Tuesday, September 20, 2011

PKPIM DIJEMPUT SEBAGAI PANELIS DALAM DIALOG ORANG MUDA (DOM)

19 September 2011 (AHAD):Presiden PKPIM, saudara Ahmad Fahmi b Mohd Samsudin telah dijemput menjadi ahli panel dalam Dialog Orang Muda (DOM) di Rumah Pena, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur. DOM yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA) diadakan pada setiap hari Ahad minggu ketiga sentiasa membawakan tajuk-tajuk yang sangat kritikal untuk dibincangkan. Untuk DOM kali ini, ‘’Dilema Pengajian Tinggi Negara” telah diangkat menjadi topik perbincangan.

Saudara Muhammad Lutfi Ishak sebagai moderator dialog telah mengendalikan diskusi dengan baik di samping lontaran hujah dan pandangan yang disampaikan oleh ahli panel jemputan lain iaitu saudara Mohd Firdaus Zolkifli (Mesin Cetak) dan saudara Wan Mohamad Wasif (Mantan Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM).

En. Zainal Rashid b Ahmad, Pengurus Besar Penerbitan Kandungan TV Al-Hijrah antara yang meluangkan masa untuk bersama anak muda bagi membincangkan isu pengajian tinggi ini.

Saudara Firdaus banyak bermain dengan falsafah ‘positivisme’ yang dipercayai beliau sebagai asas kepada masalah yang melanda pengajian tinggi negara. Baginya positivisme telah mengigit ilmu-ilmu lain yang ada di universiti. Sambil Fahmi mengingatkan kembali akan wahyu pertama yang menekankan tentang kepentingan ilmu sambil membahaskan peranan ulama’ dan umara’. Beliau juga menyatakan sistem pendidikan negara lebih kepada mencuba daripada mendidik (more testing than educating). Saudara Wasif tampak sinikal menyarankan agar universiti ditutup seandainya gagal memainkan peranan untuk menyelesaikan masalah masyarakat dan berpendapat universiti perlu menjadi wilayah autonomi yang bebas daripada cengkaman kerajaan.

Dialog yang mengamabil masa lebih 2 jam turut dimeriahkan dengan komen dan ulasan para penonton. En Zainal Rashid pula melemparkan pendapat yang menyatakan sistem pengajian hari ini melahirkan kekurangan mahasiswa yang kreatif. Ini berdasarkan kepada pengalaman beliau sebagai pengguna (user)yang telah lama berkecimpung di dalam bidang penyiaran.

Usai perbincangan, wakil PKPIM yang terdiri daripada saudara Muhammad Safwan, saudara Saiful Rizwan, saudara Muhamad Zikri bersama dengan saudara Ahmad Fahmi dan saudara Wan Wasif sempat meluangkan masa untuk mengadakan perbincagan bersama dengan En Zainal Rashid yang tidak lokek untuk berkongsi pengalaman bersama anak muda.

Thursday, September 15, 2011

IDEALISME GENERASI MUDA DALAM MEMAKNAI TERAS-TERAS KENEGARAAN

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Hakikat yang perlu diterima semua adalah usia Malaysia sebenarnya baru mencecah 48 tahun walaupun Malaysia juga meraikan tanggal 31 Ogos iaitu Hari Kemerdekaan yang ke 54 bersama-sama dengan sambutan hari Malaysia pada tahun ini.

Namun begitu, amat penting untuk kita menyelusuri dan menilai kembali landskap kefahaman dan kesedaran sosio-politik masyarakat sama ada masih berada dalam landasan atau tergelincir daripada akar teras kenegaraan dengan mengambil kira semangat awal pembentukan negara ini. Adakah kita bersikap apolegetik atau terperangkap dengan polemik istilah dasar kenegaraan yang bertukar setiap kali kepimpinan bertukar tangan. Lihat sahaja slogan-slogan mahupun istilah yang menjadi bahan bicara dan perbincangan merangkumi 1 Malaysia, Wawasan 2020, Masyarakat Madani, Negara Berkebajikan, Ketuanan Rakyat, Islam Hadhari hatta slogan Membangun Bersama Islam.

Realiti hari ini, iklim sosio-politik negara berada dalam proses perubahan dan penambahbaikan setelah lebih 50 tahun negara menyambut kemerdekaan. Ianya berkaitan dengan percambahan segar oreintasi pemikiran yang menggalakan perdebatan, wacana mahupun dialog, nilai-nilai teras perubahan yang diangkat baik diperingkat pemerintah atau pembangkang, sikap berpolitik yang menjurus kepada idea politik baru, keutamaan hak kepada rakyat dan beberapa perkara lain yang masih dalam fasa eksperimen sesuai dengan cabaran abad mendatang. Sudah semestinya perkara ini memerlukan kesediaan dan persiapan yang rapi sekiranya mahu berubah ataupun menerima perubahan.

Secara jelasnya, perubahan boleh berlaku dalam apa jua situasi, kaedah dan juga mekanisme yang pelbagai. Sebagai contoh, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi melalui pilihanraya setiap empat atau lima tahun sekali. Amalan demokrasi ini boleh digunakan sebaiknya oleh rakyat sebagai platform untuk menyatakan mesej perubahan. Namun begitu, perubahan yang terjadi belum dapat menentukan kemenangan secara total baik kepada individu, parti mahupun majoriti rakyat kerana pilihanraya bukanlah merupakan instrumen utama yang mutlak dalam konteks melaksankan perubahan.

Lihat sahaja kepada permasalahan yang berlarutan sejak dahulu lagi seperti gejala kemiskinan, keruntuhan akhlak dan moral, penyelewengan dan rasuah, masalah pendidikan, lambakan pengganguran dan seribu satu masalah lain yang menghimpit masyarakat hari ini. Adakah sekiranya berlaku perubahan kepimpinan maka masalah-masalah ini akan hilang? Adakah kita semua bersedia untuk berubah sekiranya ruang perubahan diberikan seluas-luasnya?

Menyedari bahawa iklim perubahan yang ada pada masa ini menuntut semua pihak untuk menggunakan gaya bahasa sesuai dengan realiti zaman dan tidak menggunakan ‘status quo’ yang dilihat sudah ketinggalan. Lantaran itu, usaha untuk membawa agenda bersama seperti mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak keistimewaan masyarakat Melayu, kedudukan Islam dalam perlembagaan perlu seiring dan sekata dengan agenda membasmi kemiskinan secara saksama, keadilan kepada semua rakyat, dasar meritokrasi, kesamarataan dan hak-hak istimewa semua kaum, dan pelbagai lagi saranan-saranan lain.

Lantas, dalam fasa menempuhi separuh abad kedua selepas kemerdekaan ini, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum wajar diberi pengiktirafan atas sumbangan dan peranan mereka kepada negara. Amalan diskriminasi kaum yang bersifat zalim dan asobiyah sempit sehingga menafikan hak orang lain perlu dicegah. Begitu juga dengan budaya fitnah memfitnah, politik wang, politik ampu dan segala rencah amalan ‘Machievallian’ perlu dikikis secara bersama. Hal ini penting kerana budaya songsang ini dilihat melatari segmen masyarakat hari ini sehingga dilihat sebagai rutin dan ritual yang tidak membawa apa-apa makna kepada pembentukan generasi mendatang.

Oleh sebab itu, janganlah akibat percaturan politik sempit kepimpinan ditampuk kekuasaan menyebabkan rakyat bawahan hancur binasa. Jika tidak dibendung, generasi muda pada hari ini akan mewarisi beban bagasi sejarah sengketa politik yang tidak berkesudahan ini. Lihat sahaja di Barat, walaupun dimomokkan dengan bawaan elemen negatif terhadap pembentukan masyarakat lain di dunia, namun dalam hal silang sengketa politik, mereka menunjukkan contoh positif sehingga dapat duduk semeja dalam kabinet kerajaan dalam merangka agenda secara bersama. Percakaran politik mereka berakhir selepas tamatnya pilihanraya dan fokus pembinaan negara adalah lebih utama tanpa mengamalkan sikap negatif seperti sikap prejudis, ketaksuban melampau dan parti sentrik.

Begitu juga dalam dunia serba moden hari ini, segelintir masyarakat telah menyalahgunakan nilai kebebasan yang diberi untuk mempertikaikan perkara-perkara asas dalam pembentukan negara ini. Lebih mengesalkan, semakin banyak ‘public opinion’ diolah, direka dan dijaja demi memastikan ia menjadi suara terbanyak lantas diiktiraf sebagai satu sumber baru yang wajar dijadikan rujukan.

Oleh yang demikian, peranan belia dan generasi muda sebagai kuasa ketiga amat penting di dalam memastikan amalan ‘check & balance’ melibatkan isu-isu kenegaraan. Golongan ini dianjurkan untuk mempertahankan sikap ‘independent’ tanpa terikat dengan mana-mana suara dan keputusan politik. Apatah lagi dalam situasi rencam dan permasalahan yang semakin membarah, generasi hari ini harus berani mengungkap idealisme murni dengan bebas dan berprinsip.

Justeru, tumpuan kepada pembentukan dan pembangunan belia atau generasi muda yang berkualiti yang mempunyai jati diri serta ketahanan mental dan fizikal perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Sebagai pewaris kepimpinan mendatang, idealisme belia yang berteraskan kepada kekuatan ilmu perlu dijadikan sandaran, dijana dan diperkasakan.

Belia perlu dikejutkan daripada igauan mimpi indah untuk kembali menyumbang bakti kepada masyarakat dan mengembalikan kegemilangan silam yang pernah mencatatkan nama belia sebagai kelompok yang banyak menyumbang ke arah perubahan masyarakat dan negara ke tahap yang lebih baik. Ini ditegaskan oleh Leopold Rosenmayr dalam bukunya, “Belia dan Masyarakat: Landasan Konsep dan Teori” yang menyatakan bahawa belia adalah kelompok yang terbukti berkuasa dengan caranya tersendiri dalam menentukan perubahan sosial masyarakat atau transformasi sosial.

Islam juga telah mengenengahkan banyak dalil mengenai peri pentingnya pembentukan generasi muda atau belia berkualiti sama ada melalui kitab suci Al-Quran, hadith mahu pun sejarah perjalanan sirah Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Dalam Surah An-Nisa’ ayat kesembilan, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan mereka seharusnya takut andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat atau keturunan yang lemah,….”

Ayat ini membuktikan betapa tanggungjawab untuk membina generasi pewaris yang kuat dan berkualiti adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan.

Kekuatan idealisme belia amat bergantung kepada sejauh mana belia mampu membudayakan dan memartabatkan ilmu di dalam kehidupan mereka. Ilmu sebagai teras pembentukan intelektualan dan daya fikir generasi muda. Malah ilmu juga akan memandu generasi ini agar berdisplin dan mampu menilai sesuatau perkara secara objektif, tidak beremosi dan tergopoh gapah. Apatah lagi setiap tindakan yang akan diambil atau apa juga bentuk perancangan yang hendak dilaksanakan mampu menatijahkan sesuatu yang lebih baik dan mempunyai impak positif.

Sayugia, budaya ilmu juga akan membentuk kerangka pemikiran belia yang lebih dinamik, rasional dan berwawasan. Sejarah telah membuktikan bagaimana gerakan belia yang telah menyumbang kepada perubahan dalam konteks masyarakat memulakan proses pembaharuan pemikiran yang tidak boleh lari daripada penguasaan ilmu.

Sebagai contoh, gerakan muda yang dipelopori oleh cendiakawan muda Islam seperti Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Al-Hadi adalah kelompok awal yang berusaha membawa pemikiran baru dalam masyarakat Melayu ketika itu dengan fahaman nasionalisme Islam bagi membangkitkan semangat menentang penjajah. Usaha mereka walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada kelompok tradisionalis sedikit sebanyak berjaya membangkitakan semangat baru kepada Melayu Islam untuk bangkit menentang penjajah.

Natijahnya, semuanya adalah bertitik tolak kepada kekuatan idealisme bertunjangkan ilmu yang menghasilkan satu perubahan pemikiran dalam masyarakat. Generasi muda akan menjadi lemah apabila mereka gagal menghayati ilmu sekali gus menyebabkan golongan ini tidak berupaya dalam berfikir dan kaku mencaturkan idea dan tindakan. Hal ini telah disokong oleh pemikir Islam terkemuka, iaitu Malik Ben Nabi yang menyifatkan kelemahan umat Islam hari ini adalah disebabkan oleh penderitaan sindrom lemah dan malas berfikir.

Pemerkasaan dan pembugaran idealisme dalam kalangan belia membolehkan peranan golongan ini lebih terarah dan dinamik khususnya dalam membangunkan masyarakat dan negara yang lebih bermakna. Malah, kekuatan idealisme ini akan memastikan golongan belia mampu mendepani zaman dengan lebih yakin dan bertenaga serta mempunyai pegangan yang kukuh berlandaskan kepada prinsip kebenaran dan keadilan sosial.

Melalui aspek kesedaran peri pentingnya kefahaman mendalami sejarah jatuh bangun sesebuah tamadun, golongan ini akan mampu menghayati dan mengisi makna kemerdekaan negara Malaysia dalam pemahaman yang lebih holistik. Lantas, menyedari tanggal 31 Ogos setiap tahun sebagai Hari Kemerdekaan maka begitu juga peri pentingnya tarikh 16 September dalam lipatan sejarah buat generasi muda khususnya belia untuk memperkukuhkan jati diri mereka bagi menggarap kekuatan daya juang, daya saing dan daya saring yang lebih utuh. Justeru itu, wajarlah generasi muda mempunyai pengarahan, cita-cita dan matlamat yang sesuai dengan aspirasi agama dan negara kerana “the youth of a nation are the trusteeof its property”.

AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Monday, September 12, 2011

PENTAFSIRAN FAKTA SEJARAH: MPN HARUS BERSIKAP ILMIAH

KENYATAAN MEDIA

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

12 SEPTEMBER 2011 / 14 SYAWAL 1432H

PENTAFSIRAN FAKTA SEJARAH: MPN HARUS BERSIKAP ILMIAH

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mempersoalkan kesimpulan Majlis Professor Negara (MPN) menerusi kenyataan akhbarnya tentang Tanah Melayu yang tidak pernah dijajah oleh British. Kenyataan akhbar tersebut dibuat oleh Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudanya, Prof. Dato’ Zainal Kling dalam sidang akhbar bersama Pengerusi MPN, Prof Emiritus Datuk Dr Zakri Abdul Hamid dan anggota-anggota jawatankuasa MPN pada 9 September 2011 yang lalu.


Majlis Professor Negara menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah, hanya dilindungi Inggeris dengan meletakkan negeri-negeri Melayu itu di bawah kekuasaan Pejabat Tanah Jajahan melalui penguasaan undang-undang Inggeris, pentadbiran bercorak Inggeris, dan ekonomi kapitalis cara Inggeris. Dalam kata lain, MPN berkesimpulan bahawa dasar ‘protectorate’ yang diamalkan Inggeris terhadap Tanah Melayu dengan meletakkan residen dan penasihat di negeri-negeri Melayu sebagai satu tujuan murni untuk melindungi dan membantu Tanah Melayu dan pemerintah Melayu untuk memerintah Tanah Air mereka.

PKPIM juga mempersoalkan kenyataan MPN yang mendakwa dasar ‘protectorate’ Inggeris sebagai tidak mencabuli kedaulatan negeri-negeri Tanah Melayu. PKPIM merasakan kenyataan MPN sebagai keliru dan tidak objektif apabila MPN dilihat gagal memberi tafsiran yang lengkap dan memuaskan tentang konsep ‘kedaulatan negara’. Ini jelas dalam kenyataannya yang mendakwa bahawa walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak dibawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara. Malah, tesis baru MPN ini kelihatan seolah-olah mengiktiraf Kerajaan Kolonial Inggeris sebagai wira pelindung Tanah Melayu dan menafikan perjuangan rakyat dalam menuntut kemerdekaan Tanah Air sendiri daripada Kerajaan Kolonial Inggeris yang memang dikenali dunia sebagai antara kuasa besar penjajah ketika itu.

Dalam hal ini, PKPIM sangat bersetuju dengan Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan dalam karya ilmiah terbaru beliau berjudul Historical Fact and Fiction (2011) bahawa fakta sejarah seharusnya diteliti secara menyeluruh dengan mengambilkira nilai-nilai dan salingkaitan antara fakta sejarah sehingga membentuk satu rangkaian kesimpulan yang bermakna. PKPIM juga meyakini seseorang sejarawan bukan sekadar mampu mengutip fakta-fakta sejarah tetapi juga harus punya kekuatan akliyah bagi mentafsir bahan sejarah dengan mendalam dan tepat.

PKPIM berpandangan kenyataan akhbar yang dibuat MPN itu tidak boleh dipandang sebagai bernilai ilmiah. Amatlah malang bagi negara ini sekiranya para ilmuwan kita gagal memahami metod penelitian sejarah secara objektif dan ilmiah. Sesuatu fakta sejarah haruslah melalui proses-proses penelitian seperti heuristik, verifikasi, interprestasi dan historiografi sepertimana lazimnya dilaksanakan oleh para ilmuwan dan pengkaji sejarah yang berwibawa. Justeru, mewakili golongan pelajar dan mahasiswa di Malaysia, PKPIM menuntut MPN untuk menarik balik kenyataan yang mengelirukan ini dan menghasilkan penulisan ilmiah yang lengkap dan bernilai akademik dalam mengemukakan tesis mereka berhubung isu ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan, PKPIM juga meminta semua pihak termasuklah ahli politik supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang melibatkan fakta dan sejarah. Dalam kemeriahan semua pihak untuk menjuarai isu membincangkan tema sejarah tanah air yang pada dasarnya dilihat amat positif dalam proses pemahaman asas-asas kenegaraan, mereka juga harus bertanggungjawab di atas kenyataan yang dikeluarkan sekiranya menimbulkan keraguaan dan kekeliruan kepada masyarakat.

Justeru, PKPIM mengingatkan kepada mereka yang berkenaan agar merujuk terlebih dahulu kepada mereka yang pakar dan berdasarkan sumber yang sahih dan tidak mengeluarkan kenyataan melulu dan songsang yang boleh menimbulkan polemik dan masalah runcitan.


AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN

PRESIDEN

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM

Sunday, September 11, 2011

Idealisme, Aktivisme, dan Intelektualisme Gerakan Mahasiswa

Dalam kesibukan memenuhi undangan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai bersempena bulan Syawal dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, golongan pelajar merupakan golongan yang sibuk dalam menghadapi persediaan sama ada persiapan menduduki peperiksaan UPSR bagi pelajar sekolah rendah dan peperiksaan percubaan SPM bagi pelajar sekolah menengah. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga berjaya kepada adik-adik yang sedang berjuang menghadapi musim peperiksaan ini.

Tidak dilupakan juga kepada golongan pelajar yang akan bergelar sebagai mahasiswa yang sedang mengikuti minggu orientasi atau minggu taaruf di universiti masing-masing. Ahlan wassahlan wa marhaban bikum dan selamat datang diucapkan kepada semua pelajar baru yang berdaftar pada kemasukan kali ini. PKPIM amat mengalu-alukan kedatangan para pelajar sebagai keluarga baru IPT. Tahniah kerana kalian sedang dalam proses melangkah ke arah fasa baru kehidupan yang akan mencorakkan hala tuju masa depan anda kelak.

Sesungguhnya, kesyukuran kepada Ilahi perlu diperbanyakkan memandangkan anda merupakan insan yang terpilih berdasarkan kepada kejayaan menempatkan diri di menara gading. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun ini sebanyak 41,267 kekosongan yang boleh disii oleh calon yang memohon di seluruh Negara berbanding sebanyak 64,703 calon yang memohon tempat untuk mengikuti Program Ijazah Pertama bagi sesi akademik 2011/2012 di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada kali ini.

Namun demikian, amanah ilmu yang bakal dipikul oleh mahasiswa perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Amanah ini tertakluk kepada mahasiswa baru mahupun mahasiswa lama yang baru menghabiskan percutian panjang akibat perubahan waktu sesi pembelajaran IPT pada tahun ini. Justeru, persediaan dan pembentukan ‘mind setting’ perlu digerakkan seoptimum mungkin memandangkan suasana pembelajaran di universiti sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini di bangku sekolah. Mahasiswa perlu cemerlang dalam pelbagai aspek terutamanya di dalam bidang akademik dan sahsiah.

Mahasiswa perlu berdikari dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam menempuh proses pembelajaran di menara gading. Pergantungan mutlak mahasiswa kepada nota dan suapan maklumat para pensyarah semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan cemerlang akademik mahasiswa. Justeru, perlunya ada perubahan pendekatan dalam tindak tanduk mahasiswa supaya tidak hanya berjumpa pensyarah untuk menghantar kerja dan tugasan malahan mengambil peluang berjumpa pensyarah untuk bertukar-tukar pandangan dalam membincangkan beberapa isu yang melibatkan soal dasar dan polisi atau melibatkan isu-isu semasa dalam dan luar negara. Selain itu, bahan bacaan mahasiswa perlu menjangkaui ruang lingkup bidang yang dipelajari dan tidak hanya terikat kepada nota-nota kuliah tetapi mahasiswa perlu didedahkan dengan bahan bacaan yang bertemakan falsafah, pemikiran dan karya-karya utama dunia tokoh-tokoh terkenal dunia.

Dalam mendepani realiti semasa yang semakin ruwet dan mencabar memerlukan persediaan dan ketahanan yang ampuh dalam kalangan mahasiswa memandangkan terdapat banyak cabaran dan permasalahan semasa yang menyelubungi dunia hari ini. Sebagai contoh, pertembungan aliran pemikiran, krisis identiti, kecelaruan budaya, dan budaya hedonisme yang membarah merupakan cabaran semasa yang perlu ditangani secara hikmah oleh mahasiswa.

Justeru, mahasiswa perlu untuk menyiapkan diri dengan mengadunkan elemen Idealisme, Aktivisme, dan Intelektualisme dalam diri masing-masing. Elemen-elemen ini harus diadun secara seimbang, komprehensif dan bersepadu dalam mendidik dan membangunkan generasi mahasiswa yang diharapkan mampu mewarnai corak kepimpinan Negara akan datang.

Idealisme (Ketinggian Pemikiran) merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati lagi diamali. Ia berasaskan kepada dua perkara pokok iaitu Al-Amru bil Makruf atau kecintaan terhadap prinsip kebenaran, keadilan dan keharmonian dan yang kedua ialah Wan Nahyu ‘anil Mungkar atau kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kekacauan.

Aktivisme (kesungguhan usaha) pula merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan suatu proses yang harus berlandaskan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak negatif yang lebih memudaratkan. Melalui aktivisme inilah, akan lahirnya mahasiswa yang berintikan semangat pengorbanan dan perjuangan serta mempunyai nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi.

Melalui Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaaan) 2008, kerajaan telah membuka ruang seluas-luasnya kepada mahasiswa untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti persatuan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang bernaung di bawah Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dalam elemen Intelektualisme (Keluasan Ilmu), ianya tidak hanya merujuk mahupun tergantung kepada kehebatan mahasiswa dalam memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan atau mempunyai angka yang tinggi di dalam sistem CGPA. Elemen intelektualisme ini bukan juga terbangun di atas kecenderungan mahasiswa untuk menjadi ulat buku dengan mengasingkan diri daripada cuba memahami dan menelaah apa yang berlaku di sekelilingnya.

Tetapi intelektualisme adalah satu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktivitri yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kritis sehingga berupaya mencetuskan idea-idea baru sekaligus menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan yang praktis.

Akhirnya, sekiranya kesemua elemen Idealisme, Aktivisme, dan Intelektualisme ini dibudayakan di peringkat mahasiswa, PKPIM yakin dan percaya bahawa masalah pengganguran dan ketidakboleh pasaran graduan tidak akan berlaku. Ini kerana, elemen yang dibudayakan ini turut mencakupi latihan kepimpinan, soft-skills dan ilmu-ilmu tambahan yang diperolehi di luar bilik kuliah. Mengambil kata-kata hikmah Almarhum Bapak Nasir mantan Perana Menteri Indonesia, beliau ada menyebutkan bahawa:

“Tiada percetakan dalam kepimpinan. (lantaran) pemimpin tidak lahir di bilik kuliah (formal institution) tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol di kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat.”


AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Saturday, September 10, 2011

KENYATAAN MEDIA:PKPIM MENDESAK AGAR KERAJAAN KOTAKAN JANJI MA

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
10 SEPTEMBER 2011 / 12 SYAWAL 1432H


PKPIM MENDESAK AGAR KERAJAAN KOTAKAN JANJI MANSUHKAN PPSMI

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran bertegas untuk terus mempertahankan keputusan yang dicapai dan mengotakan janji untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebelum ini, pihak kerajaan telah memutuskan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, cadangan Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan memberi autonomi kepada sekolah untuk memilih sama ada menggunakan Bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik adalah sangat mengejutkan. PKPIM menganggap keputusan Kabinet yang diumumkan sebelum ini tidak dipandang secara serius oleh kerajaan dan keputusan ini boleh berubah pada bila-bila masa memandangkan terdapatnya usaha-usaha pihak tertentu seperti Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) yang mahu mempengaruhi pihak kerajaan secara konsisten untuk memastikan pemansuhan dasar berkenaan ditarik balik.

Dengan ini, PKPIM mengulangi pendirian membantah dan menolak PPSMI. PKPIM menuntut agar pihak kerajaan tidak tunduk dengan desakan sesetengah pihak yang mewakili suara individu dan minoriti yang mahukan dasar PPSMI dikembalikan. Sudah jelas betapa PPSMI bukan hanya mengancam kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang dilindungi kedudukannya oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran, bahkan mengancam masa depan pelajar dan hala tuju pendidikan Malaysia. PKPIM komited memperjuangkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Pendidikan.

Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menyokong pandangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zakarshi yang mengkritik dan mempersoalkan kajian yang dilakasanakan oleh Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berkenaan 50% ibu bapa yang mahukan dasar PPSMI ini diteruskan. Dapatan yang diperolehi oleh JMM ini tidak melambangkan hasrat sebenar majoriti rakyat yang menolak dasar ini.Hal ini disokong dengan adanya kajian ilmiah oleh pelbagai pihak yang merangkumi seluruh negara mengenai keberkesanan pelaksanaan PPSMI ini. Keputusan dan rumusan kajian yang telah dilaksanakan ini menunjukkan keputusan sebaliknya selepas dasar ini diperkenalkan kerajaan dalam keadaan tergesa-gesa.

PKPIM juga ingin merakamkan kesedihan dan ucapan takziah kepada kaum keluarga dan sahabat handai Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad, tokoh pejuang bahasa yang konsisten dalam memperjuangkan agar dasar PPSMI ini ditamatkan. Mewakili suara generasi muda di Malaysia, PKPIM bertegas bahawa semangat perjuangan Allahyarham dan para cendekiawan dalam memastikan fungsi dan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan akan dikembalikan semula pada tempatnya.
AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

SEKRETARIAT PKPIM PUSAT,
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah,
Batu 6 1/2 , Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Emel: pkpim_spp@yahoo.com
fahmi.iium@gmail.com

Laman Sawang: www.pkpim.org.my

Dilema Nisbah Tidak Seimbang Pelajar IPT

Saban tahun Negara akan dikejutkan dengan isu nisbah tidak seimbang apabila bermulanya sesi kemasukan mahasiswa baru ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Hakikatnya, jumlah pelajar wanita meneruskan pengajian di IPT jauh lebih ramai berbanding pelajar lelaki sudah menjadi fenomena sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini diakui oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengatakan bahawa nisbah antara bilangan pelajar lelaki dan wanita di beberapa buah universiti untuk kemasukan sesi ini adalah sebanyak 30:70 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 33:67 di Universiti Putra Malaysia (UPM.

Walaupun terdapat pandangan yang mengatakan perkara ini tidak begitu membimbangkan tetapi jurang tidak seimbang bilangan antara pelajar lelaki dan perempuan akan memberikan implikasi jangka masa panjang sekiranya langkah-langkah kawalan dan tindakan bersepadu semua pihak tidak dilaksanakan.

Persoalan yang boleh diajukan disini adalah ke manakah perginya pelajar lelaki selepas mereka tamat menduduki Sijil Pelajaran Malasyia (SPM)? Tidak mustahil, majoriti pelajar lelaki ini berada dalam persimpangan selepas tamatnya alam persekolahan atau mereka ini mempunyai pertimbangan tersendiri dalam menentukan hala tuju samada terus menimba ilmu di menara gading atau membiarkan diri mereka hilang ditelan arus kehidupan tanpa mempunyai perancangan yang bersifat jangka masa panjang. Realiti hari ini di kampus, bagi pelajar lelaki yang mendapat keputusan yang baik dan diterima masuk ke IPT pasti akan mendapati diri mereka tenggelam di tengah ribuan pelajar wanita.

Justeru, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama pihak universiti perlu melaksanakan kajian khusus dalam mencari punca dan mencari kaedah penyelesaian konkrit dalam menyelesaikan persoalan ke mana perginya pelajar lelaki lepasan alam persekolahan ini. Memang benar sesetengah daripada mereka mengambil jurusan vokasional dan teknikal tetapi rata-rata mereka hanya sekadar mempunyai kelulusan sijil atau diploma. Malahan, terdapat juga sebahagian daripada golongan ini mengambil langkah memenuhi kekosongan tempat di pusat serenti berbanding peluang yang diberikan kerajaan untuk memasuki dunia kampus dan tidak kurang juga yang terus memasuki pasaran buruh sebagai tenaga kerja tidak berkemahiran tinggi.

Lebih malang lagi apabila golongan ini pada masa akan datang hanya kekal sebagai pekerja yang berpendapatan rendah kerana kegagalan mereka mengambil walaupun kursus kemahiran atau separa professional secara sambilan walaupun peluang sentiasa terbuka dengan kewujudan begitu banyak institusi swasta dan juga sokongan kerajaan dalam memastikan modal insan yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi.

Sayugia, jika nisbah ini dibiarkan dan kehadiran 70 peratus pelajar wanita di IPT ini berterusan saban tahun, ianya pasti mendatangkan beberapa implikasi dan kesan buruk yang bersifat jangka panjang khususnya apabila golongan ini akan menguasai kerjaya professional dan jawatan penting dalam sector awam kelak. Dengan pendapatan yang lebih besar, keadaan tidak sekufu dalam alam rumah tangga juga akan berlaku dan akan menimbulkan konflik kekeluargaan.

Justeru, langkah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) merangka program untuk menarik lebih ramai pelajar lelaki meneruskan pengajian di universiti bagi merapatkan jurang dan membaiki aliran nisbah tidak seimbang wajar disokong dan didokong oleh kesemua pihak. Selain daripada itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai sebuah organisasi pelajar di peringkat kebangsaan konsisten dalam menganjurkan Program Menara Gading (PMG) diperingkat negeri dan kebangsaan di IPT-IPT terpilih di Malaysia.

Matlamat utama program tahunan ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan awal dan bimbingan tentang realiti kehidupan dan pembelajaran di alam kampus kepada para pelajar lepasan SPM dan STPM. Program seperti ini terbukti berjaya memandangkan kesemua peserta lelaki dan wanita yang mengikuti program ini telah menempatkan diri di alam kampus.

Seharusnya, para pelajar di peringkat awal perlu diberikan pendedahan awal berkenaan alam kampus dan disuntik semangat mahu berlumba-lumba bagi menyaingi dan merebut kekosongan di IPT. Golongan ini juga perlu diberi dorongan motivasi berkenaan peri pentingnya penerusan pembelajaran di menara gading.


AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
871112-11-5181
013-2226925

Sekretariat PKPIM Pusat,
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah,
Batu 6 1/2 , Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.