Friday, July 30, 2010

The 4th International Youth Gahtering, Istanbul, TURKI


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah menghantar Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Exco Penerangan PKPIM untuk menghadiri Perhimpunan Belia Antarabangsa Kali ke-4, Kesatuan NGO-NGO Dunia Islam (International Youth Gathering-Union of NGOs of the Islamic World) dan Bengkel Risalah An-Nur yang berlangsung di Istanbul,Turki, pada 12-27 Julai 2010.



UNIW merupakan badan gabungan NGO-NGO Islam sedunia yang mana kewujudannya merupakan satu inisiatif yang bermula di Turki. Penubuhan UNIW telah diluluskan pada 12 Disember 2005 melalui Cabinet Decree No. 2003/9910 oleh Presiden Turki. Penubuhannya telah mendapat sokongan dan mandat hampir keseluruhan NGO Islam sedunia. Kewujudan UNIW adalah mempunyai signifikasi tersendiri apabila ia merupakan satu-satunya gabungan NGO Islam peringkat antarabangsa yang ditubuhkan pasca September 2001.


Perhimpunan kali ini dimulakan dengan perasmian program yang disempurnakan oleh Mr Necmi Sandikoglu, Setiausaha Kehormat UNIW. Dalam ucapannya beliau menekankan kepentingan untuk melihat kepada kejayaan ketamadunan Islam terdahulu dan menjadikan kejatuhan sesebuah tamadun sebagai iktibar kepada ummat sekarang untuk terus maju dan bedaya saing dalam dunia yang semakin mencabar. Antara agenda yang dimuatkan dalam Perhimpunan Belia kali ini ialah sesi pembentangan kertas kerja daripada perwakilan Negara. Antara yang mengambil bahagian dalam sesi pembentangan ialah daripada Negara Maghribi, Bangladesh, Turki, Indonesia dan Malaysia.




Tema perbincangan kali ini adalah Ketamadunan Islam. Penulis yang juga merupakan mahasiswa tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut membentangkan kertas kerja berdasarkan pengalaman Malaysia dalam kehidupan masyarakat majmuk disamping berkongsi idea berkenaan perkembangan agama Islam dalam aspek kehidupan yang diamalkan di Malaysia. Ternyata Negara Malaysia merupakan Negara Islam yang dijadikan contoh oleh para peserta berdasarkan kepada program pembangunan dan kemajuan yang telah dikecapi oleh Malaysia khususnya diperingkat antarabangsa. Disamping itu, program ini disusuli dengan perbahasan perwakilan negara, forum belia, bengkel latihan pembangunan manusia, persembahan kebudayaan dan ziarah ke tempat-tempat utama di Istanbul dan Bursa seperti Masjid Biru, Makam Sultan Muhammad Al-Fatih, menelusuri Selat Bosphorus dan banyak lagi.


Dalam program ini juga perwakilan PKPIM mengambil kesempatan untuk memperluaskan jaringan antarabangsa dengan organisasi pelajar Islam luar negara seperti Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI),Chhatra Shibir (Bangladesh) dan organisasi pelajar Islam dari Turki, Algeria, Maghribi, Mecidonia, Kosovo, Burkina Faso, Palestin, Sudan, Pakistan, India, Jerman, Perancis dan lain-lain. Di akhir perhimpunan ini satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Bursa telah dibentangkan hasil daripada perbincangan dan diskusi kesemua perwakilan yang terlibat.


Sepanjang kunjungan ke Turki juga,perwakilan PKPIM berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Kehormat Gabungan UNIW, Mr Necmi Sandikoglu dan Datuk Bandar Umraniye Bilediye Baskani dan Bursa. Dalam kunjungan hormat tersebut, wakil PKPIM telah bertukar-tukar pandangan dan idea berkenaan pelbagai isu antaranya keperluan memberikan penumpuan kepada aspek pembangunan modal insan khususnya kepada golongan muda di Negara masing-masing. Program lanjutan seperti pertukaran belia antara Negara juga diberi penekanan dalam perbincangan tersebut.


Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM juga sempat menghadiri program kedua iaitu Bengkel Risalah An-Nur. Bengkel bertaraf antarabangsa ini yang dihadiri oleh beberapa peserta luar Negara yang berlangsung selama seminggu dan dianjurkan oleh pelajar-pelajar dan pengikut-pengikut Imam Bediuzzaman Syed Nursi (ulama dan ilmuwan terkenal Turki) yang bernaung di bawah Yayasan Hayrat. Meskipun Imam Bediuzzaman sudah meninggalkan alam fana ini 50 tahun yang lampau, namun pemikiran, perjuangan dan pengorbanan menyebarkan risalah agama terus segar dibincang, dihayati dan diamalkan bukan sahaja di Turki bahkan di seluruh dunia.


PKPIM akan terus komited dalam hal ehwal antarabangsa dengan keterlibatan secara aktif dalam program seperti ini di masa hadapan. Pada masa yang sama, (PKPIM) telah diberi kepercayaan untuk memimpin seluruh pelajar Islam Asia Tenggara apabila Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) bagi sesi 2010-2012.


Disediakan oleh:

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

013-2226925

1 comment:

Ummu Najla said...

Thought this article is written in English but anyhow, keep on writing! Your vast experience travelling the world is worth sharing!