Konvensyen Mahasiswa MPP @ UTHM
Pada 15 sehingga 19 Mei lepas, saya berkesempatan untuk menghadiri Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia di Batu Pahat, Johor (dahulunya dikenali sebagai KUiTHO). Rombongan MPP UIA seramai 16 orang termasuk seorang daripada Bangladesh (Bro Tanvir) turut ikut serta.
Rombongan menaiki bas (Bukan BAS UIA) sampai pada tengahari sebelum kami diberikan tempat penginapan di Kolej Tun Dr Ismail. Melihat kepada keadaan kampus yang masih dalam proses penambahbaikan dan naik taraf sebagai sebuah universiti teknikal terkenal di Malaysia. Turut mencacatkan pemandangan dikampus ini ialah kewujudan kilang kayu yang membuang sisa-sisa toksik ke udara. Pada mulanya fikir saya Universiti ini mempunyai kilangnya sendiri. Walaubagaimanapun, layanan baik yang diberikan oleh tuan rumah kepada para peserta konvensyen adalah baik dan memuaskan.
Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Kepimpinan & Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM) di bawah penyeliaan Sekretariat Timbalan-Timbalan Naib Canselor (HEPA) IPTA.
Konvensyen sepanjang 5 hari yang bertemakan "Mahasiswa teras pembangunan modal insan cemerlang" membawa dimensi baru kepada pemimpin mahasiswa kerana program yang terisi menjurus kepada pengiktirafan pihak KPT kepada golongan mahasiswa. Hal ini kerana sepanjang program ini tentatif program yang terisi kebanyakannya menjurus kepada penglibatan secara langsung para pemimpin IPTA mahupun IPTS dalam mengutarakan pendapat dan pandangan.
Ini dapat dibuktikan dengan adanya pembentangan kertas kerja yang mengambil masa sepanjang hari dalam konvensyen tersebut dengan penglibatan beberapa IPT yang terpilih untuk membentangkan kertas kerja masing-masing berdasarkan topik-topik yang telah ditetapkan. Antara tema perbincangan dalam prosing kertas kerja yang dibekalkan ialah berkisarkan kepada isu pendidikan, kepimpinan, sahsiah dan keusahawanan.
Justeru, matlamat penganjur untuk membentuk dan melahirkan barisan pemimpin pelajar yang kental dan mempunyai sahsiah diri yang cemerlang disamping dapat sama-sama berkongsi idea dan buah fikiran dapat dicapai.
Saya juga tidak melepaskan peluang dan ruang untuk terlibat sama secara aktif dalam apa jua perbincangan dan perkongsian yang disampaikan. (kadang kala dikacau dan dilibatkan sama oleh Fariz yang banyak gangguannya) Meskipun ramai juga pimpinan mahasiswa lain yang begitu kritis dan objektif dalam mengutarakan pandangan dan kritikan dalam sesuatu isu, tidak dinafikan juga dengan persoalan-persoalan sesetengah pihak yang berbau 'emosi' yang berulang-ulang kali diaju dan dibawa untuk perbincangan.
Dalam konvensyen kali ini juga tidak dinafikan kewujudan 'Fahmi' versi UPM menjadi daya tarikan tersendiri. Sering kali dijadikan bahan tawa dan gurauan baik pimpinan UIA dan juga UPM mahupun Dato' Saifuddin Abdullah dan TNC UTHM (Prof. Amir). Inilah yang dikatakan rezeki kembar. Tidak ditemukan di rumah dek kerana kesibukan masing-masing, bertemu di program-program sebegini pun jadilah..
Bagi mereka yang tidak tahu pun sudah tahu....
Konvensyen ini diserikan oleh perasmian oleh YB Datuk Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) yang banyak mengupas tentang peranan dan gagasan Satu Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia yang perlu dibawa oleh pemimpin mahasiswa dalam konteks memimpin pelajar diperingkat kampus.
Antara tokoh lain yang memberi pengisian dalam konvensyen ini ialah Datuk Dr Ramlah Adam(perspektif sejarah), Datuk Dr Adham Baba (perspektif keusahawanan)dan pada malamnya Datuk Dato' Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) sebagai aktiviti kemuncak dengan meluangkan lebih kurang 3 jam berdiri dalam melayan kerenah kami dalam merungaikan persoalan dan permasalahan para pemimpin secara terus. Beliau juga memberi peringatan kepada pemimpin mahasiswa perlu dipersiap dengan idealisme, aktivitisme dan intelektualisme tersendiri berdasarkan kefahaman spiritualisme yang mantap.
Program konvensyen ini juga disisi dengan aktiviti khidmat masyarakat dan lawatan ke kawasan industri di sekitar Batu Pahat. Saya berpeluang untuk ke Kampung Sungai Rambut. Kedatangan kami disambut dengan tangan terbuka oleh pihak penduduk dan sekolah. Pihak sekolah juga pada hari tersebut mengadakan sambutan Hari Guru dan kami semua berpeluang untuk terlibat bergotong royong dan terlibat dalam acara sukaneka bersama para guru dan murid-murid.
Sempat juga saya menemuramah para pelajar dan beberapa guru berkenaan pelaksanaan PPSMI di sekolah yang sudah tentu menjadi beban dan tanggungan yang berat kepada pihak sekolah dan para pelajar secara khususnya. Beberapa pimpinan pelajar juga prihatin dan mengambil berat isu ini secara serius. Saya juga sempat berdiskusi isu ini bersama bakal-bakal guru dan juga YDP-YDP IPTA..
Konvensyen ini berakhir dengan usaha semua pihak dalam menyiapakan resolusi bersama dalam beberapa isu yang dibincangkan. Walauapun saya melihat perbincangan dan hasil keputusan resolusi tidak mencapai kata sepakat sebenar bagi sebahagian pihak, namun usaha seperti ini harus dipuji dan dikitiraf. Cumanya penambahbaikan perlu dimabil oleh setiap YDP mahupun Presiden MPP dalam usaha untuk memurnikan kembali segala keputusan yang telah dibuat.
Tindakan susulan perlu diperhebatkan dengan menggunakan paltform MPPK sebagai salah satu wahana dan medan terbaik bagi menyuarakan masalah dan pandangan mahasiswa dalam beberapa isu bersama. Beberapa isu lain yang perlu dibangkitan dalam program seperti ini ialah integrasi antara kaum masih lagi kurang memuaskan berdasarkan pemerhatian saya. Konsep dan gagasan Satu Malaysia perlu diaplikasikan secara lebih praktikal dalam keadaan seperti ini.
Sebelum kami berangkat pulang, konvensyen ini disudahi dengan program bual bicara, BICARA SISWA terbitan RTM yang bersiaran secara langsung menampilkan ahli panel daripada NC UTHM, Prof. Dato' Dr Mohd Noh Dalimin, YDP UPM dan jufa YDP MPP UNIMAS dan dipengerusikan oleh Dr Fadzley Yaacob.
Semoga dengan penglibatan dalam program sebegini dapat memberikan satu makna baru kepada diri dalam usaha mempersiap diri menjadi pemimpin negara mendatang. Sesungguhnya penglibatan golongan belia muda dalam program sebegini menjurus kepada peningkatan ketrampilan dan ketokohan pemimpin pelajar disamping membentuk semangat jati diri pemimpin pelajar supaya sentiasa mempersiap diri dengan ilmu, pengalaman dan jati diri yang lengkap dan sempurna.
Sekian,
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
SRC Office
Comments