Thursday, July 21, 2011

MPAT KOPERASI BELIA ISLAM MALAYSIA BERHAD KALI KE-33

Pada hari Ahad, 26 Jun 2011 bersamaan 24 Rejab 1432 H yang lalu, Koperasi Belia Islam Malaysia Berhad (KBI) telah mengadakan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KBI bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur. Mesyuarat kali ke-33 ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Pengerusi KBI, Encik Samsuddin Zainal, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Saudara Mohd Raimi Ab. Rahim dan Pengerusi Lujnah Syariah KBI,Dato’ Mohd Mokhtar Shafii. Lebih 100 orang hadirin yang terdiri daripada Ahli Lembaga Koperasi (ALK), Jawatankuasa Audit Dalaman (JAKBI), lujnah syariah, audit luar, mantan-mantan Pengerusi KBI, wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), para jemputan, perwakilan dan juga pemerhati KBI dari seluruh negara hadir bagi menjayakan acara dwi-tahunan ini.



Encik Samsuddin, Pengerusi KBI menyampaikan ucapan aluan.

Dalam ucapan aluan oleh Pengerusi KBI, beliau mengingatkan kepada para perwakilan berkenaan sindrom pereputan dan ‘uban’isasi iaitu majoriti ahli senior KBI yang semakin lanjut usia yang menyebabkan keahlian dan keanggotan KBI terjejas kerana kebanyakkan ahli memohon untuk berhenti untuk menjadi ahli KBI. Lantaran itu, beliau menjelaskan kepada para hadirin berkenaan perancangan KBI dalam usaha untuk terus menjadi pemain utama dalam menarik lebih ramai ahli baru untuk terlibat dalam sektor koperasi dengan memperkenalkan beberapa produk dan perkhidmatan terbaru yang akan menjadi teras utama KBI seperti penjualan Emas dan Dinar KBI, Projek Usahawan Sosial dan Mandiri, Skim Tahayyu Lil-Hajj Angkasa-KBI, Tafsir Fi Zilalil Quran dan Program Pengurangan Faedah Pinjaman Perumahan (MRP). Pada masa yang sama, pihak pengurusan juga bersetuju untuk membenarkan ahli-ahli senior memindahkan saham dan simpanan mereka kepada anak-anak ahli yang baru berdaftar sebagai salah satu usaha untuk menggalakan proses pendaftaran ahli-ahli baru KBI dalam kalangan anggota yang sudah berdaftar.

Dalam ucaptama yang bertajuk “Membina Kekuatan Ekonomi Umat Melalui Gerakan Koperasi” yang disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman, beliau memberi penekanan mengenai kepentingan dimensi spiritual dalam menggerakan kekuatan ekonomi selaras dengan agenda dan semangat awal penubuhan KBI pada tahun 1977. Hal ini telah dibuktikan dengan perkembangan positif ekonomi umat Islam luar negara seperti gerakan ekonomi dalam era perjuangan Said Nursi di Turki yang berjaya menguatkan spiritual ahli-ahli dalam membantu menjayakan gerakan ekonomi yang akhirnya menampakkan barakah kepada perjalanan keseluruhan organisasi.

Justeru, beliau juga mengingatkan kepada semua ahli koperasi untuk terus memperteguhkan tekad dan mempunyai azam yang kental dalam usaha untuk menguatkan KBI secara khususnya dengan mengambil kira pelbagai faktor dalaman dan luaran dan menjadikan pengajaran peristiwa sirah nabawiyyah Habil dan Qabil, anak kepada Nabi Adam A.S sebagai pedoman dalam menuju kepada usaha murni ini. Dalam konteks ini, pengorbanan ikhlas yang ditunjukkan oleh Habil diterima oleh Allah S.W.T manakala pengorbanan Qabil ditolak kerana niat dan matlamat asal pengorbanan tersebut tidak selari dengan syariat dan perintah Allah S.W.T.

Mesyuarat kali ini juga dimeriahkan lagi dengan dua majlis menandatangani Memorandum Persefahaman Kerjasama (MOU) antara KBI-Ar-Rahnu Ko-Upay dan MOU antara KBI,Global Peace Mission Malaysia (GPM) dan Kolej Dar Al-Hikmah (KDH). MOU antara KBI-Ar-Rahnu Ko-Upay yang telah ditandatangani oleh Pengerusi KBI, En Samsuddin Zainal bersama Pengerusi Ko-Upay, Tuan Haji Nordin Jusoh merupakan kerjasama perniagaan Ar-Rahnu KBI bersama Koperasi Usahawan dan Pengguna Perniagaan Elektronik (Ko-Upay). Melalui kerjasama ini, pihak Ko-Upay merancang untuk memulakan 5 buah cawangan Ar-Rahnu di Lembah Klang dan cawangan pertama pembukaan premis ini adalah di Prima Gombak dan dijangka akan memulakan perniagaan pada bulan Ogos tahun ini. Selain itu, (MOU) antara KBI-GPM-KDH yang telah ditandatangani oleh En. Samsuddin Zainal, Pengerusi KBI bersama Ketua Pegawai Eksekutif GPM, En Asri Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif KDH, Tuan Haji Fuad Bahari adalah bertujuan untuk menjalankan kerjasama strategik dalam projek keseluruhan pembangunan usahawan sosial dan mandiri yang menjurus kepada aspek pensijilan, latihan dan pendidikan. Melalui kerjasama ini, KBI akan menyediakan modul khusus dan modal berkenaan pelaksanaan program pembangunan usahawan sosial manakala pihak GPM akan menyediakan khidmat komuniti setempat yang berminat untuk menyertai program pembangunan usahawan ini manakala KDH pula akan berperanan dalam aspek pensijilan dan pendidikan latihan.



Majlis Menandatangani MOU antara KBI – Ar-Rahnu Ko-Upay antara Pengerusi KBI, En Samsuddin Zainal dan Tuan Haji Nordin Jusoh, Pengerusi Ko-Upay sambil disaksikan tetamu kehormat.

Majlis kali ini juga telah melakar sejarah tersendiri kerana KBI telah melancarkan produk emas dan dinar KBI. Produk baru ini dilihat mempunyai potensi dan pulangan yang besar kepada KBI dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Melalui perniagaan ini, KBI telah mengeluarkan produk emas 10 gram, 20 gram, 50 gram, 100 gram dan 1 dinar dan KBI juga merancang untuk mengeluarkan produk dirham perak yang bernilai 1 dirham dan juga produk kepingan perak (silver bar). Dalam perkembangan berkaitan KBI juga sedang berusaha mempergiatkan promosi dan memperkenalkan beberapa insentif istimewa bagi menarik ahli-ahli koperasi untuk menjadi pengedar kepada produk-produk emas KBI ini.



Dalam pada masa yang sama KBI juga telah melancarkan Kad Pintar KBI yang mana fungsi kad ini akan membolehkan ahli KBI berurusan dengan lebih mudah secara online dalam urusan seperti penambahan saham, pembayaran yuran modal dan simpanan dan juga pembelian barang-barang yang membolehkan ahli mendapat rebate dan diskaun melalui pembelian produk-produk yang dijual melalui portal KoUpay.Kad ini juga berfungsi sebagai kad debit yang boleh ditambah nilai dan pemegang kad juga berhak untuk mendapatkan takaful khairat kematian.


Justeru, mengambil semangat tema Mesyuarat Agung Perwakilan ke 33 kali ini iaitu “Membina Kekuatan Ekonomi Umat Melalui Gerakan Koperasi”, pihak pengurusan dan kepimpinan KBI ingin menyatakan penghargaan kepada para anggota KBI yang telah membuktikan kesetiaan yang penuh kepada KBI dengan menyokong dan mendokong KBI, tidak hanya di waktu selesa tetapi juga di saat KBI menghadapi kesukaran. Komitmen dan hasil kerja keras semua pihak khususnya kesetiaan dan sokongan ahli-ahli KBI dalam erti sebenar ta’awuniyah dan atas semangat ukhuwwah akhirnya akan membuahkan hasil dan cita-cita murni selaras dengan visi KBI iaitu koperasi Islam yang cemerlang, mantap dan berkesan.

1 comment:

Dinar&Dirham said...

Malang sungguh, sehingga kini maklumat mengenai belian/jualan KBI Gold masih belum disebarkan kepada ahli walaupun paggilan telah dibuat ke KBI.