Thursday, March 14, 2013

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Ucapan saya dalam KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah: Dalam sesebuah Negara bangsa yang maju yang mempunyai umat yang bertamadun, generasi muda merupakan barisan pelapis yang mempunyai peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Jika generasi muda yang dilahirkan lesu, lemah dan tidak bermaya, maka mundurlah bangsanya. Jika segala bentuk kemungkaran dan keruntuhan moral menyelaputi diri mereka, nescaya akan lahirlah suatu kelompok yang disebutkan Al-Quran sebagai zurriyatan du’afa (zuriat yang lemah), generasi lesu dan tidak bergagasan. “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan di belakang mereka zuriat (generasi ) yang lemah”. (An- Nisa:9) Pusingan ketamadunan manusia dan sejarah perjuangan bangsa jelas menunjukkan betapa generasi muda sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu yang tidak boleh dikesampingkan. Mereka merupakan cerminan kepada gambaran masa depan sesebuah tamadun. Justeru penampilan suatu wajah dan imej generasi muda melalui keterlibatan secara bersinergi dalam madrasah tarbiyyah PKPIM-ABIM-WADAH harus menjurus kepada penampilan generasi yang beriman, punyai idealisme, berilmu, berakhlak, berketrampilan dan mempunyai daya juang yang tinggi. Umar Tilmisani (Mursyidul Am III Ikhwanul Muslimin, 1904M-1986M) mengungkapkan “Hikmah Asy-Syuyukh, fi hamasati As-Syabab”. Kata-kata hikmah ini amat mengesankan dengan membawa maksud “Hikmah orang tua, berada dalam semangat orang muda.” Kekuatan yang ada pada orang muda seperti masa lapang, tenaga yang kuat, akal yang masih cerdas, idea yang kreatif dan semangat yang membuak perlu disertai dengan hikmah orang tua yang lebih lama menjalani kehidupan yang mana mereka lebih banyak berfikir, lebih berstrategi, sudah melalui kesilapan demi kesilapan, dan lebih banyak bersabar hasil daripada pelajaran kehidupan. Sejarah Islam juga pernah menampilkan contoh yang baik untuk dijadikan pedoman apabila Saidina Umar Abdul Aziz pernah ditegur oleh seorang remaja kerana mempersoalkan kredibilitinya yang telah dipilih sebagai jurucakap kaumnya. Ketika remaja itu ditanya mengapa tidak dibawakan orang yang lebih tua daripadanya, remaja itu dengan berani menghujahkan: “Jika pertimbangan umur yang diambil kira, pastilah engkau tidak akan menjadi khalifah sekarang kerana pasti ada sahaja yang lebih tua daripadamu wahai Khalifah, justeru mereka yang lebih tua adalah lebih layak untuk menjadi khalifah berbanding dirimu wahai khalifah!” Sayugia, Al-Quran juga mengungkapkan dengan baik kisah generasi muda yang dirakamkan di dalam Surah al-Kahfi adalah refleksi kepada lambang kesetiaan serta keutuhan idealisme mereka walaupun berada ditengah-tengah suasana kebejatan moral dan aqidah yang melampau. “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (Al- Kahfi : 13) Oleh itu, generasi muda Islam khususnya harus membulatkan iltizam perjuangan untuk membina keunggulan keperibadian dan kepimpinan ummatik. Abad ini adalah abad generasi muda! Sebagai umat yang mempunyai keyakinan aqidah, pemuda pemudi Islam akan mara dengan penuh yakin untuk mengimarahkan muka bumi Allah ini dan sekaligus melaksanakan tanggungjawab istikhlaf iaitu tanggungjawab memenuhi tuntutan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Kita perlu serius untuk melatih diri dan aktivis gerakan dengan hasrat untuk melahirkan lebih ramai negarawan, bukan hanya politikus atau pemimpin untuk kelompok kita sahaja. “..Politicians all too often think about the next election. Statesmen think about the next generation” Menyentuh berkenaan pendidikan demokrasi di universiti, Pilihanraya Kampus merupakan suatu wahana pertanggungjawaban dalam konteks alam kampus yang dapat memberi pendedahan dan kesedaran awal tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui proses demokrasi. Justeru, masyarakat kampus harus menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan oleh pihak tertentu dalam usaha memenangkan calon pilihan mereka melalui kaedah kemenangan yang meragukan. Sekiranya pihak bertanggungjawab merancang untuk memenangkan calon tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan bantuan dan pendanaan, apa ertinya pilihanraya di kampus? Campurtangan seperti ini merupakan suatu tragedi kependidikan yang sangat memprihatikan sepertimana yang diungkapkan oleh Siddiq Fadzil “politicing non-partsian institutions”. Sewajarnya, universiti seharusnya dapat memperlihatkan suatu model yang murni yang boleh mengilhami dan mempengaruhi pengamalan demokrasi di luar kampus. Kendatipun, mahasiswa seharusnya sudah lama mengambil ruang dan peluang pasca pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU 1971 (Pindaan 2009) yang membolehkan mereka untuk berpersatuan dan terlibat secara aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) berdaftar seperti PKPIM. Malahan, tanpa diminta, pihak kerajaan juga melalui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, telah membenarkan mahasiswa bertanding dalam PRU-13 sebagai mengiktiraf fungsi dan sumbangan serta kematangan daya pemikiran mahasiswa di negara ini. Perkara ini juga selari dengan langkah kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2012 yang membenarkan mahasiswa aktif dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus tanpa sebarang sekatan. Nah, kesemua peluang dan ruang yang diberikan ini harus disambut dan disahut oleh mahasiswa. Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Menyentuh pula kepada pengamalan demokrasi sebenar dalam konteks Malaysia, bahang kehangatan PRU ke 13 semakin dirasai manakala realiti politik hari ini adalah merujuk kepada kebangkitan kuasa anak muda (thaurah syabab). Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jumlah pengundi muda berusia antara 21 hingga 35 tahun bakal menentukan keputusan menang kalah dalam PRU ke-13 iaitu seramai 7.36 juta orang atau 49.7 peratus. Jumlah itu lebih besar berbanding hanya 40 peratus pada PRU ke-12. Dalam hal ini, PKPIM tidak harus terkecuali dan tidak sepatutnya mengecualikan diri daripada kancah politik tanah air. Prinsip non-partisan yang dijadikan sebagai pegangan PKPIM tidak bermakna non-participation. Kesedaran melalui pendidikan politik (siyasah shar’iyyah) yang sedang giat digerakkan sepertimana penganjuran konvensyen-pencerdasan-rakyat ini perlu diperjelaskan dan dikongsikan secara bersama generasi muda. Dalam suasana di mana parti-parti politik bertarung ‘head to head’, ibarat gajah sama gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah. Amat menyedihkan bagi kita apabila melihat rakyat yang menjadi mangsa- semakin celaru dan keliru. Namun begitu, pengamalan sistem dua parti (two party system) yang seimbang dan sama kuat dilihat mempunyai implikasi yang positif kepada rakyat secara keseluruhannya. Zaman ‘kerajaan tahu semuanya’ telah berakhir dan pendekatan pembangkang ‘membangkang’ sahaja perlu dikurangkan dan mereka juga perlu bersedia sebagai alternatif. Lantaran itu, gerakan pelajar harus tampil sebagai kuasa berkecuali yang tidak berkepentingan untuk menyuarakan isi hati anak muda serta menjadi jurubicara masyarakat. Kita mahu menyatakan solidariti kepada mana-mana pihak yang mendokong prinsip kebenaran dan keadilan.Pada akhirnya yang menang bukanlah parti yang bertanding tetapi kemenangan sebenar adalah buat rakyat. Sehubungan dengan itu, mesej dan harapan banyak pihak hari ini terletak kepada generasi muda supaya bangkit dan bersama-sama menggerakan agenda mengangkat misi tanwiriy-tahririy-taghyiriy (pencerahan, pembebasan dan perubahan) . Pergerakan ini perlu didasari dengan segala macam persediaan bagi menghadapi tentangan mendatang. Pengajaran daripada pencerobohan kedaulatan negara dan juga sebab akibat peperangan perlu diambil pengajaran kepada kita untuk terus mempersiapkan diri agar tidak terleka. Kita perlu yakin bahawa generasi muda akan terus hidup dengan berpegang kepada idealisme - “Buat Baik Jangan Sekali, Buat Jahat Baik Sekali” serta prinsip cintakan kepada keadilan dan keamanan. AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN PRESIDEN PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) SEKRETARIAT PKPIM PUSAT, Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah, Batu 6 1/2 , Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur. Telefon: 013-2226925 Emel: pkpim_spp@yahoo.com fahmi.iium@gmail.com Laman Sawang: www.pkpim.org.my