Friday, April 3, 2009

Tahniah dan Takziah PM ke-6

Tanggal 3 April 2009 melakarkan satu lagi sejarah tersendiri kepada Malaysia apabila Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini dengan rasminya diisytiharkan sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara.

najib installed as sixth malaysia prime minister 030409Balairong Seri sekali lagi menyaksikan peralihan politik negara ini dalam usianya 52 tahun selepas kemerdekaan dimana pemimpin-pemimpin kanan negara, pegawai kanan kerajaan dan dif-dif kehormat dari dalam dan luar negara diundang untuk menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah ini

Penulis bekesempatan menyaksikan upacara bersejarah ini. Perancangan asal mahu melihat siaran langsung di Kafe As-Siddiq sahaja sambil pekena teh tarik dan roti canai. Memandangkan Tv tidak berfungsi terus sahaja penulis ke Pejabat Mahallah. Alhamdulilah, Principal Dr. Fuzi berada waktu itu kerana semua staff lain terpaksa menghadiri program kerohanian.

Kendatipun pelantikan ini mendapat bantahan daripada kesemua 81 ahli Parlimen pembangkang, tetapi proses peralihan transisi kepimpinan negara tetap diteruskan dalam keadaan yang aman dan tenteram meskipun jika dibandingkan dengan situasi negara lain yang kebiasaannya akan mengalami krisis politik tertentu akibat pertukaran kerajaan dan kepimpinan negara.

Menarik juga untuk saya mengulas isi kandungan khutbah Jumaat kebanyakan Masjid-masjid di Malaysia yang menekankan kepada soal peralihan kuasa ini biarpun khutbah spontan di UIA disampaikan dalam Bahasa Arab oleh Prof As-Saadi tidak menekankan tentang perkara ini.

Rakyat Malaysia diseru supaya menghargai pengorbanan Mantan Perdana Menteri kerana tindakan beliau untuk memastikan kestabilan negara terus kukuh dan rakyat boleh meneruskan kegiatan ekonomi dan beribadah secara aman.

"Mimbar ini amat yakin peralihan kuasa secara aman dianggap sebagai langkah bijak demi menjaga masalah negara dan masa depan umat Islam," menurut teks khutbah tersebut yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Kandungan khutbah itu menyatakan bahawa berdasarkan sejarah politik negara, peralihan kuasa secara aman bukanlah perkara baru tetapi sebenarnya telah menjadi budaya di negara ini.

"Banyak negara kagum dengan tradisi peralihan kuasa di Malaysia tanpa ada kekecohan besar walaupun rakyat terdiri daripada berbilang kaum dan berlainan agama."

Selain itu, umat Islam juga diingatkan bahawa jawatan pemimpin tidak boleh dianggap sebagai satu keistimewaan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan dalam memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

"Islam melihat seorang pemimpin itu ibarat wakil atau pemberi khidmat kepada rakyat manakala rakyat pula berhak untuk menasihati seseorang pemimpin," menurut khutbah itu.

Pada majlis bersejarah itu juga, Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi dan isteri dikurniakan anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran Tun yang telah disempurnakan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai tanda penghargaan oleh Baginda dan negara atas sumbangan Tun Pak Lah.

Berikut merupakan profail Perdana Menteri Malaysia ke-6 ini.

Datuk Seri Najib dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang.Beliau merupakan anak sulung Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Rahah Mohamad Noah.

pak lah and najib raising the umno flag agm 2009 260309 02Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapat ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada 1974.

Beliau mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi Parlimen Pekan ekoran kematian mengejut bapanya di London Januari 1976 dan menang tanpa bertanding dan muncul sebagai anggota Dewan Rakyat termuda pada usia 23 tahun.

Datuk Seri Najib dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi Menteri Besar termuda dalam sejarah negara, pada umurnya baru sahaja 29 tahun.

Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos, Timbalan Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Kewangan.

Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai Menteri Besar Pahang.Pada 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke Kementerian Pertahanan.Beliau dilantik Menteri Pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui Kementerian Pertahanan.

Setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Oktober 2003, Datuk Seri Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 6 Januari 2004.Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai Menteri Kewangan dan jawatan Menteri Pertahanan diterajui oleh Abdullah.

Meskipun banyak suara yang menentang pelantikan Datuk Seri Najib sebgai P.M kita harus menerima hakikat bahawa Perdana Menteri ke-6 sudah diperkenankan oleh YDP Agong. Hal ini sekaligus mengangkat kembali peranan sebenar Institusi Beraja dalam pengamalan prinsip raja berpelembagaan disebalik kemelut dan kecaman keatas institusi ini dalam kemelut politik yang berlaku.

Menarik juga dianalisa apabila melihat kepada situasi Datuk Seri Najib yang mengambil tampuk pemerintahan disebalik pelbagai kekangan dan masalah yang berlaku dalam dan luar negara. Krisis ekonomi yang semakin meruncing, krisis politik tanahair dan juga beberapa isu sensitif yang hangat diperkatakan baik di media massa mahupun di alam siber. Hal ini boleh dibandingkan semasa ayahanda beliau iaitu Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ke-2) yang juga merupakan Bapa Pembangunan waktu itu dalam menghadapi krisis perkauman selepas Persitiwa 13 Mei 1969 waktu itu.

Cabaran yang bakal ditempuhi oleh Perdana Menteri baru ini semestinya semakin sukar dan kompleks jika diambil kira situasi yang berlaku sekarang. Justeru, saya mengharapkan pembabitan dan pengalaman luas beliau selama 33 tahun dalam arena politik dan urusan pentadbiran negara diguna pakai dengan sebaiknya setelah memegang kerusi no 1 negara.

Amanah yang dipikul perlu dipikul dengan sejujurnya dengan pengamalan dan penghayatan yang sebenar selaras dengan maksud isi sumpah setia dihadapan Yang Dipertuan Agong pagi tadi.

Tindakan beliau selepas ini sudah tentu menjadi tanda tanya dan reaksi yang berbeza baik daripada pihak Kerajaan mahupun Pakatan Rakyat. Bagaimana pula dengan Saf Kepimpinan Jemaah Menteri idaman yang bakal diketahui Rabu ini? Apakah polisi dan dasar baru yang akan diperkenalkan beliau?

Ramai yang skeptikal akan tindakan beliau akan datang.

Paling penting, segala tuduhan dan kecaman yang telah dan sedang hebat dilemparkan kepada beliau perlu dijawab dengan segera. Jika tidak, rakyat akan tertanya-tanya. Sudah tentu sebagai pemimpin utama negara, isu-isu sensitif sebegini boleh memberikan imej dan persepsi yang tidak baik kepada masyarakat dunia.

Selain itu, konsep keterbukaan, program-program pembangunan, dasar-dasar dan polisi-polisi positif yang memberi impak dan kesan yang mendalam kepada rakyat yang telah dilaksanakan semasa pemerintahan Tun Abdullah perlu diteruskan selagi mana ianya tidak bertentangan dengan prinsip dan perlembagaan negara.

Penulis berfikiran positif dalam menerima realiti bahawa peranan Datuk Seri Najib sangat penting dalam memacu agenda negara ke arah mencapai Wawasan 2020.

Tahniah dan Takziah Datuk Seri!!

Akhirnya.. Ramalan teori R.A.H.M.A.N yang menjangkakan senarai nama Perdana Menteri Malaysia mengikut abjad diakui releven...

Rahman
Abdul Razak
Hussein Onn
Mahathir
Abdullah
Najib

Sekian,

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Library UIAM
3April 2009

2 comments:

akey87 said...

cam pernah bace jer...tapi tk ingat kat mane, yg ptg bukan kat cni..
=(^,^)=

Ahmad Fahmi said...

Artikel yang ditulis adalah berdasarkan kepada rujukan penulis sebelum diolah mengikut cita rasa penulis sendiri.