Wednesday, April 15, 2009

Boikot DUN Terengganu Tindakan Dangkal

oleh: A Kadir Jasin


PEMULAUAN sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu oleh 10 wakil rakyat Barisan Nasional (Umno) minggu ini adalah tindakan dangkal dan hambar.

Ia boleh membantutkan usaha kepemimpinan baru Umno dan negara memperbaiki imej dan prestasinya.

Apa pun alasan 10 Adun BN dari Umno itu – termasuk kononnya “takut dibunuh”—ketidakcerdikan dan kecetekan pemikiran mereka sangatlah memalukan Umno.

Sepuluh Adun itu adalah itu adalah Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Din Adam (Bukit Besi), Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).

[Peringatan Penting: Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Masih ada yang tidak mematuhi syarat ini.]

Jelas bahawa 10 wakil rakyat itu tidak dapat membezakan antara pokok dan hutan, antara isu dan tindakan. Ada dua isu yang berlainan di sini.

Pertama tidak setuju dengan Menteri Besar, Ahmad Said. Tidak kiralah tidak setuju yang biasa atau tidak setuju yang teruk sehingga mahu dia digantikan. Kedua memboikot sidang DUN.

Adalah amat menyedihkan dan buruk alamatnya kepada Umno jika 10 Adun itu, termasuk bekas seorang Menteri Besar (Idris Jusoh) terlalu dangkal sehingga tidak dapat membuat perbezaan ini.

Tidak setuju dengan MB adalah isu dalaman Pentadbiran Kerajaan Terengganu dan parti Umno. Masalah ini sepatutnya diselesaikan dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri dan Umno bukannya dengan memboikot DUN.

Memboikot DUN menjejaskan prinsip demokrasi dan konsep perwakilan yang menghubungkan wakil rakyat dengan rakyat jelata yang memilih mereka.

Dalam konteks ini, kita mahu tahu adakah rakyat jelata yang memilih mereka merestui pemberontakan mereka terhadap Ahmad Said atau setuju dengan perbuatan mereka memboikot sidang DUN?

Tindakan mereka dan reaksi Ahmad Said adalah sangat buruk dan amat memalukan.

Justeru itu, adalah tidak memadai bagi Presiden baru Umno merangkap Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, setakat mengarahkan mereka kembali menghadiri sidang DUN.

Nasib baiklah pembangkang tidak kuat dalam DUN Terengganu. Kalau kuat, kerajaan BN boleh tumbang. Daripada 32 kerusi DUN, BN mengusai 24 kerusi dan Pas lapan.

Itu pun, menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, ketiadaan mereka ketika sesi soal jawab pagi semalam telah membolehkan lapan Adun Pas menguasai dewan.

Walaupun 10 Adun yang dangkal itu sudah menghadiri semula persidangan DUN hari ini seperti yang dilaporkan oleh The Star Online, kes ini tidak boleh disapu ke bawah tukar begitu sahaja.

Mohd Najib dan timbalannya Muhyiddin Yassin wajib bertindak tegas mendisiplinkan para pemboikot itu dan mengatasi isu Terengganu agar imej Umno sebagai parti yang lemah dan sedang menuruni cerun ke arah kemusnahan dapat diatasi.

Kalau Ahmad Said gagal atau kurang berkesan sebagai Menteri Besar dan pemimpin Umno negeri, dia wajib beri dia tunjuk ajar dan kalau tak makan ajar, parti wajib bertindak tegas ke atasnya, termasuk menggantikan dia dengan orang lain.

Bukankah ini janji Mohd Najib melalui penilaian key performance index (KPI) dan ikrar rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?

Mohd Najib dipetik sebagai berkata keadaan di Terengganu bukanlah “krisis yang teruk” (full-blown political crisis). Tetapi apakah beliau akan menunggu sehingga nasi menjadi bubur baru hendak bertindak tegas?

Dakwaan 10 Adun Umno yang dangkal itu bahawa nyawa mereka dalam bahaya mengingatkan kita alasan yang serupa yang diajukan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim, apabila dia lari berlindung di Kedutaan Turki tidak berapa lama dulu.

Janganlah pembesar politik kita, tidak kira daripada BN, PKR, Pas atau DAP, sengaja mengada-adakan alasan bagi menghalalkan tindakan mereka yang dangkal dan bacul sehingga memalukan bangsa dan negara.

Mengenai dakwaan bahawa Setiausaha Agong Pas, Kamaruddin Jaafar, membandingkan situasi di Perak dengan Negeri Thai dan berkata yang huru-hara boleh terjadi di Perak sekiranya DUN tidak dibubarkan dan pilihan raya baru diadakan, saya kurang pasti.

Tidak kiralah siapa yang membuatnya, tetapi kenyataan seperti ini seolah-olah cuba menghalalkan tindakan keingkaran sivil seperti tunjuk perasaan dan rusuhan macam yang berlaku di Kuala Kangsar Februari lepas.

Setelah lama memeras otak dan mencari petunjuk, Kerajaan PKR Selangor yang hari ini menolak surat peletakan jawatan Adun dan Exco Elizabeth Wong Keat Ping yang gambar bogelnya disebar luas oleh bekas kekasihnya, Hilmi Malik, yang juga penggiat penting PKR. Hilmi sedang dicari Polis.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, berkata Cik Wong akan disuruh mengekalkan jawatan Exco dan Adun Bukit Lanjan dan kembali bertugas serta merta.

Sementara itu, di Pulau Pinang pula Ketua Menteri DAP, Lim Guan Eng, berkata jawatan Timbalan Ketua Menteri (1) akan kekal kosong “untuk memberi peluang kepada Anwar menyelesaikan masalah dalaman partinya.”

Jawatan itu kosong apabila Adun PKR Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin, meletakkan jawatan 8 April lalu setelah didakwa menerima rasuah daripada seorang pengusaha kuari di negeri itu. Dia sedang disiasat oleh Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

“Anwar tidak dapat menyetujui permintaan saya untuk membuat perakuan siapa akan mengisi kerusi Exco dan dilantik Timbalan ketua Menteri (1),” Malaysiakini memetik Guan Eng.

Komentar:

Isu ini sangat menarik minat penulis untuk menilai dan membuat kesimpulan awal berkenaan masalah politik dalaman di Malaysia. Mungkin akan dipanjangkan lagi selepas ini...

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
KENMS IIUM

No comments: