"'Pembangunan Belia Islam Sedunia-PKPIM&WAMY''


Berikut merupakan artikel penulis yang telah mengikuti Mesyuarat Agung WAMY di Indonesia pada 2-4 Oktober 2010 di Jakarta, Indonesia.

Dunia hari ini telah mengiktiraf bahawa dalam sesebuah Negara yang maju dan bertamadun, generasi muda merupakan barisan pelapis yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar. Golongan ini juga mempunyai potensi besar dalam mempengaruhi trend mahupun sikap masyarakat dalam sesebuah negara. Jika generasi muda yang dilahirkan adalah lesu, mandum dan tidak bermaya, maka mundurlah bangsanya. Tambahan pula dengan segala bentuk kemungkaran dan keruntuhan moral yang menyelaputi diri mereka, nescaya akan lahirlah generasi yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Nisa: ayat 9: “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi) yang lemah”.

Fenomena ini juga telah diingatkan oleh seorang ilmuwan, Muhammad Iqbal bahawa sekiranya kita mahu melihat masa depan sesebuah Negara, maka kayu ukurnya adalah dinilai berdasarkan kepada kekuatan atau kelemahan generasi muda pada hari ini.

Situasi hari ini telah memungkinkan roh golongan muda telah dicabar dan tercabar dengan pelbagai halangan dan tipu daya hasil daripada budaya yang berbentuk permisif penuh berserakan. Berlakunya cultural schizophrenia yang menurut seorang sarjana, Daryush Shayegan, merupakan keadaan mental distortion yang boleh memusnahkan sesuatu tamadun. Suasana ini berlaku ketika mana masyarakat kehilangan paradigmanya dan keliru antara Barat dan moden. Moden yang diambil daripada acuan Barat.

Dalam menongkah arus pemodenan dan kesejagatan budaya, generasi muda merupakan golongan yang berada dalam keadaan kritikal kerana mereka dalam proses membina pemikiran, imej, dan personaliti. Ketika inilah juga anak-anak muda telah disogokan dengan pelbagai budaya dan pemikiran yang semakin hebat dalam mencorak gaya hidup mereka. Budaya popular (mass culture) yang kini seolah-olah menjadi budaya massa (mass culture) turut mempengaruhi gaya hidup dan pemikiran generasi muda Islam.

Budaya yang mementingkan gaya dan imej daripada nilai dan makna secara tidak disedari semakin diterima umum oleh masyarakat yang permisif. Keadaan ini berlaku akibat daripada wabak ketidakpekaan terhadap nilai hidup yang semakin meruncing. Kesannya, mereka tidak lagi dapat membezakan antara populariti dan substance, antara imej dan nilai, antara palsu dan yang benar

Satu lagi fenomena global yang membimbangkan ialah kelunturan semangat kesukarelaan (volunteerism). Oleh kerana serangan ganas materialisme yang begitu kuat mencengkam, lantas gerakan sosial semakin kurang mendapat tempat. Hal ini terbukti apabila sesuatu perkara yang dibuat jika tidak dibalas dengan reward tertentu seperti wang elaun, t-shirt, topi dan sebagainya maka kuranglah sambutan kepada aktiviti sukarela ini. Senario berbahaya ini sekiranya tidak dikawal akan menyebabkan hilangnya idealisme perjuangan dalam kalangan generasi muda.

Justeru, telah banyak program dan aktiviti yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak demi memastikan kelangsungan golongan ini dalam mencapai satu tahap keupayaan sosial, moral, emosi, fizikal dan kognitif yang baik. Dalam erti kata yang lain, golongan muda perlu mempunyai ciri dan nilai baru dalam usaha untuk memantapkan jatidiri, mempunyai jiwa yang kental dan berwawasan. Sekiranya generasi muda yang dilahirkan mempunyai kualiti diri yang cemerlang, cerdas dan berkeperibadian mulia, maka bangsanya akan menempa kemajuan dan kemakmuran. Hal ini bukanlah merupakan andaian kosong lantas ianya telah terbukti berdasarkan sejarah Islam yang telah melahirkan sekumpulan pemuda pemudi yang berjiwa besar dan mempunyai keimanan yang mantap dalam memainkan peranan penting dalam membina kegemilangan umat.

Jika diimbas kembali kegemilangan sejarah Islam yang telah membuktikan keberanian Sayyidina Ali Ibn Abi Talib, kesetiaan Sayyidina Abu Bakar dan juga kepintaran srikandi Sayyidatina Asma’ binti Abu Bakar dalam menjayakan misi hijrah Rasullulah S.A.W ke Madinah. Peristiwa penting ini telah menaikkan semangat dan iltizam yang cukup tinggi dalam memberi penumpuan kepada usaha-usaha membina keperibadiaan generasi muda agar mereka mampu bangkit mencipta suatu kegemilanagan terbaru suatu masa nanti.

Berbekalkan semangat inilah, keupayaan untuk melakukan islah dan pembaikan dalam masyarakat harus dimulakan dalam konteks individu terlebih dahulu sebelum ianya dapat dikembang kepada masyarakat. Justeru, generasi muda harus ditanam dengan elemen-elemen murni ta’dib yang akan membangunkan potensi minda, jiwa dan jasmani secara menyeluruh dan holistik. Ciri-ciri inilah yang merupakan benteng dan kekuatan generasi muda dalam menghadapi cabaran semasa.

Usaha pembaikan dan pembaharuan kearah yang lebih baik ini tidak hanya cukup dan memberi impak dan kesan yang besar sekiranya ianya hanya digerakkan berdasarkan kepada kekuatan individu atau kelompok kecil dan tidak disokong oleh kelompok masyarakat terbesar. Justeru, usaha murni ini perlu dikongsi bersama melalui penglibatan individu-individu Muslim dalam elemen masyarakat sivil seperti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mahupun organisasi dan persatuan khususnya melibatkan generasi muda bagi memastikan proses mobilasi dan gerak kerja dapat dilaksanakan dengan terancang dan membuahkan hasil yang baik.

Barangkali inilah antara gagasan awal yang berkembang sekitar tahun 1970-an yang telah memungkinkan kewujudan Himpunan Belia Islam Sedunia (World Assembly of Muslim Youth-WAMY) pada tahun 1972. WAMY merupakan sebuah organisasi besar yang menghimpunkan pemuda-pemuda Islam sedunia dalam merangka strategi aktiviti mahupun program dalam kerangka global yang lebih besar.

Kewujudan WAMY yang berpusat di Arab Saudi juga dilihat sebagai platform terbaik bagi generasi muda memaksimumkan peranan mereka dalam pembangunan yang tidak dilihat hanya terangkum dalam konteks wilayah kenegaraan tetapi lebih bersifat alamiyah dan faktor kemanusiaan dan dimensi keIslaman menjadi teras kepada gerak kerja WAMY yang berisfat komprehensif dan seimbang. Pada masa yang sama, ianya juga merupakan medan terbaik bagi generasi muda untuk mengasah bakat kepimpinan dan juga menambah jaringan dalam peringkat antarabangsa.

WAMY memfokuskan kepada aktiviti pembangunan belia yang meliputi aspek pendidikan, ekonomi, sosial dan juga pembentukan peribadi unggul bagi memastikan generasi ini berupaya dalam menyambung legasi kepimpinan mendatang. Pada masa kini, WAMY dianggotai oleh 500 persatuan belia diseluruh dunia dan program-program yang dijalankan juga bersesuaian dengan kehendak dan keadaan tempatan Negara-negara ahli.

                  Bersama Secretary General WAMY, Dr Syeikh Saleh Sulaiman Al-Wohaibi

WAMY mengadakan mesyuarat agungnya setiap empat tahun sekali. Pada 2 Oktober hingga 4 Oktober lalu, WAMY telah mengadakan Persidangan Antarabangsa kali ke 11 yang bertemakan ‘Belia dan Tanggungjawab Sosial’ bersempena mesyuarat agungnya di Jakarta, Indonesia. Pada mesyuarat ini, ia menerima banyak laporan berkenaan program pembanguan belia, perkembangan dakwah dan kebajikan masyarakat Islam di segenap peringkat negara masing-masing.

Sesungguhnya, masih banyak usaha yang perlu dijayakan bagi membangun dan menggembleng potensi belia sedunia ini terutama di dalam membantu kelompok masyarakat Islam minoriti seperti di Myanmar, Filipina, Kemboja dan Thailand.

Keterlibatan golongan belia Malaysia dalam arena antarabangsa juga boleh menjadi sandaran dan model ikutan oleh golongan belia Negara-negara membangun lain. Ini kerana, Malaysia dilihat sebagai sebuah Negara yang maju, progresif dan program-program pembangunan belia di Malaysia dilihat berjaya dalam melahirkan bakal pelapis kepimpinan Negara. Pada masa sama, negara kita berada di dalam keadaan yang stabil dari sudut ekonomi dan politik.

Malah kegiatan dan program pembangunan belia mendapat dokongan dan kerjasama yang erat daripada pihak kerajaan melalui keutamaan dalam dasar pembinaan modal insan dan konsep smart-partnership antara golongan belia dan pemerintah. Keadaan ini berbeza sekiranya dibandingkan dengan beberapa negara di mana golongan ini tidak diberi keutamaan oleh pihak yang bertanggungjwab dan tiada dasar dan polisi yang jelas dalam aspek pembangunan belia.

Cabaran dunia pada masa akan datang menuntut pembabitan aktif golongan muda atau belia. Ini penting bagi memastikan kesinambungan usaha murni dapat dijayakan secara berterusan. Dalam hubungan ini, WAMY adalah antara wadah terbaik untuk golongan belia bergerak aktif menyumbang di dalam perkembangan dakwah dan pembangunan belia.

Bagi tujuan itu, WAMY perlu lebih agresif membangunkan program yang boleh mendekatkan golongan ini kepada pergerakannya. Ianya memerlukan strategi dan pendekatan yang unik. Pendekatan yang menonjolkan ciri kepimpinan, pengahupayaan, keamanan dan kesederhanaan adalah asas kepada kepimpinan masa depan.

Untuk itu, program pembangunan belia memerlukan proses beransur-ansur namun pada masa sama, strategik dan berkualiti. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merupakan salah satu daripada ahli gabungan WAMY yang mewakili pertubuhan belia di Malaysia. Sebagai badan mewakili kelompok belia, PKPIM berasa bertuah kerana dapat menyumbang secara langsung di dalam memperkukuhkan peranan WAMY di dalam pembangunan belia sedunia.

Disediakan oleh:
AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN
NAIB PRESIDEN ANTARABANGSA PKPIM

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”