Thursday, March 18, 2010

PKPIM anjur Forum Mahasiswa Menggugat:Antara Realiti dan Fantasi di Universiti Malaya

Pada 11 Mac 2010(Khamis) bertempat di Dewan Kuliah F Fakulti Sastera Sains Sosial ,Universiti Malaya ,PKPIM telah menganjurkan Forum Mahasiswa Menggugat:Antara Realiti dan Fantasi .Forum ini menampilkan 3 orang ahli panel yang berwibawa iaitu Dato Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ,Prof Dr Redzuan Osman,Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya , dan Profesor Dato Paduka Mohamad Abu Bakar,penulis buku Mahasiswa Menggugat yang juga merupakan mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya . Abu Qasim Azmi,Naib Presiden Antarabangsa PKPIM telah menjadi moderator bagi forum yang dihadiri lebih 120 orang.Turut hadir ialah Presiden ABIM(Mohamad Razak Idris) dan juga Prof Madya Shaharudin Badarudin,mantan Timbalan Presiden ABIM.

Program forum ini dimulai dengan tayangan video sajak mahasiswa oleh Allahyarhan WS Rendra(Penyair terkenal Indonesia),Slide pengenalan PKPIM,sejarah PKPIM dan program –program anjuran PKPIM.
Dalam ucapan alu-aluannya, Presiden PKPIM,Mohamad Faisal Abdul Aziz mengatakan siri forum Mahasiswa Menggugat ini diadakan demi memberi nafas baru perjuangan mahasiswa .Beliau juga mengajak para mahasiswa supaya menyeimbangkan idealisma mahasiswa antara bersifat idealis dan realis dan juga menekankan kepentingan konsisten dalam perjuangan, dan bercita-cita besar .Di samping itu juga,mahasiswa perlu ada praktikal idealisme disamping intelektualisme dengan perlu memperbanyakkan forum dan wacana,serta menjadi intelektual massa dengan kemampuan menggerakkan massa dan bukan sekadar menjadi pemikir konseptual semata-mata .

Mahasiswa menurut beliau, perlu merakyatkan idea-idea besar dari tokoh-tokoh besar dan gelanggang perjuangan mahasiswa bukan sahaja di dalam kampus bahkan juga di luar kampus.Mahasiswa juga perlu menjadi suara hati dan ,mata-telinga buat masyarakat dan Presiden PKPIM juga mengingatkan para hadirin dalam forum ini tentang gerakan mahasiswa sebagai gerakan pembela,’third force’ selepas parti pemerintah dan parti pembangkang

Prof Mohamad Abu Bakar pula menceritakan sejarah penulisan buku Mahasiswa Menggugat yang masih menjadi buku utama rujukan tentang gerakan mahasiswa.Menurut Prof Mohamad Abu Bakar ,beliau menulis buku Mahasiswa Menggugat sewaktu menjadi tutor di Universiti Malaya dan ketika itu pihak syarikat penerbitan agak takut risiko untuk menerbitkan bukunya ini sehinggalah Pustaka Antara yang sewaktu itu editornya,seorang pejuang, Ahmad Boestaman berani menerbitkannya.

Prof Mohamad Abu Bakar mendapat dorongan Ahmad Boestaman dengan kerjasama Allahyarham Sasterawan Negara Arenawati yang bertugas di Pustaka Antara.Dalam forum ini,beliau menyorot sejarah Universiti Malaya dimana Universiti Malaya merupakan satu-satunya kampus universiti di tanah air dahulu dan bagaimana mahasiswa Universiti Malaya mudah mendapat liputan media berkenaan isu demonstrasi kampus misalnya dan diluar kampus.Apa sahaja yang mereka lakukan mendapat sorotan media, secara meluas.

Bagi Prof Mohamad Abu Bakar ,mahasiswa sekarang memerlukan pergerakan jauh berlipat ganda dari mahasiswa 70 an terutamanya dari aspek asahan minda dengan pengisian program –program intelektual dan bagi beliau juga tidak semestinya mahasiswa sekadar berdemonstrasi untuk menyerlah.Beliau juga mengambil contoh bagaimana mahasiswa di Universiti Oxford dan Cambridge yang agak popular dengan aktiviti debat,berkayak dan lain-lain lagi.

Prof Mohamad Abu Bakar juga menekankan keperluan menggalakan pembacaan dan diskusi di kalangan mahasiswa dan bagi beliau ‘gugatan intelektual ‘semakin hilang di pentas kampus sekarang dengan pembacaan buku-akhbar dikalangan mahasiswa sekarang yang semakin merosot .
Beliau juga membawa kisah bagaimana suatu masa dahulu, Universiti Malaya pernah menjemput orang politik(pemerintah dan juga pembangkang seperti Ghazali Shafie, Mahathir Mohamad,Nik Abdul Aziz) dalam siri-siri diskusi di Universiti Malaya.

Prof Redzuan Osman pula turut menyorot kisah tahun 70 an dimana tokoh politik pembangkang seperti Abdul Hadi Awang dibenarkan masuk kampus untuk hadir berhadapan dengan para mahasiswa.Bagi Prof Redzuan Osman ,tidak ramai menteri atau timbalan menteri sekarang yang berani berhadapan dengan mahasiswa dan beliau memuji Dato Saifuddin Abdullah,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang agak terbuka dan banyak membuat perubahan serta berani berhadapan dengan para mahasiswa.

Prof Redzuan Osman mengupas tentang Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) yang selepas digubalkan sangat mengganas dan mengekang pergerakan mahasiswa.Bagaimanapun beliau menyeru para mahasiswa agar tidak takut AUKU seperti takut hantu dan mengatakan AUKU hanyalah akta buatan manusia.

Beliau juga membawa kisah benar bagaimana wujud pelajar cemerlang yang mempunyai pointer 3.7 ke atas tetapi pada pandangan beliau sama sekali tidak layak untuk menjadi pensyarah kerana gagal berkomunikasi dengan pelajar.Prof Redzuan Osman menasihatkan para mahasiswa supaya turut cemerlang dalam akademik dan dalam kepimpinan,

Prof Redzuan Osman melahirkan rasa kecewa dengan sikap mahasiswa sekarang yang menurut beliau ramai yang tidak bercakap atau bertanya waktu tutorial dan kuliah serta hadir ke kuliah atau tutorial untuk sekadar mendengar,serta tidak bersedia untuk berhujah.Bagi beliau juga para mahasiswa perlu memanfaatkan segala ruang yang disediakan dalam keadaan kampus universiti yang semakin terbuka .

Dato Saifudin Abdullah pula menimbulkan persoalan bagaimana mengembalikan ruh gerakan mahasiswa dan ruh universiti.Beliau juga menyatakan kita kekurangan rujukan buku yang baik tentang gerakan mahasiswa.
Menurut pandangan Dato Saifuddin Abdullah ,mahasiswa tidak boleh menggugat kalau bukan melalui satu gerakan dan 3 rukun gerakan mahasiswa yang sangat ditekankan beliau ialah persoalan idealisme,intelektualisme,
dan aktivisme .

Beliau menggesa para mahasiswa agar cinta pada ilmu dan membawa persoalan apakah maksud budaya ilmu dan intelektual.Beliau juga mengupas tentang peranan Aktivisme dalam merealisasasikan idealisme menjadi konkrit .

Tatkala bicara tentang mahasiswa menggugat,beliau sekali lagi membawa persoalan tentang mahasiswa menggugat itu ingin menggugat apa.orang?menteri,?organisasi?HEP?KPT?,ataupun menggugat amalan buruk,rasuah,kebejatan,kebobrokan?

Di samping itu juga ,Dato Saifuddin Abdullah membicarakan tentang sudut pidato dimana beliau menekankan peranan HEP agar mempunyai halatuju yang betul serta memahami matlamat kewujudan sudut pidato.Bagi beliau tidak perlu banyak undang-undang atau arahan dalam melaksanakan sudut pidato dan mahasiswa perlu dibiarkan bebas mengendalikan sudut pidato ini,berfikir sendiri dan menentukan halatuju kampus sendiri.

Beliau turut menyokong autonami university dan menghuraikan antara kuasa sebenar yang menghalang autonami university ini ialahn Lembaga Pengarah Universiti .

Dato Saifuddin Abdullah juga menjelaskan bahawa mahasiswa boleh dan bebas mengkritik kerajaan, dan menegaskan juga bahawa tidak perlu kita melabel para pengkritik kerajaan tersebut sebagai pembangkang.Beliau menyeru para mahasiswa agar memperbetulkan apa yang dirasakan tidak betul dan mengatakankan untuk tujuan tersebut memerlukan keberanian,dan bertindak secara berjemaah .

Penganjuran forum Mahasiswa Menggugat ini telah membuka mata,menyuntik motivasi dan membangkitkan semangat juang para mahasiswa yang hadir dan kita mengharapkan mahasiswa seluruh kampus universiti di Malaysia agar terus menggugat!