Monday, July 27, 2009

PKPIM ANJUR KONGRES PELAJAR DAN PENEGASAN TERAS-TERAS KENEGARAAN 2009



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) akan menganjurkan Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009 bersempena dengan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan PKPIM ke-48 dengan tema ”Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” pada 8 Ogos 2009 (Sabtu) bertempat di Wisma Belia, Kompleks MAYC, 40, Jalan Syed Putra, 50460 Kuala Lumpur.


Penyertaan kongres adalah terbuka kepada umum khususnya di kalangan para pimpinan pelajar sekolah, pimpinan mahasiswa institut pengajian tinggi, pimpinan institusi dan badan bukan kerajaan serta pegawai kerajaan dan pembuat dasar.


PKPIM merasakan bahawa penganjuran kongres ini adalah bertepatan dengan masanya ketika Malaysia sedang mencari kestabilan hala tuju pasca tsunami politik Pilihanraya Umum ke 12 dan peralihan pucuk pimpinan negara. Tambahan pula dengan isu-isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia dalam tempoh masa itu, telah menguji kematangan Malaysia untuk hidup di atas bebanan sejarah dan impian masa hadapan. Sekiranya tidak dipandu dengan pemahaman dan penghayatan yang jelas dan benar akan teras-teras kenegaraan yang telah menjadi tiang-tiang penegak Malaysia sebagai sebuah negara merdeka hari ini, maka adalah dikhuatiri perubahan sosio-politik yang berlaku menatijahkan bencana yang lebih buruk.


Maka itu, objektif penganjuran kongres ini adalah untuk memberi makna dan kefahaman yang jelas akan teras-teras kenegaraan di dalam mendepani isu semasa yang melingkari sosio-politik Malaysia hari ini dan akan datang. Di samping itu, kongres ini juga bertujuan merintis usaha transformasi Malaysia ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik untuk seluruh rakyatnya. Kongres ini juga bertujuan untuk mewujudkan wadah penyampaian dan perbincangan untuk penghayatan makna dan perkaitan antara slogan ‘Satu Malaysia’ dan gagasan ‘Politik Baru’. Kongres ini diharapkan dapat menghasilkan gagasan baru melalui pembinaan pemikiran dan pengupayaan kemahiran generasi muda sebagai panduan buat generasi muda hari ini sebagai penerus kesinambungan kehidupan negara Malaysia.


Kongres ini akan dimulakan dengan Ucapan Dasar bertajuk “Menjana Peneraju Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur” yang akan disampaikan oleh En. Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM.


Seterusnya, Y.B. Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia akan menyampaikan Ucap Utama bertajuk “Membugar Idealisme Politik Baru di Kalangan Generasi Muda” sekaligus merasmikan kongres ini dan melancarkan buku terbitan PKPIM berjudul “PKPIM: Sejarah dan Perjuangan Lima Dasawarsa (1961-2011)”.


Empat kertas kerja yang akan dibentangkan di dalam kongres ini adalah seperti berikut;

”Kepentingan Memahami Peranan dan Sumbangan Islam dalam Pembinaan Teras Kenegaraan”

Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Wan Mohd. Noor Wan Daud, Felo Utama ATMA UKM

Pengulas: Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Timbalan Dekan IRK UIAM


2. ”Perpaduan Melayu lwn. Perpaduan Nasional?”

Oleh: Dr. Sarjit Singh Gill, Pensyarah Kanan UPM

Pengulas: 1. En. Markus Lim Han King, Penyelidik INSAP

2. En. Khairul Anuar Musa, Exco PKPIM


3. ”Integriti dan Pembinaan Jatidiri”

Oleh: Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, Presiden IIM

Pengulas: 1. En. Wan Ahmad Fayhsal, Koordinator Kampus TERAS

2. En. Hasnul Hanif Harun, Naib Presiden PKPIM


4. ”Liberalisasi Ekonomi: Peluang dan Cabaran Generasi Muda”

Oleh: Tn. Hj. Abd. Malek Awg. Kechil, Ketua Pengarah YAPEIM

Pengulas: 1. En. Daniel Alexander, TAC

2. En. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco PKPIM


Kongres ini ditutup dengan Sidang Khas Generasi Muda yang membariskan En. Muhammad Faisal Abdul Aziz, Naib Presiden PKPIM, En. Mohd. Syamsul Salleh, YDP MPP UPM merangkap Jurucakap MPPK dan En. Nasrullah al-Ghiffary, Presiden Pelajar Islam Indonesia (PII) yang akan membicarakan tajuk “Antara Aspirasi Parti Politik dan Idealisme Generasi Muda”.


PKPIM optimis untuk menjadikan kongres ini sebagai satu batu loncatan untuk Malaysia terus maju mengejar impian masa hadapan tanpa melupakan apatah lagi meminggirkan bebanan sejarah yang membentuk jatidiri kita sebagai sebuah bangsa merdeka Negara Malaysia.


Untuk urusan penyertaan atau maklumat tambahan, boleh diajukan kepada En. Abu Qasim Nor Azmi (019-356 5805), Cik Sakinah Budiman (013-212 4590) atau hubungi terus Sekretariat PKPIM Pusat di talian 03-6184 2286 atau emel, pkpim_spp@yahoo.com. Perkembagan dari semasa ke semasa boleh didapati di blog rasmi kongres ini di alamat http://kongres-pkpim.blogspot.com.


Oleh:

KHAIRUL ANWAR SHAZALI

Setiausaha Agung PKPIM

Merangkap;

Pengerusi Jawatankuasa Induk

Majlis Perhimpunan Agung Tahunan ke 48 dan

Kongres Pelajar Dan Penegasan Teras-Teras Kenegaraan 2009

Thursday, July 23, 2009

JEMPUTAN KE SEMINAR KEBANGSAAN “SATU MALAYSIA- KE ARAH PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA

Assalamualaikum....

Perhatian kepada yang berkenaan. Berikut merupakan jemputan daripada Universiti Sains Malaysia seperti yang dilampirkan seperti dibawah.

Sehubungan dengan itu, kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai Seminar ini boleh memberikan nama, no iC , no telefon kepada saya sebelum SABTU 25 Julai 2009. a.s.a.p

Penyertaan adalah percuma. Sijil penyertaan dan surat pengecualian kelas akan diberikan kepada semua peserta.

Boleh juga foward kepada rakan-rakan UIA yang lain...

Harap dapat memberi maklum balas dengan kadar yang segera kerana pihak penganjur memohon maklum balas penyertaan.

Terima kasih.

SEMINAR KEBANGSAAN “SATU MALAYSIA- KE ARAH PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA ” ANJURAN KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, DAN KEBUDAYAAN (KPKK) BERSAMA PUSAT PENGAJIAN SAINS KEMASYARAKATAN, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

Sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan (KPKK) bersama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia akan menganjurkan seminar kebangsaan Satu Malaysia pada 11-12 Ogos (Selasa-Rabu), bertempat di Hotel Prince, Kuala Lumpur di bawah naungan YB Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan.

2. Seminar ini bertujuan untuk menghayati pendefinasian, menilai pengisian untuk memperkasakan gagasan Satu Malaysia dan pandangan generasi muda ke atas pentakrifan konsep ini. Selepas ia diperkenalkan oleh Y.A.B Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, konsep ini perlu diberi perhatian agar penilaian yang dilakukan dapat memperkasakan kesemua objektif yang dirancang di bawah gagasan tersebut (aturcara tentatif turut disertakan). Seramai 500 orang peserta dijangka hadir terutama dalam kalangan pemimpin pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta serta tenaga akademik, pemimpin masyarakat dan pegawai perkhidmatan awam.

3. Sehubungan dengan itu, sukacita saya dan Ahli Jawatankuasa ingin menjemput UIA untuk turut serta menjayakan seminar kebangsaan melalui pembabitan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Sdr Ahmad Fahmi Mohd Samsudin. dijemput untuk menjadi salah seorang panel Sidang III: Satu Malaysia: Perspektif Generasi Muda, 11 Ogos 2009, jam 330-530 petang di seminar ini bersama ahli panelis lain iaitu wakil Perwakilan Pelajar USM dan UPM . Sidang ini akan dipengerusikan olen Y. Bhg. Dato’ Omar Awang, Ketua Pengarah Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

4. Kami juga amat berharap MPP ataupun bagi pihak UIA dapat menghantar 30-40 pelajar untuk turut menyertai seminar ini sebagai sokongan dan pendedahan kepada dasar pentadbiran Y.A.B Dato Sri’ Mohd. Najib. Pakej seminar iaitu pendaftaran, makan-minum pagi, tengahari dan petang untuk 2 hari seminar ini adalah PERCUMA.

Diharap pihak Sdr. tidak keberatan untuk memberi persetujuan undangan ini dalam kadar masa yang terdekat untuk tindakan selanjutnya. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan ke atas kerjasama dan sokongan Sdr. ke arah menjayakan seminar ini. [sila berikan alamat dan no.faks untuk menghantar surat rasmi kepada pihak Sdr.]

Sekian.

Dr.Sivamurugan Pandian
Deputy Dean (Postgraduate & Research)
School of Social Sciences
Universiti Sains Malaysia
Penang, Malaysia
Tel : +604 653 2720/3394/3344
Fax : +604 657 0918
012 226 5770

Seminar Kebangsaan Satu Malaysia anjuran Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan bersama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM

Program Tentatif

Selasa, 11 Ogos 2009

0830 – 0900
Pendaftaran

0900 – 1000
Majlis Perasmian
· Negaraku
· Bacaan Doa
· Ucapan Alu-aluan
Y. Bhg. Prof. Tan Sri Dzulkifli Abd. Razak, Naib Canselor USM

· Ucapan Perasmian
YB Datuk Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan

1000 – 1030
Ucaptama
YB Datuk Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan

1030 – 1100
Minum Pagi / Sidang Akhbar

1100 – 1300
Sidang I: Satu Malaysia: Pendefinasian, Pemahaman, Pelaksanaan

Pengerusi :
Y. Bhg. Dato’ Haji Abdullah Morad

Panel :
YB Datuk Saifuddin Abdullah
Y. Bhg. Datuk Prof. Khoo Kay Kim
Y. Bhg. Dr. Sivamurugan Pandian

1300 – 1400
Makan Tengah Hari / Solat Zohor

1400 – 1530
Sidang II: Satu Malaysia – Perspektif Generasi Merdeka

Pengerusi:
Y. Bhg. Dato’ Hj. Sidek Hj. Jamil

Panel:
YB Datuk Ibrahim Ali
Y. Bhg. Toh Puan Uma Sambanthan
Y. Bhg. Datuk Michael Chen

1530 – 1730
Sidang III : Satu Malaysia – Perspektif Generasi Muda

Pengerusi :
Y. Bhg. Dato’ Omar Awang

Panel :
Y. Bhg. Pemimpin Pelajar USM
Y. Bhg. Pemimpin Pelajar UIA
Y. Bhg. Pemimpin Pelajar UPM

1730
Jamuan Ringan / Solat Asar / Bersurai


Rabu, 12 Ogos 2009

0830 - 0900
Minum Pagi / Kudapan

0900 – 1130
Sidang Pleno : Satu Malaysia – Memacu Kecemerlangan Masa Hadapan

Pengerusi : Y.Bhg. Datuk Ibrahim Yahaya

Panel :
YB Datuk Dr. Wee Ka Siong
YB Datuk Rosnah Rashid Shirlin
YB Datuk Mukhriz Tun Mahathir
YB Datuk Dr. Denison Jayasooria
YB Datuk Shamsul Anuar Nasarah

1130 – 1200
Majlis Penutup
YB Dato’ Joseph Salang Anak Gandum
Timbalan Menteri
Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kebudayaan

1200 – 1300
Makan Tengahari.

PENYERTAAN MASIH LAGI DIBUKA KEPADA SEMUA TERUTAMANYA MAHASISWA UIA...

Tuesday, July 21, 2009

Kursus Pengukuhan Integriti Kepimpinan Muda Malaysia 2009: Belia dan Politik

25 June 2009

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2009: Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan buat kali kedua Kursus Pengukuhan Integriti Pemimpin Muda Malaysia, yang diadakan selama sehari di IIM Jalan Duta.

Program ini telah dihadiri seramai 64 orang peserta dari berbagai kaum yang mewakili persatuan dan kelab belia gabungan MBM seluruh Malaysia. Cabaran untuk memperkukuhkan integriti kepimpinan belia menjadi agenda penting selama kursus ini berlangsung. Peserta telah diberikan penjelasan, bertukar idea dan membahaskan perkara-perkara yang ditimbulkan dalam setiap sesi dialog dan forum yang diadakan.

Pada sesi sebelah paginya, semua peserta berpeluang berdiskusi dan bertukar pendapat dengan Presiden, Institut Integriti Malaysia (IIM), Y. Bhg. Datuk Dr. Mohd Tap Salleh dan Yang Berkormat Dato’ Shamsul Anuar Nasarah, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Golongan belia sering kali dikatakan pewaris kepimpinan negara yang ada sekarang, maka dalam kursus ini para peserta telah diberikan gambaran tentang usaha memperkasakan golongan belia dalam beberapa aspek seperti kepimpinan politik, pendidikan dan governans.

Pada sesi sebelah petangnya, tiga orang panel telah bersama dengan peserta membincangkan tentang harapan dan peranan golongan belia dalam politik negara. Sering kali golongan belia dikatakan sebagai penyebab kepada kekalutan dalam kehidupan sosial masyarakat. Namun begitu, apabila dilihat daripada perspektif politik golongan belia ini menjadi kumpulan yang penting sebagai aset yang akan menentukan kelangsungan kuasa politik atas dasar undi semasa pilihan raya. Forum ini menyediakan landasan golongan belia untuk memberikan pendapat mereka tentang perkara ini.

Di akhir program ini peserta diingatkan akan betapa pentingnya bersama menggembleng tenaga dan usaha untuk memastikan golongan belia mampu mengharungi cabaran yang bakal mendatang. Masih ramai lagi golongan belia yang tidak dapat mencari hala tuju kehidupan mereka yang mengakibatkan mereka terlibat dengan perkara-perkara yang tidak berintegriti.


Wednesday, July 8, 2009

MENANGANI POLITIK PERUBAHAN dan PERUBAHAN POLITIK


oleh: Dato' Dr. Siddiq Fadzil
(Amanat Pimpinan di Muktamar Nasional Ketiga Wadah Pencerdasan Umat Malaysia, Kolej Dar al-Hikmah, 28 Jun 2009).

Dakwah dan Misi Perubahan

Sempena perhimpunan warga wadah perjuangan ini ada kewajarannya kita merenung kembali misi nabawi yang kita warisi sebagaimana yang terungkap dalam ayat 2 surah al-Jumu`ah. Misi yang terumus dalam 3T -- tilawat (al-ayat), tazkiyat (alnafs) dan ta`lim (al-kitab wa al-hikmah) itu dihujungi dengan ungkapan, … wa in kanu min qablu lafi dalalim mubin (… dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata), kata-kata yang mengisyaratkan berlakunya suatu radical departure, perubahan radikal, dan sekaligus membawa makna dan pesan dakwah transformatif. Perjuangan yang berteraskan 3T itu harus dapat menghasilkan tansformasi kemanusiaan, perubahan substansial yang mengakhiri kesesatan dan kebingungan masa lalu. Demikianlah hakikat misi taghyiriy-tahririy-tanwiriy (perubahan, pembebasan dan pencerahan) yang selamanya menerasi perjuangan para anbiya’ dan mursalin sepanjang zaman.

Sejak kita tampil di pentas gerakan sebagai generasi baru yang komited terhadap peranan agent of change telah lebih tiga dekad kita memperjuangkan cita-cita perubahan. Ia bukan sekadar gejala gila-gila remaja, tetapi komitmen suatu generasi yang cukup menyedari nilai, erti dan implikasi kata perubahan, harga yang harus dibayar, ranjau yang harus dilalui, dan tempoh yang perlu dinanti (…ba`udat`alayhim al-shuqqah).

Setelah sekian lama ternanti-nanti, ketika ini telah mulai tampak semacam ada cahaya di hujung terowong. Ghairah terhadap perubahan sedang menyemarak di mana-mana. Ternyata perubahan yang juga diungkapkan dengan pelbagai kata lain yang semakna change, reformasi, transformasi dan lain-lainnya - sudah menjadi aspirasi masa kini yang dikongsi secara meluas.

Krisis dan Perubahan

Krisis yang bertimpa-timpa di pelbagai ranah - politik, ekonomi, sosial - ternyata mengandungi hikmah tersendiri sebagai katalis perubahan. Demikianlah yang selalu terjadi dalam sejarah. Krisis ekonomi yang mengancam Mesir telah membuka jalan kepada Nabi Yusuf `a.s. melaksanakan perubahan dalam dasar ekonomi yang berasaskan strategi keseimbangan, perancangan jangka panjang dan semangat kebersamaan. Krisis kemanusiaan zaman keleluasaan rejim teror Fir`aun telah memunculkan Musa `a.s. dengan agenda perubahan nasib bangsa: pembebasan manusia dan pembinaan jiwa merdeka. Krisis keselamatan angkara kaum teroris ya’juj dan ma’juj telah menjadi pencetus gerakan perubahan model Dhu ‘l-Qarnayn: pemerkasaan dan pencerdasan bangsa korban kezaliman. Demikianlah isyarat yang harus ditangkap, bahawa dalam kesempitan selalu ada kesempatan. Memang amanah dakwah harus dilaksanakan dengan ketajaman daya renung, ketepatan analisis dan kebijaksanaan memanfaatkan saat-saat strategik dalam sejarah. Itulah antara maksud yang terkandung dalam pesan dakwah bi ‘l-hikmah dan dakwah `ala basirah. Dalam huraiannya tentang kalimat basirah dalam surah Yusuf:108, Dr. Ahmad al-Raysuniy menyatakan bahawa untuk menepati erti dakwah `ala basirah seorang da`i, selain perlu benar-benar memahami agama dengan erti memahami segala maqasidnya dalam segenap bidang -- `aqa’idnya, hukum-hakamnya dan adab-adabnya, ia juga perlu mengenali realiti zamannya, masyarakat zamannya, isu-isu zamannya, golongan sasaran dakwahnya, liku-liku gelanggang pergerakannya, dan cara pendekatan yang sebaiknya.

Keyakinan terhadap kesesuaian ajaran Islam untuk setiap zaman dan setiap tempat (likulli zaman wa makan) menuntut para da`i memahami hakikat agama, realiti zaman dan suasana lingkungan sekaligus. Dalam kaitan ini perubahan (taghayyur) adalah fenomena yang harus sentiasa diperhati dan diperhitungkan. Betapa besar perhatian Islam terhadap realiti perubahan dapat difahami dari pendirian fiqhnya bahawa hukum harus berubah dengan berubahnya realiti zaman dan lingkungan. Demikian juga dengan fatwa yang harus mengambilkira `uruf ahl al-balad (adat setempat).

Amerika dan Perubahan

Dengan pola fikir keislaman yang sedemikian itulah seharusnya kita membaca makna perubahan yang sedang meratai dunia, termasuk negara adidaya Amerika. Kemuculan fenomenal Barack Hussein Obama dengan slogan change you can trust yang kemudian diikuti dengan deklarasi change has come to America mengiringi kemenangannya menempati Rumah Putih menimbulkan teka-teki besar, perubahan apa yang ingin diperjuangkannya. Andainya perubahan yang dijanjikannya kepada rakyat Amerika itu benar-benar berlaku, apakah pula kesan dan implikasinya nanti terhadap masyarakat dunia, khususnya Dunia Islam. Dan tidak kurang pentingnya, perubahan apa yang dapat diharapkan dari pidato Kaherah beberapa minggu lalu yang ditujukan kepada seluruh umat Islam itu? Memang kegawatan dunia tidak akan selesai dengan sebuah pidato. Tetapi siapa tahu andainya ia dapat membuka dialog baru Islam-Amerika, dialog yang bersemangat kesalingan -- saling hormat, saling mendengar dan saling memahami, dan bukan lagi “dialog dengan orang pekak” seperti yang telah terjadi selama ini. Mungkin ada kebijaksanaannya untuk tidak mengharap terlalu banyak dari Obama agar nanti tidak kecewa berat andainya beliau gagal memenuhi harapan. Tetapi tidak pula ada salahnya bagi umat Islam menyambut pelawaan memulakan dialog baru. Siapa tahu Obama serius dengan ucapannya, “I’ve come here to Cairo to seek a new beginning between the United States and Muslims around the world, one based on mutual interest and mutual respect, and one based upon the truth that America and Islam are not exclusive and need not be in competition.”

Ternyata Amerika sedang berusaha mencipta perubahan, tetapi serentak dengan itu ia juga harus menerima hakikat perubahan yang telah dan sedang terjadi, termasuk kenyataan bahawa dunia hari ini bukan lagi dunia unipolar, tetapi sudah menjadi multipolar. Kuasa dunia tidak lagi terpusat di Washington, tetapi sudah dikongsi oleh pusat-pusat kuasa baru yang tumbuh di pelbagai rantau dunia. Kenyataan tersebut tidaklah bermakna kejatuhan Amerika, tetapi kebangkitan negara-negara lain atau the rise of the rest sebagaimana yang diungkapkan oleh Fareed Zakaria dalam bukunya The Post-American World, buku yang bermula dengan kata-kata, “This is a book not about the decline of America but rather about the rise of everyone else” (Zakaria, F., 2008:1). “The rest” yang dikatakan sedang bangkit itu termasuklah Asia sebagaimana yang disorot oleh Kishore Mahbubani dalam bukunya The New Asian Hemisphere -- The Irresistible Shift of Global Power to the East. Kebangkitan yang paling fenomenal adalah China dan India. Hakikat semakin bergantungnya dunia kepada barangan China adalah fakta yan cukup nyata, sementara India pula diperkirakan akan menjadi kuasa besar dunia sebagaimana yang dibicarakan oleh Vinay Rai dan William L.Simon dalam buku mereka Think India -- The Rise of the World’s Next Superpower and What it Means for Every American.

Amerika yang ketika ini sedang terbelit pelbagai masalah, terutama masalah ekonomi tidak akan mudah memaksakan hegemoninya ke atas bangsa-bangsa lain. Negara-negara “the rest” yang menjadi semakin kuat tidak akan mudah menerima agenda hegemoni Amerika yang terselubung di balik retorika penyejagatan demokrasi, hak-hak asasi manusia dan masyarakat madani. Memang Amerika tidak runtuh. Ia masih merupakan negara terkuat dan terkaya di dunia. Tetapi pengaruhnya jelas kian merosot. Ternyata semakin banyak kajian dan analisis para ahli yang mengindikasikan berakhirnya era Amerika. Selain Fareed Zakaria yang bukunya, The Post-American World, telah disebutkan di atas, majalah TIME 13 Oktober 2008 memuatkan makalah Michael Elliott yang berjudul The End of an Era? The financial crisis has undermined not just the U.S.’s economy -- but also its authority. Sekarang sudah bukan zamannya Amerika menggurui dunia. Kata Elliott, “The day when the U.S. could lecture other nations on the correct way to run their affairs are gone.” Beliau memperkuat dakwaannya dengan memetik kata-kata ahli falsafah British, John Gray, “The era of American globalleadership is over.” Francis Fukuyama, profesor bidang International Political Economy di Johns Hopkins School of Advanced Studies yang membicarakan isu krisis ekonomi Amerika menyebut gejala hilangnya kepercayaan dunia terhadap idea-idea besar Amerika, khususnya kapitalisme dan demokrasi model Amerika. Ketika golongan sosialis Eropah dan Amerika Latin melabel sistem ekonomi Amerika sebagai cowboy capitalism, ia dipandang sepi. Tetapi kini terbukti bahawa kapitalisme liberal mereka benar-benar tidak terkawal, lalu merudum sambil menyeret dunia seluruhnya ke dalam jurang petaka ekonomi yang dahsyat. Sebelum itu demokrasi Amerika telah lebih dahulu tercemar apabila ia menyerang Iraq dengan dalih konon Saddam memiliki WMD. Setelah terbukti tidak ada WMD di Iraq, Presiden Bush berhelah dengan mengaitkan serangan tersebut dengan agenda besar “pembebasan” dan seterusnya nama demokrasi dipakai untuk memerangi teroris. Dunia memandang sinis terhadap demokrasi jajaan Amerika yang pada hakikatnya hanya topeng untuk menutupi tindakan biadab campur tangan ketenteraan dan penggantian rejim. Kejujuran Amerika terhadap demokrasi terus dipersoalkan apabila ia enggan bekerjasama dengan pemerintah yang dipilih secara demokratik seperti Iran dan Hamas, tetapi sedia pula mendukung Arab Saudi. Citra demokrasi model Amerika semakin tercemar apabila Statue of Liberty yang mereka banggakan itu tidak memberi erti apa-apa lagi kepada warga dunia. Di mata mereka tugu kebebasan dan demokrasi itu telah berganti dengan Guantanamo Bay dan penjara Abu-Ghrayb yang mengeri dan menyeramkan. Demikianlah idea-idea besar yang telah discredited dan mengakibatkan Amerika kehilangan kredibiliti untuk terus mempromosikannya.

Pencarian Alternatif
Mungkin ketika ini Amerika sedang kalut melakukan rebranding produk-produk pemikirannya yang sudah tidak laku dijual. Tetapi lebih daripada itu sebenarnya kita sedang menyaksikan suatu fenomena sejarah yang cukup penting dan genting -- proses reinvention of the world. Keruntuhan kapitalisme Barat dengan segala implikasinya telah menimbulkan kekalutan mencari alternatif. Persoalannya, sistem apakah yang mampu tampil sebagai penyelamat krisis yang sedang melanda. Antara yang difikirkan oleh segolongan ahli ekonomi dunia ialah kapitalisme versi lain termasuk yang disebut authoritarian capitalism sebagaimana yang diamalkan di China dan Singapura. Selain itu krisis ini juga membuka ruang kepada aliran-aliran lain termasuk aliran kiri, sosialisme. Di tengah kebingungan seperti itu, tidakkah umat Islam merasa terpanggil untuk menangkap saat strategik ini dengan mengangkat alternatif Islam, sistem ekonomi Islam, sejenis faith based economy yang manusiawi dan bermoral tinggi. Justeru, kegawatan ekonomi angkara kapitalisme yang serakah, rakus, boros dan tidak bermoral hanya akan dapat diselamatkan dengan sistem ekonomi yang bertuhan. Dalam keadaan terdesak seperti sekarang ini, mungkin orang lebih bersedia mempertimbangkan idea-idea alternatif. Robert Reich (yang diperkenalkan oleh Majalah Newsweek, 13 Oktober 2008, sebagai former U.S. secretary of labour, on calls for the reform and evolution of capitalism) telah menulis kata-kata yang membayangkan rasa terdesak dan kesediaan mendengar, “There are still two kinds of capitalism. There’s authoritarian capitalism, as in China and Singapore, and there’s democratic capitalism, as in the U.S. and Europe. If there’s anyone out there who has a better idea, I’m sure the world would love to here about it.” Alangkah malangnya jika yang sedang terjadi ini benar-benar suatu kesempatan sejarah yang terlepas.

Memaknai PRU-12
Demikianlah fenomena perubahan yang sedang berlaku pada skala global. Tidak kurangmenarik adalah perubahan pada tahap nasional yang semakin jelas riak dan gejolaknya. Tarikh 8 Mach 2008 (PRU ke-12) adalah peristiwa penting yang cukup momentous, tidak hanya dalam konteks politik kepartian, tetapi juga dalam konteks perkembangan pola fikir umat dan rakyat Malaysia umumnya. Terlepas daripada soal parti mana yang beruntung dan parti mana yang rugi, sebagai warga ranah dakwah, kita mungkin dapat memaknai peristiwa tersebut sebagai jelmaan wisdom of the crowd yang berintikan aspirasi perubahan, politik idealisme, kemampuan berfikir dan keberanian bersikap.

Perkembangan tersebut seharusnya dapat membangkitkan ghairah dan optimisme baru dakwah pencerdasan dan pencerahan. Memang PRU-12 adalah sebuah peristiwa politik, tetapi bagi kaum da`i, pemaknaannya harus dengan catatan bahawa misi dakwah tidak terbatas pada perubahan politik dalam erti sekadar pertukaran parti pemerintah. Yang kita perjuangkan adalah misi islahi, perubahan substantif-kualitatif, perubahan yang menepati idealisme pemerintahan yang adil dan beradab, sesuai dengan prinsip dan nilai syari`at.

Dengan catatan tersebutlah kita cuba memahami dan menangani perubahan yang sedang terjadi, dan seterusnya menggagas senario perubahan yang kita inginkan. Sebagaimana yang telah disebutkan, pemikiran umat telah mulai terkondisi untuk menerima perubahan; malah mereka telah berani menuntut perubahan, termasuk pelayanan yang selayaknya sebagai rakyat yang bermaruah dan berharga diri. Kerana itu mereka menolak politik wang dan politik pembodohan. Dalam masyarakat yang memiliki kesedaran tentang maruah dan harga diri, strategi menabur wang dan memperbodohkan orang adalah umpama menanam ribut, menuai badai. Kesedaran tentang maruah selalu ditandai sikap tahu malu. Kesedaran dan sikap itulah yang mula meratai pelbagai lapisan rakyat. Mereka malu berada di tengah keleluasaan budaya rasuah dan amalan kroni, mereka malu berada di tengah ketempangan sistem kehakiman dan kepolisan, dan mereka malu berada di bawah pimpinan orang lemah. Mereka juga marah terus-menerus diperbodoh. Mereka sedar bahawa rela diperbodoh adalah sikap tidak bermaruah, dan merelakan hak-hak mereka dirampas juga adalah sikap tidak bermaruah.

Krisis Harapan dan Krisis Kepercayaan


Kesedaran tentang hak dan maruah telah menumbuhkan keinginan untuk berubah. Bersama tamatnya era Mahathir dan bermulanya pentadbiran Badawi telah tumbuh segunung harapan perubahan. Tetapi kemudiannya ternyata lima tahun era Badawi hanya berisi declaration of intentions, pengumuman demi pengumuman tanpa perubahan yang bererti. Badawi mengakhiri kerjaya politiknya dengan mewariskan krisis harapan dan krisis kepercayaan yang serius. Penggantinyalah yang harus memikul beban warisan di samping beban peribadi yang tidak kurang beratnya di tengah arus perubahan orientasi pemikiran rakyat, khususnya generasi muda yang tak mudah lupa dan tak mudah percaya.

Krisis yang membelit memang cukup gawat kerana liputannya telah meratai hampir segenap sektor. Institusi kehakiman yang tercemar dengan skandal video Lingam belum dapat memulihkan kredibilitinya sebagai tonggak keadilan. Isu sebesar itu, gegaran sedahsyat itu seperti hilang ditelan peredaran waktu, tanpa kesudahan yang jelas dan tegas. Mereka yang terlibat, termasuk dalang utamanya tetap berleluasa memencak-mencak, mendabik-dabik dada, bercakap besar di sana sini. Kebebasan dan kewibawaan mahkamah terus-menerus dipersoalkan ekoran pelbagai keganjilan dalam penghakiman kes-kes tertentu.

Institusi kepolisan masih terus-menerus tebal dengan imej korupnya. Tinjauan oleh Transparency International mendapati bahawa polis telah disebut oleh orang ramai dan masyarakat perniagaan sebagai institusi paling korup di Malaysia. Suruhanjaya Pilihan Raya, sebagai badan yang diamanahkan tugas melaksanakan sistem demokrasi yang seharusnya berkecuali, seringkali dipersepsikan bertindak mengikut telunjuk parti pemerintah. Sementara itu arena politik kita semakin gawat dengan silang sengketa adu kekuatan hancur-hancuran. Negeri Perak Darul Redzuan menjadi gelanggang pertarungan dengan aturan main yang semakin kacau, medan demokrasi menjadi rimbaraya berpuaka, prinsip demokratik dari rakyat untuk rakyat tenggelam dalam adu argumentasi dari mahkamah ke mahkamah. Demikianlah babak tragik yang sedang dipentaskan di panggung politik kita, demokrasi kedaulatan rakyat hancur dalam politik tipu-daya akal-akalan. Perpolitikan yang sedemikian rupa jelas telah menyedut sebahagian besar perhatian, masa dan tenaga sehingga mengakibatkan terabainya hal-hal lain yang kritikal terutama ekonomi yang ketika ini sedang terseret dalam krisis global. Tanpa tumpuan yang secukupnya, ekonomi negara yang memang sedia bermasalah akan menjadi semakin parah. Hingga ke saat ini tidak banyak yang dilakukan untuk memperbaiki kadar petumbuhan ekonomi yang jauh di belakang negara-negara jiran, tidak ada langkah yang jelas menyelesaikan pelbagai kontroversi di sekitar DEB, dan tidak ada langkah reformatif yang berkesan untuk mencegah rasuah dan menguatkuasakan ketelusan (transparency). Catatan Michael Backman tentang ekonomi Malaysia memberikan gambaran yang cukup membimbangkan. Katanya, “Malaysia is in trouble. It shouldn’t be. … And in many respects Malaysia has done well. But it could have done so much better. Instead of being successful, too often Malaysia has tried to buy the ornaments of success -- the world’s tallest building, an unnecessarily large international airport, and so on. But in 2025, the one commodity that has paid for much of this -- oil -- is due to run out. By then, Malaysia’s population will have risen by more than 50% from the current level of 23 million to more than 35 million. As it is, Malaysia will become a net oil importer in 2010 if current comsumption trends continue”. (Backman, M., 2008:132).

Tidak kurang celarunya adalah bidang pendidikan yang tanpa henti menjadi sasaran kritik dan protes rakyat. Nama kementerian dirubah dari pendidikan kepada pelajaran tanpa justifikasi yang rasional, Falsafah Pendidikan Negara yang kemudian menjadi Falsafah Pendidikan Kebangsaan semakin tidak dipedulikan, protes terhadap PPSMI terus berlarut-larut tanpa pelayanan yang positif, malah digawatkan lagi dengan protes baru terhadap isu wajib lulus bahasa Inggeris dan pembatasan 10 subjek. Sebenarnya apa yang sedang terjadi adalah krisis kependidikan yang tidak hanya menyangkut soalcabang dan ranting, tetapi telah menggugat esensi pendidikan sebagai humanizing process atau proses pembinaan dan pengutuhan insan. Akibat politisasi dan komersialisasi yang berlebihan pendidikan lebih terorientasi ke arah memenuhi keperluan politik dan permintaan pasaran sehingga mengabaikan asas keinsanan. Barangkali memang beralasan apabila ada pihak yang secara sinis menyebut Kementerian Pelajaran hanya bermasud untuk mengajar, bukan mendidik. Kerana itu orientasinya more testing than educating. Krisis kependidikan tentunya membawa implikasi besar dalam pelbagai bidang lain, termasuk bidang sosial yang ketika ini banyak menimbulkan keprihatinan. Terlalu banyak masalah sosial yang sedang menggejala, terutama yang melibatkan generasi muda seperti masalah dadah, lepak, rempit, ragut, black metal dan entah apa lagi.

Jihad al-Kalimah dan Perubahan Budaya Politik


Demikianlah krisis yang membelit hampir seluruh ranah dan daerah kehidupan kita. Dalam situasi seperti ini yang diperlukan bukan sekadar transformasi setengah hati, tetapi agenda perubahan yang mendasar, perubahan yang memenuhi syarat yang ditetapkan Allah dalam surah al-Ra`d:11, perubahan dalaman yang menepati makna taghyir alnufus -- perubahan jiwa, pemikiran dan watak bangsa. Untuk itu agenda dakwah kita harus membawa misi taghyiriy-tahririy-tanwiriy (perubahan-pembebasan-pencerahan), dengan sasaran yang seluas mungkin, pemerintah dan rakyat, pemimpin dan umat. Yang harus kita bina bukan hanya rakyat yang taat, tetapi juga pemerintah yang adil. Dalam kaitan inilah perlunya usaha dan strategi reaching out yang lebih intensif kepada para pemimpin, penguasa dan pembuat dasar. Dengan demikian tertunailah amanah albalagh yang terpikul diatas bahu para da`i. Inilah juga yang dinamakan jihad alkalimah, jihad menyampaikan kata yang benar (kalimatu haqqin), dengan kata-kata yang meyakinkan (al-`iqna’). Justeru, mukjizat terbesar Rasulu ‘Llah s.`a.w. adalah mukjizat kalimah, al-Qur’an yang berisi kalimat-kalimat Tuhan (Kalamu ‘Llah); dan matlamat perjuangan para rasul dan da`i sepanjang zaman adalah untuk mendaulatkan kalimat Allah (…litakuna kalimatu ‘Llahi hiya ‘l-`ulya).

Gerakan Islam yang ingin menepati makna shumuliyyah (kesempurnaan) tidak seharusnya mengabaikan persoalan sultan (kekuasaan). Pendaulatan kalimat Allah hanya akan terlaksana dengan gandingan al-Qur’an dan al-sultan. Dalam konteks perjuangan merealisasikan cita-cita perubahan, kita harus mengusahakan wujudnya penguasa yang layak -- adil, jujur, bersih, kompeten dan komited terhadap idealisme perubahan. Untuk itu, para penguasa dan bakal penguasa harus disedarkan tentang hakikat al-sultan sebagai amanah yang harus diambil secara sah dan digunakan secara sah. Dalam kaitan ini rida al-muslimin (kerelaan, restu, mandat dan dukungan umat dan rakyat) adalah sebahagian daripada syarat yang harus dipenuhi. Dalam konteks amalan yang lazim hari ini kerelaan tersebut diperoleh menerusi proses demokrasi pilihan raya. Andainya ini hendak dinamakan perubahan politik, maka yang dimaksudkan adalah pengamalan sejenis faith based politics, mencapai kekuasaan dengan keimanan, politik beradab dan berintegriti moral, politik mission dan bukannya politik ambition..

Demokrasi sebagai wasilah dan alat merealisasikan maslahah kemanusiaan dan maqasid keagamaan harus dipelihara kemurnian dan ketulenannya, dan ini sangat ditentukan oleh manusia pengamalnya. Yang dapat dipercaya memelihara demokrasi hanyalah manusia demokrat yang jujur dan berintegriti tinggi. Demokrasi yang kadangkala dicemari pelbagai kecurangan sebenarnya bukanlah dosa demokrasi itu sendiri, tetapi angkara manusia durjana, al-mufsidun yang memang sentiasa melakukan fasad (kerosakan) walau dalam sistem apa pun. Yang penting bagi mereka adalah kekuasaan, dan untuk itu mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuk menginjak-injak demokrasi. Mungkin manusia jenis inilah antara yang dimaksudkan oleh Obama dalam pidato Kaherahnya, “This last point is important because there are some who advocate for democracy only when they are out of power; once in power, they are ruthless in suppressing the rights of others. So no matter where it takes hold, government of the people and by the people sets a single standard for all who would hold power: You must maintain your power through consent, not coercion; you must respect the rights of minorities, and participate with a spirit of tolerance and compromise; you must place the interests of your people and the legitimate workings of the political process above your party. Without these ingredients, elections alone do not make true democracy.”

Kekuasaan politik adalah sebahagian daripada amanat al-istikhlaf atau amanah pengkhalifahan. Dengan demikian segala dasar, agenda, sistem, projek dan program yang dilaksanakan harus selari dan selaras dengan misi kekhalifahan iaitu `imarat al-ard (mengimarahkan bumi) dan islah al-ard (mengislah bumi). Misi pengimarahan harus dilaksanakan dengan pembangunan fizikal-material, mengolah kekayaan alam untuk dimanfaatkan kegunaan dan keindahannya dengan ilmu, sains dan teknologi. Misi pengislahan pula harus dilaksana dengan menegakkan nilai-nilai murni keadilan, kasihsayang, kejujuran, kebijaksanaan dan seterusnya. Pembangunan yang membahagiakan adalah pembangunan yang didasari dan dijiwai nilai-nilai murni. Justeru, tanggungjawab penguasa adalah untuk membahagiakan rakyat. Peranan nilai memang cukup sentral dalam kehidupan umat, khususnya dalam konteks mencari kebahagiaan. Dalam wacana falsafah kerohanian kebahagiaan banyak dikaitkan dengan al-fada’il, sifat-sifat mulia yang dapat diertikan sebagai penghayatan nilai-nilai murni. Nilai-nilai yang dapat membahagiakan adalah nilai-nilai yang terpancar dari Nama-Nama Indah. Sesungguhnya Asma’u ‘Llahi ‘l-Husna adalah sumber nilai yang membahagiakan. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam al-Ghazaliy, bahawa kesempurnaan dan kebahagiaan seseorang itu tercapai dengan berakhlakkan akhlak Allah dan menghayati makna sifat-sifat serta nama-nama-Nya sejauh yang mampu difahaminya dan sejauh yang terdaya dalam batas kemanusiaannya. (Al-Ghazaliy, 2003:45).

Dakwah dan Cabaran: Keperluan Rethinking dan Reeducating

Untuk menjayakan peranannya sebagai agent of change para da`i tidak hanya perlu mempunyai idealime dan memahami pokok-pokok ajaran agama, tetapi juga perlu menguasai pelbagai disiplin ilmu yang relevan seperti fiqh al-taghyir (fiqh perubahan), fiqh al-awlawiyyat (fiqh keutamaan), fiqh al-maqasid (fiqh maqasid al-shari`ah), fiqh altahdir (fiqh pentamadunan), fiqh al-dawlah (fiqh kenegaraan), fiqh al-waqi` (fiqh realiti) dan lain-lainnya. Penguasaan terhadap ilmu-ilmu tersebut adalah sebahagian daripada al-tabassur untuk memungkinkannya menepati makna dakwah `ala basirah.

Para da`i juga harus mampu memberikan arah yang benar kepada fenomena perubahan yang sedang berlaku. PRU-12 misalnya, telah memperlihatkan perubahan dalam pola pengundian yang tidak lagi terkongkong dalam tembok perkauman. Fenomena baru yang disebut colour blind politics itu mengindikasikan tumbuhnya keterbukaan dan kesediaan untuk menerima kerjasama politik antara kaum berasaskan kepentingan bersama. Perkembangan ini seharusnya disikapi secara positif dan ditangani secara kreatif dengan memberikan bingkai atau kerangka politik Islami. Bertolak dari hakikat bahawa kemajmukan dan kepelbagaian, plurality dan diversity adalah realiti ciptaan Ilahi maka ia harus diterima sebagai fenomena ikhtilaf yang menjadi sebahagian daripada ayat atau tanda-tanda kebesaran Tuhan. Dengan demikian cara paling tepat menyikapinya ialah dengan ungkapan positif-optimistik: ma khalaqta hadha batilan, ia bukan suatu yang sia-sia, pluraliti sebenarnya adalah suatu kekuatan. Yang perlu dilakukan adalah penggagasan fiqh politik plural, bagaimana kepelbagaian dapat co-exist dan cooperate, ta`ayush dan ta`awun dalam kesatuan insani yang penuh tasamuh (toleransi). Jika dalam masyarakat minoriti telah lahir fiqh al-aqalliyyat, tentunya wajar pula masyarakat plural melahirkan fiqh al-ta`addudiyyah.

Perubahan yang harus ditangani memang pelbagai, bidang dan dimensinya. Tetapi terasnya adalah transformasi kemanusiaan, taghyiru ‘l-insani wa tahsinuhu (perubahan dan pembaikan insani).

Senarai Bacaan
Al-Ghazaliy, Abu Hamid Muhammad. 2003. Al-Maqsad al-Asna fi Sharh Ma`ani Asma’I ‘Llahi al-Husna. Beirut: Al-Jaffan wa al-Jabi.

Al-Ghannushiy, Rashid. 2000. Al-Harakat al-Islamiyyah wa Masalat al-Taghyir. London: Al-Markaz al-Magharibiy li al-Buhuth wa al-Tarjamah.

Al-Raysuniy, Ahmad. 2009. Al-Fikr al-Maqasidiy -- Qawa`iduhu wa Fawa’iduhu. Al-Mansurah: Dar al-Kalimah li al-Nashr wa al-Tawzi`.

Al Shaykh, Susan Salim. 2003. Idarat wa Mu`alajat al-Azmat fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Nashr li al-Jami`at.

Backman, Michael. 2008. Asia Future Shock. New York: Palgrave Macmillan.

Balqarad, Abu Ahmad Muhammad. 2007. Mafhum al-Hizbiyyah al-Siyasiyyah wa Hukmuha fi al-Islam. Al-Mansurah: Dar al-Kalimah li al-Nashr wa al-Tawzi’.

Mahbubani, Kishore. 2008. The New Asian Hemishere. New York: Public Affairs.

Rai, Vinay & William L.Simon. 2007. Think India. New York: Dutton.

Saul, John Ralston, 2005. The Collapse of Globalism and the Reinvention of the World.
London: Atlantic Books.

Zakaria, Fareed. 2008. The Post-American World. London: Allen Lane.

Mahasiswa Berjiwa Prihatin


Sumber: http://gptd.blogspot.com/2009/06/mahasiswa-berjiwa-prihatin.html


Gombak - 6 Jun 2009 / 12 Jamadilakhir 1430 H - Satu forum bersempena Perkampungan Menara Gading Kebangsaan (PMGK) telah diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Forum yang bertemakan 'Mahasiswa Berjiwa Prihatin' membariskan panel seperti saudara Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Aktivis GPTD Sri Lanka @ Penolong Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar UIA), saudara Jufitri Joha (Pengerusi GPTD) dan saudari Norakmariah Abdullah (Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)). Antara intipati forum tersebut ialah mengajak seluruh peserta PMGK untuk terus menabur bakti dalam masyarakat walaupun mereka sibuk dengan urusan pengajian masing-masing. Saudara Jufitri menekankan kepada peserta agar mempunyai 3 sifat iaitu 1.) Be the first 2.) Be different dan 3.) Continously strive.