Wednesday, February 4, 2009

MUKTAMAR APIS

Hari Ahad yang lepas, penulis dijemput untuk menjadi Pengerusi Tetap Mesyuarat Perhimpunan Agung APIS di Masjid Kolej Malaya di Petaling Jaya. APIS merupakan Alumni Pelajar Islam SBP yang menghimpunkan bekas-bekas pelajar SBP di seluruh Malaysia.

Muktamar kali ke-2 yang dianjurkan APIS ini menunjukkan kematangan dan kesungguhan adik-adik dalam menghadapi cabaran semasa dengan melibatkan diri dalam persatuan yang sedang meningkat naik ini.

Sedikit pengenalan tentang APIS.

SEJARAH / LATAR BELAKANG

Gerakan Islam ini pada peringkat permulaannya dikenali sebagai Persatuan Pemimpin Islam SBP (PPI SBP) setelah usaha untuk menubuhkannya dilakukan pada bulan Januari 2006. Idea awalnya adalah untuk menubuhkan rangkaian badan dakwah SBP. Surat dihantar kepada hampir semua pemimpin badan dakwah SBP.Kerja pada fasa permulaan ini dilaksanakan oleh pihak Badan Nahdhah Islamiah (BANI) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Pada awal Januari 2007,dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam (PKPIM),PPI SBP ditukarkan menjadi Alumni Pelajar Islam Sekolah Berasrama Penuh (APIS) dan bergerak aktif dalam membantu memberi kefahaman dan penghayatan Islam bagi kelompok bekas pelajar dan juga pelajar semasa SBP.

RASIONAL PENUBUHAN

Alumni Pelajar Islam SBP (APIS) merupakan satu organisasi Islam yang berperanan untuk menghubungkan pelajar dan bekas pelajar SBP serta badan dakwah seluruh sekolah berasrama penuh dengan mewujudkan hubungan kepimpinan, program bersama, perkongsian ilmu dan aktiviti Islami.

APIS optimis dalam usaha untuk mewujudkan iklim dinni dan penghayatan Islam, mengukuhkan persaudaraan Islam, memantap serta menggilap potensi kepemimpinan Islam dan pengurusan organisasi dakwah.Potensi, peranan, dan penglibatan APIS mampu dimurnikan dan diperluas dari masa ke masa.

Interaksi berkesan antara pelajar yang masih berada dalam SBP dengan bekas pelajar SBP ini mampu untuk memantapkan keterampilan,kepimpinan serta pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang.

OBJEKTIF PENUBUHAN

1. Sebagai satu platform kepada pelajar lepasan SBP untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dalam peglibatan dalam aktivisme Islam.
2. Mewujudkan rangkaian / perhubungan antara badan dakwah SBP.
3. Mewujudkan ruang bagi pelajar dan lepasan SBP yang cenderung untuk menceburkan diri dalam aktiviisme Islam.
4. Memberi kefahaman Islam kepada pelajar dan lepasan SBP.
5. Menggalakan pengamalan hidup berdasarkan ajaran Islam.
6.Membentuk ikatan persaudaraan antara pelajar dan bekas pelajar SBP.

VISI

"Melahirkan muslim profesional berasaskan kefahaman Islam yang syumul."

MISI
1. Menjana kemantapan penghayatan ruh Islam dalam segenap aspek kehidupan.
2. Menghimpunkan pelajar-pelajar lepasan SBP dalam lapangan amal Islami.
3. Menjalinkan persaudaraan Islam dalam kalangan ahli.

Kehadiran penulis bersama Presiden PKPIM, Sdra Hilmi Ramli yang merasmikan Muktamar tersebut. Sesungguhnya, kerjasama antara PKPIM-APIS boleh diibaratkan sebagai hubungan adik dan abang dalam sebuah keluarga yang bahagia.

Tahniah kepada Abg Hilmi kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada adik-adik APIS untuk terus maju dan mara kehadapan.



Ucapan dasar oleh Presiden APIS, Sdra Ikhwan membuka mata penulis bahawa sekiranya adik-adik ini diberi peluang untuk belajar dan mendapatkan seberapa pengalaman yang ada selepas belajar, hasilnya sepertimana yang terkandung dalam ucapan dasar tersebut yang seharusnya menjadi halatuju gerakan APIS selepas ini.

Sepanjang penulis menjadi Pengerusi untuk Muktamar ini, hujah-hujah mahupun idea-idea bernas yang dilontarkan oleh setiap perwakilan menunjukkan mereka begitu bersemangat dan berjiwa besar dalam misi dan misi mereka untuk melahirkan Muslim Profesional yang dinamik.

Penulis berharap, adik-adik APIS dapat meneruskan matlamat dan agenda bersama dengan penuh berhikmah dan sistematik. Walaupun baru berusia 2 tahun, penulis percaya mereka semua bakal mencipta 'sejarah' pada masa hadapan.

Kepada mereka yang bakal ke luar negara, teruskan komitment dan sumbangan anda.Peganglah kata-kata "Walau jauh dimata, tetapi dekat dihati"

Tahniah dan Takziah kepada Saf Kepimpinan baru APIS bagi 2009/2010. Buktikan yang anda semua mampu melakukan yang terbaik. Penulis mendoakan adik-adik terus kekal dan istiqamah dan selalu merujuk kepada senior-senior. Terima kasih atas jemputan dan layanan baik sepanjang Muktamar.

Teringat 2 rangkap pantun yang dibacakan oleh penulis sebelum mengakhiri Muktamar tersebut.

Hujung minggu menaiki bas,
Muktamar APIS medan tujuan,
Misi & Matlamat mestilah jelas,
Muslim Profesional jadi Impian.

Selepas Muktamar pulang ke halaman,
Pulang bersama seribu harapan,
Muktamirin&Muktamirat APIS sekalian,
Bersatulah! Kuatkanlah! Teruskan Perjuangan!

Terima kasih atas cenderahati. Buku bertajuk "Is There An Islamic Problem?" oleh M. Shahid Alam - (Essays on Islamiciate Societies the US and Israel)



Sekian,
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
KENMS, UIAM

No comments: