Tuesday, December 22, 2009

Konsep Ta’dib: Satu penjelasan ringkas

Oleh: Faisal Abd. Aziz*

DALAM memberi takrif pendidikan secara sistimatik dan komprehensif, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan dan menjelaskan bahawa tujuan pendidikan menurut Islam adalah untuk melahirkan seorang individu manusia yang baik. Justeru, bagi beliau apa yang perlu kita tekankan dalam pendidikan adalah nilai manusia sebagai manusia sejati.

Maka, beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap individu bukan hanya penting, tetapi juga merupakan strategi yang dilihat ampuh hari ini. Mekanisme pelaksanaannya adalah dengan memberi penekanan terhadap individu yang mengimplikasikan pengetahuan tentang akal, nilai dan spiritual, dan tentang tujuan dan maksud yang sebenar kehidupan ini memandangkan akal, nilai dan spiritual adalah unsur-unsur yang diwarisi oleh setiap individu.

Lantaran itu, konsep Ta’dib yang dipelopori Syed Muhammad Naquib al- Attas merupakan suatu gagasan pendidikan dalam Islam yang bermatlamat untuk menjadikan manusia yang seutuhnya serta mempunyai kecerdasan intelektual yang berlandaskan pada moral dan agama dalam melaksanakan kewajibannya. . Hal ini dapat dilihat menerusi konsep ta’dib yang telah mencakupi konsep ilmu dan amal. Dalam konsep ini dijelaskan bahwa setelah manusia dikenalkan akan kedudukannya, ia diharapkan dapat mengamalkan ilmunya dengan baik dalam kalangan masyarakat berdasarkan nilai-nilai moral dan ajaran Islam.

Menurut Prof. Naquib al-Attas, adab adalah:

“Pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.” Pengenalan adalah ilmu; pengakuan adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu.” Keduanya sia-sia karana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan,” (SM Naquib al-Attas, Risalah untuk Kaum Muslimin, (ISTAC, 2001).

Sebagai contoh manusia yang beradab terhadap orang lain akan tahu bagaimana mengenali dan mengakui seseorang sesuai harkat dan martabatnya. Dalam masyarakat yang beradab, seorang penghibur tidak akan lebih dihormati jika dibandingkan dengan golongan ulama dan terpelajar. Begitu juga seorang wanita fasik, seharusnya ditempatkan pada tempatnya yang tidak lebih tinggi martabatnya dibandingkan muslimah yang shalihah. Itu merupakan antara contoh cabang adab kepada sesama manusia.

Al-Qur’an menegaskan bahawa contoh ideal bagi orang yang beradab adalah Nabi Muhammad s.a.w., yang disebut sebagai manusia Sempurna atau “al-insan al-kulli”. Maka, matlamat utama dalam sistem pendidikan Islam haruslah menjadi cerminan ke arah melahirkan manusia yang beradab dan sempurna.

Dalam pada itu, jika benar-benar diteliti, konsep TA’DIB adalah konsep yang paling tepat untuk pendidikan dalam Islam berbandingTarbiyyah dan Ta’lim. Menurut Syed Naqiub,”Struktur konsep Ta’dib sudah menyangkut unsur-unsur ilmu (’ilm), instruksi (ta’lim), dan pembinaan yang baik (tarbiyah), sehingga tidak perlu lagi dikatakan bahawa konsep pendidikan Islam itu adalah sebagaimana yang terdapat dalam tiga serangkai konotasi Tarbiyah-Ta’lim-Ta’dib.”

Sementara itu, beliau juga mendefiisikan orang yang terpelajar sebagai orang baik, dan ‘baik’ yang dimaksudkan di sini adalah adab dalam erti kata yang menyeluruh iaitu yang meliputi kehidupan spiritual dan material seseorang, serta yang berusaha menyemai kualiti kebaikan yang diterimanya.Oleh karena itu orang yang benar-benar terpelajar menurut perspektif Islam didefinisikan al-Attas sebagai orang yang beradab.

Dalam pada itu, seorang tokoh ulama Indonesia, Kyai Hasyim Asy’ari menyatakan bahawa Tauhid mewajibkan wujudnya iman. Barangsiapa tidak beriman, maka dia tidak bertauhid; dan iman mewajibkan syariat, maka barangsiapa yang tidak ada syariat padanya, maka dia tidak memiliki iman dan tidak bertauhid; dan syariat mewajibkan adanya adab; maka barangsiapa yang tidak beradab maka tiada syariat, tiada iman, dan tiada tauhid padanya.

Syeikh Wan Ahmad al Fathani dari Pattani, dalam kitabnya Hadiqatul Azhar war Rayahin (Terj. Oleh Wan Shaghir Abdullah ““Jadikan olehmu akan yang sekedudukan engkau itu (majlis) perhimpunan ilmu yang engkau muthalaah akan dia. Supaya mengambil guna engkau daripada segala adab dan hikmah” Dalam tulisannya, beliau menyatakan keperluan seseorang individu itu untuk secara konsisten mempunyai adab, maka antara kunci terbaik kearah penyemaian sikap tersebut adalah kewajipan untuk seseorang individu untuk sentiasa berada dalam lingkungan majlis ilmu.

Dalam realiti kehidupan kita hari ini, dunia pendidikan kita seharusnya memberi penekanan terhadap proses ta’dib, iaitu sebuah proses pendidikan yang mengarahkan para siswanya menjadi orang-orang yang beradab. Ini penting memandangkan sekiranya adab itu hilang dalam diri seseorang, maka ia akan mengakibatkankemudharatan, kezaliman, kebodohan, dan kerosakan.

Justeru itu, adab harus ditanam dalam diri seluruh manusia di segenap lapisan masyarakat, sama ada pada murid, guru, pemimpin rumah tangga, pemimpin perniagaan, pemimpin masyarakat, dan sebagainya. Sekiranya golongan yang memegang amanah untuk mengurus tadbir institusi sebagai contoh tidak beradab, maka akan terjadilah kerosakan yang lebih parah.

* Penulis merupakan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Thursday, December 3, 2009

Politik Malaysia hari Ini...



Hampir dua tahun setelah PRU12, tsunami politik kita belum reda, dan nampaknya tidak ada tanda-tanda akan reda. Setelah sembilan pilihan raya kecil – tidak lama lagi mungkin menjadi sepuluh! – suasana berkempen sentiasa membakar semangat. Kita melihat para penyokong selalu terlebih emosional, hingga berperangai macam kanak-kanak.

Perak, sebuah negeri Pakatan Rakyat (PR) berjaya dirampas oleh Barisan Nasional (BN) menerusi satu pembelotan. Ada yang kata bukan belot, tetapi dibeli. Akibatnya sidang Dewan Undangan Negeri tidak pernah berjalan dengan tenteram. Ada sahaja gangguan. Malah ada sidang bawah pokok – tidak pernah dibuat orang dalam sejarah politik moden.

Menteri Besar kata bekas Menteri Besar tidak betul. Bekas Menteri Besar pula kata Menteri Besar sekarang tidak betul. Bekas Speaker kata dia masih Speaker. Speaker kata bekas Speaker tidak ada kuasa. Lucu, juga memalukan, keduanya berebut jubah Speaker. Betul-betul macam adegan dalam filem Hindustan!


Serang-menyerang, sumpah-seranah, maki-hamun, mewarnai politik kita hampir setiap. Saya tidak perlu menyenaraikan satu persatu sejak ‘tragedi’ 8 Mac 2008 untuk menceritakan kekalutan pemain-pemain politik kita. Perhatikan sah
aja apa yang sedang berlaku seminggu dua ini, semua orang boleh melihat betapa teruknya orang kita berpolitik.



Datuk Nik Aziz Nik Mat melatah untuk kesekian kalinya dengan doa semoga Allah memusnahkan masa depan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apa perlunya Mursyidul Am Pas yang dianggap antara ulama tersohor itu berdoa demikian. Tentu sahaja pemimpin UMNO mengutuk Menteri Besar Kelantan itu sambil mendesak beliau meletak jawatan. Heboh satu Malaya.


Di Pulau Pinang, orang UMNO membuat tunjuk perasaan mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan kerana beliau dikatakan telah mungkir janji. Gambar Guan Eng dibakar setelah dicerca begitu rupa. Orang DAP menganggap tindakan penyokong UMNO itu seba gai satu keganasan.

Di Ipoh, beberapa pemimpin DAP, termasuk GuanEng dan ayahnya Kit Siang, begitu bersemangat memijak gambar tiga ADUN Perak yang berpaling tadah keluar dari PR. Beberapa NGO di Perak mengutuk perbuatan te
rsebut biadap dan mengamalkan undang-und
ang rimba. Heboh lagi.


Di Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim tiba-tiba mengharamkan kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) atas alasan bahawa kursus
anjuran kerajaan BN itu mengandungi propaganda juga me
nyemarakkan isu perkauman. Pemimpin-pemimpin UMNO/BN bertegang urat mempertah
ankan kursus BTN, sambil mengungkit bahawa satu ketika dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara orang yang menyokong kuat BTN.



MCA pula tidak habis-habis dengan krisis kepimpinan. Ada pelan damai yang gagal dilaksanakan kerana pemimpin-pemimpin yang terlibat semua keras kepala dan tidak mahu mengaku kalah. Ada desakan supaya dilakukan pemilihan semula pucuk pimpinan parti. Ada pertemuan dengan Tan Sri Muhyiddin untuk menjernihkan suasana, tetapi jalan damai kelihatan semakin buntu. Kedua kumpulan yang bertelagah mempunyai alasan-alasan sendiri untuk mempertahankan pendirian masing-masing. Ada yang kena pecat. Ada yang menangis. Krisis ini menjejaskan kestabilan BN.

Parti Progresif Penduduk (PPP) pun tidak habis-habis dengan masalah. Terkini, Presidennya, Datuk M. Kaveas mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah supaya meletakkan jawatan itu sebab beliau telah dipecat dari parti. Murugiah tidak akan melepaskan jawatan. Perlantikannya dibuat oleh PM, bukan oleh Presiden parti.



Kemudian timbul pula isu ‘Kolonel Mat’ yang dikatakan merancang konspirasi untuk menjatuhkan Nik Aziz. Kecuali Nik Aziz, semua orang menjadi tambah berserabut untuk mengetahui siapa Kolonel Mat. Orang UMNO mendesak Tok Guru menyatakan siapakah Kolonel tersebut.

Bayangkan dalam masa seminggu sahaja ada macam-macam cerita yang menunjukkan kekalutan orang-orang politik kita. Setiap hari ada sahaja hentam-menghentam dalam kalangan orang politik kita – dari pemimpin kecil di peringkat cawangan dan bahagian hingga ke pemimpin besar di peringkat pusat.

Sebahagian besar rakyat sekarang mengharapkan serang-menyerang antara orang-orang politik ini dihentikan segera. Mereka sedih, sekali gus kesal, sudah masuk dua tahun sejak Pilihan Raya Umum Ke-12, politik kita masih tidak stabil. Apabila politik kucar-kacir pentadbiran tidak akan teratur. Kita sibuk berpolitik setiap hari tetapi pentadbiran negeri-negeri banyak tidak beres.

Sampai bila pemain-pemain politik kita akan terus bertekak dan bersilat. Apakah serang-menyerang dan caci-mencaci ini akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang? Rakyat sudah bosan dengan kekalutan ini. Ketika petani, nelayan, pekerja kilang dan orang kampung bercekang mata dan berhempas pulas untuk menyara hidup dalam tekanan ekonomi yang teruk, politikus kita tidak habis-habis bertekak sama sendiri. Maka, atas nama rakyat yang telah memangkah – tidak kira apa parti – pada PRU12 lalu, hentikanlah serang-menyerang yang semakin meloyakan ini!

Wednesday, December 2, 2009

Perihal Tiga Jenis Minda

(sumber: SINAR HARIAN)
norden@sinarharian.com.my


Ketika saya menjadi siswa pada tahun 70an, seorang teman motivator telah menyampaikan sebuah madah yang amat berkesan kepada saya. Madah di dalam bahasa Inggeris itu berbunyi. “Small minds talk about people, average minds talk about issues, big minds talk about ideas.” Terjemahannya ialah, “mereka yang berminda kecil bercakap mengenai manusia, yang berminda sederhana, bercakap tentang isu, yang berminda besar, bercakap tentang idea.”

Beberapa tahun yang lalu, kemudahan Internet mempertemukan saya dengan orang yang mengucapkannya. Orangnya ialah Eleanor Roosevelt, isteri kepada Franklin D. Roosevelt, Presiden Amerika yang ke-32. Di mana dan mengapa Eleanor melahirkan madah itu tidak saya temui. Namun, saya memperoleh satu ilmu untuk mengenal jenis minda manusia.

Memang benar, manusia yang berminda kecil suka bercakap mengenai orang lain. Mereka ini mudah dikenali kerana mereka hidup di dalam paksi dan orbit seharian yang sama. Paksi dan orbit yang serupa ini dilalui hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun.

Kita lihat manusia tipikal ini melalui tabiat hariannya yang serupa. Setiap hari, dia bangun pagi untuk menggosok gigi dan mandi. Setelah sarapan, dia terus memandu kenderaannya ke pejabat. Pada waktu tengah hari, dia akan keluar makan, kemudian masuk semula ke pejabat untuk meneruskan tugas sebelum pulang tepat pada waktunya.

Sepulangnya di rumah, dia akan bersantai setelah makan malam. Tepat jam 11.00 atau 12.00 malam, dia akan masuk tidur. Pada hari esok, dia akan ulangi apa yang dilalui semalam dengan jayanya. Bukannya susah pun untuk melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali.

Putaran hidupnya yang sebegini dilalui sekurang-kurangnya lima hari seminggu. Dua hari lagi pada hujung minggu, tabiatnya berubah sedikit daripada hari-hari bekerja. Namun, jika dilihat tabiat yang dilaluinya untuk hari-hari hujung minggu, ia juga tak ubah daripada hari-hari hujung minggu sebelumnya.

Sungguh malang golongan berminda kecil ini. Oleh kerana telah mangli dengan kehidupannya yang robotik ini, mereka sendiri tidak pernah rasa yang kehidupan yang dilalui begitu menjemukan. Inilah golongan berminda kecil. Mereka hidup di dalam penjara minda masing-masing. Ia adalah kepompong fikiran yang melahirkan manusia berotak beku.

Kita boleh kenali mereka melalui cara pertuturan. Mereka berkata mengenai apa yang yang ramai orang lain tuturkan. Perbualan mereka dipenuhi basa-basi yang sudah basi. Setiap ayat yang ditutur akan disudahi dengan ha-ha-ha, yang bukannya menggambarkan kegembiraan, sebaliknya secara bawah sedar mentertawakan diri mereka sendiri.

Mereka mempunyai banyak masa. Tetapi masa untuk menceritakan mengenai hal orang lain. Kalau mereka bekerja makan gaji, mereka amat menepati masa. Tetapi hanya masa masuk dan keluar pejabat semata-mata. Jika mereka berniaga, mereka makan gaji dengan perniagaan mereka. Ertinya masuk jam 9.00 dan pulang jam 5.00 juga.

Selain daripada bercakap tentang orang lain, mereka mempunyai modal perbualan daripada sebuah sumber yang popular. Segala-galanya ada di layar kaca. Kisah ketamakan si abang terhadap harta pusaka keluarga, kebiadaban anak terhadap si ibu, keganasan rumah tangga, kecurangan suami, penipuan di dalam perniagaan dan permainan kayu tiga, kesemuanya cerita manusia yang dipandang berat oleh mereka.

Bagaimana pula kita mengenali golongan yang berminda sederhana? Mereka adalah golongan yang suka bercakap tentang isu. Pendek kata isu-isu semasa. Apa yang terbit di akhbar hari ini menjadi topik perbincangan mereka. Sama ada isu itu isu nasional, serantau mahupun antarabangsa, ia akan menjadi bahan perbualan, perbincangan dan perdebatan sesama mereka. Rasa prihatin mereka lebih hebat daripada mereka yang terlibat.

Isu-isu alam sekitar juga menjadi perhatian mereka. Daripada masalah bongkah ais yang mencair, kebakaran hutan, taufan, rebut, tsunami dan peperangan kesemuanya menjadi masalah yang mencabar minda mereka. Dahi mereka berkerut, mata mereka mencerlang, bibir mereka diketap kerana geram bila melihat kapal terbang menggugurkan bom lalu membunuh mereka yang tidak berdosa. Mereka simpati dan juga empati. Malangnya, kesemua itu mereka saksikan melalui TV sambil menggoyang kaki dan mengunyah keropok.

Golongan yang berminda besar pula sukar ditemui kerana tidak ramai yang tampil bercakap mengenai idea. Ramai orang boleh bercakap mengenai masalah polarisasi kaum, tetapi nampaknya tak ramai yang boleh mengutarakan idea-idea untuk melestarikan toleransi di antara kaum? Ramai yang boleh berhujah mengenai peri pentingnya kita kurangkan berpolitik, tetapi tak ramai yang bercakap tentang mengapa kita patut mengurangkan berpolitik? Ramai yang tahu bahaya obesiti, tetapi berapa ramaikah yang berani memperkatakan tentang tubuh yang sasa mahupun ramping kerana berdiet?

Namun, golongan yang berminda besar ini sebenarnya ramai. Kitalah mereka yang berminda besar ini! Kenapa kita tidak sedar akan golongan ini sedangkan mereka adalah kita? Ia adalah kerana, fikiran kita yang besar dan hebat ini telah dikaburi dengan herd mentality atau mentaliti ikut-ikutan. Tidak ramai yang berfikiran sebagai pembawa perubahan dan pembaharuan sedangkan inilah golongan yang teramai.

Kita berasa golongan berminda besar ini kecil kerana kita adalah silent majority atau majoriti yang senyap. Sepatutnya kita yang ramai ini menjadi 'the noisy majority' atau golongan majoriti yang riuh.

Andainya kita berani bersuara dan tidak malu bertempat, banyak sekali idea-idea kita yang boleh dilahirkan untuk mensejahterakan masyarakat dan dunia. Masalahnya, siapakah di antara kita yang berminda besar untuk memulakan gagasan the noisy majority ini?