Konsep Ta’dib: Satu penjelasan ringkas

Oleh: Faisal Abd. Aziz*

DALAM memberi takrif pendidikan secara sistimatik dan komprehensif, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan dan menjelaskan bahawa tujuan pendidikan menurut Islam adalah untuk melahirkan seorang individu manusia yang baik. Justeru, bagi beliau apa yang perlu kita tekankan dalam pendidikan adalah nilai manusia sebagai manusia sejati.

Maka, beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap individu bukan hanya penting, tetapi juga merupakan strategi yang dilihat ampuh hari ini. Mekanisme pelaksanaannya adalah dengan memberi penekanan terhadap individu yang mengimplikasikan pengetahuan tentang akal, nilai dan spiritual, dan tentang tujuan dan maksud yang sebenar kehidupan ini memandangkan akal, nilai dan spiritual adalah unsur-unsur yang diwarisi oleh setiap individu.

Lantaran itu, konsep Ta’dib yang dipelopori Syed Muhammad Naquib al- Attas merupakan suatu gagasan pendidikan dalam Islam yang bermatlamat untuk menjadikan manusia yang seutuhnya serta mempunyai kecerdasan intelektual yang berlandaskan pada moral dan agama dalam melaksanakan kewajibannya. . Hal ini dapat dilihat menerusi konsep ta’dib yang telah mencakupi konsep ilmu dan amal. Dalam konsep ini dijelaskan bahwa setelah manusia dikenalkan akan kedudukannya, ia diharapkan dapat mengamalkan ilmunya dengan baik dalam kalangan masyarakat berdasarkan nilai-nilai moral dan ajaran Islam.

Menurut Prof. Naquib al-Attas, adab adalah:

“Pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.” Pengenalan adalah ilmu; pengakuan adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu.” Keduanya sia-sia karana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan,” (SM Naquib al-Attas, Risalah untuk Kaum Muslimin, (ISTAC, 2001).

Sebagai contoh manusia yang beradab terhadap orang lain akan tahu bagaimana mengenali dan mengakui seseorang sesuai harkat dan martabatnya. Dalam masyarakat yang beradab, seorang penghibur tidak akan lebih dihormati jika dibandingkan dengan golongan ulama dan terpelajar. Begitu juga seorang wanita fasik, seharusnya ditempatkan pada tempatnya yang tidak lebih tinggi martabatnya dibandingkan muslimah yang shalihah. Itu merupakan antara contoh cabang adab kepada sesama manusia.

Al-Qur’an menegaskan bahawa contoh ideal bagi orang yang beradab adalah Nabi Muhammad s.a.w., yang disebut sebagai manusia Sempurna atau “al-insan al-kulli”. Maka, matlamat utama dalam sistem pendidikan Islam haruslah menjadi cerminan ke arah melahirkan manusia yang beradab dan sempurna.

Dalam pada itu, jika benar-benar diteliti, konsep TA’DIB adalah konsep yang paling tepat untuk pendidikan dalam Islam berbandingTarbiyyah dan Ta’lim. Menurut Syed Naqiub,”Struktur konsep Ta’dib sudah menyangkut unsur-unsur ilmu (’ilm), instruksi (ta’lim), dan pembinaan yang baik (tarbiyah), sehingga tidak perlu lagi dikatakan bahawa konsep pendidikan Islam itu adalah sebagaimana yang terdapat dalam tiga serangkai konotasi Tarbiyah-Ta’lim-Ta’dib.”

Sementara itu, beliau juga mendefiisikan orang yang terpelajar sebagai orang baik, dan ‘baik’ yang dimaksudkan di sini adalah adab dalam erti kata yang menyeluruh iaitu yang meliputi kehidupan spiritual dan material seseorang, serta yang berusaha menyemai kualiti kebaikan yang diterimanya.Oleh karena itu orang yang benar-benar terpelajar menurut perspektif Islam didefinisikan al-Attas sebagai orang yang beradab.

Dalam pada itu, seorang tokoh ulama Indonesia, Kyai Hasyim Asy’ari menyatakan bahawa Tauhid mewajibkan wujudnya iman. Barangsiapa tidak beriman, maka dia tidak bertauhid; dan iman mewajibkan syariat, maka barangsiapa yang tidak ada syariat padanya, maka dia tidak memiliki iman dan tidak bertauhid; dan syariat mewajibkan adanya adab; maka barangsiapa yang tidak beradab maka tiada syariat, tiada iman, dan tiada tauhid padanya.

Syeikh Wan Ahmad al Fathani dari Pattani, dalam kitabnya Hadiqatul Azhar war Rayahin (Terj. Oleh Wan Shaghir Abdullah ““Jadikan olehmu akan yang sekedudukan engkau itu (majlis) perhimpunan ilmu yang engkau muthalaah akan dia. Supaya mengambil guna engkau daripada segala adab dan hikmah” Dalam tulisannya, beliau menyatakan keperluan seseorang individu itu untuk secara konsisten mempunyai adab, maka antara kunci terbaik kearah penyemaian sikap tersebut adalah kewajipan untuk seseorang individu untuk sentiasa berada dalam lingkungan majlis ilmu.

Dalam realiti kehidupan kita hari ini, dunia pendidikan kita seharusnya memberi penekanan terhadap proses ta’dib, iaitu sebuah proses pendidikan yang mengarahkan para siswanya menjadi orang-orang yang beradab. Ini penting memandangkan sekiranya adab itu hilang dalam diri seseorang, maka ia akan mengakibatkankemudharatan, kezaliman, kebodohan, dan kerosakan.

Justeru itu, adab harus ditanam dalam diri seluruh manusia di segenap lapisan masyarakat, sama ada pada murid, guru, pemimpin rumah tangga, pemimpin perniagaan, pemimpin masyarakat, dan sebagainya. Sekiranya golongan yang memegang amanah untuk mengurus tadbir institusi sebagai contoh tidak beradab, maka akan terjadilah kerosakan yang lebih parah.

* Penulis merupakan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Comments

Anonymous said…
apa nilainya segulung ijazah sekiranya nur ad-Din ditinggalkan di belakang. Astaghfirullah.. artikel ini sgt2 mentarbiyah hati ana..

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”