Sehari di APIUM

Hari Sabtu lepas penulis berseorangan memecut TR 3742 ke Universiti Malaya, sebuah pusat pengajian tinggi tertua di Malaysia. Penulis menghadiri Seminar Isu-Isu Semasa Tamadun Umat Di Malaysia anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),Universiti Malaya (UM)dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) iaitu sebuah NGO Islam yang kebanyakannya terdiri daripada Profesional Muslim.



Bukan tidak mempelawa kawan-kawan. Ada yang terikat dengan 'study cirle' di UIA. Tidak kurang juga dengan urusan lain. Kebetulan pula motor penulis tidak mampu membawa lebihan muatan. Semput jadinya! Tambahan pula ini merupakan cubaan kali kedua penulis setelah sebelum ini pernah ke K.D.H di Kajang dan juga UKM. Alhamdulilah..



Seminar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ini bermula pada jam 8.30 pagi dan penulis sampai sejam kemudian. Barangkali sudah terlepas pembentangan kertas kerja pertama agaknya. Seusai sampai, terus saja mendaftar. Alhamdulilah, tiada bayaran dikenakan. Waktu itu, ucapan perasmian oleh Ketua Pengarah Jakim, Y.Bhg. Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Syeikh Abdul Aziz. Peserta seminar juga ramai yang hadir dan paling mengejutkan hanya seorang dua sahaja pelajar UM yang hadir ke seminar tersebut.UIA pun begitu juga.

Masalah komunikasi dan promosi perlu diperbaiki selepas ini. Seminar seperti ini seharusnya disertai oleh lebih ramai mahasiswa. Justeru, pihak HEP di setiap IPTA tidak memandang enteng perkara seperti ini dalam usaha memberi hebahan kepada semua mahasiswa di kampus.

Mahasiswa sebenarnya mencari-cari, tetapi jika ini berlaku, semuanya akan rugi.
Tidak dinafikan juga, terdapat satu lagi program lain di Masjid Wilayah pada hari tersebut.

Walaupun kesorangan, penulis bertemu Sdra Wasif yang merupakan Presiden Persatuan Bahasa Melayu UM (PBMUM) yang juga anak kepada Ketua Pengarah JAKIM. Seorang yang low-profile dan mudah didekati. Penulis juga sempat bertemu dengan rakan-rakan lama ketika masih menuntut di Kolej Matrikulasi Perlis. Kesemuanya sekarang di Universiti Pertahanan Malaysia. Tegap-tegap semuanya. Cemburu pula melihatkan diri sendiri yang semakin 'slim'.

Pembentangan pertama oleh Ustaz (Dr.) Muhammad Uthman El-Muhammady dengan kertas kerjanya bertajuk Gerakan Pemikiran Aliran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam. Topik yang sangat sesuai kepada mahasiswa dalam kerangka membuat persediaan dalam menghadapi 'peperangan pemikiran' masa depan. Tidak dinafikan, dewasa ini terdapat pelbagai aliran pemikiran dan doktrin-doktrin baru yang cuba dibawa masuk ke dalam kampus yang menjurus kepada kekeliruan jika mahasiswa tidak bersedia dengan kekuatan ilmu.

Pembentangan kertas kerja kedua pula disampaikan oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Presiden MUAFAKAT yang bertajuk Penguasaan Ilmu Dalam Menghadapi Era Globalisasi. Pelbagai isu yang dibawa oleh Prof. Osman dalam konteks cabaran globalisasi. Mahasiswa diminta untuk melengkapkan diri dengan persediaan yang secukupnya khususnya pengetahuan dalam bidang ilmu yang dipelajari termasuk penguasaan ilmu mahupun bahasa lain.

Semasa sesi soal jawab,persoalan globalisasi dalam bentuk 'bahasa' yang cuba dibawa oleh seorang peserta iaitu bekas guru harus dipuji. Sewajarnya, isu bahasa tidak harus diketepikan dalam menyahut saranan untuk menjadi seorang yang 'glokal'. Persoalan ini diulas dalam isu PPSMI. Bagi penulis, cabaran globalisasi yang sedang dihadapi tidak semestinya mengorbankan 'sesuatu' dalam usaha untuk mencapai matlamat tertentu.

Slot terakhir seminar tersebut ialah forum bertajuk Peranan Mahasiswa Dalam Mencapai Kecemerlangan Umat. Forum ini dikendalikan oleh Pegawai JAKIM dan antara ahli panel ialah Prof. Datuk Dr. Mohammad Abu Bakar (UM) , Prof. Dr. Sidek Baba(UIA) dan Tn Haji Yusri Mohamed (UIA) yang juga merupakan Presiden ABIM. Pelbagai saranan dan peranan sebenar mahasiswa dan isu-isu semasa disentuh oleh ahli panel. Penulis ada membuat rakaman sepanjang forum tersebut.



Prof Muhammad Abu Bakar merupakan seorang yang tidak asing lagi di UM. Penulis sebelum ini ada membaca buku tulisnya iaitu "Mahasiswa Menggugat". Buku yang wajib dibaca oleh pemimpin gerakan mahasiswa. Beliau walaupun sudah berusia tetapi gayanya masih muda remaja. Ulasan beliau agak kritikal dalam beberapa isu.

Prof Sidek Baba atau lebih mesra dengan Cg. Sidek pula banyak menyentuh aspek pendidikan dan tarbiyyah dalam membentuk idealisme pelajar dan Abg Yusri pula membawa hadirin untuk mencontohi peranan generasi Salahuddin Al-Ayubi dalam usaha membawa generasi muda waktu itu menuju kegemilangan Islam.

Seminar seperti ini wajar diperhebatkan disertiap kampus. Walaupun UM dipilih untuk zon tengah, harapan penulis agar ada pembaikan bagi setiap program selepas ini. Saranan penulis kepada JAKIM dan MUAFAKAT untuk membuat 'compilation' kertas-kertas kerja yang dibentangkan bagi setiap zon untuk edaran kepada setiap kampus. Selain itu, rakaman yang dibuat seharusnya dijadikan dalam bentuk CD untuk dijadikan koleksi mahasiswa.

Selain itu, penglibatan mahasiswa secara langsung dalam sesuatu majlis ilmiah seperti ini harus dimanfaatkan. Bagaimana kita mahu membina pempimpin pelapis akan datang jika peranan mahasiswa sekadar menjadi penonton dan pendengar?

Justeru, 'post-post' tertentu seharusnya diisi oleh mahasiswa. Sebagai contoh, ahli panel dalam forum, pengerusi majlis, penyampai doa ataupun pengerusi untuk forum dan sesi pembentangan kertas kerja.

Bukan untuk mengenepikan peranan pihak penganjur. Tetapi jika mahasiswa dilibatkan dan diberi tanggungjawab sebegini, pengiktirafan golongan ini dalam sesuatu akan melahirkan perasaan 'sense of belongings' dan memberikan semangat kepada mahasiswa.

Penulis juga mengimpikan suatu hari nanti, mahasiswa dapat membentangkan kertas kerja yang dihasilkan sendiri dan dibincangkan secara serius dan ilmiah oleh semua pihak.

Perkara ini bukan tidak mustahil untuk dilaksanakan. Ini kerana seorang sahabat penulis di UTP yang membawa gagasan 'rausyanfikir' acap kali membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar dan wacana. Penulisan beliau juga begitu menarik dalam mengkritik, menganalis dan membawa idea dan gagasan baru dalam konteks pemikiran generasi muda.

Pandangan masyarakat bahawa mahasiswa hanya berminat untuk turun mengetuai demonstrasi jalanan harus ditukar. Tidak salah untuk berdemonstrasi dan menyuarakan sesuatu. Tunjukkan juga bahawa kita berupaya menyumbangkan sesuatu dalam bentuk ilmiah juga.

Ayuh! sama-sama kita buktikan!

Sekian,
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Musolla As-Siddiq
UIAM.

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”