Sunday, September 13, 2009

KONFLIK MALAYSIA- INDONESIA: GERAKAN PELAJAR DUA NEGARA CAPAI PENDIRIAN BERSAMA

5 Rukun Muafakat Elak Sengketa Malaysia-Indonesia


Dalam zaman di mana usia negara Malaysia dan Indonesia telah menggapai tempoh kematangan sebagai sebuah negara yang berdaulat, seharusnya isu pertikaian tentang soal-soal asasi berkaitan dengan kedua-dua negara tidak lagi timbul. Jika kita menyusuri kembali rentetan sejarah, sejak era 60-an sehingga kini, situasi hubungan kedua-dua negara tidak pernah sunyi dari konflik pertikaian yang kian lama kian menular tanpa diakhiri dengan usaha untuk mencari titik persamaan.

Permasalahan-permasalahan serumpun seperti yang dibangkitkan seringkali berlarutan dan sentiasa berulang dari semasa ke semasa, malah lebih mengecewakan, pendekatan yang diambil oleh kedua-dua pihak dalam menyambut permasalahan ini seringkali dicemari dengan kegagalan akibat dari mengambil pendekatan yang bersifat emosi semata-mata tanpa menitikberatkan soal permuafakatan yang lebih berwajah segar dan rasional. Ini bertentangan dengan wadah diplomasi yang bertujuan untuk merungkai segala punca permasalahan dan merangka penyelesaian secara kritikal.

Sepertimana yang dinyatakan, konflik antara kedua-dua negara bukanlah suatu perkara yang segar dan baru. Malah ianya seakan-akan bersifat pengulangan akibat dari kegagalan untuk menyaksikan penyelesaian ampuh berkenaaan dengan isu-isu lampau. Akibat dari kegagalan ini, dunia telah menyaksikan permasalahan yang pada asalnya adalah mudah dan kerdil, menjadi soal yang begitu merumitkan.

Sebagai contoh, Peristiwa Konfrantasi yang tercetus antara Malaysia- Indonesia pada era 1960-an telah memberi impak buruk ke atas istilah hubungan antara kedua-dua belah negara. Hal ini diburukkan lagi apabila disusuli dengan isu-isu yang lebih terkemudian seperti isu kedaulatan Ambalat, isu berkenaan dengan tenaga buruh dan pembantu rumah, soal keaslian budaya serta identiti dan sebagainya.

Malangnya, beberapa persoalan utama seperti nilai serumpun Melayu dan persaudaraan Islam seringkali dilupakan dan dikesampingkan oleh rakyat kedua-dua pihak dalam melihat konflik yang berlaku. Konflik seperti ini tidak seharusnya terjadi sekiranya kita menginsafi hakikat bahawa terdapat jalinan kekeluargaan di antara rakyat kedua-dua belah negara di mana secara realitinya susur galur keturunan rakyat kedua-dua belah pihak adalah sama. Ini terbukti dengan terdapatnya beberapa etnik Melayu di Malaysia seperti bugis, jawa, dan minang yang pada asalnya menetap di Indonesia. Dalam pada itu, suatu fakta yang tidak dapat disangkal bahawa usaha untuk memecahbelahkan rumpun kedua-dua Negara kian hebat memandangkan sekiranya kedua-dua rumpun ini berpadu ada kehuatiran untuk menjadi satu kuasa baru di ASEAN khususnya Kuasa Islam dan Melayu.

Atas keinsafan berdasarkan hakikat tersebut, maka pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang mewakili seluruh pelajar Malaysia dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) yang mewakili seluruh pelajar Indonesia telah mencapai lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama sebagai panduan dan inisiatif untuk mencari titik noktah kepada pertikaian dan persengketaan yang telah berlarutan.


Lima pendirian bersama yang telah dicapai adalah :

1) Menginsafi nilai persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dalam berhadapan dengan pelbagai isu yang melibatkan kedua-dua negara.

2) Memberi keutamaan kepada pendekatan yang bersifat musyawwarah, diplomasi, perbincangan dalam menghadapi sesuatu isu yang melibatkan kepentingan bersama.


3) Menjauhi sebarang tindakan yang bersifat emosi semata-mata di mana akhirnya menjurumus kepada kekerasan dan kebuntuan dalam mencari jalan penyelesaian.

4) Menyeru genereasi pelajar kedua-dua negara untuk memupuk persefahaman yang ampuh dan jitu dalam semua aspek termasuk kebudayaan, idealisme, ekonomi, sosial, keselamatan dan sebagainya.


5) Melahirkan generasi pelajar Malaysia- Indonesia sebagai agen penyatu masyarakat kedua-dua negara sekiranya terdapat sebarang konflik terkemudian yang timbul.


Maka, pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) mengharapkan agar pendirian bersama yang dicapai oleh pertubuhan pelajar kedua-dua belah negara ini dijadikan sumber rujukan utama oleh masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda Malaysia dan Indonesia dalam berhadapan dengan permasalahan semasa dan mendatang yang timbul. Pihak Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII) bersedia untuk meneruskan wacana perbincangan yang menghubungkan generasi muda kedua-dua negara sebagai pentas untuk mencari titik pertemuan dan persamaan di antara kedua-dua belah pihak.


Lima rukun permuafakatan dan pendirian bersama ini telah dipersetujui dan ditandatangani pada 11hb September 2009 bersamaan dengan 20 Ramadhan 1430H oleh:


T.t T.t

................................................ ...................................................
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Nashrullah Al-Ghifary
Presiden, Ketua Umum,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persatuan Pelajar Islam Indonesia
Malaysia (PKPIM) (PII)


Sekreteriat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA

Tel (P) : +603-6184 2286
Tel (HP): +6013-530 3221

www.pkpim.net

Pengurus Besar Pelajar Islam Indonesia (PII)

Sekretariat: JI. Menteng Raya,

No.58 Jakarta 10340, Indonesia

Tel/Faks : (021) 3153572

www.pelajar-islam.or.id

No comments: