Mengisi Makna Fitrah Kemerdekaan

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT di atas kurniaan nikmat Islam dan Iman. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Allahumma solli 'ala Muhammad, wa 'ala aalihi wa sohbihi wasallam.

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi di atas peluang yang diberikan-Nya untuk sama-sama kita menuntut di dalam madrasah Ramadhan pada tahun ini dengan melaksanakan ibadah puasa dan amalan-amalan lain dan mudah-mudahan kita memperolehi taqwa yang dijanjikan-Nya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Inilah matlamat dan visi agung (maqasid) pensyariatan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Visi yang meletakkan taqwa sebagai neraca kualiti seorang manusia bahkan merupakan pra-syarat kualiti sebagai seorang dai’e di jalan Allah SWT. Kalimah “la ‘allakum tattaqun’ menunjukkan bahawa semangat dari kewajipan berpuasa adalah untuk melahirkan penuntut yang akan beroleh pengiktirafan ‘cemerlang taqwa’ hasil daripada kursus, latihan, dan ujian selama 30 hari di dalam madrasah Ramadhan ini.

Tanpa disedari, bulan Ramadhan bakal melabuhkan tirainya dan hanya akan kembali pada tahun 1433H (Hijriah) yang akan datang. Justeru, marilah kita sama-sama memanjatkan doa semoga tahun hadapan, kita sekali lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk menjadi penuntut yang akan dipilih bertemu dengan kemuliaan Ramadhan, bulan penuh keagungan dan keberkatan.

Sejajar dengan bulan Ramadhan sebagai bulan tarbiyah diri, marilah kita semua memastikan segala amalan yang telah dilaksanakan di dalam bulan ini tidak akan terhenti dari diamalkan secara konsisten sepanjang tahun dengan kehadiran 1 Syawal yang menandakan tamatnya bulan mulia ini. Semoga hasil pentarbiyahan diri selama sebulan ini melalui amalan yang mendekatkan diri kita dengan Allah SWT dapat kita amalkan secara istiqamah selama sebelas bulan yang lain.

Dalam kita menyambut 1 Syawal, sayugialah umat Islam semuanya mensyukuri nikmat Allah dengan mengamalkan sikap bersederhana dalam sambutan Aidilfitri. Oleh sebab itu, agama Islam melarang amalan pembaziran manakala sambutan di luar batas syarak mestilah dijauhi. 1 Syawal sesungguhnya bukannya pesta makanan dan hiburan yang melampau tetapi adalah waktu bagi kita untuk menzahirkan rasa kesyukuran melalui aktiviti silaturrahim dan ukhuwwah sesama insan. Ketika kita semua bergembira, umat Islam harus berdukacita dan mengambil cakna dengan gejala negatif yang berterusan melanda sebahagian umat kita hari ini.

Begitu juga dengan nasib saudara seagama serta serumpun kita di Selatan Thailand. Mereka terus dinafikan hak dan semestinya diberikan pembelaan oleh seluruh umat Islam. Saya juga ingin membuat seruan khususnya kepada seluruh masyarakat khasnya umat Islam untuk membantu umat Islam yang dirundung malang di Somalia mahupun konfilk sejagat yang tidak menampakkan tanda–tanda penyelesaiannya di bumi suci Palestin yang mana ribuan rakyatnya terus menjadi mangsa kezaliman tentera rejim Zionis Israel.

Bercakap mengenai 1 Syawal pada tahun ini, ianya cukup berbeza dan istimewa kerana pada masa sama kita akan menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-54 yang juga di dalam bulan Syawal. Jika dilihat dari makna Syawal dan Kemerdekaan ianya merupakan sambutan yang sarat dengan mesej kejiwaan yang melangkaui pengertian material dan maknawi. Kedua-duanya adalah melibatkan perjuangan mujahadah dan kemenangan besar, khususnya bagi mereka yang percaya bahawa hidup ini adalah satu pengabdian kepada Allah SWT yang tidak akan berakhir.

Justeru, sambutan Aidilfitri dan Kemerdekaan pada tahun ini wajar dimaknai dengan semangat dan cita-cita melakukan pembaharuan (tajdid) dan perubahan (taghyir) yang disandarkan kepada kekuatan misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan mengangkat martabat dan darjat manusia seperti mana yang ditegaskan oleh Dato’ Dr Siddiq Fadzil. Ianya bukan lahir dari semangat dan retorika label sentimen semata-mata, tetapi ianya merupakan usaha hasil daripada manifestasi keazaman, iltizam serta aspirasi yang meliputi aspek kemerdekaan jiwa, pemikiran dan budaya dari dipengaruhi dan diracuni sumber asing yang negatif sifatnya.

Hakikat kemerdekaan juga tidak seharusnya dipandang dari sudut simbolik semata-mata, tetapi generasi hari ini harus menjiwainya dari sudut maknawi yang lebih tulus sifatnya. Lantaran, pemupukan fahaman merdeka yang lebih meluas harus diterapkan dalam diri kita sebagai generasi penerus kepimpinan Negara. Oleh yang demikian, tugas dan perjuangan generasi mendatang adalah untuk mengisi makna kemerdekaan sebagai manifetasi keseinambungan tradisi perjuangan mereka yang berjuang demi agama, bangsa dan negara 54 tahun yang lalu.

Justeru, marilah kita memohon keampunan kepada Allah SWT atas segala kekurangan dan kesilapan kita. Marilah kita bermuhasabah dan mengambil iktibar pengalaman silam untuk terus istiqamah dan berhikmah dalam menelusuri arus pancaroba semasa dan beriltizam mengorak langkah zaman mendatang yang menuntut pengorbanan daripada segenap aspek tanpa berbelah bahagi.

Akhir kalam, di kesempatan ini, saya mewakili saff kepimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 kepada seluruh pelajar Islam di Malaysia, pimpinan Badan Gabungan Negeri PKPIM, pimpinan PKPIM di peringkat kampus, dan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar; Walillahil Hamd!

“Hidup Biar Berjasa”

Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”