PKPIM Proaktif Dalam agenda Ta'dib
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-82 Sultan Perak. Baginda menekankan perihal adab sebagai penentu terhadap jatuh bangunnya pemimpin, bangsa dan negara disamping membentuk sebuah masyarakat dan negara bangsa yang stabil lagi makmur. Adab yang dimaksudkan di sini, ialah “meletakkan sesuatu pada tempatnya”.
Namun,hasrat murni ini tidak akan tercapai sekiranya insiden-insiden salah laku akhlak yang berlaku dalam kalangan masyarakat sekarang seperti sudah menjadi rutin kebiasaaan. Sebagai contoh, persidangan Parlimen Malaysia yang menjadi tumpuan ramai akibat isu-isu yang hangat dibangkitkan. Malangnya, kehangatan yang timbul bukanlah kerana perdebatan ilmiah ataupun intelektual yang berlaku di antara ahli parlimen tentang isu-isu sentral, tetapi pokok perbahasan lebih tertumpu kepada pergaduhan penuh emosi yang menggambarkan ketidakmatangan ahli politik kita. Hal ini juga berkait rapat dengan suasana kempen pilihanraya yang dilihat sebagai medan untuk menabur fitnah dan adu domba sehinggakan masyarakat begitu muak dan jelik dengan permainan politik murahan pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Persoalannya, Apakah wajar bagi pemimpin negara, yang dipilih oleh rakyat sebagai wakil mereka bagi menentukan dasar-dasar negara, bersikap dengan penuh biadab? Apakah tiada makna dan nilai pada kata ‘adab’ itu sehingga mereka seolah-olah lupa bahawa antara tanggungjawab penting sebagai seorang pemimpin itu adalah memupuk ‘adab’; menjadikan seorang manusia bersikap dengan sikap dan akhlak yang sesuai bagi seorang manusia.
Perkara ini turut mendapat perhatian oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ketika baginda merasmikan persidangan parlimen baru-baru ini. Paling memalukan, peringatan kepada Ahli-Ahli Parlimen (MP) supaya mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang mencerminkan keperibadian sebenar sebagai wakil rakyat telah berlarutan semenjak dua penggal berturut-turut.
Pada dimensi lain, kebejatan sosial yang berlaku dewasa ini juga perlu dijadikan kayu ukur bahawa masyarakat memerlukan perubahan drastik segera sebelum ianya membarah sehingga tiada ubat dan rawatan yang boleh diberikan. Hari ini kita dihidangkan pelbagai statistik demi statistik yang dikeluarkan oleh pihak tertentu menunjukkan data dan jumlah terkini pelbagai penyakit sosial seperti jenayah ragut, rogol, buang bayi, buli dan lain-lain yang berlaku dalam masyarakat kebelakangan ini. Pada hemat saya, biarpun statistik yang ada menunjukkan bahawa kes-kes seperti ini perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib tetapi realiti sebenarnya adalah banyak lagi kes-kes terpencil lain yang tidak dikesan atau tidak dilaporkan.
Akar permasalahan kepada masalah ini bertitik tolak daripada masalah ilmu dimana berlaku kekeliruan dan kesilapan persepi dalam memahami ilmu (confusion and error in knowledge). Kekeliruan ini akhirnya menghasilkan apa yang dijelaskan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas sebagai masalah kehilangan adab (loss of adab). Maksud kehilangan adab ini boleh dijelaskan sebagai "kegagalan seseorang dalam mengenali dan memahami ilmu sehingga meletakkan sesuatu perkara tersebut di tempat yang tidak sepatutnya sehingga menghasilkan ketidakadilan kepada diri dan masyarakat."
Dua keadaan ini, iaitu kekeliruan dan kesilapan persepsi dalam memahami ilmu yang juga turut disulami dengan masalah kehilangan adab akan menghasilkan masalah dahsyat dalam masyarakat. Antara masalah yang timbul ialah lahirnya para pemimpin yang tidak layak dalam memimpin kerana tidak mempunyai kualiti akhlak, intelek dan spiritual yang sepatutnya sebagai seseorang pemimpin dalam semua lapangan baik di rumah mahupun di institusi-institusi pemerintahan.
Bencana ini akhirnya akan menghasilkan satu kitaran kepimpinan yang lemah atau pusaran ganas (vicious cycle) apabila kekeliruan dan kesilapan persepi terhadap ilmu ini meresap ke dalam insitusi pendidikan yang sangat penting dan dominan dalam membentuk seseorang manusia itu.
Namun, proses pendidikan moden yang diamalkan sekarang mengalami satu krisis kekeliruan yang perlu diperbaiki. Antara permasalahan itu ialah;
1) Levelling of Knowledge- Hal ini boleh disimpulkan sebagai menyamaratakan semua ilmu berada di tahap yang setara, tidak kira ilmu wahyu atau duniawi. Dalam tradisi keilmuan Islam, ilmu pengenalan tentang Tuhan (Akidah) diangkat di tempat yang paling utama dan penting, kemudian ibadat, akhlak, bahasa, sirah dan barulah ilmu- ilmu semasa. Malangnya, apa yang berlaku pada hari ini ialah subjek akidah adalah subjek yang terpinggir (marginalised subject),atau ianya dianggap sebagai cukup syarat sahaja terutamanya di peringkat pengajian tinggi (IPT). Keghairahan dan obsesi terhadap disiplin sains dan teknologi menyebabkan semua penumpuan, pelaburan, perancangan dasar dan pembangunan idealisme dilonggokkan di bidang itu. Tidak salah mengatakan bahawa subjek tersebut tidak penting, tetapi apakah kita tidak terfikir anologi yang dibawa oleh seorang ilmuwan yang mengatakan "Dalam masa 50 tahun mereka (manusia) telah menjadi lebih pandai dan handal dalam ilmu penerbangan daripada burung yang telah terbang lebih dari 50 ribu tahun. Akan tetapi burung tahu akan kadar sayapnya; tahu akan luasan dan batasan pengembaraan dan penaungannya; tahu akan tugas dan tujuannya sebab telah diilhamkan demikian, sehingga tiada jadi kekeliruan di tempat masing- masing".
2) Konsep Fardu Ain- Kifayah Disalah Erti- Biasanya kita akan tamat mengenali 'fardu ain' selepas tempoh persekolahan atau tahap baligh. Kemudian apabila seseorang itu memasuki alam universiti atau perkahwinan, tumpuan harus diberikan kepada ilmu fardu kifayah. Secara kronologinya memang tidak salah, akan tetapi ini bukan 'zero- sum- game'; tinggal fasa 'ilmu fardu ain', tinggalkan secara total dan masuk 'fasa fardu kifayah'. Umpama (Fardu Ain vs Kifayah; 0: 1).
Islam sebenarnya menitikberatkan bahawa kedua-dua (fardu ain dan kifayah) mesti berjalan serentak. Apa yang berlaku hari ini ialah, fasa mengenal ilmu fardu kifayah, langsung ditinggalkan ilmu fardu ain, yang semestinya meningkat kefahamannya berdasarkan pengalaman ilmu dan umur kita. Apakah faham kita tentang akidah ketika darjah 1 sama dengan faham ketika tingkatan 4? Semestinya ada perbezaan sedikit. Apatah lagi bila faham ketika tingkatan 5 akan berbeza dengan umur 40 tahun?
Hatta ibadah umat Islam yang berumur 10 tahun akan berbeza dengan umur 25 tahun, dari segi bacaannya, kefahamannya, hafazannya dan sebagainya. Oleh yang demikian pencarian kebahagian dalam hidup ini tidak boleh ada dualisme dalam kehidupan kita. Jika kita tidak meletakkan ilmu fardu ain di tempat yang sewajarnya, maka kita telah melakukan kezaliman. Sebab itu juga ramai yang cemerlang dalam ilmu fardu kifayah, akan tetapi 'kering' dari segi ikatan kefahaman agama yang benar dan mendalam. Makanya, ada yang jadi profesional atau pemimpin sesebuah organisasi, tetapi tidak malu dengan korupsi dan kemungkaran akhlak. Ini semua berlaku kerana faham ilmu akidahnya setakat darjah 1!
Sebenarnya, jika diperhatikan pada hari ini adalah kita terlalu memberikan penekanan kepada proses pembentukan warganegara yang baik (good citizen) dan bukannya kepada pembentukan manusia yang baik (good man).Tidak dinafikan bahawa sebagai sebuah negara membangun, kita perlu melahirkan ramai tenaga kerja yang mahir dan berketrampilan untuk mendokong dan menguruskan proses pembangunan. Namun, apalah ertinya pembangunan infrastruktur dan material jika tidak diiringi secara seimbang dan adil dengan pembangunan manusia yang berkualiti? Manusia yang berkualiti, sudah tentu, tidak hanya punya kemahiran dan pengetahuan untuk mengurus segala sistem yang ada di persekitarannya, tetapi yang lebih penting daripada itu adalah punya kemahiran untuk mengurus dirinya sendiri serta mengurus hubungannya dengan orang lain.
Atas kesedaran inilah, inisiatif murni Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai sebuah NGO gerakan pelajar peringkat kebangsaan yang telah melancarkan “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” dalam usaha menyelesaikan krisis dan masalah generasi muda Malaysia harus dilihat sebagai pendekatan proaktif yang positif. Ta’dib bermaksud keadaan di mana seseorang kenal tempat letak sesuatu dan akhirnya bertindak berdasarkan pengenalan tersebut. Pelancaran gagasan ini juga selaras dengan resolusi yang diputuskan bersama oleh pimpinan PKPIM Pusat dalam usaha ke arah untuk membentuk suatu generasi yang ideal dan mampu menjadi suri tauladan terbaik kepada umat secara keseluruhan.
Dengan bermotokan Meneraju Generasi “Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, gagasan ini juga akan mengambil kira perencanaaan jangka panjang yang meliputi kerangka 25 tahun dalam melahirkan masyaraat yang adil dan makmur.Menurut Presiden PKPIM, Saudara Muhammad Faisal Abdul Aziz, “Matlamat akhir gagasan ini adalah untuk menjadi medium penerus kesinambungan kepada kebangkitan ledakan ubudiyyah sekitar era 70-an lalu”.
Justeru, persoalan-persoalan yang dibangkitakan oleh Raja Nazrin tentang bagaimanakah rupa bentuk negara bangsa yang akan terbina nanti sekiranya elemen adab dan adat sudah tidak lagi ada di kalangan warganya. Adakah lengkap ukuran sebuah negara maju, sebuah negara kaya, jika warganya mundur dengan adab dan miskin dengan adat perlu kita jawab dengan sebaiknya. Jawapan kepada persoalan ini hanya akan terungkai sekiranya penglibatan dan kerjasama aktif dan partisipatif oleh pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak kerajaan mahupun swasta dan orang perseorangan dalam menjayakan agenda ta’dib ini. Peranan ini juga boleh dimainkan oleh institusi agama melalui mimbar masjid yang dilihat sebagai pemangkin yang kuat dalam memberi peringatan mingguan kepada umat Islam agar menekankan kepentingan beradab dalam kehidupan seharian.
Disediakan oleh:
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Exco Penerangan,
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
871112-11-5181
Sekreteriat PKPIM Pusat
Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur, MALAYSIA
Tel (P) : +603-6184 2286
Tel (HP): +6013-222 6925
Comments