Muhasabahlah

Malam Jumaat itu, penulis meredah hujan keseorangan bersama Honda peninggalan arwah Atok (TR 3742) semata-mata mahu memastikan berada di Mesyuarat PKPIM Pusat di Kg Changkat tepat pada masanya. Sesungguhnya beruntunglah kepada sesiapa yang menghargai masa. Hal ini juga telah ditekankan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Asr yang bermaksud :

“Demi MASA. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan menasihati untuk kesabaran.”

Seusai sampai, mesyuarat dimulakan dan pelbagai perkara dibincangkan waktu itu.Penulis menyedari bahawa penglibatan penulis dalam gerakan pelajar yang bersifat nasional ini memerlukan pengorbanan yang sewajarnya baik masa, tenaga, material mahupun kewangan. Lantaran memikirkan janji Allah kepada hambaNya dalam Surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud.

“Wahai orang-orang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan memantapkan tapak pendirian kamu”

Yakin akan adanya pertolongan Allah S.W.T kepada hambanya mendorong penulis untuk tidak berkira mahupun merungut dengan sumbangan yang telah diberikan selama ini. Masih banyak lagi keringat dan tenaga penulis diperlukan dalam arena dakwah ini. Perbandingan jauh melangit jika membandingkan sumbangan yang diberikan berbanding sumbangan para Sahabat dalam memartabatkan Islam.

Meskipun begitu, usaha yang berterusan, bersungguh-sungguh juga perlu sebelum kita bertawakal dan menyerah.

Penulis ingin menyentuh soal pelajaran yang semakin hari semakin jauh ‘ditinggalkan’ dan ‘diabaikan’. Justeru, penekanan kepada amalan budaya kerja terancang perlu dipraktikkan semaksimum yang boleh. Jangan sekadar bermain dibibir melalui kata-kata!

Allah S.W.T murka kepada hambanya yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melaksanakan atau dengan kata mudah iaitu NATO (No Action Talk Only) Firman AllahS.W.T dalam Surah As-Saff:

“Hai orang-orang yang beriman. Mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kerjakan. Sesunggguhnya sangat murka (kebencian) Allah kepada mereka yang berkenaan”

Pengabaian kepada fokus utama iaitu ‘pendidikan’ di Taman Ilmu dan Budi ini boleh membawa kepada FITNAH KABIR kepada diri penulis dan Islam itu sendiri. Lantas, pembaikan sahsiah dan kesedaran dalam diri penulis perlu bermula dari sekarang! Jangan nanti ‘sudah terhantuk baru terngadah’,‘nasi sudah menjadi bubur’ mahupun ‘durian menjadi tempoyak’. Awlawiyat kepada pelajaran harus diutamakan! “Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.”

Malam itu penulis pulang lewat 12 malam. Kebetulan Abg Hilmi mempelawa keluar makan tetapi memandangkan malam itu ada Qiyasi. Agak lapar juga sebenarnya. Rancangan awal mahu merasa Nasi Goreng Ayam di Kg Changkat. Malangnya Qiyasi tidak dapat dijalankan berkemungkinan komitmen rakan-rakan pada perkara lain. Penulis sempat online malam itu. Sekadar menghantar email tugasan dan juga gambar untuk poster terima kasih SRC.

Penulis juga berkesempatan melayari laman Mahasiswakini. Melihat kepada ‘perang mulut’ antara pimpinan PKPIM dan GAMIS atau WUFI dan PKPIM dalam isu PRK di UIAM masih belum selesai. Perkembangan tidak sihat ini seharusnya dihentikan! Adakah kerana pertikaian segelintir pihak boleh membawa masalah kepada kelangsungan kemandirian jemaah-jemaah di UIA selepas ini? Fikir-fikirkanlah. Bak kata Tan Sri P.Ramlee ‘Buanglah yang keruh, ambillah yang jernih’ .

Banyak lagi masalah Umat diluar yang tidak selesai. Namakan saja apa isunya. Kemiskinan, Peperangan, Pendidikan, Ekonomi dan sebagainya. Jika emosi menguasai diri, nescaya kesatuan tindakan dan pemikiran (wahdatul fikr) tidak akan tercapai. Seharusnya semua tindak balas perlu berdasarkan kepada tradisi budaya ilmu, bijaksana dan pada masa sama ialah berjiwa besar.

Tambahan pula, perbezaan pendapat dan simpang siur aliran yang tidak terurus juga bukan mengorbankan sedikit masa yang sepatutnya ditumpukan kepada soal pembinaan ummah.

Prinsip yang akan dipegang oleh penulis ialah “Jika dilempar batu, balasannya diberi buah”. Keburukan yang diterima, kebaikan harus dibalas. Yang hak itu hak dan yang batil itu tetap batil. Fitnah yang diterima perlu diperjelas. Itu adalah tindakan yang terbaik.

Hakikat ini telahpun diperingatkan oleh Allah S.W.T yang dirakamkan dalam Surah al-Hujurat ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasik yang datang membawa suatu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak timpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal di atas perbuatanmu itu”

Harapan penulis selepas ini ialah untuk melihat kesatuan dan hubungan baik sesama umat Islam khususnya kemandirian antara jemaah dapat dikembalikan. Justeru, konsep ikhlas dalam tindakan perlu dipegang dan disemai oleh semua pihak. Banyak kerja perlu dilaksana. Ayuh teruskan usaha!

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
UIAM

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”