Thursday, July 21, 2011

IJTIMAK HARAKIY KE-2 (PKPIM-ABIM-WADAH) 22-24 JULAI 2011

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) akan menganjurkan Ijtimak Harakiy Ke-2, mulai 22 Julai sehingga 24 Julai 2011. (Sila klik untuk tentatif penuh) Ijtimak Harakiy ini adalah perhimpunan membabitkan tiga serangkai gerakan Islam utama, WADAH-ABIM-PKPIM yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam perkembangan Islam di negara ini.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) sebagai badan induk pelajar-pelajar Islam Malaysia di peringkat kebangsaan pada 27 Jun 1961, yang pada ketika itu dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1963 namanya ditukar seperti yang ada sekarang. Pada masa kini PKPIM berdaftar di bawah pejabat pendaftar pertubuhan belia (ROY)

Cita-cita PKPIM untuk melahirkan golongan pelajar yang memahami Islam sebagai cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah merangkumi di peringkat pelajar dan selepas zaman pelajar. Justeru itu bagi memastikan wujudnya kesinambungan perjuangan dan keperluan kepada satu pergerakan yang stabil dan bersifat jangka panjang, maka Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada tahun 1971 dalam Muktamar PKPIM ke-10.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

ABIM telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pengerusi penaja penubuhannya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah (Almarhum) dan Setiausahanya ialah Sdr. Fauzi Abdul Rahman (Dato’). Pada 17 Ogos 1972, ABIM telah didaftarkan secara rasmi dibawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada tahun 2009, selaras dengan perubahan pada dasar belia negara, ABIM telah didaftarkan penubuhannya di bawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

Cita-cita utama ABIM ialah bagi menyumbang secara proaktif pembinaan sebuah masyarakat Islam yang mampu menjadi teras terhadap proses pembinaan negara bangsa Malaysia yang utuh di dalam pelbagai aspek kehidupan. Bagi mencapai cita-cita tersebut, ABIM telah menumpu banyak usaha membangun kerangka faham masyarakat terhadap agama Islam sebagai satu bentuk cara hidup yang menyeluruh serta mempertegaskan prinsip-prinsip masyarakat madani di dalam segala aspek kemasyarakatan, perundangan dan kenegaraan.

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan yang sah pada 9 November 2005 dengan angka pendaftaran 1947-05-7 (Selangor). Keahlian Wadah adalah terbuka kepada rakyat Malaysia beragama Islam dan berusia 35 tahun ke atas, tanpa mengira bangsa, kaum dan jantina.

Visi Wadah ialah pemerkasaan umat yang berwibawa dan kompeten berasaskan petunjuk al-Kitab dan al-Hikmah menerusi peningkatan kesedaran dan kecerdasan daya fikir mereka melalui pengembangan literatur yang bermutu, perbahasan dan wacana ilmu yang berkualiti serta pernyataan pandangan yang jelas dan tegas.

Sama-sama kita meraikannya!

No comments: