IDEALISME GENERASI MUDA DALAM MEMAKNAI TERAS-TERAS KENEGARAAN

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia. Ia menandakan penyertaan bersama Tanah Melayu, Borneo Utara (kini Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Hakikat yang perlu diterima semua adalah usia Malaysia sebenarnya baru mencecah 48 tahun walaupun Malaysia juga meraikan tanggal 31 Ogos iaitu Hari Kemerdekaan yang ke 54 bersama-sama dengan sambutan hari Malaysia pada tahun ini.

Namun begitu, amat penting untuk kita menyelusuri dan menilai kembali landskap kefahaman dan kesedaran sosio-politik masyarakat sama ada masih berada dalam landasan atau tergelincir daripada akar teras kenegaraan dengan mengambil kira semangat awal pembentukan negara ini. Adakah kita bersikap apolegetik atau terperangkap dengan polemik istilah dasar kenegaraan yang bertukar setiap kali kepimpinan bertukar tangan. Lihat sahaja slogan-slogan mahupun istilah yang menjadi bahan bicara dan perbincangan merangkumi 1 Malaysia, Wawasan 2020, Masyarakat Madani, Negara Berkebajikan, Ketuanan Rakyat, Islam Hadhari hatta slogan Membangun Bersama Islam.

Realiti hari ini, iklim sosio-politik negara berada dalam proses perubahan dan penambahbaikan setelah lebih 50 tahun negara menyambut kemerdekaan. Ianya berkaitan dengan percambahan segar oreintasi pemikiran yang menggalakan perdebatan, wacana mahupun dialog, nilai-nilai teras perubahan yang diangkat baik diperingkat pemerintah atau pembangkang, sikap berpolitik yang menjurus kepada idea politik baru, keutamaan hak kepada rakyat dan beberapa perkara lain yang masih dalam fasa eksperimen sesuai dengan cabaran abad mendatang. Sudah semestinya perkara ini memerlukan kesediaan dan persiapan yang rapi sekiranya mahu berubah ataupun menerima perubahan.

Secara jelasnya, perubahan boleh berlaku dalam apa jua situasi, kaedah dan juga mekanisme yang pelbagai. Sebagai contoh, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi melalui pilihanraya setiap empat atau lima tahun sekali. Amalan demokrasi ini boleh digunakan sebaiknya oleh rakyat sebagai platform untuk menyatakan mesej perubahan. Namun begitu, perubahan yang terjadi belum dapat menentukan kemenangan secara total baik kepada individu, parti mahupun majoriti rakyat kerana pilihanraya bukanlah merupakan instrumen utama yang mutlak dalam konteks melaksankan perubahan.

Lihat sahaja kepada permasalahan yang berlarutan sejak dahulu lagi seperti gejala kemiskinan, keruntuhan akhlak dan moral, penyelewengan dan rasuah, masalah pendidikan, lambakan pengganguran dan seribu satu masalah lain yang menghimpit masyarakat hari ini. Adakah sekiranya berlaku perubahan kepimpinan maka masalah-masalah ini akan hilang? Adakah kita semua bersedia untuk berubah sekiranya ruang perubahan diberikan seluas-luasnya?

Menyedari bahawa iklim perubahan yang ada pada masa ini menuntut semua pihak untuk menggunakan gaya bahasa sesuai dengan realiti zaman dan tidak menggunakan ‘status quo’ yang dilihat sudah ketinggalan. Lantaran itu, usaha untuk membawa agenda bersama seperti mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak keistimewaan masyarakat Melayu, kedudukan Islam dalam perlembagaan perlu seiring dan sekata dengan agenda membasmi kemiskinan secara saksama, keadilan kepada semua rakyat, dasar meritokrasi, kesamarataan dan hak-hak istimewa semua kaum, dan pelbagai lagi saranan-saranan lain.

Lantas, dalam fasa menempuhi separuh abad kedua selepas kemerdekaan ini, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum wajar diberi pengiktirafan atas sumbangan dan peranan mereka kepada negara. Amalan diskriminasi kaum yang bersifat zalim dan asobiyah sempit sehingga menafikan hak orang lain perlu dicegah. Begitu juga dengan budaya fitnah memfitnah, politik wang, politik ampu dan segala rencah amalan ‘Machievallian’ perlu dikikis secara bersama. Hal ini penting kerana budaya songsang ini dilihat melatari segmen masyarakat hari ini sehingga dilihat sebagai rutin dan ritual yang tidak membawa apa-apa makna kepada pembentukan generasi mendatang.

Oleh sebab itu, janganlah akibat percaturan politik sempit kepimpinan ditampuk kekuasaan menyebabkan rakyat bawahan hancur binasa. Jika tidak dibendung, generasi muda pada hari ini akan mewarisi beban bagasi sejarah sengketa politik yang tidak berkesudahan ini. Lihat sahaja di Barat, walaupun dimomokkan dengan bawaan elemen negatif terhadap pembentukan masyarakat lain di dunia, namun dalam hal silang sengketa politik, mereka menunjukkan contoh positif sehingga dapat duduk semeja dalam kabinet kerajaan dalam merangka agenda secara bersama. Percakaran politik mereka berakhir selepas tamatnya pilihanraya dan fokus pembinaan negara adalah lebih utama tanpa mengamalkan sikap negatif seperti sikap prejudis, ketaksuban melampau dan parti sentrik.

Begitu juga dalam dunia serba moden hari ini, segelintir masyarakat telah menyalahgunakan nilai kebebasan yang diberi untuk mempertikaikan perkara-perkara asas dalam pembentukan negara ini. Lebih mengesalkan, semakin banyak ‘public opinion’ diolah, direka dan dijaja demi memastikan ia menjadi suara terbanyak lantas diiktiraf sebagai satu sumber baru yang wajar dijadikan rujukan.

Oleh yang demikian, peranan belia dan generasi muda sebagai kuasa ketiga amat penting di dalam memastikan amalan ‘check & balance’ melibatkan isu-isu kenegaraan. Golongan ini dianjurkan untuk mempertahankan sikap ‘independent’ tanpa terikat dengan mana-mana suara dan keputusan politik. Apatah lagi dalam situasi rencam dan permasalahan yang semakin membarah, generasi hari ini harus berani mengungkap idealisme murni dengan bebas dan berprinsip.

Justeru, tumpuan kepada pembentukan dan pembangunan belia atau generasi muda yang berkualiti yang mempunyai jati diri serta ketahanan mental dan fizikal perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Sebagai pewaris kepimpinan mendatang, idealisme belia yang berteraskan kepada kekuatan ilmu perlu dijadikan sandaran, dijana dan diperkasakan.

Belia perlu dikejutkan daripada igauan mimpi indah untuk kembali menyumbang bakti kepada masyarakat dan mengembalikan kegemilangan silam yang pernah mencatatkan nama belia sebagai kelompok yang banyak menyumbang ke arah perubahan masyarakat dan negara ke tahap yang lebih baik. Ini ditegaskan oleh Leopold Rosenmayr dalam bukunya, “Belia dan Masyarakat: Landasan Konsep dan Teori” yang menyatakan bahawa belia adalah kelompok yang terbukti berkuasa dengan caranya tersendiri dalam menentukan perubahan sosial masyarakat atau transformasi sosial.

Islam juga telah mengenengahkan banyak dalil mengenai peri pentingnya pembentukan generasi muda atau belia berkualiti sama ada melalui kitab suci Al-Quran, hadith mahu pun sejarah perjalanan sirah Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Dalam Surah An-Nisa’ ayat kesembilan, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan mereka seharusnya takut andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat atau keturunan yang lemah,….”

Ayat ini membuktikan betapa tanggungjawab untuk membina generasi pewaris yang kuat dan berkualiti adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan.

Kekuatan idealisme belia amat bergantung kepada sejauh mana belia mampu membudayakan dan memartabatkan ilmu di dalam kehidupan mereka. Ilmu sebagai teras pembentukan intelektualan dan daya fikir generasi muda. Malah ilmu juga akan memandu generasi ini agar berdisplin dan mampu menilai sesuatau perkara secara objektif, tidak beremosi dan tergopoh gapah. Apatah lagi setiap tindakan yang akan diambil atau apa juga bentuk perancangan yang hendak dilaksanakan mampu menatijahkan sesuatu yang lebih baik dan mempunyai impak positif.

Sayugia, budaya ilmu juga akan membentuk kerangka pemikiran belia yang lebih dinamik, rasional dan berwawasan. Sejarah telah membuktikan bagaimana gerakan belia yang telah menyumbang kepada perubahan dalam konteks masyarakat memulakan proses pembaharuan pemikiran yang tidak boleh lari daripada penguasaan ilmu.

Sebagai contoh, gerakan muda yang dipelopori oleh cendiakawan muda Islam seperti Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Al-Hadi adalah kelompok awal yang berusaha membawa pemikiran baru dalam masyarakat Melayu ketika itu dengan fahaman nasionalisme Islam bagi membangkitkan semangat menentang penjajah. Usaha mereka walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada kelompok tradisionalis sedikit sebanyak berjaya membangkitakan semangat baru kepada Melayu Islam untuk bangkit menentang penjajah.

Natijahnya, semuanya adalah bertitik tolak kepada kekuatan idealisme bertunjangkan ilmu yang menghasilkan satu perubahan pemikiran dalam masyarakat. Generasi muda akan menjadi lemah apabila mereka gagal menghayati ilmu sekali gus menyebabkan golongan ini tidak berupaya dalam berfikir dan kaku mencaturkan idea dan tindakan. Hal ini telah disokong oleh pemikir Islam terkemuka, iaitu Malik Ben Nabi yang menyifatkan kelemahan umat Islam hari ini adalah disebabkan oleh penderitaan sindrom lemah dan malas berfikir.

Pemerkasaan dan pembugaran idealisme dalam kalangan belia membolehkan peranan golongan ini lebih terarah dan dinamik khususnya dalam membangunkan masyarakat dan negara yang lebih bermakna. Malah, kekuatan idealisme ini akan memastikan golongan belia mampu mendepani zaman dengan lebih yakin dan bertenaga serta mempunyai pegangan yang kukuh berlandaskan kepada prinsip kebenaran dan keadilan sosial.

Melalui aspek kesedaran peri pentingnya kefahaman mendalami sejarah jatuh bangun sesebuah tamadun, golongan ini akan mampu menghayati dan mengisi makna kemerdekaan negara Malaysia dalam pemahaman yang lebih holistik. Lantas, menyedari tanggal 31 Ogos setiap tahun sebagai Hari Kemerdekaan maka begitu juga peri pentingnya tarikh 16 September dalam lipatan sejarah buat generasi muda khususnya belia untuk memperkukuhkan jati diri mereka bagi menggarap kekuatan daya juang, daya saing dan daya saring yang lebih utuh. Justeru itu, wajarlah generasi muda mempunyai pengarahan, cita-cita dan matlamat yang sesuai dengan aspirasi agama dan negara kerana “the youth of a nation are the trusteeof its property”.

AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
PRESIDEN
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”