Budaya Ilmu


Minggu yang memenatkan! Petang Ahad (1 Februari 2009) hari minggu ini barulah penulis berkesempatan untuk merenung kembali perjalanan sepanjang minggu ini.

Bermula pada hari Isnin lepas (26.01.2009) ketika penulis berpeluang untuk ke i-Fest di Mid Valley yang dianjurkan oleh YaPEIM.

Pada entri kali ini, penulis akan cuba memfokuskan kepada penekanan budaya ilmu yang seharusnya menjadi sandaran utama mahasiswa/i untuk membentuk diri dan kepribadian dalam pembentukan ‘worldview’ seseorang. Harapan penulis juga supaya para pembaca dapat mencontohi dan mengambil teladan para ulama,ilmuan Islam terdahulu dalam memartabatkan ilmu.

Penulis membeli beberapa buah buku dan majalah. Antaranya ialah ‘Kejatuhan Ideologi Materialisma dan Agenda Pengisian Islam’ terbitan YADIM. Buku ini menekankan tentang kejatuhan ideologi materislisme pada penghujung abad ke 20 yang menyaksikan kesedaran masyarakat dunia terhadap keistimewaan dan kesempurnaan Islam dari sudut akidah dan tamadunnya.

Jika dahulu, ideologi bersandarkan kebendaan dianggap sebagai pengganti keperluan beragama. Kini ianya telah berubah menjadi pemusnah dan pembawa kehancuran pada kehidupan manusia sejagat. Tambahan pula, masyarakat dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai gejala sosial yang membabitkan perebutan kuasa dan wang yang seringkali berakhir dengan pelbagai tragedi (lihat pada masa sekarang berkenaan masalah politik wang,sistem yang korup dan rasuah).

Lantaran itu, kekeliruan dan kekalutan ini merupakan peringkat terpenting bagi umat Islam memberi perhatian semula terhadap agenda pengisian Islam dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Penulis buku ini, Anwar Al-Jundi berjaya menjelaskan akan kekurangan serta keampuhan sistem yang berteraskan materialisme dengan pengolahan kata dan buah fikiran yang bernas.

Beliau juga memperlihatkan bagaimana Islam yang diletakkan diatas dasar yang mantap iaitu Al-Quran dan As-Sunah yang mampu memainkan peranan penting dalam memenuhi kekosongan tersebut. Perkara inilah yang perlu diberi penekanan oleh masyarakat Muslim kini agar Islam kembali menyinari dan subur berkembang sekaligus membuktikan agama Islam sebagai penyatu umat manusia.

Seterusnya, buku yang sempat dicapai penulis ketika berkunjung ke MPH Mid Valley ialah ‘OBAMA Antara Islam,Israel & Amerika’ .Buku hasil karya Taufik Rahman ini antara lain ingin membongkar misteri disebalik pesona luar biasa Presiden kulit hitam pertama di Amerika. Penulis masih lagi dalam tempoh untuk menghadam penulisan buku ini. Banyak perkara baru diperolehi daripada bahan bacaan yang WAJIB bagi mereka yang prihatin mengenai nasib dunia hari ini.

Meskipun begitu, bahan bacaan yang ada kaitan dengan Obama memenuhi kebanyakan rak-rak buku dalam gedung buku berkenaan. Harga yang mahal menjadi penghalang kepada penulis memilikinya. Antaranya ialah ‘Dreams from My father ’ yang ditulis Obama pada 1997 dan juga buku terbaru beliau pada 2006 iaitu ‘The Audicity of Hope’ yang menjadi best-seller dalam tempoh waktu yang singkat.

Buku terakhir yang dibeli penulis pada hari itu ialah ‘Anjakan Sikap & Budaya Hidup Bangsa’ yang ditulis oleh Dato’ Hj Mohd Nakhaie Hj Ahmad. Seorang penulis yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam arena dakwah Islam di Malaysia. Buku ini menitikberatkan soal peranan bangsa Malaysia dalam memastikan kesinambungan pembangunan Negara bukan hanya memfokuskan dalam bidang ekonomi, politik dan sosial semata-mata. Idea dan gagasan yang dikemukakan oleh beliau dalam buku ini seharusnya menjadi kerangka ideologi yang menjadi titik tolak kepada acuan kemajuan Negara pada masa hadapan.

Pengakhiran sebelum penulis pulang ke UIA ialah pembelian Majalah WAJIB penulis iaitu MILENIA Muslim yang sudah semestinya mengandungi informasi yang terkini dan pelbagai baik isu dalam Negara mahupun antarabangsa. Majalah FOWARD masih belum berada dipasaran waktu itu.

Pesanan kepada diri penulis sendiri. “Fahmi!banyak lagi sebenarnya buku-buku, majalah, makalah, kertas kerja, laporan, artikel dan sebagainya tidak dibaca, disentuh mahupun dihadam. Paling penting ialah Tafsir Al-Quran (Tafsir HAMKA) Jikalau kamu mahu menjadi ‘seseorang pada masa akan datang’ , langkah perlu disegerakan!”

Justeru, budaya menangguh kerja dan membuang masa perlu dielakkan. Begitu juga bahan bacaan akademik dalam pembelajaran seharian “Public Finance, Fiqh 3, Usul al-Fiqh, Macroeconomics dan Macroeconomics” Latihan, assignment, perbincangan dan ulangkaji perlu diperbanyakkan dan paling penting ialah perlu istiqamah.

Sedarlah! Tanggungjawab kamu semakin besar! Jika masih belum berubah, siapa yang akan menolongmu dikemudian hari. Jangan jadikan ia sebagai FITNAH dikemudian hari. Nauzubillah!

Fikir-fikirkan dan renungkanlah!

Firman Allah SWT dalam Surah Ayat 11:

“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga kaum itu merubah apa yang ada pada dirinya”

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Mahallah As-Siddiq
C 1.4

Comments

beli buku byk2 tu harap baca la ek..pas hbs baca tu leh bg pinjam.

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”