PKPIM KRITIK KEGANASAN POLIS TERHADAP MAHASISWA

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
1 JANUARI 2012 / 7 SAFAR 1433H

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan terhadap mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli dan bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

PKPIM difahamkan mereka yang terlibat dalam dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang dan beberapa mahasiswa cedera parah dan luka di badan sementara beberapa pimpinan mahasiswa ditahan oleh pihak polis awal pagi tadi.

PKPIM berpandangan tindakan polis termasuk FRU yang meleraikan mahasiswa secara ganas pada awal pagi ambang tahun baru akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan seumpama ini tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai dengan tuntutan generasi mahasiswa hari ini. Seharusnya sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, PKPIM melihat isu ini juga berkait langsung dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman.

PKPIM juga memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat dalam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan yang telah terbukti di dalam kejadian yang menimpa mahasiswa di UPSI awal pagi tadi.

PKPIM merasakan bahawa tragedi mahasiswa di ambang 2012 ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan membuka ruang lebih banyak ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan aman pada masa akan datang.

Justeru, PKPIM mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein Onn dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dengan insiden ini dengan tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

SEKRETARIAT PKPIM PUSAT,
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah,
Batu 6 1/2 , Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.

Telefon: 013-2226925

Emel: pkpim_spp@yahoo.com
fahmi.iium@gmail.com

Laman Sawang: www.pkpim.org.my

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”