Kolej Darul Hikmah

Kolej Darul Hikmah(KDH). Idea penubuhan Kolej ini bertitik tolak kepada gagasan murni penubuhan institut pendidikan tinggi dibawah seliaan ABIM. Pada Jumaat lepas (30.01.2009) penulis berkesempatan berkunjung ke KDH ini untuk mengisi pengisian usrah bersama MPP dan Naqib Naqibah KDH. Hasil dari mesyuarat pimpinan PKPIM semalam, penulis sebagai Exco Penerangan PKPIM ditugaskan untuk mengisi slot ini menggantikan Abg Naim (Timbalan Presiden)yang tidak dapat menghadirkan diri.

Perjalanan selama 45 minit sungguh mencabar. Cubaan menggunakan TR 3742 menyelusuri kesesakan jalan dan lebuh raya sehingga ke Kajang membuatkan diri penulis sendiri terkejut dengan kemampuan Honda C70 ini. Syabas dan Tahniah kepada diri penulis sendiri kerana dapat menjaga motor ‘kampung’ ini dengan baik.

Seusai sampai, penulis dijemput oleh Ustazah Khalidah (Kak Lid) yang merupakan Ustazah dan penasihat MPP di KDH ini. Penulis pernah mengenali beliau kerana memainkan peranan aktif sebagai HEWI PKPIM. Sekn arang ini banyak buku-buku akademik dilmiah keluaran KDH disunting dan diedit oleh beliau.

Penekanan yang diberikan oleh penulis sewaktu memberikan pengisian ialah “ Budaya Ilmu”. Seharusnya sebagai seorang mahasiswa, perlunya kepada penguasaan ilmu yang hanya tidak terikat kepada silibus akademik semata-mata. Tetapi peri pentingya penekanan kepada sumber ilmu lain yang sahih yang akan membentuk ‘worldview’ yang syumul.

Tidak dinafikan tradisi keilmuan masa kini masih banyak diselaputi faham-faham sekularisme, dualisme dan liberalisme. Justeru itu di dalam mengembangkan budaya ilmu, konsep keilmuan itu perlulah merujuk kepada konsep ilmu yang berpaksikan Tauhid seperti yang dijelaskan oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas (1978) dan Prof. Ismail Al-Faruqi (1982) melalui gagasan Islamisasi ilmu (Islamization of Knowledge- Aslamatul Ulum) Ini bermakna pengembangan dan pemupukan budaya ilmu yang tidak berpaksikan kepada Tauhid yang sebenar adalah menyimpang dari maksud asalnya.

Ringkasnya, budaya ilmu dapat disimpulkan dari pembudayaan minat terhadap ilmu yang dimanisfestasikan melalui kesungguhan menyelidik dan menganalisis dengan menggunakan pancaindera secara adil, seimbang dan harmonis bagi mengasingkan antara yang haq (benar) dan batil (palsu), juga membolehkan sesuatu tindakan berdasarkan ilmu serta sedia bertanggungjawab akan natijah dari sesuatu tindakan itu.

Perbincangan berbentuk dua hala antara penulis dan juga MPP dan Naqibah mendapat respon yang cukup positif. Walaupun KDH mengalami tempoh sukar dalam menghadapi persaingan hebat daripada kolej-kolej swasta seperti Kolej SEGi, PTPTL, INTi, Kosmopoint dan sebagainya, namun KDH masih lagi berdiri dengan kaki sendiri. Melawan arus dan cabaran. Mahasiswa di KDH perlu faham akan misi dan misi kewujudan KDH ini. Cadangan agar mahasiswa/i KDH melaksanakan program kerjasama akademik yang sesuai dengan pelajar-pelajar SEMI dan SERI ABIM seperti program mentor mentee perlu diambil tindakan susulan yang sewajarnya.

Selesai sesi diskusi yang menghampiri waktu solat Jumaat, Kak Lid mempelawa penulis untuk memilih sebuah buku sebagai tanda penghargaan diatas kehadiran memberi pengisian pada hari itu.
Buku bertajuk “Pendidikan Sebagai Wahana Pentamadunan Ummah” menjadi pilihan penulis. Buku ini mengandungi himpunan makalah-makalah yang mengandungi keresahan keleluasaan kebiadabab yang dilakukan atas nama ‘peradaban’ dan juga gagasan-gagasan besar di sekitar pendidikan dan tamadun.Idea-idea yang ada dalam buku ini seharusnya cukup untuk mengawali wacana yang lebih serius tantang al-mashru’ al-hadari atau projek ketamadunan.

Petang itu selepas solat Jumaat di Kajang, penulis bergegas ke UKM untuk bertemu dengan rakan sebilik penulis di MRSM Jasin. Muaz. Masih belum berubah walaupun beberapa tahun tidak berjumpa. Terima kasih atas jamuan makan tengahari. Harapan juga Muaz akan lebih aktif sementara berada di kampus. Jangan menjadi seperti ‘katak di bawah tempurung’ dan berada dalam kelompok zon selesa.

Pada masa yang sama Kulliyah Ekonomi UIAM menganjurkan ‘Public Talk’ yang disampaikan oleh Presiden WADAH dan juga Presiden KDH, Dato’ Dr Siddiq Fadzil yang bertajuk “Islamization of Knowledge” Satu tajuk yang sangat releven kepada para pensyarah dan mahasiswa dalam konteks universiti sebagai sebuah pusat keilmuan dan pembentukan tamadun masa kini.

Memandangkan penulis tidak berkesempatan balik ke UIA, isi-isi penting daripada sesi itu dibentangkan dan dibahaskan kembali oleh Abg Wan pada jamuan makan malam a.k.a usrah brothers yang ditaja oleh Saudara Izzat. (terima kasih)

Tradisi perbincangan ilmiah seperti ini perlu terus disuburkan walau dimana kita semua berada.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Nahli ayat 125:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-Mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka secara baik”

Malam itu juga penulis sempat menziarahi program Tamrin Nisa adik-adik PKPIM Nilai dan PJ di Gombak. Kelihatan kesemua pimpinan lelaki bertungkus lumus menyiapkan makanan dan persiapan dapur sementara HEWI khusyuk dengan pengisian program. Sempat juga menjamu mereka semua dengan keropok lekor yang digoreng pemberian Fikri yang singgah solat di UIA setelah seharian berkonvoi motor daripada Terengganu.

Melihat kepada situasi adik-adik di Pusat Asasi, penulis mengharapkan agar adik-adik PKPIM di Pusat Asasi terus konsisten dengan aktiviti dan peranan mereka.

Teguran ikhlas penulis kepada adik-adik supaya tidak terikut-ikut acuan gerakan lain. Ikutlah kerangka yang telah ditetapkan dan diamalkan sebelum ini. ‘Bersederhanalah dalam melakukan sesuatu’. Perjuanagan kalian masih jauh. Kuatkan dan eratkan ikatan ukhuwah sesama kalian.

Cabaran di Gombak dan Kuantan menanti. Jika medan di Asasi tidak berjaya mencapai tahap yang sewajarnya berkemungkinan nanti anda semua akan penat dan ‘give-up’ kemudian hari.Ini merupakan juga pemerhatian abang-abang dan kakak-kakak yang prihatin.

Renung-renungkan dan selamat beramal..

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
UIAM

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”