ilmu dan perjuangan pendidikan”

Pendahuluan

Isu-isu pendidikan merupakan sebahagian daripada perjuangan kelompok anak muda terutamanya mahasiswa.Ia tidak sewajarnya diserahkan semata-mata kepada penggubal dasar pendidikan semata-mata tanpa mendengar suara dan memahami aspirasi anak muda dalam perjuangan pendidikan ini.Dasar pendidikan yang digubal tanpa mengambil kira pandangan anak muda pasti pincang dan akan gagal direalisasikan walau secantik dan sehebat mana dasar pendidikan tersebut.

Membangun sambil meroboh?

Generasi muda yang kuat ialah generasi muda yang sebati dalam jiwa mereka budaya ilmu.Dengan budaya ilmu inilah mereka mampu menjadi pencetus sesuatu gagasan, seterusnya memimpin dan menangani perubahan .Sesuatu tamadun itu tidak mampu tertegak tanpa kekuatan budaya ilmu dan pastinya yang dituntut dan menjadi tonggak utama sesuatu tamadun itu ialah kekuatan budaya ilmu di kalangan generasi mudanya.

Dalam keghairahan kita menyambut ulang tahun ke 52 kemerdekaan negara Malaysia,jangan sampai kita mengabaikan aspek pembudayaan ilmu di kalangan generasi muda Malaysia.Amat malang bagi masa depan negara tercinta,Malaysia seandainya kita hanya sibuk membangunkan aspek fizikal dan material semata-mata bahkan berbangga-bangga dengan segala pencapaian lalu dan pada masa yang sama lupa untuk membangunkan generasi muda kini.

Allahyarham Mohamad Natsir (Tokoh negarawan,pemikir,pendakwah dari Indonesia) seringkali mengingatkan supaya ‘jangan sambil membangun kita robohkan” – membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja, membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan.

Persoalannya,apakah kita sudah membangunkan generasi muda Malaysia dengan kekuatan budaya ilmu ataupun turut sama menyumbang kepada usaha merobohkan generasi muda Malaysia?

Budaya ilmu VS budaya peperiksaan

Sistem pendidikan negara kita telah dikritik oleh beberapa tokoh akademik dan pakar pendidikan dan pastinya kritikan tersebut merupakan hasil renungan,kajian dan penyelidikan mereka dan ia merupakan kritikan membina demi memperkasakan lagi sistem pendidikan negara kita.

Prof Wan Mohd Nor Wan Daud misalnya dalam bukunya bertajuk Penjelasan Budaya Ilmu telah mengupas bagaimana budaya peperiksaan telah menggantikan budaya ilmu dalam sistem pendidikan negara masa kini.

Menurut beliau,

’’Budaya peperiksaan dalam sistem pendidikan negara telah menggantikan budaya ilmu.Para pelajar memang giat belajar tetapi kebanyakannya bukan untuk memahami dan mencungkil makna daripada apa yang dipelajari tetapi untuk menghafalnya cukup untuk masa dua tiga minggu tempoh peperiksaan .Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebilangan terbesar murid-murid tidak ingat lagi perkara-perkara yang gigih dipelajarinya sebaik sahaja peperiksaan tamat.Para guru pula memang giat mengajar tetapi penumpuannya lebih kepada untuk menghabiskan sukatan pelajaran dan mencapai kecemerlangan peperiksaan.

Prof Wan Mohd Nor Wan Daud juga mengupas tentang kritikan yang pernah dibuat oleh Professor Diraja Ungku Aziz terhadap sistem pendidikan kita yang pada pandangan beliau hanya menggalakkan penghafalan dan bukannya pemikiran dan akhirnya menyebabkan para murid lebih cenderung untuk bergantung kepada jawapan contoh,hafalan dan soalan ramalan(spotted questions) daripada memahami konsep dan teori yang berkenaan.

Apa yang diperkatakan oleh tokoh-tokoh akademik perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya generasi muda. Budaya ilmu perlu diterapkan dan niat yang tulus ikhlas menuntut ilmu perlu diperbaharui agar generasi muda tidak belajar atau menuntut ilmu sekadar untuk lulus peperiksaan,mengejar sijil,diploma atau ijazah, atau memperoleh gred,markah, ‘pointer’-‘CGPA’yang tinggi semata-mata.

Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan semata-mata (exam oriented) juga tidak lagi relevan dan penekanan kepada aspek pemikiran atau budaya berfikir secara rasional perlu digalakkan.

Allahyarham Syeikh Muhammad Al-Ghazali pernah mengungkapkan ‘Manusia tidak lagi dapat disebut sebagai manusia jika akalnya tidak mahu lagi berfikir’.

Para pelajar juga perlu lebih berdikari,berani berfikir dan menyuarakan pandangan peribadi disamping memiliki kriteria budaya ilmu seperti cinta ilmu dan ilmuwan,memiliki tabiat membaca,menulis,berdiskusi,menyelidik dan sebagainya.

Realiti kampus universiti masa kini

Kita pastinya tidak mahu mahasiswa di kampus-kampus universiti dihanyutkan dengan budaya hedonisme ,menebal sifat individualistik yang akhirnya memandulkan idealisme dan mematikan semangat perjuangan mahasiswa sebagai penuntut ilmu apatah lagi mahasiswa merupakan aset penting dan barisan pelapis kepimpinan negara suatu masa nanti.

Melihat realiti yang berlaku di kampus universiti sekarang,mahasiswa lebih banyak tertumpu kepada program-program berbentuk hiburan,kebudayaan dan sukan semata-mata.Konsert,pesta,festival,karnival dan sebagainya mendapat sambutan hangat daripada mahasiswa bahkan mendapat sokongan penuh dari pihak kolej kediaman universiti..Malang bagi mahasiswa pencinta ilmu yang tidak dapat merasai sambutan hangat mahasiswa dan pihak atasan universiti dalam program-program berbentuk akademik,intelektual dan pemerkasaan budaya ilmu di kalangan mahasiswa.

Benar seperti yang pernah diperkatakan oleh

Profesor Dato Ir Dr.Zaini Ujang(Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia) dalam siri syarahan perdana Naib Canselor,Universiti-Kreativiti-Inovasi,’’

Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana,diskusi,’kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting .Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa –

Pihak universiti terutamanya melalui kolej-kolej kediaman perlu memikirkan usaha pemupukan budaya ilmu,upaya menyegarkan intelektualisme,spiritualisme,aktivisme dan ,idealisme dikalangan mahasiswa.Kolej-kolej kediaman perlu menyemarakkan program-program ilmiah seperti forum,wacana, debat,diskusi buku dengan penampilan para ilmuwan dan cendekiawan dengan melibatkan penyertaan bersama mahasiswa dan sokongan padu pihak kolej kediaman dan pihak atasan universiti.

Memperkasa tradisi intelektual anak muda

Jika direnung kembali sejarah perjuangan mahasiswa terutamanya tatkala era akhir 60 an dan awal 70 an yang dikatakan era kegemilangan mahasiswa,kita akan mendapati bahawa era tersebut bukan sahaja dipenuhi dengan siri-siri demonstrasi semata-mata bahkan juga dipenuhi dengan siri-siri diskusi intelektual kelompok kecil atau usrah samada antara sesama mahasiswa ataupun antara mahasiswa dan para pensyarah sebagai mentor atau naqib usrah tersebut.

Pelbagai buku daripada pelbagai bidang yang ditulis oleh tokoh-tokoh terkemuka telah dikupas dan diperdebatkan dalam usrah mereka dan hasil usrah tersebutlah yang telah membentuk pemikiran,fikrah,dan pandangan sarwa-alam@worldview mahasiswa ketika itu seterusnya mendorong mereka untuk terus istiqamah berjuang di lapangan umat.

Membaca karya-karya besar pastinya mampu membentuk mahasiswa yang berjiwa besar.Oleh kerana itu,mahasiswa kini perlu menyedari kepentingan membaca buku atau karya besar yang ditulis oleh tokoh-tokoh atau pakar –pakar yang meliputi pelbagai cabang ilmu pengetahuan.

Budaya membaca karya-karya besar itu pula perlu seiring dengan budaya diskusi,berdebat,berbincang ,bertukar-tukar pandangan dan idea dan semua ini mampu dilakukan melalui kelompok kecil atau usrah mahasiswa yang sistematik.

Melalui penjadualan pembentang di kalangan mahasiswa itu sendiri dan juga senarai buku-buku yang akan dikupas sepanjang usrah tersebut akan lebih memantapkan lagi persiapan dan perjalanan usrah itu nanti.

Sebelum berlangsungnya usrah tersebut,seseorang itu perlulah membuat persiapan daripada aspek keintelektualan dengan pembacaan buku-buku dan membuat catatan terlebih dahulu agar pembincangan dalam usrah itu nanti lebih rancak dengan sesi ‘pertarungan’ idea dan pemikiran.

Mahasiswa yang aktif menyertai usrah kelompok kecil ini nanti akhirnya pasti akan lahir dalam diri mereka sifat berani dalam mengemukakan pandangan dan berhujah,membentuk budaya berfikir,pemikiran kritis dan sebati dalam jiwa mereka budaya ilmu dan keintelektualan.

Semoga kampus universiti sentiasa segar dengan mahasiswanya yang mengjunjung tinggi budaya ilmu dan keintelektualan.

Melawan krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu

Usaha mengangkat martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa penghantar ilmu dan pendidikan di peringkat tinggi bagi semua bidang ,bahasa sains dan teknologi , bahasa pemikiran serta bahasa tamadun sudah lama diperjuangkan oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu.

Perjuangan mereka seringkali dipandang sinis oleh golongan yang mengalami krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu,yang dijajahpemikiran mereka oleh ‘penjajahan bahasa’ akibat terpukau dengan kaca yang disangka emas belian lantas bersikap seperti kacang melupakan kulit dengan terlalu memuja dan mendewa-dewakan bahasa asing sehingga sanggup memperlekeh dan menghina bahasa ibunda sendiri.

Padahal pejuang-pejuang Bahasa Melayu yang lantang bersuara mempertahankan bahasa melayu itu sama sekali tidak pernah menafikan kepentingan menguasai bahasa asing bahkan menyeru semua pihak menguasai sebaik mungkin bahasa-bahasa dunia.

Cuma yang menjadi harapan para pejuang Bahasa Melayu ialah dalam keghairahan kita menguasai bahasa asing dan atas alasan pembangunan,kemajuan dan era globalisasi, jangan sesekali kita mengabaikan dan menyingkirkan bahasa melayu.

Tidak ada bangsa yang besar di dunia yang maju dengan menyingkirkan bahasanya sendiri!!!

Inilah antara prinsip yang selamanya akan dipegang oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu.

Tatkala wujud golongan yang meragui dan cuba memandang rendah keupayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu , wujud juga rakyat Negara asing daripada beberapa buah Negara seperti Rusia,China,Yaman,Uzbekistan dan Iran yang berusaha keras mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu bahkan mampu bertutur dengan fasih dalam Bahasa Melayu lebih baik daripada rakyat Malaysia sendiri walaupun Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Negara Malaysia!!!

Ini merupakan tamparan hebat kepada mereka yang mengaku dan mendakwa sebagai rakyat Malaysia tetapi pada masa yang sama tidak berusaha untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu bahkan yang lebih menyedihkan lagi mereka sendiri memperlekeh segala usaha yang dilakukan oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu.

Kepada rakyat Malaysia yang mengalami krisis keyakinan terhadap Bahasa Melayu ini kita nasihatkan supaya menyelami keindahan sastera dan kesenian Bahasa Melayu terutamanya melalui kajian terhadap puisi,sajak,peribahasa,gurindam,pantun dan lain-lain lagi dan cuba bertutur dalam Bahasa Melayu baku bukannya bahasa rojak yang mencemarkan keindahan bahasa melayu dan boleh juga mempelajari Bahasa Melayu yang betul daripada rakyat asing yang mempelajari Bahasa Melayu!!!

Semoga rakyat Malaysia terus yakin dengan perjuangan mengangkat martabat Bahasa Melayu,bahasa rasmi ,bahasa kebangsaan,dan bahasa perpaduan rakyat Malaysia!!!

Penutup

Generasi muda perlu terus memperkasakan dan memberi penekanan kepada perjuangan pendidikan.Hanya dengan pendidikan ,perubahan yang diimpikan itu mampu direalisasikan.Tradisi ilmu dan keintelektualan perlu terus diperjuangkan dan segala usaha anti ilmu dan proses pembodohan perlu ditentang dan dilawan.Biar kelihatan lambat dan memakan masa yang panjang namun perjuangan pendidikan pasti akan melahirkan perubahan kelak.

—————-

*Penulis pernah memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan kini sebagai Exco Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Terlibat secara langsung dalam aktivisme dan aktiviti intelektualisme mahasiswa.

Monday, September 14, 2009

PKPIM Lancar “Gagasan Ta’dib Kepemudaan”

Krisis umat hari ini yang memperlihatkan kemelut berpanjangan menampilkan cerminan negatif kepada situasi yang akan berlaku menjelang 30 tahun mendatang. Senario ketidaktentuan masyarakat yang penuh dengan kebejatan dan keruntuhan dari sudut integriti, moral, budi, serta kegagalan mereka menjiwai rukun yang terkandung dalam “akhlaq al-karimah” mendesak kita untuk mencari rencah yang “solid” sebagai jawapan kepada krisis berkenaan.

Sedar atau tidak, persoalan umat yang masih belum terungkai ini telah menuntut generasi muda hari ini untuk menawarkan suatu gagasan baru sebagai alternatif pemulihan kepada krisis berkenaan.

Maka, atas bebanan amanah dan taklifan qiyadah, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” suatu gagasan yang baru diperkenalkan dalam konteks harakah. Majlis pelancaran “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz pada 6 September 2009 bersempena dengan program Majlis Iftar Mahabbah (Miftah 09) yang bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara.

Menurut Prof Syed Naquib Al-Attas, “ta’dib” bermaksud keadaan di mana seseorang kenal tempat letak sesuatu dan akhirnya bertindak berdasarkan pengenalan tersebut. Sebagai contoh pengetahuan seseorang untuk meletakkan Allah pada tempatnya sebagai Tuhan yang Agung dan bertindak berlandaskan pengenalan tersebut dengan mentaati segala perintah Allah.

Faktor krisis hari ini bukan disebabkan kejahilan umat dalam agama memandangkan penyebaran ilmu tentang Islam telah tersebar meluas ke seluruh masyarakat, tetapi kekeliruan mereka dalam meletakkan Ad-din, Allah, Nabi, dan diri mereka di tempat yang sepatutnya seperti mana yang dituntut agama. Maka, gagasan Ta’dib ini adalah merupakan gagasan yang bersesuaian dengan konflik zaman ini bagi memantap dan melangsungkan gagasan Islamisasi pada era 70-an lalu.

Dalam pada itu, pelancaran gagasan berkenaan selaras dengan resolusi yang diputuskan bersama oleh pimpinan PKPIM Pusat dalam Induksi Pimpinan bertarikh 28-30 Ogos 2009 ke arah untuk membentuk suatu generasi yang ideal dan mampu menjadi suri tauladan terbaik kepada umat secara keseluruhan

Dengan bermotokan Meneraju Generasi Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur” gagasan idea besar anak muda ini akan mengambil kira perencanaaan jangka panjang yang meliputi kerangka 25 tahun. Matlamat akhir gagasan ini adalah untuk menjadi medium penerus kesinambungan kepada kebangkitan ledakan ubudiyyah sekitar era 70-an lalu. Atas kapasiti pengalaman beberapa siri dasawarsa,

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM optimis untuk menjelmakan semula fenomena kebangkitan dakwah era 70-an tersebut untuk siri kedua sekiranya seluruh pihak berperanan dan beriltizam bersungguh-sungguh merakyatkan gagasan ini ke seluruh anak muda dan masyarakat kampus. Walau bagaimanapun, gagasan ini masih dalam proses perencanaan dan penyusunan sebelum dirakyatkan ke seluruh generasi pelajar. Justeru, bagi memastikan prinsip dan pelaksanaan gagasan ini bersifat holistik dan integral, maka pandangan dan kritikan membina semua pihak adalah sangat dialu-alukan.

Sunday, September 13, 2009

KONFLIK MALAYSIA- INDONESIA: GERAKAN PELAJAR DUA NEGARA CAPAI PENDIRIAN BERSAMA

5 Rukun Muafakat Elak Sengketa Malaysia-Indonesia


Dalam zaman di mana usia negara Malaysia dan Indonesia telah menggapai tempoh kematangan sebagai sebuah negara yang berdaulat, seharusnya isu pertikaian tentang soal-soal asasi berkaitan dengan kedua-dua negara tidak lagi timbul. Jika kita menyusuri kembali rentetan sejarah, sejak era 60-an sehingga kini, situasi hubungan kedua-dua negara tidak pernah sunyi dari konflik pertikaian yang kian lama kian menular tanpa diakhiri dengan usaha untuk mencari titik persamaan.

Permasalahan-permasalahan serumpun seperti yang dibangkitkan seringkali berlarutan dan sentiasa berulang dari semasa ke semasa, malah lebih mengecewakan, pendekatan yang diambil oleh kedua-dua pihak dalam menyambut permasalahan ini seringkali dicemari dengan kegagalan akibat dari mengambil pendekatan yang bersifat emosi semata-mata tanpa menitikberatkan soal permuafakatan yang lebih berwajah segar dan rasional. Ini bertentangan dengan wadah diplomasi yang bertujuan untuk merungkai segala punca permasalahan dan merangka penyelesaian secara kritikal.

Sepertimana yang dinyatakan, konflik antara kedua-dua negara bukanlah suatu perkara yang segar dan baru. Malah ianya seakan-akan bersifat pengulangan akibat dari kegagalan untuk menyaksikan penyelesaian ampuh berkenaaan dengan isu-isu lampau. Akibat dari kegagalan ini, dunia telah menyaksikan permasalahan yang pada asalnya adalah mudah dan kerdil, menjadi soal yang begitu merumitkan.

Sebagai contoh, Peristiwa Konfrantasi yang tercetus antara Malaysia- Indonesia pada era 1960-an telah memberi impak buruk ke atas istilah hubungan antara kedua-dua belah negara. Hal ini diburukkan lagi apabila disusuli dengan isu-isu yang lebih terkemudian seperti isu kedaulatan Ambalat, isu berkenaan dengan tenaga buruh dan pembantu rumah, soal keaslian budaya serta identiti dan sebagainya.

Malangnya, beberapa persoalan utama seperti nilai serumpun Melayu dan persaudaraan Islam seringkali dilupakan dan dikesampingkan oleh rakyat kedua-dua pihak dalam melihat konflik yang berlaku. Konflik seperti ini tidak seharusnya terjadi sekiranya kita menginsafi hakikat bahawa terdapat jalinan kekeluargaan di antara rakyat kedua-dua belah negara di mana secara realitinya susur galur keturunan rakyat kedua-dua belah pihak adalah sama. Ini terbukti dengan terdapatnya beberapa etnik Melayu di Malaysia seperti bugis, jawa, dan minang yang pada asalnya menetap di Indonesia. Dalam pada itu, suatu fakta yang tidak dapat disangkal bahawa usaha untuk memecahbelahkan rumpun kedua-dua Negara kian hebat memandangkan sekiranya kedua-dua rumpun ini berpadu ada kehuatiran untuk menjadi satu kuasa baru di ASEAN khususnya Kuasa Islam dan Melayu.

Atas keinsafan berdasarkan hakikat tersebut, maka pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili seluruh pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili seluruh pelajar Indonesia telah mencapai lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan.


Lima pendirian bersama yang telah dicapai adalah :

1) Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua negara.

2) Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawwarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.


3) Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

4) Menyeru genereasi pelajar kedua-dua negara untuk memupuk persefahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk kebudayaan, idealisme, ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya.


5) Melahirkan generasi pelajar Malaysia- Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.


Maka, pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) mengharapkan agar pendirian bersama yang dicapai oleh pertubuhan pelajar kedua-dua belah negara ini dijadikan sumber rujukan utama oleh masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda Malaysia dan Indonesia dalam berhadapan dengan permasalahan semasa dan mendatang yang timbul. Pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) bersedia untuk meneruskan wacana perbincangan yang menghubungkan generasi muda kedua-dua negara sebagai pentas untuk mencari titik pertemuan dan persamaan di antara kedua-dua belah pihak.


Lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama ini telah dipersetujui dan ditandatangani pada 11hb September 2009 bersamaan dengan 20 Ramadhan 1430H oleh:


T.t T.t

................................................ ...................................................
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Nashrullah Al-Ghifary
Presiden, Ketua Umum,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persatuan Pelajar Islam Indonesia
Malaysia (PKPIM) (PII)


Sekreteriat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA

Tel (P) : +603-6184 2286
Tel (HP): +6013-530 3221

www.pkpim.net

Pengurus Besar Pelajar Islam Indonesia (PII)

Sekretariat: JI. Menteng Raya,

No.58 Jakarta 10340, Indonesia

Tel/Faks : (021) 3153572

www.pelajar-islam.or.id

Tuesday, September 8, 2009

Semarak Ramadhan 1430H


Assalamualaikum warahmatulLahi wabarakatuh

Saudara dan Saudari dijemput untuk menghadiri program Semarak Ramadhan 1430H anjuran GPTD dengan kerjasama CENSERVE UIAM.

Program ini bertujuan memperkenal dan memperkukuh pemahaman terhadap gerak kerja GPTD di samping memperkukuh ukhuwah para hadirin.

Adalah diharapkan anda dapat mengesahkan kehadiran lebih awal di sini.

Berikut merupakan maklumat ringkas program:

Tarikh : Rabu, 19 Ramadhan 1430 bersamaan 09 September 2009

Tempat : Dewan Kuliyah 4, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (LT4 IRKHS), UIAM Gombak

Anjuran : Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) dengan kerjasama Unit Khidmat Komuniti (CENSERVE) UIAM

Aturcara Program Semarak Ramadhan 1430H

06:00 petang
- Pendaftaran peserta

06:30 petang
- Sesi ramah mesra
- Bacaan Zikir al-Ma’thurat

07:30 malam
- Majlis berbuka puasa
- Solat Maghrib berjemaah

08:30 malam
- Solat Isyak berjemaah
- Solat Tarawih berjemaah

09:30 malam
Bicara Kembara:
GPTD - PENGENALAN & PENGALAMAN

“GPTD: Satu Pengenalan”
Sdr. Jufitri Joha

(Pengerusi Majlis Tertinggi GPTD)


“Dilema Muslim di China”
Sdr. Muhammad Suhail Ahmad

(Presiden GPTD)


Moderator:
Sdr. Mohd Shazni Abdullah (COMRADE UIAM)

10:30 malam
- Minum malam
- Bersurai

Friday, September 4, 2009

Kenangan bersamamu... TR 3742

Tanggal 4 September 2009 bersamaan 14 Ramadan 2009 merupakan tarikh yang memberi kesan kepada diriku. Hari terakhir bersama tunggangan setiaku sepanjang berada di Taman Ilmu dan Budi ini. Masih lagi terhimbau saat aku bersama Adrian ke Ampang ketika masih ditahun pertama untuk mengambil Honda C70 peninggalan atuk (Allahyarham Ahmad bin Seman) usai sampai dari Terengganu menggunakan penghantaran khas.

Terus saja waktu itu aku ke Kuala Lumpur. Merempit sehingga ke Dataran Merdeka. Sempat juga aku membisikan kepada teman baruku ini.. "jauh kau datang..dari kebun hingga dan pekan di Kuala Berang hinggalah sampainya dirimu ke Kuala Lumpur..Selamat datang ke dunia baru..!!"

Walaupun dilihat tidak setanding dengan motorsikal lain seperti YAMAHA 135 LC, EX5 dan lain-lain, namun dirimu tetap jua gagah mengharungi denai, jalan mahupun lebuh raya. Tidak hairan sekiranya dirimu berjaya menjejakan diri di Putrajaya, Kajang, UM,UKM,UPM dan paling tidak dapat dilupakan apabila kita bersama mengharungi riuh rendah dan hiruk pikuk jalanan ketika sambutan ambang kemerdekaan mahupun tahun baru di kota metropolitan Kuala Lumpur.

Hinggakan ada kawan-kawan yang berasa bangga melihatmu tetap setia bersamaku...

Paling tidak dapat dilupakan apabila 'kemarahan' dirimu membuatkan beberapa helai bahagian kaki seluar 'slack' aku berlubang dek kepanasan enjin hinggakan bacaan meter kelajuan tidak lagi berfungsi akibat kelajuanmu itu. Sepanjang di UIA ini, 4 kali dirimu disaman oleh Pak Guard yang tidak jemu mencari kesalahan dirimu akibat kealpaan tuanmu ini.

Begitu juga Meeting, usrah, perjumpaan, halaqah, program dan lain-lain tak akan dapat aku hadiri dengan kerap dan konsisten tanpa pertolonganmu...

Banyak lagi yang mahu dikongsi... banyak lagi yang mahu dicerita... apakan daya.. pemergianmu tidak ku duga..

Petanda awal apabila diriku lupa membawa kunci bersama saat akhir bersamamu. Menggunakan 'spare key' didalam dompetku mungkin bermaksud kita akan berpisah..

Setakat ini sahaja pertemuan kita. Jika dipanjangkan jodoh. Moga kita bertemu lagi....

Terima kasih atas segalanya...

Selamat berjuang dengan 'tuan' barumu...



4 September 2009
SRC Office, IIUM

Wednesday, September 2, 2009

PKPIM BAKAL MENGANJURKAN MAJLIS IFTAR MAHABBAH 2009 (MIFTAH '09)

Kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia akan sekali lagi diraikan dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh oleh seluruh umat. Di peringkat Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), kehadiran bulan Ramadhan tahun 1430H ini sekali lagi tepat dengan suasana dan keadaan semasa. Kesempatan untuk berpesta ibadah, untuk melakukan muhasabah, membersihkan jiwa serta mendidik diri perlu dimanfaatkan oleh seluruh ahli PKPIM yang baru sahaja selesai melaksanakan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) yang ke-48.

Sebagai sebuah gerakan pelajar Islam peringkat kebangsaan, PKPIM sekali lagi akan mengadakan program tradisinya dalam bulan Ramadhan yakni Majlis Iftar Mahabbah (MIFTAH) dengan tema “Sentuhan Kasih Ramadhan Pertaut Hati Umat”. Peluang untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadhan, mengukuhkan ukhuwwah sebagai elemen penting dalam gerakan ini, serta bersama-sama melaksanakan ibadah secara berjemaah adalah kesempatan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Selain daripada itu, peluang untuk melakukan pendidikan dan pembaikan diri sempena bulan Ramadhan ini juga tidak harus dilepaskan.

Justeru, bagi sambutan MIFTAH 1430H ini, PKPIM mengambil kesempatan yang sangat baik ini bagi mengeratkan lagi ukhuwwah, serta memperkukuh kesatuan hati, fikir dan tindakan para ahli. Di samping ibadah-ibadah khusus yang biasa dilakukan dalam bulan Ramadhan, MIFTAH 1430H ini juga akan memberikan penekanan kepada pengisian-pengisian yang fundamental dan penting tentang hal-hal gerakan (harakiyyah) dan da’wah. Selain itu, PKPIM mengambil inisiatif untuk membincangkan isu perundangan Islam yang menjadi topik perbualan hangat hari ini agar seluruh mahasiswa mendapat kefahaman yang jelas tentang isu yang berlegar di sekeliling kita.


TENTATIF MIFTAH '09

Jumaat, 14 Ramadhan 1430H

3.00 petang: Pendaftaran

4.30 petang: Solat Asar
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Majlis Pembukaan & Ucapan Aluan
Oleh:
Sdr. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
-Timbalan Presiden PKPIM 2009/2010

6.30 petang: Urus diri

7.20 petang: Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Makan Malam

8.30 malam: Solat Isya’
Solat Sunat Tarawikh

10.00 malam: Minum Malam
Tadarus Al-Quran

11.30 malam: Tidur


Sabtu, 15 Ramadhan 1430H

4.30 pagi: Qiyamullail

5.00 pagi: Sahur

5.50 pagi: Solat Subuh
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Kuliah Subuh:
“Selamat Datang Ramadhan”
Oleh:
Sdr. Fadzril Bin Salleh
- Exco Dakwah & Tarbiah 2009/2010

7.15 pagi: Urus Diri
Solat Dhuha

8.30 pagi: Pengisian MIFTAH 1:
“Jatidiri Penda’wah dan Gerakan Da’wah”
Oleh:
Prof. Sidek Baba - Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak

9.45 pagi: Rehat

10.00 pagi: Pengisian MIFTAH 4:
“Perundangan Islam dan Peranan Mahasiswa Masa Kini”
Oleh:
Prof. Aziz Bari
Pensyarah Kuliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


11.15 pagi: Rehat

11.30 pagi: Pengisian MIFTAH 3:
“Ramadhan dan Misi Ketaqwaan”
Oleh:
Ustaz Muhadir Bin Joll
-Pensyarah Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya

12.30 t/hari: Rehat

12.45 petang: Tadarus Al-Qur’an

1.20 petang: Solat Zohor

2.00 petang: Pengisian MIFTAH 2:
“Gagasan Ta’dib Islami Dalam Gerakan Da’wah”
Oleh:
Dr. Mohd Farid Mohd Shahran - Mantan Timbalan Presiden ABIM 2008/2009

3.00 petang: Rehat


3.15 petang: Bengkel Penyelarasan Silibus Usrah Kampus & BGN

4.30 petang: Solat Asar
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Tadarus Al-Qur’an

6.00 petang: Rehat dan Urus Diri

7.20 petang: Berbuka Puasa
Solat Maghrib
Makan Malam

8.30 malam: Solat Isya’
Solat Sunat Tarawikh

10.00 malam: Minum Malam
Tadarus Al-Quran
Tidur

Ahad, 16 Ramadhan 1430H

4.30 pagi: Qiyamullail

5.00 pagi: Sahur

5.50 pagi: Solat Subuh
Bacaan Wirid Al-Ma’thurat
Kuliah Subuh:
“Ramadhan: Medan Muhasabah dan Latihan Aktivis Gerakan”
Oleh:
Sdr. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
- Timbalan Presiden PKPIM 2009/2010

7.15 pagi: Urus Diri

9.00 pagi: Majlis Menghadam Ucapan Dasar Presiden PKPIM 2008/2009

10.30 pagi: Majlis Penutupan (Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz)
-Presiden PKPIM 2009/2010

Bersurai

Perkenal Semula RON92-Halusi Aspirasi Rakyat dan Suara Mahasiswa

Keputusan kerajaan melaksanakan pakej baru harga minyak pada 1 September 2009 lalu boleh diringkaskan kepada ungkapan berikut yang merujuk kepada golongan yang berbeza iaitu; (1)“Kita membayar lebih untuk RON yang sama” (2) “Kita membayar sama untuk RON yang rendah” dan (3) “Kita membayar lebih untuk RON yang baru”.


“Kita membayar lebih untuk RON yang sama” merujuk kepada pengguna RON97 dan akan terus menggunakan RON tersebut. Mereka bakal merasa beban kenaikkan sebanyak 25 sen seliter yang tersenarai antara yang tertinggi dalam sejarah kenaikan harga minyak negara walaupun ketika ini harga pasaran minyak mentah antarabangsa hanya di antara $60 ke $70 dolar setong.


“Kita membayar sama untuk RON yang rendah” pula merujuk kepada bakal pengguna RON95 yang sebelum ini menggunakan RON97. Pengenalan RON95 pada harga yang sama dengan RON97 sebelum 1 September lalu menjadikan kelompok pengguna ini tidak rugi dan tidak untung, walaupun pada hakikatnya mereka tetap terkesan dengan peningkatan harga minyak ini.


Mereka tidak rugi kerana masih tetap membayar pada harga yang sama bagi jenis minyak yang secara asasnya menepati spesifikasi kenderaan mereka. Mereka juga tidak untung kerana sebelum ini, pada harga yang sama mereka boleh mendapatkan minyak dengan RON yang lebih tinggi. Hakikat mereka turut terkesan dengan keputusan terbaru ini adalah kerana mereka boleh mendapatkan harga yang jauh lebih murah untuk RON95 sekiranya pelan penstrukturan semula harga minyak ini diketepikan.


“Kita membayar lebih untuk RON yang baru” sudah pastinya merujuk kepada golongan pengguna ketiga iaitu mereka yang terpaksa beralih kepada RON95 ekoran keputusan kerajaan memberhentikan pengeluaran RON92. Mereka perlu membayar pada harga lama RON97 iaitu RM 1.80 seliter walaupun hanya memerlukan RON yang lebih rendah dengan harganya yang jauh lebih murah.


Secara teorinya, kenderaan yang berprestasi tinggi memerlukan RON yang lebih tinggi dan begitu juga sebaliknya. Masalah keenjinan tidak akan timbul sekiranya kenderaan yang berprestasi rendah menggunakan RON yang lebih tinggi. Tetapi, bagi kenderaan yang berprestasi tinggi yang menggunakan RON yang lebih rendah, ia boleh menjejaskan kelancaran enjin dan prestasi kenderaan secara keseluruhannya.


Oleh itu, dalam menganalisa kelompok pengguna ketiga ini, kita mendapati mereka adalah dari kalangan pengguna motosikal dan kereta sekitar ±1000cc. Daripada taburan stesen minyak yang menawarkan RON92 ini, kita mendapati jumlahnya adalah sangat terhad dan banyak tertupu di kawasan luar bandar, serta amat jarang sekali untuk kita menemukannya di kawasan kota dan pinggir bandar.


Statistik yang dekemukakan oleh KPDNKHEP seraya dalam pengemuman keramatnya lalu, menjelaskan bahawa hanya sekitar 5 peratus sahaja minyak jenis ini dijual berbanding RON97 yang memonopolinya. Persoalannya, apakah peratusan ini tepat untuk menggambarkan trend sebenar keperluan RON92 dalam pasaran?


Dengan jumlah stesen yang terhad dan taburan yang tidak sekata, penumpuan kawasan yang tidak kompetetif, dan sikap ‘tidak apa’ di kalangan pengguna, ia mengesahkan peratusan yang dikemukakan tetapi meragukan penggunaannya sebagai pertimbangan asasi dalam memberhentikan pengeluaran RON92 ini yang begitu besar maknanya kepada mereka yang berpendapatan rendah dan kelompok mahasiswa.


Sekiranya pengubah suaian terhadap formula peratusan tersebut dibuat dengan perbandingan telus dengan jumlah sebenar stesen yang menawarkan jenis RON tersebut, maka kita menjangkakan peratusan yang lebih tinggi bakal dicatatkan. Waimma sekiranya dibahagikan mengikut kawasan bandar dan luar bandar, nescaya, kita yakin peratusan yang jauh berbeza akan diperolehi berbanding seperti mana yang dikemukakan oleh pihak kementerian.


Persoalan seterusnya, mengapa RON92 perlu dikekalkan? Seperti yang telah dinyatakan, RON92 cukup penting bagi kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah dan sederhana (sebahagian besarnya), serta golongan pelajar dan mahasiswa yang semakin mencatatkan peningkatan penggunaan kenderaan di kampus.


Kebiasaannya, mereka yang menggunakan kenderaan yang berCC rendah adalah pastinya dari golongan yang pendapatannya juga rendah dan bertujuan besar untuk berjimat bagi mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Justeru, keputusan memberhentikan RON92 ini bakal merumitkan lagi keadaaan dan mengasak kehidupan mereka.


Bagi mahasiswa, tinjauan rambang yang dibuat oleh aktivis Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di kalangan pelajar tahun akhir institut pengajian tinggi awam (IPTA), mereka mendapati nisbah kepenggunaan kenderaan adalah seperti berikut; 1:4:5 iaitu seorang berkereta, 4 orang bermotor, dan selebihnya menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan. Ini bermaksud kurang lebih 50 peratus mahasiswa tahun akhir bakal terjejas dengan penyelarasan terbaru harga minyak ini dan tidak mustahil sekitar peratusan yang sama juga bagi keseluruhan pelajar IPTA dan IPTS di Malaysia.


Hal ini pasti menyukarkan mahasiswa yang juga terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi dan keperluan pembelajaran yang semakin meningkat. Walaupun, resmi kehidupan mahasiswa yang mencabar seperti yang diungkapkan oleh Prof Ungku Aziz, dalam karya Muhammad Abu Bakar, “Mahasiswa Menggugat” namun faktor kewangan ini juga secara tidak langsung memainkan peranan besar yang boleh merencatkan pencapaian mereka.


Benar, “tekanan menjadikan kita lebih kreativ dan inovatif” dan budaya ini selaras dengan seruan kepada mahasiswa, pensyarah, staf pengurusan, dan universiti keseluruhannya oleh Naib Canselor UTM, Prof Zaini Ujang dalam Siri Syarahan Perdana Naib Canselor yang mengupas buku terbarunya, “Universiti, Kretiviti, Inovasi”. Namun, tekanan yang terlalu menekan, tidak juga baik dalam soal ini.


Justeru, saya menyeru agar kajian semula terhadap pemberhentian pengeluaran RON92 dibuat dan mencadangkan penstrukturan semula penjualannya di tempat-tampat yang strategik khususnya di kawasan pinggir kota dan berdekatan premis institut pengajian tinggi (IPT) demi memastikan kebajikan rakyat terbela, dan pencapaian mahasiswa diperkasa.


Saya juga mencadangkan agar kuota penjualan yang lebih kompetetif dirumus agar menguntungkan ketiga-tiga pihak; kerajaan, pengusaha stesen minyak dan pengguna. Hal ini penting bagi memastikan tidak ada pihak yang ditindas seterusnya memangkin pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kehidpan masyarakat yang sejahtera.


Selain itu, amalan berkongsi kenderaan di kalangan masyarakat adalah perlu disemarakkan lagi agar dapat meringankan beban jumlah peruntukan subsidi petrol yang menjangkau RM 500 juta setahun yang terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan. Di samping itu, amalan ini akan secara tidak langsung dapat mengurangkan sub permasalahan seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara yang semakin gawat selain menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia selaras dengan ungkapan “Satu Malaysia, Satu Kereta”.


ABU QASSIM NOR AZMI

Naib Presiden PKPIM


Sekretariat PKPIM Pusat

Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,

Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,

53100 Kuala Lumpur.

T: 03-61842286

F: 0361842285