MANSUHKAN PPSMI

Seusai kelas Intermidiate Macro, penulis turun ke Kafeteria Kuliyyah KENMS. Jika tak turun ada yang merungut pula. “YB tak turun kawasan!”. Itulah tempat kebanyakan mahasiswa dan pensyarah KENMS, IRK mahupun LAW lalu lalang dan menjamu selera. Tak kurang juga yang mengulangkaji dan berdiskusi.

Waktu itu penulis hanya berseorangan, sempat menegur anak Menteri dan bertanya khabar. Sibuk dengan program Tilawah Al-Quran IPT yang dianjurkan oleh kelab WAWASAN di UIA minggu ini. Sempat juga kami berbincang isu politik di Perak. Beliau juga sempat memberi beberapa cadangan kepada penulis untuk diusul ke peringkat MPP UIAM .

Pada entri ini, penulis lebih berminat untuk membicarakan polemik PPSMI. Rasanya tidak perlu diterangkan lagi kepada pembaca semua apakah itu PPSMI. Tidak dinafikan PKPIM berperanan aktif sebagai gerakan mahasiswa menentang isu ini dengan kerjasama GAPENA, DBP, ahli akademik mahupun parti politik.

Semasa makan tengahari penulis ada membuka isu ini untuk dibicarakan. Bersama penulis ialah sdra Adham (Presiden EMSS) dan juga sdra Fathi. Ada yang bersetuju PPSMI diteruskan. Ada juga mahu dihapuskan. Masing-masing memberi hujah dan pendapat yang berbezadan kritikal . Penulis juga tidak ketinggalan memberikan hujah. Sebelum ini penulis banyak juga membuat ‘survey’ bertanyakan isu ini kepada mana-mana individu.

Perbincangan tersebut lebih hangat apabila salah seorang Profesor Ekonomi UIA, Prof. Dr. Arif Zakalullah turut sama menyertai kami. Beliau berasal dari Bangladesh dan aktif menulis di akhbar-akhbar harian Inggeris berkenaan isu ekonomi.Terus kami bertanyakan pendapat beliau dalam isu PPSMI ini.

Ternyata beliau juga tidak bersetuju bahasa Melayu dipinggirkan dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik!



Hujah beliau bahawa Sains dan Matematik bukannya subjek penghafalan semata-mata. Apa yang penting adalah untuk mendapatkan kefahaman. Tanpa pemahaman, bagaimana seseorang itu boleh menguasai sesuatu subjek. Jangan kita kecilkan perkara ini hanya kepada Sains dan Matematik. Sudah tentu isu ini juga akan melibatkan subjek lain seperti Biologi, Kimia, Matematik Tambahan dan segala macam lagi subjek.

Bagi beliau apa yang penting ialah pengajaran Bahasa Inggeris ini perlu diberikan sejak dari kecil lagi. Penulis menambah “Meluntur buluh biarlah daripada rebungnya”. Penekanan kepada pengajaran subjek Bahasa Inggeris perlu diperkasakan! Kenapa perlu diusik Sains dan Matematik sedangkan apa yang perlu diberi penekanan ialah subjek Bahasa Inggeris itu sendiri.

Penulis menyamakan tindakan kerajaan sekarang seperti kesilapan seorang doktor memberi ubat kepada pesakit. ‘Kanser yang dirawat tetapi Panadol yang diberikan!’. Sudah tentu penyakit itu tidak akan pulih malah pesakit boleh menjadi lebih teruk dan berkemungkinan akan ‘mati’.

Penulis mengesyorkan Prof Ariff menulis sesuatu dalam akhbar untuk beliau ulas. Beliau menolak dengan alasan ‘kebebasan akhbar’ tidak benar-benar tidak diamalkan disini. Jika tersalah langkah beliau sendiri boleh di’pulau’! “Ini bukan Amerika” ujar beliau lagi.

Persoalannya, bila penulis sendiri yang akan menulis??hmm..

Apakah jalan penyelesaiannya? Majoriti daripada kita terutamanya mahasiswa masih lagi keliru. Tidak pasti samada Bahasa Inggeris atau bahasa Melayu sebagai bahasa yang perlu diajar dalam Sains dan Matematik. Memang tidak dinafikan ada positifnya pelaksanaan PPSMI ini, ternyata keburukannya lebih banyak daripada kelebihan.


Fakta-fakta yang perlu dimiliki mahasiswa

Makanya, adalah menjadi satu tanggungjawab buat kita anak muda yang melabelkan diri sebagai "mahasiswa" memahami maksud dan tujuan sebenar pelaksanaan mahupun bantahan yang diutarakan dalam isu ini. Media massa juga harus memainkan peranan penting dalam isu ini. Adakah kerana mereka takut? Berpijaklah kepada dunia nyata!

Alhamdulilah, selepas Merdeka Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi di negara ini.
Nikmat ini tidak dapat dilihat di kebanyakkan negara-negara bekas penjajah yang lain. Lihat saja bagaimana anak-anak Afrika yanng bahasa ibundanya dikesampingkan dan terpaksa menggunakan bahasa penjajah untuk membangun. Begitu juga negara-negara bekas Soviet.

Perjuangan bahasa ini bukan benda cincai. Apatah lagi hingusan sifatnya. Dalam keadaan jati diri kita lemah berdepan dengan arus modenisasi Barat, Bahasa Melayu hanya di pandang bahasa pasar oleh golongan berada pada awalnya. Pengajaran di peringkat tinggi hanyalah dalam Bahasa Inggeris sehinggalah sedikit demi sedikit melalui perjuangan fasal 152 diangkat kembali meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang sepatutnya.

Apakah kita tidak sedih melihat para pemimpin Melayu bersikap sayur yang layu dalam isu Bahasa Melayu ini? Tidak malukah kita pada kesungguhan pemimpin Cina dalam menentang isu pencerobohan budaya dan bahasa mereka?

Bahasa Melayu, antara puluhan bahasa lain dalam dunia ini seperti Urdu, Turki Uthmaniyah, dan Parsi yang diangkat oleh Allah untuk menyambung risalah kefahaman Islam. Peminggiran Bahasa Melayu dalam arus keilmuan seperti yang bakal kita hadapi dalam masa-masa mendatang dengan dipercepatkan lagi oleh projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ini merupakan satu cabaran halus arus sekularisasi ke atas umat Islam di Malaysia.

Perjuangan gerakan anti PPSMI harus diperhebatkan. Jangan kita hanya didedahkan kepada hujah bersifat satu pihak sahaja. Paling penting mahasiswa harus diberi penjelasan dan kesedaran yang sewajarnya. Insya-Allah penulis akan berusaha mengadakan satu forum yang akan membahaskan perkara ini di UIA.

Sekian
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
13 Februari 2009
KENMS UIA

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”