Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan menganjurkan Konvensyen Pelajar Islam Asia Tenggara 2010 pada 24 & 25 Mei 2010 iaitu pada hari Isnin dan Selasa di Dewan Kediaman Rasmi Exco Kerajaan Selangor, Shah Alam.
Tujuan konvensyen ini diadakan adalah untuk berkongsi idea dan gagasan khususnya dalam ruang lingkup pelajar Islam di peringkat Asia Tenggara. Selain itu, penganjuran konvensyen ini juga adalah untuk mengukuhkan jalinan ukhuwah dan kerjasama dalam kalangan organisasi pelajar Islam Asia Tenggara di samping memberi pendedahan seluas-luasnya kepada pelajar Islam di Malaysia berkenaan dengan aktiviti dan kegiatan gerakan-gerakan Islam di peringkat Asia Tenggara dan antarabangsa.
Di samping itu, konvensyen yang turut mendapat kerjasama kerajaan negeri Selangor ini juga akan dihadiri oleh beberapa pertubuhan pelajar Islam Asia Tenggara seperti Persatuan Pelajar Islam Indonesia (PII), Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMI), National University of Singapore Muslim Society (NUSMS), Fellowship Singapore Muslim Students Association (FMSA), Thailand Muslim Students Association (TIMSA), dan sebagainya.
Dalam pada itu, konvensyen ini akan didahului dengan ucaptama Setiausaha Agung Persekutuan Pelajar Islam Asia Tenggara (PEPIAT) M. Zaid Markarma dan ucapan tiga Presiden iaitu Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden PKPIM), Nasrullah al-Ghifari (Ketua Umum PII), dan M. Chozin Amirulla (Ketua Umum HMI) yang akan megupas perbincangan tajuk "Mencorak Politik Baru Belia Asean: Latar & Harapan" Konvensyen ini juga akan diisi dengan Forum Belia Antarabangsa : ”Introspeksi Prinsip dan Amalan Demokrasi Islami di Asia Tenggara: Kebangkitan Generasi Al-Falah” yang akan menampilkan ADUN Seri Setia, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Pensyarah Kanan Uitm, Ybhg. Prof Madya Shaharuddin Badaruddin, Pengerusi Institut Masyarakat Madani (IMAD), Tuan Mustaffa Kamil Ayub, Setiausaha Agung PEPIAT 2008-2010, M. Zaid Markarma dan Naib Presiden Antarabangsa PKPIM Abu Qassim Nor Azmi sebagai moderator. Dalam pada itu, satu sesi dialog khas bersama Presiden ABIM Tuan Muhamad Razak Idris akan turut diadakan sebelum majlis penutup Konvensyen yang akan disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, YB Tuan Yaakob Sapari. Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM berharap dengan penganjuran konvensyen ini akan dapat menjadi wadah pencetus “wahdah madaniyyah” sebagai mekanisme penyatuan umat khususnya generasi muda Asia Tenggara. |
Comments