Seminar Sehari Pandangan Alam Islam (Worldview Islam) dan Syarahan Perdana Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas

Intelektual perlu pandangan alam yang tepat

oleh: Y.B Dato' Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri KPT)

KITA memerlukan intelektual untuk mendefinisi, meneroka, membentuk, membangunkan, mempertahankan dan meneruskan tamadun dan peradaban. Persoalannya, adakah intelektual diberikan ruang dan peluang untuk berperanan dengan sedemikian rupa? Adakah ruang dan peluang itu disediakan dengan setulus kudus, atau ia sekadar untuk membolehkan pihak tertentu kelihatan prointelektual?

Adakah peranan intelektual benar-benar diiktiraf, atau ia sekadar melepaskan batuk di tangga? Adakah orang yang ditampilkan sebagai intelektual itu sebenar-benarnya intelektual atau sekadar intelektual rupaan? Adakah orang yang dilantik memimpin organisasi intelektual itu sebenar-benarnya pemimpin intelektual atau sekadar pemimpin bodektual?

Persoalan yang lebih besar ialah adakah intelektual mempunyai pandangan alam yang tepat, iaitu yang selari dan selaras dengan makna tamadun dan peradaban yang dimaksudkan itu? Pandangan alam adalah orientasi kognitif yang fundamental yang meliputi antara lain, falsafah, nilai dan etika, yang merujuk kerangka sesuatu idea dan kepercayaan yang melaluinya, seseorang menterjemah dunianya dan berinteraksi dengannya. Pandangan alam yang tepat amat penting buat semua. Lebih-lebih lagi buat intelektual.

Tanpa pandangan alam yang tepat, kita tidak akan mencapai kecemerlangan hakiki. Contohnya, pada zaman dahulu, ketika pandangan alam mengatakan bahawa bumi adalah sekeping permukaan yang hujungnya bertebing curam, orang tidak berani belayar jauh ke tengah lautan kerana takut terjatuh di hujung bumi lalu ditelan bumi.

Hanya apabila pandangan alam itu berubah dan mengatakan bahawa bumi adalah bulat, maka barulah orang berani menjelajah tujuh lautan. Barulah berlaku pengembaraan-pengembaraan yang hebat dan pembukaan tanah-tanah baru yang subur di seberang laut.

Malangnya, mutakhir ini, persoalan yang sepenting ini kurang dibicarakan, termasuk oleh orang dan organisasi yang sepatutnya membicarakannya. Kerana itu, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) atas usaha menganjurkan Seminar Sehari Pengukuhan Pandangan Alam Islam di Kuala Lumpur pada 13 Disember lalu. Seminar itu dimulai dengan ucap utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud yang melaluinya saya cuba memahami pemikiran Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, reformis dan pemikir tulen yang memiliki kekuatan dan kekreatifan intelektual yang berpengaruh dalam pemikiran dan peradaban Islam moden.

Ini diikuti dengan pembentangan kertas kerja oleh enam orang intelektual muda iaitu Makna dan Matlamat Agama dalam Islam (Dr. Mohd Farid Mohd Shahran), Faham Ilmu dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas (Dr. Mohd Zaidi Ismail), Adab dan Ta'dib sebagai Asas Pendidikan Islam (Dr. Mohd Sani Badron), Islam dan Falsafah Sains (Dr. Adi Setia Mohd Dom), Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan (Dr. Wan Azhar Wan Ahmad) dan Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan (Dr. Khaliff Muammar A. Haris). Kemuncak seminar ialah Syarahan Perdana oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Di hadapan khalayak yang di luar jangkaan, ramainya dan dari pelbagai latar belakang itu, beliau membicarakan isi-isi utama dari bukunya (2007), Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam, yang diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam buku itu, antara lain, Prof. Naquib mengatakan bahawa dari perspektif Islam yang disebut 'pandangan alam' itu bukanlah sekadar pandangan terhadap alam jasmani sahaja, tetapi termasuk juga alam rohani.

Islam tiada menerima faham pemisahan antara yang rohani dan jasmani memandangkan kedua-duanya itu, meskipun berlainan, tetapi adalah penjelmaan satu hakikat rohaniah. Prof. Naquib menjelaskan bahawa pandangan alam Islam bukan hanya tertumpu pada dunia sahaja, tetapi dunia dilihat sebagai persediaan untuk akhirat.

Segala-galanya dalam Islam akhirnya bertumpu pada wajah akhirat tetapi dengan tanpa sekali-kali menganjurkan sikap mengabaikan atau tiada peduli akan wajah dunia. Menurutnya, sekiranya didapati di kalangan pemikiran Muslim pengertian pandangan alam itu difahami sebagai merujuk hanya kepada alam jasmani sahaja, maka keadaan itu membuktikan bahawa kita telah dipengaruhi oleh pemikiran sekular Barat.

Selanjutnya, beliau mengatakan bahawa bagi umat Islam, pandangan alam bererti pandangan zahir dan batin terhadap hakikat kewujudan dan kebenaran yang semuanya adalah berdasarkan wahyu Allah S.W.T. Para pemikir Islam mengamalkan cara dan gaya tauhid terhadap ilmu. Pandangan alam yang tepat umpama peta yang memandu pemikiran intelektual. Jika tersesat, maka peta menunjukkan arah yang betul.

Dalam menyelesaikan masalah, intelektual akan cermat mengenal permasalahan sebenar sebelum merangka tindakan yang sesuai dan sewajarnya. Malahan, intelektual akan mengenal pasti punca kepada permasalahan sebenar itu. Ini bagi mengelakkan daripada munculnya jawapan permasalahan yang separa masak, tidak tepat, berjangka masa pendek, terburu-buru dan tidak menguntungkan. Intelektual akan mengelak daripada terjebak dalam apa yang disebutkan oleh Prof. Naquib sebagai 'kekeliruan ilmu', iaitu ketidakmampuan mengiktiraf nilai-nilai yang ada dalam epistemologi Islam untuk memahami sesuatu disiplin ilmu. Ia sebaliknya menjulang nilai ilmu yang sudah tercemar yang lahir dari rahim Barat ke dalam kerangka ilmu semasa.

Fenomena kekeliruan ilmu boleh menyebabkan berlakunya putaran ganas yang melahirkan pemimpin yang keliru. Pemimpin yang keliru akan menggubal dasar dan program yang juga keliru. Paling malang ialah jika ia adalah dasar dan program tentang ilmu, intelektual dan organisasi intelektual.

Dalam konteks ini, salah satu usaha penting ialah Forum Pengajian Tinggi Global 2009 yang digerakkan oleh USM di Pulau Pinang pada 13 hingga 16 Disember lalu. Tidak seperti kebanyakan pertemuan yang menjurus ke arah pengkhususan, forum itu melihat gambaran yang lebih luas iaitu membahaskan trend semasa dan perspektif masa depan pengajian tinggi serta bagaimana meningkatkan kerjasama selatan.

Forum itu juga mempersoalkan sistem pengukuran kecemerlangan universiti antarabangsa yang kini didominasi oleh sistem yang digubal dan dilaksanakan secara unilateral oleh Barat. Justeru, timbul gesaan agar intelektual kita melahirkan sistem pengukuran alternatif yang berasaskan tamadun dan peradaban kita. Pandangan alam yang tepat akan menentukan tafsiran yang juga tepat terhadap banyak perkara yang menyentuh dunia intelektual.

Antaranya ialah definisi ilmu, penghayatan budaya ilmu, mengembalikan roh pendidikan, menegakkan falsafah dan dasar pendidikan bersepadu, erti dan cara pengukuran kecemerlangan, makna dan peranan sebenar universiti/sekolah, melahirkan insan kamil, menyeimbangkan akademik dan kokurikulum, meningkatkan partisipasi mahasiswa/pelajar dan pensyarah/guru sebagai pihak berkepentingan dalam membuat keputusan dan sebagainya.


Entri sebelumnya.....




Tarikh: Ahad, 13 Disember, 2009
Masa: 8:15am - 11:15pm
Tempat: Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta


PENDAHULUAN

Dalam menghadapi kegentingan masalah masyarakat Islam dalam pelbagai bidang dewasa ini, satu usaha yang terencana dan teliti bagi merungkai masalah tersebut amat diperlukan. Oleh sebab itu, segala penyelesaian yang ingin dilakukan haruslah bermula dengan usaha memperbetulkan cara berfikir masyarakat Islam terutama yang berhubung dengan unsur-unsur penting yang membentuk alam pemikiran mereka. Bertitik tolak dari kesedaran tentang pentingnya usaha tersebut satu seminar sehari pengukuhan Pandangan Alam Islam akan dianjurkan oleh Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM) dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Institut Integriti Malaysia.


OBJEKTIF

1. Menekankan keutamaan Pandangan Alam Islam dalam kerangka berfikir masyarakat Islam.
2. Memantapkan kefahaman masyarakat, khasnya generasi muda, tentang Pandangan Alam Islam yang sebenar.
3. Menghuraikan unsur-unsur penting dalam Pandangan Alam Islam.


PENGANJUR

Himpunan Keilmuan Muda (HAKIM)
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Dengan kerjasama,
Institut Integriti Malaysia (IIM)
PESERTA


Sasaran penyertaan sebanyak 200 orang (bagi Seminar) dan 500 orang (bagi Syarahan Perdana) daripada kalangan ahli akademik, ahli profesional, pelajar dan orang awam.


YURAN

Yuran Seminar dan Syarahan Perdana:
Organisasi : RM100 seorang (kumpulan 5 orang)
Individu : RM150
Pelajar : RM20

Yuran untuk Syarahan Perdana sahaja:
Individu : RM50
Pelajar : RM10


TENTATIF PROGRAM

9.00 – 10.30 pagi Perasmian oleh Tetamu Kehormat

Ucap Utama oleh Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, UKM
Tajuk: Pengukuhan Pandangan Alam Islam Di Kalangan Masyarakat Islam Kini: Cabaran dan Harapan


11.00 – 1.00 ptg Sidang Pertama
Pembentang:
1. Dr. Mohd Zaidi Ismail, IKIM
Tajuk: Faham Ilmu Dalam Islam: Satu Pengenalan Ringkas

2. Dr. Mohd Farid Mohd Shahran, UIAM
Tajuk: Makna dan Matlamat Agama dalam Islam


2.00 – 3.30 ptg Sidang Kedua
Pembentang:

1. Dr. Mohd Sani Badron, IKIM
Tajuk: Adab dan Ta’dib sebagai Asas Pendidikan Islam

2. Dr. Adi Setia Mohd Dom, UIAM
Tajuk: Islam dan Falsafah Sains



3.45 - 5.30 ptg Sidang Tiga
Pembentang:

1. Dr. Ahmad Bazli Shafie, UMT
Tajuk: Pandangan Islam terhadap Tradisi dan Kemodenan

2. Dr. Wan Azhar Wan Ahmad, IKIM
Tajuk: Islam dan Cabaran Sekularisasi dan Pembaratan



5.30 - 8.30 Rehat




9.00 – 11.00 mlm Syarahan Perdana ( Dalam Bahasa Inggeris/In English)

Oleh: Professor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas


Komentar: Ini kali pertama setelah 6 tahun hiatus, Prof. Al-Attas tampil untuk syarahan di ruangan awam. Bagi para peminat beliau silalah datang! Ajak kawan-kawan foreigner sekali untuk syarahan malam ini!


UNTUK PENDAFTARAN SILA KLIK PADA POSTER DI BAHAGIAN ATAS SEKALI DAN HUBUNGI NOMBOR YANG TERTERA PADANYA.

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”