Generasi Muda Penggerak Agenda Pencerahan, Pembebasan dan Perubahan.

Kitaran tamadun manusia dan sejarah perjuangan bangsa jelas menunjukkan betapa generasi muda dan pelajar sebenarnya mempunyai signifikasi tertentu yang tidak boleh dikesampingkan. Mereka merupakan cerminan kepada gambaran masa depan sesebuah tamadun. Justeru penampilan suatu wajah dan imej generasi muda yang beriman, beridealisme, berilmu, berakhlak, berketrampilan dan mempunyai daya juang yang tinggi amatlah diperlukan. Kisah generasi muda yang dirakamkan di dalam Surah al-Kahfi adalah refleksi kepada lambang kesetiaan serta keutuhan idealisme mereka walaupun berada ditengah-tengah suasana kebejatan moral dan aqidah yang melampau.

Senario mutakhir tamadun dunia yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan kecelaruan mencakupi bidang politik, ekonomi, sosial, pendidikan, keagamaan dan banyak lagi menuntut tindakan yang lebih pro-aktif khasnya daripada generasi muda. Pastinya, peranan kita dalam dunia hari ini dan akan datang semakin ruwet lagi mencabar. Apakah kita berupaya menjadi satu generasi yang dapat mempertahankan maruah dan kewibawaan dalam berhadapan dengan suasana kepelbagaian ragam dan rencam termasuklah kecelaruan masyarakat? Mampukah kita gah berdiri menyatakan prinsip dan pendirian kita sebagai seorang Muslim berjiwa besar tatkala pelbagai bentuk mehnah dan tribulasi menujah kita untuk menggadaikan prinsip dan idealisme sebagai seorang pemuda-pemudi Islam?

Generasi muda adalah aset terpenting umat sepertimana yang telah diungkapkan oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi yang mengumpamakan kelompok ini sebagai ‘mutiara’ yang menjadi perbendaharaan negara. Siapa pula dapat melupakan kata-kata Sukarno yang lantang melaungkan bahawa negara Indonesia mampu bangkit menjadi kuasa besar dunia walau hanya dengan 10 orang pemuda yang memiliki kualiti manusia unggul. Namun, apa yang menakutkan hari ini adalah permasalahan sosial yang semakin meruncing dalam kalangan generasi muda. Kemuflisan akhlak mereka bererti kehancuran sesuatu bangsa sepertimana yang diungkapkan dengan jelas oleh Shauqi Bek, seorang penyair terkenal Mesir dalam madahnya:
“Sesungguhnya sesuatu umat itu tidak lain melainkan budi pekerti, selama budi pekerti itu ada, maka adalah umat. Dan jika budi pekerti itu lenyap, maka lenyaplah umat.”

Potensi-potensi kepemudaan yang dimiliki oleh generasi muda perlu digembleng sepenuhnya untuk kebaikan seterusnya dapat menjadi agen perubah di dalam masyarakat. Partisipasi pemuda-pemudi perlu mengambil kira realiti masyarakat Malaysia yang diwarnai oleh struktur serta watak kepelbagaian agama, bangsa, budaya, adat dan bahasanya. Seluruh upaya generasi muda Malaysia ini hendaklah diarahkan kepada satu bentuk sumbangan yang positif dan bukannya menjadi beban atau liabiliti kepada masyarakat dan negara khususnya.

Menganjak kebangkitan melalui proses pencerahan, pembebasan dan perubahan sebuah generasi merupakan agenda terpenting untuk disemarakkan. namun, anjakan ini tidak datang secara tiba-tiba dengan datangnya seorang wira atau tokoh mahupun pemimpin yang akan mengetuai misi penting ini. Dr Majid Irsan Kailani dalam kajian ilmiahnya yang dibukukan bertajuk “Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya Jurusalem ke Pangkuan Islam” memperbetul salah faham terhadap pemahaman teori kebangkitan dan kejayaan generasi Salahuddin al-Ayyubi. Beliau telah mengemukakan dalil-dalil, fakta sejarah dan hakikat sunattullah bagi membuktikan bahawa kejayaan generasi Salahuddin menawan Jurusalem dan menyebarkan Islam bukanlah kerana kehebatan dan ketokohan beliau semata-mata.

Proses kebangkitan yang menyaksikan peribadi generasi itu sebenarnya telah dimulakan melalui hasil tarbiyah yang dibina oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali setelah beliau mengasingkan diri (uzlah) daripada kerajaan pimpinan Nizam al-Muluk. Kelemahan-kelemahan dalaman umat Islam waktu itu yang ditandai dengan gejala fanatisme mazhab, penyimpangan sufisme, batiniah, falsafah dan ketidakseimbangan dari sudut ekonomi, sosial, politik dan ketenteran telah mendatangkan suatu iltizam yang tinggi kepada beliau untuk membina madrasah tarbiyahyang bakal mempersiapkan generasi kebangkitan kelak. Usaha-usaha ini telah disambut pula oleh Syeikh Qadir al-Jilani yang telah menggabungkan madrasah-madrasah dari tanah Arab di antara tahun 546H-550H. Graduan madrasah-madrasah inilah yang akhirnya telah membina jaringan kebangkitan generasi muda oleh Nurudin Zinki dan kemudiannya Salahuddin al-Ayyubi yang mantap dan seimbang daripada semua segi. justeru, Salahuddin al-Ayyubi merupakan susuk peribadi yang paling hebat untuk menampilkan keunggulan sebuah generasi yang telah mengalami proses kebangkitannya sejak sekian lama.

Hakikatnya, sejarah telah membuktikan bahawa perjuangan generasi muda tetap relevan dan mempunyai potensi dan harapan yang amat cerah sekiranya dipedomani dengan sumber agama dan diterapkan dengan elemen ta’dib yang akan menjurus kepada peradaban murni. Sebagai penerus kepada kelangsungan tamadun, perjuangan ini sewajarnya bertunjangkan kepada nilai-nilai ilmu, keadilan, kebenaran, nilai keagamaan dan kemanusiaan sejagat. Sementara itu, pemerkasaan budaya-budaya asasi seperti mempekasa budaya ilmu, pemantapan budaya kerohanian, pemahaman kepada isu-isu semasa antara lain menjadi faktor penentu kepada kejayaan atau kegagalan kebangkitan generasi muda. Ianya harus dijaringkan dengan rantaian hubungan yang bijak dan strategik selain diadun sebaiknya dengan pemahaman dan pegangan yang mantap kepada sejarah, solusi dan idea penambahbaikan kepada isu-isu berbangkit dan antisipasi persoalan yang sentiasa mendatang.

Sehubungan dengan itu, mesej dan harapan banyak pihak hari ini terletak kepada generasi muda supaya bangkit dan bersama-sama menggerakan agenda pencerahan, pembebasan dan perubahan. Pergerakan ini perlu didasari dengan segala macam persediaan bagi menghadapi tentangan mendatang. Pengajaran daripada pencerobohan kedaulatan negara dan juga sebab akibat peperangan perlu diambil pengajaran kepada kita untuk terus mempersiapkan diri agar tidak terleka. Kita perlu yakin bahawa generasi muda akan terus hidup dengan idealisme serta prinsipnya yang cintakan kepada keadilan dan keamanan.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”