Wednesday, January 21, 2009

Diariku.....

Pukul 7 malam penulis bersiap untuk ke rumah Saudari Izzah, Exco Dakwah Tarbiyyah PKPIM di Puchong. Malam ini ada usrah Qiyadah pimpinan PKPIM Pusat disana. Air di UIA masih belum ada (akibat kemalangan lori minyak sawit di Lebuh Raya Pantai Timur) Masalah juga jika hilang nikmat air ini. Teringat juga aku kepada mangsa-mangsa peperangan di Gaza dan juga orang yang tidak berkemampuan.

Zul datang menyapa dan membawa pesanan Dr Fuzi bahawa PRK UIA kali ini akan ditangguhkan kepada tarikh yang akan diberitahu kemudian. Alhamdulilah. Terfikir penulis kala itu untuk ikut saja Abe and the gang. Mereka merancang untuk ke K.Trg untuk melihat sendiri suasana PRK K.TRG sabtu ini. Aku terus saja menghubungi Dr Fuzi, Pengetua Kolej Kediaman As-Siddiq untuk mengesahkan perkara ini. Beliau memberitahu bahawa PRK UIAM pada kali ini akan ditangguhkan kepada 22.01.2009 (Khamis) dan Penamaan Calon pada 19.01.2009 (Isnin). Alasannya kerana masalah air. Cuti khas pada hari Jumaat sehingga Ahad juga diberi.

Alhamdulilah. Ada juga hikmah air tiada di UIA waktu ini. Hal ini juga perlu dilihat dari perspektif agama iaitu Allah S.W.T memberi peringatan kepada kita untuk berjimat ketika menggunakan air. Sahabat-sahabat boleh lihat akan penggunaan air di setiap mahallah oleh pelajar UIA ini. Pada masa sama juga, persiapan penulis untuk PRK belum lagi selesai. Essay bertajuk Mission and Vission if you are elected as the SRC Exco members belum lagi dikarang. Bukan tiada idea, tetapi masih belum 'kuat' semangat untuk menulis.

Setelah solat Maghrib di Masjid Biru, kami pimpinan PKPIM terus bergerak ke Puchong. Konvoi kereta sebanyak 3buah. Perjalanan juga memakan masa yang agak lama. Penulis bersama dengan Abg Berg (Presiden PKPIM). Sudah lama tidak berdiskusi bersamanya. Banyak juga topic yang dibincangkan sepanjang perjalanan. Politik, PRK K.TRG, PRK UIA,Ekonomi, Serangan Israel di Gaza dan banyak lagi.

Malam itu, sebelum bermulanya usrah, kami semua dijamu. Makan malam yang ditaja oleh keluarga Izzah. Kenyang hingga menjilat jari. Perbincangan usrah malam itu berkenaan Tafsir Surah Al-Muddasir ayat 8-10 yang disampaikan oleh Kak Su. Usrah sebelum ini telah menbincangkan ayat 1-7. Sedikit perkongsian berkenaan maksud ayat dan juga perbincangan tafsir ayat tersebut ialah berkenaan amaran Allah S.W.T tentang keadaan hari Kiamat. Perbincangan tersebut juga dipanjangkan kepada isu semasa berkenaan ‘sajak kematian’ yang mendapat tentangan ibu bapa. Masing-masing memberikan pandangan dan pendapat tersendiri.


Seterusnya, perbincangan Hadis 19 bertajuk ‘Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu’ yang dibentangkan oleh Izzah. Pengajaran daripada Hadis tersebut ialah Hubungan baik dengan AllahS.W.T perlu dijaga. Umat Islam juga perlu yakin bahawa kemenangan Islam akan tercapai dengan adanya kesabaran, setiap keperitan hidup pasti ada penyelesaiannya dan setiap kesusahan ada bersamanya kesenangan.


Penutup usrah malam itu disampaikan oleh Abg Hilmi, Presiden PKPIM yang memperkenalkan kepada kami buku Misteri Masa Kelam Islam dan Kemenangan Perang Salib oleh Dr Majid Irsan Al-Khani.(buku ini wajib dibaca oleh semua penggerak Islam dan mahasiswa secara ammnya)

Beliau juga mencadangkan bahawa Isu Palestin perlu dilihat dalam konteks multidemensi iaitu dalam Konteks Ilmiah dan Pemikiran Strategik. Sebagai contoh ketika zaman Imam Al-Ghazali , Umat Islam ketika itu lebih teruk berbanding sekarang. Imam Ghazali mengarang buku Ihya Ulumuhuddin untuk membina Generasi Salahuddin Al-Ayubi. Justeru, madrasah dan pemikiran Imam Al-Ghazali perlu dikembangkan. Pembinaan Individu merupakan Ibarat menanam pokok, tetapi hasilnya boleh dituai oleh generasi akan datang.

Tambahan pula, pendekatan umat Islam pada waktu ini mempunyai 2 sifat.

1) BOMBA- ada masalah baru bertugas

2) ARKITEK- sentiasa melakukan kerja (merancang,lakaran dan lain-lain)

Dalam konteks hari ini, kita semua tidak perlu mempersoalkan apa yang kita dapat? Tetapi kita harus melihat kepada kesan yang kita dapat. Isu Palestin perlu ada dalam hati setiap umat islam. Justeru, Qunut Nazilah dan doa sentiasa di ingatan. Harapan agar perkembangan Islam dewasa ini akan melahirkan generasi ke-2 Salahuddin Al-Ayubi pada zaman 2020.

Malam itu seusai Usrah, penulis memandu pulang dan terus bersam kawan-kawan untuk persiapan jentera PRK. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu dalam persiapan jentera.

Sekian

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

UIAM Gombak

Khamis, 15.01.2009

1 comment:

joe said...

Salam saudara,maaf jika mengganggu, sekadar hebahan,jika saudara atau siapa-siapa yang perlukan perkhidmatan cat kereta boleh la ke sini
http://bengkelcatkereta.blogspot.com
terima kasih,wasallam.
maaf sebab mengganggu.