Friday, November 25, 2011

PKPIM SAMBUT BAIK PENGUMUMAN PM UNTUK PINDA AUKU

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang akan membenarkan penuntut berusia 21 tahun menyertai parti poliltik sewaktu beliau membentangkan usul bagi pembatalan Proklamasi Darurat mengikut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat semalam.

PKPIM juga merasakan pengumuman bersejarah bagi gerakan mahasiswa ini menunjukkan usaha serius pihak kerajaan memahami kehendak dan aspirasi generasi mahasiswa berdasarkan kepada realiti semasa dari kalangan pimpinan negara termasuk bayangan awal Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggambarkan kesediaan kerajaan untuk meminda akta ini baru-baru ini. Pengumuman ini juga dilihat bertetapan dengan agenda transformasi politik yang dibawa oleh Perdana Menteri dan juga mengambil semangat dan iltizam kerajaan dalam membuat keputusan memansuhkan akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

PKPIM melihat adalah lebih baik sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 15(5)(a) AUKU sebagai tidak sah. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan iltizam dan komitmen sebenar kerajaan dalam bersikap terbuka dan berjiwa besar dalam menangani isu ini. PKPIM memandang bahawa keputusan mahkamah ini tidak harus dilihat daripada aspek pihak mana yang menang dan pihak mana yang kalah, sebaliknya hendaklah meliputi persoalan moral dan intelektual di sebaliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, mahasiswa perlu menyambut baik ruang yang diberikan oleh kerajaan dalam hal ini. Kajian yang dilaksanakan oleh Merdeka Center kepada generasi muda berumur 21 tahun ke atas menunjukkan lebih 60% responden masih belum mendaftar sebagai pengundi manakala statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan lebih 4 juta golongan muda yang layak tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai seorang warganegara.

PKPIM merasakan, sudah sampai masanya pendidikan dan kesedaran politik perlu diberi penekanan secara menyeluruh kepada golongan mahasiswa di universiti supaya pemahaman mereka tidak hanya memahami politik dalam konteks kepartian semata-mata. Dalam pada masa yang sama universiti juga sebagai sebuah institusi pengajian tinggi harus selamanya non-partisan dan perlu dianggap sebagai the last bastion, kubu terakhir tradisi keintelektualan dan tidak ikut terseret menjadi korban politisasi dan ditundukkan kepada kepentingan kepartian sempit. Sekiranya berlaku, PKPIM menganggap bahawa universiti akan segera kehilangan kekuatan meritokrtiknya dan kehilangan misi keintelektualannya.

PKPIM berharap dengan pindaan Seksyen 15 dan pindaan sedia ada pada tahun 2009 AUKU ini akan memberikan kefahamam holistik dan dapat menggarap semula daya intelektual, kepimpinan, kritis dan kreatif mahasiswa untuk terlibat sama dalam memahami, membela dan membina masyarakat yang mana sebelum ini kegiatan organisasi mahasiswa sebelum ini hanya disempitkan kepada perkara-perkara yang berbentuk kebajikan (welfare) semata-mata yang secara tidak langsung menyebabkan kebanyakan mahasiswa menjadi beku, gusar dan membisu terhadap isu-isu masyarakat.

AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Thursday, November 10, 2011

PKPIM Sahut Saranan & Cabaran Timbalan Perdana Menteri

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
10 NOVEMBER 2011 / 14 ZULHIJJAH 1432H

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyahut saranan dan cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran yang telah memberi pandangan pada sesi soal jawab sempena Konvensyen Integriti Nasional di Putarajaya, hari ini. Beliau berpendapat Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) boleh dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa digagahi oleh pihak lain.

PKPIM merasakan bahawa sudah tiba masanya mahasiswa di menara gading diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk menunjukkan kematangan dan kebolehan mereka berpolitik sesuai dengan realiti dan kehendak semasa. Sebagai generasi pelapis kepimpinan masa depan, mahasiswa tidak harus terpisah dari arus perkembangan politik semasa. PKPIM menganggap politik adalah sebagai satu cabang ilmu bukanlah satu pengetahuan untuk golongan dewasa semata-mata dan harus dipisahkan dari pemikiran mahasiswa.

PKPIM melihat senario terkini dalam negara memperlihatkan sikap jumud dan sinis dari kalangan pimpinan negara apabila mengkritik dan membidas dengan keras terhadap mahasiswa yang terlibat dalam kegiatan politik kecuali beberapa kerat pimpinan politik dari Barisan Nasional yang dilihat konsisten dalam isu mahasiswa ini.

PKPIM ingin mengesyorkan supaya mahasiswa dibenarkan untuk terlibat di dalam kegiatan politik sebagai mengiktiraf kematangan dan kewarasan mahasiswa sebagai kelompok berilmu selain memenuhi hak sebagai warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan memeriahkan demokrasi Malaysia dengan meluaskan dan meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam struktur dan proses membuat keputusan. PKPIM juga percaya bahawa mahasiswa hari ini akan menyahut cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan membuktikan bahawa mahasiswa sudah pandai menilai dan tahu membezakan baik dan buruk di dalam sistem politik negara.

PKPIM juga berpendapat, sekiranya budaya menyekat mahasiswa dari terlibat dengan isu-isu pemikiran politik seolah-olah memperlekehkan sistem pendidikan negara sendiri yang berusaha melahirkan generasi mahasiswa yang rasional, patriotik dan matang. Mahasiswa seharusnya diberi kebebasan dan budaya takut ini harus dikikis bagi membentuk satu budaya baru dan minat yang tinggi terhadap perkembangan politik kenegaraan di kalangan mahasiswa.

Justeru, PKPIM mengusulkan kerajaan mempertimbangkan secara serius untuk meminda beberapa peruntukan di dalam AUKU khususnya Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selaras dengan agenda transformasi politik yang dibawa Perdana Menteri dan juga mengambil semangat dan iltizam kerajaan dalam membuat keputusan memansuhkan akta drakonian lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Friday, November 4, 2011

PKPIM SAMBUT BAIK POLIS HARAMKAN SEKSUALITI MERDEKA

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
3 NOVEMBER 2011 / 7 ZULHIJJAH 1432H

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pengumuman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti ‘Seksualiti Merdeka' yang dijadualkan pada 9 hingga 13 November ini. Seksualiti Merdeka 2011 adalah bertujuan untuk menyokong dan memperkasa golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

Sehubungan dengan itu, PKPIM memberi amaran kepada pihak penganjur supaya akur dan membatalkan festival yang bakal diisi dengan forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan ini dengan segera dengan mengambil kira desakan dan tentangan keras yang telah dibuat oleh banyak pihak yang membantah penganjuran program songsang ini.

PKPIM juga meminta supaya pihak penganjur untuk memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana ianya jelas sama sekali bertentangan dengan norma budaya dan realiti kehidupan beragama yang berlandaskan kepada nilai ketimuran yang wujud di Malaysia. Penganjuran program seperti ini juga boleh mengakibatkan penularan sindrom kekeliruan dan kecelaruan jatidiri sebagai seorang individu disamping memberikan imej dan gambaran yang buruk kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang berpegang kepada prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan yang terkandung di dalam Rukun Negara dan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

PKPIM juga turut mempersoalkan bagaimana festival ini boleh berlangsung pada tempoh yang lama sehingga dijadikan program tahunan di tempat yang sama semenjak dari tahun 2008 sehingga mendapat tajaan dan sokongan daripada pihak-pihak tertentu termasuklah Majlis Peguam Malaysia, Amnesty International Malaysia dan lain-lain. PKPIM bimbang dengan adanya kebebasan ini disalahguna oleh sesetengah pihak untuk membawa fahaman songsang dan keliru.

PKPIM juga mengingatkan kepada pihak kerajaan dan polis untuk turut bersikap tegas dalam mengharamkan penganjuran konsert artis gay Elton John pada 22 November ini yang sebenarnya turut mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan akhlak, budaya negatif hedonisme dan moral masyarakat dan ianya sama sekali tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat di Malaysia apatah lagi sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam.

PKPIM berpendapat, golongan LGBT ini merupakan golongan yang masih tercari-cari identiti diri dan perlu diberi tunjuk ajar dengan sebaiknya. Justeru, tanggungjawab badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai agama, badan agama, pemimpin-pemimpin politik serta agensi-agensi kerajaan dan swasta bukan sekadar menyuarakan bantahan tetapi turut sama-sama membantu golongan LGBT ini dengan penerapan nilai-nilai positif yang boleh membantu mereka kembali kepada normal mengikut ajaran agama masing-masing.

AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

SEKRETARIAT PKPIM PUSAT,
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah,
Batu 6 1/2 , Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.