Thursday, July 3, 2008

NC tidak halang mahasiswa dekati politik

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak menghalang penuntutnya mendekati dunia politik, sebaliknya memanfaatkannya secara positif supaya tidak hanyut dalam gelombang politik. Naib canselornya Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik dengan positif, para penuntut terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.Beliau memberitahu demikian selepas majlis sambutan 1,000 pelajar baru bagi sesi akademik 2008/2009 di Kangar hari ini.

Menurut laporan Bernama, beliau yakin penuntut UniMAP tidak akan melanggar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). "Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," katanya.

Sambil menegaskan para mahasiswa mestilah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai penuntut, beliau menyarankan mereka agar membangunkan blog sendiri sebagai saluran untuk menyatakan pandangan secara positif dan membina.Kamarudin berkata kebolehan berdebat dengan pelbagai idea bernas antara prasyarat untuk mereka muncul sebagai seorang pemimpin berkaliber pada masa depan. "Saya mahu pelajar menjadikan tiket politik ini untuk meningkatkan sahsiah diri dan kebolehan berhujah, berani bercakap dan berkomunikasi dengan baik," katanya.

Sehari bersama Fahmi....

Alhamdulillah...Syukur kepada Nya kerana masih lagi diberi nikmat oleh Allah s.w.t untuk menghirup nafas segar di alam yang cukup singkat ini..Juga tidak dilupakan nikmat Iman dan Islam.. InsyaAllah, sebagai seorang Muslim, saya mengingatkan diri saya dan juga para sahabat untuk kita memperbanyakkan rasa syukur kita kepada-Nya.


Sekarang jam menunjukkan jam 2.00pagi(3Julai08).. Izinkan saya untuk berkongsi kisah ketika mana cuti semester yang hanya berbaki beberapa hari saja lagi.Sebelum ini saya tidak berkesempatan untuk selalu 'online' kerana komputer rosak.Nasib abah meminjam laptop di sekolah.Akhirnya lahir juga blog terbaru sya ini. Sekarang telah di ubahsuai menjadi "Analisa Fahmi"


Haai.. tentu akan merindui saat-saat ketika mana tidak memikirkan sangat soal pelajaran dan lain-lain.Walaubagaimanapun, sebagai seorang mahasiswa, ini adalah masa yang terbaik untuk kita menggunakan masa yang terluang untuk memperbanyakkan ilmu dan pengalaman didada. ok... back to the story...(mungkin agak panjang dan meleret-leret. Jadi saya minta maaf awal-awal yea. Semoga anda semua mendapat manfaat dan iktibar)


Selepas menghantar adik ke sekolah (SMK Bandar- sekolah penulis Tingkatan 1-3 sebelum melanjutkan pelajaran ke MRSM JASIN) saya terus pulang ke rumah. Agak mengantuk kerana tidur lewat pada malamnya. Malam itu juga kawan-kawan ada mengajak keluar minum "Air Gelas Besar" yang agak popular di Terengganu. Ditambah dengan keropok lekor tentu sedap.Tetapi terasa agak malas untuk keluar. Sekadar mengisi malam itu dengan menonton televisyen. Rasanya bila berada dirumahlah barulah ada kelapangan untuk menonton. Disebabkan mengantuk jugalah, saya tidak dapat bersama-sama kawan-kawan untuk bermain 'basketball' pada pagi itu. Minta maaf yea..


Kebiasaannya saya di waktu pagi ialah saya akan mengemas rumah samada menyapu didalam rumah atau dihalaman.Biasalah, tiada adik atau kakak perempuan kecuali mama, semestinya semua anggota keluarga didalam rumah ini dipertanggungjawab dan telah diajar sejak dari kecil untuk bersama-sama menguruskan kerja-kerja rumah. Pada jam 10pagi, saya akan menghadap tv untuk siaran langsung sidang Parlimen.Alhamdulilah. Setelah selesai semuanya, barulah ke dapur. Minat memasak didalam diri memang ada,cumanya perlu lebih tunjuk ajar daripada mama yang tersayang. Jadi, rajin-rajinlah turun kedapur yea Fahmi..Sekadar memasak nasi,menggoreng ikan dan meyediakan lauk yang 'simple'.


Selepas itu, terus bersiap ke kedai ayah angkat ( Hj Awang) berhadapan Pejabat DYMM Sultan Terengganu. Kedai ini tidak jauh dari rumah cuma 3km sahaja. Disana sekadar berborak dengan beliau dan mendengar perbualan dan perbincangan hangat berkisarkan politik tanah air sekarang oleh kebanyakkan para pelanggan setia beliau. Sehinggakan agak lama menunggu pelanggan pulang kerana mahu menutup kedai.Jam menunjukkan 2ptg, abah telefon memberitahu supaya lekas pulang kerana baru sahaja mendapat berita kematian ibu saudara di Kuala Berang(tempat kelahiran saya). Inalilahiwainailaihirajiuun.. Sebelum ini saya dikejutkan juga dengan pemergiaan Allahyarham bapa kepada Abg Lerk di Perak baru-baru ini. (Kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah)


Ini secara tidak langsung mengingatkan kita bahawa hidup ini adalah tidak terlalu lama. Apakah bekalan yang bakal kita bawa untuk menghadap Allah S.W.T di akhirat nanti? Moga-moga kita digolongkan dalam kalangan orang yang diterima amalan oleh Nya. Allah berfirman yang bermaksud, "setiap yang bernyawa itu pasti akan mati". Oleh itu, persediaan ke arah kematian haruslah bermula dari sekarang dan kita haruslah menolak tanggapan segelintir masyarakat yang menyatakan tempoh untuk mereka kembali atau bertaubat kepada Allah adalah ketika mereka berada di usia emas. Persoalannya, adakah kita semua mengetahui bila kematian kita???


Pembangunan dapat dilihat begitu pesat sepanjang perjalanan pulang ke kampung. Sudah beberapa bulan saya tidak berkesempatan kesana. Masa yang diambil juga telah dapat dikurangkan kerana adanya pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur K.Trg-Jabor yang juga memendekkan masa ke Kuala Lumpur. Sampai disana sudah ramai orang kampung yang datang melawat dan menziarahi. Seharusnya, amalan sebegini mesti dikekalkan antara kita umat Islam selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kita. Kebanyakan warga emas dikampung ini sudah tidak mengenali saya dan inilah masa untuk saya beramah mesra dan berkenalan bersama mereka. Ada yang menyatakan "dulu kecik je..sekarang besor dari ayoh la dia nie" dalam loghat Kuala Berang.


Selepas menunaikan solat jenazah selepas solat Asar, saya melihatkan situasi yang mungkin agak pelik bagi sesetengah pihak. Ini kerana, para jemaah yang menunaikan solat akan dibahagikan wang 'derma' dari pihak keluarga si mati. Timbul persoalan di fikiran saya, Adakah kita berhak menerima wang atau derma dari keluarga si mati?(saya x amik eaa) Selain itu juga, ketika saya bersama abah menyiapkan keranda dan memasukkan sedikit tanah kedalam keranda sebelum dimasukkan jenazah, ada seorang warga emas ini bertanyakan dari mana tanah kubur ini diambil? Adakah dibahagian atas atau bawah? ini kerana dikhuatiri tanah tersebut adalah 'tanah musta'mal'. Mungkin sebahagian lagi perkara-perkara yang dibuat adalah kerana mengikut adat dan tradisi turun temurun yang mungkin agak sukar untuk diubah.( Mungkin boleh dibincangkan)

Pada malamnya, saya berkesempatan menghadiri taklimat kerana saya menjadi Hakim dalam Pertandingan Memancing Ikan Darat yang akan diadakan pada Jumaat ini. Kebetulan abah merupakan AJK Rukun Tetangga disini dan mengajak saya untuk sama-sama terlibat dengan penganjuran pertandingan ini. Sememangya, pertandingan ini ditunggu-tunggu oleh kaki pancing dan hadiah yang ditawarkan agak lumayan. Sebenarnya, saya juga berminat untuk memancing atau terlibat dengan aktiviti seperti ini seperti menjala, mencandat sotong dan lain-lain tetapi masih belum mempunyai peluang dan ruang yang sesuai untuk menujukkan bakat yang terpendam ini. InsyaAllah jika dipanjangkan umur saya akan mencubanya.

Selepas mesyuarat tersebut, pada jam 10malam,saya terus bergegas ke Bangunan UMNO di Gong Kapas. Jangan terkejut, bukannya saya 'menjadi calon' atau 'melompat parti' tetapi berkesempatan untuk bersama rakan-rakan ketika di sekolah rendah ( Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar K.Trg) untuk bermain futsal. Sudah lama tidak ber'futsal' dan peluang bermain ini digunakan dengan sebaiknya untuk menjaringkan 4gol disamping berkenalan dan berjumpa semula dengan junior-junior dan senior-senior. InsyaAllah esok malam juga akan turun padang lagi bersama-sama mereka.Alhamdulilah, syukur kepada Allah kerana banyak peluang dan nikmat yang Allah beri kepada saya pada hari ini untuk saya berfikir kembali apakah matlamat kita hidup di dunia ini. "Semoga hari ini lebih baik dari semalam" Sama-sama kita renungkan dan fikirkan.
Assalamualaikum....

Wednesday, July 2, 2008

IPTA dapat WiFi percuma 2010

Saya menyambut baik saranan Y.B Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kepada semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk menyediakan akses internet tanpa wayar menerusi sistem WiFi secara percuma di seluruh kawasan kampus masing-masing dalam tempoh dua tahun akan datang. Datuk Idris Haron berkata "Kemudahan WiFi itu merupakan kemudahan infrastruktur yang perlu disediakan universiti. Semua universiti sebenarnya telah ke arah itu (WiFi), cuma belum menyeluruh," katanya selepas merasmikan persidangan pengajian tinggi kebangsaan 2008 hari ini.


Memang tidak dinafikan kewujudan banyak IPTA pada masa ini memerlukan komitmen dari semua pihak baik dari kerajaan,pihak swasta dan pihak universiti untuk memastikan kemudahan fasiliti dan taraf pendidikan yang diperoleh mencapai standard dan piawaian antarabangsa. Tambahan pula, pihak kerajaan telah memperkenalkan rancangan Pelan Induk Pembangunan Pengajian Tinggi yang bermatlamat menjadikan Malaysia antara hub pengajian tinggi dunia. Pada masa yang sama, peruntukan kewangan adalah sangat penting dalam usaha untuk meningkatkan penggunan dan akses para pelajar kepada teknologi maklumat.


Dalam konteks pengajian saya di Taman Ilmu dan Budi ini, saya mengharapkan apabila sistem WiFi ini dilaksanakan, mahasiswa dapat menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya dalam aspek pembelajaran,rujukan dan juga penyelidikan. Sebelum ini, timbul rungutan khususnya dalam kalangan mahasiswa baik pelajar tempatan mahupun pelajar antarabangsa kerana tiada kemudahan WiFi ini secara menyeluruh di dalam kampus. Ini secara tidak langsung menjejaskan nama Universiti yang mempunyai istilah "antarabangsa" tetapi tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya ada. Pada masa yang sama,pihak Universiti juga hendaklah memastikan tiada bayaran atau caj tertentu yang dikenakan kepada mahasiswa dalam penggunaan WiFi ini.


Justeru, pemantauan berterusan adalah perlu dalam memastikan penggunaan kemudahan WiFi ini tidak digunakan pada jalan yang tidak betul. Selain itu, aspek keselamatan dan kawalan selia juga patut dititikberatkan oleh pihak Universiti. Walaupun begitu, kita seharusnya bersyukur diatas peluang dan ruang yang diberikan kepada kita kerana masih lagi mengecap kenikmatan yang dikurniakan kepda kita selama ini untuk meneruskan jihad kita untuk menuntut ilmu. Seharusnya, dengan adanya kemudahan seperti ini, mahasiswa hendaklah membuktikan keupayaan mereka dalam pelbagai bidang.

Apa nak jadi....????

Masyarakat Malaysia kebelakangan ini dikejutkan dengan situasi ketidaktentuan dalam negara kita yang kian menjadi buah mulut kebanyakan masyarakat. Isu kenaikan harga minyak dan barang yang belum selesai dan perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK ke-9 masih diperdebatkan di Parlimen.Selain dari masalah jenayah dan kebejatan sosial yang berlaku melibatkan golongan muda mudi dan tidak juga dilupakan masalah PATI yang kian meruncing.


Saya tidak bermaksud untuk mengulas berkenaan isu-isu tersebut dan ape yang menarik minat saya adalah kes terbaru melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.Laporan yang dibuat berkenaan tuduhan liwat kepada mantan Timb. Perdana Menteri, DSAI oleh pembantu khasnya Mohd Saiful Bukhari Azlan barangkali merupakan lagu lama yang didendangkan dengan irama atau versi yang baru. Agak mengejutkan bagi saya cecara peribadi kerana pernah bertemu dengan Saiful Bukhari sebelum ini. Dalam kes yang terbaru ini mengimbau ketika saya masih lagi bersekolah (Darjah 6). Ketika itu saya tidak terlibat dan mengambil tahu tentang apa yang berlaku ketika era reformasi itu dan saya mengandaikan DSAI pada ketika itu memang bersalah dan wajar dikenakan hukuman.


Tetapi, masalahnya disini apabila timbulnya pelbagai persoalan baik dikalangan rakyat mahupun masyarakat dunia luar. Sebelum ini kita didedahkan dengan tuduhan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra di atas penglibatan isteri kepada Timb. Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan beberapa orang lagi dalam pembunuhan Altantuya. Selain itu krisis dalaman UMNO sering diperdengarkan baik di dada akhbar mahupun di radio dan televisyen dan kita tidak semena-mena dikejutkan dengan laporan kes liwat DSAI ini. Ini secara tidak langsung menimbulkan pelbagai pesepsi,andaian dan tafsiran.Ada yang menyatakan tujuan laporan kes liwat ini dibuat adalah kerana rancangan DSAI untuk mendedahkan penyelewengan bahan bukti oleh Ketua Polis dan Peguam Negara ketika peristiwa pada 1998-1999. Tambahan pula DSAI mengumumkan bahawa beliau akan bertanding dalam pilihanraya kecil dan laporan kes liwat ini dibuat untuk menyekat kemaraan beliau dan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan.


Sehubungan dengan itu, adalah lebih baik bagi kita untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini. Sepatutnya kita tidak perlu menjadi hakim dalam menentukan samada kebenaran atau kepalsuan yang sedang berlaku sekarang. Adalah lebih baik untuk kita berserah kepada Allah S.W.T dan mendoakan agar pihak yang berada di tempat yang benar mendapat pembelaan yang sewajarnya.Saya sendiri mengharapkan agar kita berhati-hati dalam mendapatkan sumber dan berita-berita berkenaan kes ini. Pastikan maklumat yang diperolehi adalah tepat dan benar supaya kita dapat mengelakan fitnah dan andaian palsu. Saya mendoakan agar kestabilan politik di negara kita tetap terjamin kerana boleh jadi musuh di luar sedang gembira melihatkan situasi politik yang tidak menentu kebelakangan ini.

Tuesday, July 1, 2008

Salam Perkenalan

Assalamualaikum w.b.t. Terima kasih kepada semua kerana sudi meluangkan masa untuk menjenguk ke laman blog yang di beri nafas baru ini. Sebelum ini saya telah mempunyai blog lain iaitu "Suara Mahasiswa UIAM", tetapi malangnya setelah tidak di kemaskini menyebabkan rasa 'zouk' untuk menulis tidak kesampaian. Oleh itu saya mengambil keputusan untuk menamatkan saja blog itu dan lahirlah "PEMIKIR MUDA" pada tanggal 1 Julai 2008 ini.

ok.. macam skema pula tulisan ini.. Sebenarnya, ramai kawan-kawan dan juga abang-abang 'senior' yang menyarankan agar saya mempunyai blog yang khusus untuk sama-sama terlibat dalam pekembangan semasa baik di Malaysia mahupun dalam konteks global. Jadi, untuk menyahut seruan ini, saya akan cuba untuk memberikan yang terbaik dan istiqamah dalam aktiviti penulisan ini. Mungkin sebelum ini banyak kerenah dan alasan yang mungkin bermain yang menyebabkan idea-idea yang ade dalam fikiran tidak dikembangkan melalui penulisan. Antaranya, kemudahan internet yang tidak konsisten,tiada laptop atau PC peribadi dan lain-lain menyebabkan aktiviti bertangguh ini menjadi habit yang tidak dapat ditinggalkan. Pada masa yang sama, saya berharap juga dengan adanya blog ini, kita semua dapat berkongsi idea mahupun pendapat, berdiskusi dan bertukar-tukar fikiran dalam matlamat kita untuk membudayakan budaya ilmu. InsyaAllah.

Untuk permulaan, jika ada sebarang komen,cadangan ataupun kata-kata semangat untuk saya.. Anda semua amatlah dialu-alukan.
Saya akhiri mukaddimah saya ini dengan kata-kata dari Imam Hassan al-Bana

"Bekerjasamalah kamu dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansurlah dalam perkara yang berbeda"