PKPIM MENYAMBUT BAIK PENARIKAN BALIK ARAHAN PENGGANTUNGAN TUGAS PROF. DR. ABDUL AZIZ BARI



KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
25 OKTOBER 2011 / 27 ZULKAEDAH 1432H

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik dan mengalu-alukan penarikan balik arahan penggantungan tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang telah dikenakan ke atas Pakar Perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari.

PKPIM menganggap bahawa peristiwa penggantungan tugas beliau merupakan satu tragedi keilmuan kepada institusi pendidikan tinggi negara memandangkan isu ini sebenarnya dibangkitkan oleh pihak luar berkepentingan yang sengaja mencari publisiti murahan yang akhirnya membawa kepada penggantungan beliau yang pada dasarnya boleh diselesaikan dengan cara berhikmah tanpa menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan.

PKPIM berpandangan bahawa sekiranya tafsiran, pandangan dan hujah ahli akademik yang dilihat menyalahi kebenaran, sewajarnya pendokong ilmu mahupun universiti sebagai gedung ilmu harus mengangkat dan menghormati perbezaan pendapat secara ilmiah dengan mengutarakan tafsiran, pandangan balas tandingan dan bukannya melalui tindakan yang memberi tekanan melalui elemen undang-undang dan sebagainya.

PKPIM memandang Prof. Dr. Abdul Aziz Bari sebagai seorang intelektual yang konsisten dan dilihat berjalur inteligensia dan bersosok massa dalam memasyarakatkan hujah dan idea beliau agar difahami masyarakat berbanding kebanyakkan ahli akademik lain yang kebanyakkannya terikat, takut dan tidak melangkaui batasan dunia universiti.

Justeru, PKPIM melihat sokongan yang ditunjukkan oleh mahasiswa bukanlah diminta-minta, tetapi diangkat dan diusulkan sendiri oleh golongan ini yang memahami bahawa budaya ilmu yang sebenar adalah apabila meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat tertinggi, menganiaya ilmuan bukan langkah yang berilmu dan membela ilmuan teraniaya merupakan langkah yang berilmu.

PKPIM berharap peristiwa sebegini dijadikan iktibar dan pengajaran oleh pihak tertinggi universiti di seluruh Malaysia agar tidak terjadi lagi pada masa depan. Institusi pengajian tinggi sewajarnya dianggap sebagai the last bastion iaitu kubu terakhir tradisi keintelektualan. PKPIM berpendapat amat mendukacitakan sekiranya institusi ini telah kehilangan autonomi dan kebebasan akademik apabila ikut terpalit dengan kepentingan tertentu yang menyebabkan ia kehilangan kekuatan meritokratiknya dan kehilangan misi keintelektualannya.

PKPIM sekali lagi menyambut baik penarikan balik arahan penggantungan tugas Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan mengharapkan kebijaksanaan Rektor UIA, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dalam menyelesaikan kemelut ini dengan baik dengan proses siasatan yang telus dan adil lantas memberikan gambaran dan respon yang positif terhadap institusi Taman Ilmu dan Budi ini.

AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”