IMAM MASJID DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN

IMAM DALAM GERAK KERJA AMAL DAN KESUKARELAWAN Oleh: AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ketua Pegawai Eksekutif, Global Peace Mission (GPM) Malaysia Kursus Profesionalisme Imam Siri 2/2018, 25-27 Julai 2018 di Pusat Latihan Islam Kundasang, Ranau, Sabah PENDAHULUAN Keaktifan institusi masjid sebagai pusat pentadbiran, pusat kepimpinan, pemantapan imej, pusat pengajaran dan pembelajaran; pembangunan masyarakat; pusat sumber; perpaduan masyarakat; penyaluran suara umat; pembangunan program kesukarelawanan; dan pembangunan sukan dan rekreasi, pusat rujukan, one-stop centre dan namakan sahaja adalah bergantung kepada orientasi dan gerak kerja organisasi masjid itu sendiri. Sudah pasti dalam hal ini peranan para Imam amat signifikan sesuai dengan kedudukan, peranan dan fungsi yang tertentu bukan sahaja mengimarahkan masjid, tetapi juga dalam membina, mengembang dan memajukan gerak kerja operasi di masjid agar tidak hanya dilihat stereotaip dengan aktiviti ibadat semata. Oleh itu, imam masjid perlulah mempunyai citra dakwah kepimpinan, pengetahuan dan wawasan yang luas serta mampu menyelesaikan masalah umat sebaiknya. Kesukarelawanan menurut Dr. Azizan Bahari (2016) dalam bukunya Kesukarelawanan ialah “suatu konsep dan amalan berkaitan dengan sumbangan atau perkongsian masa, sumber, pengetahuan, kemahiran, kebolehan, pengalaman, dan sebagainya yang dilaksanakan secara sukarela, yakni tanpa paksaan (oleh sesiapa) dan tanpa berbayar atau mengharapkan ganjaran kewangan”. Dengan jiwa kesukarelawanan dan semangat nyalarasa (passion) yang tinggi terhadap gerak kerja amal maka institusi masjid akan mempunyai nilai tambah yang bermakna dengan diurus dengan tata kelola yang baik, cekap, kreatif dan profesional. Usaha memupuk semangat ‘kesukarelawan ummatik’ dalam kalangan mereka yang mengimarahkan masjid harus terus disemarakkan bagi melihat para imam terutamanya dalam berkongsi kekayaan dan kemakmuran dengan sebahagian daripada mereka yang tidak bernasib baik samada yang dilanda peperangan, kemiskinan, kebuluran dan kesejukan. Usaha ini juga selaras dengan ajaran dan saranan agama seperti yang dititipkan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam Ushul al-‘Amal al-Khairi fi al-Islam atau Prinsip Amal Kebaikan agar sentiasa berbuat baik; berlumba-lumba membuat kebaikan; bersegera menuju kebaikan; mengajak pada kebaikan; menganjurkan pada kebaikan; mengerjakan kebaikan sekecil apa pun; sentiasa berniat berbuat kebaikan; dan bekerjasama berbuat kebaikan. Di dalam dunia yang sinonim dengan ketamakan dan kerakusan atau apa yang diistilahkan oleh Ronggowarsito dalam syairnya sebagai Jaman Edan (zaman gila) ini, seruan kebaikan dan kesukarelawan ini amatlah releven untuk mengembalikan nilai kemanusiaan atau memanusiakan manusia yang sering alpa. Lantaran itu, jika kita meneliti kepada keberadaan dan peranan para Imam dalam institusi masjid selama ini tentu tidak memadai sekadar mengungkap pencapaian dan masalah yang mereka hadapi. Himpunan pengalaman dan pengamatan semua pihak terutamanya dalam platform seperti Kursus Profesionalisme Imam secara bersiri ini seharusnya dapat diarahkan untuk melakukan introspeksi dan menilai secara kritis bukan sahaja terhadap peranan kita selama ini tetapi melihat kepada strategi untuk menggarap solusi terbaik untuk manfaat ummah. MISI PROFETIS SEBAGAI MOTIVASI PARA IMAM Misi tanwiriy-tahririy-taghyiriy adalah penumpuan kepada aspek “3 Ta” iaitu membawa kepada pencerahan daripada kegelapan (tanwiriy), pembebasan daripada belengguan ciptaan manusia (tahririy) dan perubahan nilai-nilai kemanusiaan yang lebih bermakna (taghyiriy). Ianya amat penting kerana dilihat mampu untuk memenuhi fungsi holistik imam dalam berperanan merubah manusia (human transformer) dan pembina budaya (culture builder). Hal ini juga merupakan kelangsungan kepada perjuangan para anbiya’ dan mursalin sepanjang zaman. Firman Allah SWT: Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Al Jumu’ah:2) Justeru, pendekatan memahamkan agenda misi 3 Ta ini perlu dilaksanakan dengan lebih agresif dan intensif kepada para imam sebagai usaha terjemahan kepada misi profetis iaitu membebaskan manusia dari kegelapan (al-zulumat) kepada kecerahan (al-nur). Untuk memastikan terlaksananya misi tanwiriy atau pencerahan ini, para imam harus mampu tampil sebagai “the enlightened souls”, istilah yang diungkapkan oleh Ali Shari`ati tentang golongan yang sedar tentang dirinya dan sedar dengan tanggungjawab sosialnya. Rasulullah S.A.W menekankan perubahan mestilah bermula dari diri sendiri. Namun, perubahan yang bertaklidkan orang lain adalah perubahan yang rapuh dan mudah runtuh. Perubahan mestilah dimulakan dengan merubah cara berfikir dan tanggapan terhadap pandangan alam (worldview). Dari jejak sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W, dapat kita pelajari bahawa transformasi umat mestilah didahului dengan transformasi diri terutamanya kepada diri imam sendiri. Bermula dengan diri, kemudian keluarga terdekat sebelum kita berusaha melakukan perubahan kepada orang lain. Konsep taghyir al-nufus seperti yang disarankan Al-Quran amat relevan dalam kita meraikan dwi-kemerdekaan iaitu kemerdekaan dari taklukan penjajah dan pembebasan hawa nafsu. Taghyir al- nufus meliputi perubahan nilai kepercayaan, cara berfikir dan kaedah bekerja. Ia adalah perubahan total yang menjadi teras sebarang usaha pembaikan. Jika gagal dilaksanakan, usaha pembaikan hanya sekadar usaha yang kosmetik dan tidak akan mampu berhadapan dengan cabaran zaman dan halangan lingkungan. Inilah motivasi yang perlu dijadikan panduan khususnya kepada para imam. Ia adalah formula yang mesti kita ikuti dalam agenda perubahan ummah. Taghyir al-nufus (transformasi diri) dan kekuatan qudwah hasanah. TARBIYYAH UMMATIK MENYANTUNI PERANAN ISLAH Masyarakat Malaysia hari ini khususnya di Sabah terdiri daripada pelbagai kaum (multi-racial) yang mengamalkan prinsip keterbukaan dan ketelusan. Keadaan seperti ini telah memberi ruang kepada beberapa siri wacana dan diskusi terbuka melibatkan bukan sahaja isu-isu yang selama ini tidak disentuh kerana dianggap sensitif seperti isu berkaitan kedudukan keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, tetapi juga hal-hal yang berkaitan dengan Islam dan ajaran-ajarannya. Individu yang tidak berautoriti dan organisasi tertentu turut berani memberikan kritikan yang tajam terhadap peranan ulama dan institusi agama malahan terkini ada golongan anak muda yang secara terang-terangan mengaku atheis. Turut dipersoal ialah pemahaman dan interpretasi ajaran-ajaran Islam yang menjadi pegangan umat sekian lama termasuk penghinaan terhadap Islam melalui media sosial, isu murtad dan kebebasan agama, undang-undang Islam, perkahwinan; penjagaan anak-anak serta harta warisan yang memberi implikasi tertentu kepada keharmonian beragama di negara ini. Dengan menggunakan neraca demokrasi dan konsep hak-hak asasi Barat serta metodologi mereka, sebahagian ajaran-ajaran agama yang telah berakar dalam masyarakat dianggap tidak lagi sesuai, bias dan menindas. (Islam Pelbagai Wajah) Justeru, kita harus merencana serta mempersiap para Imam yang berkemampuan bagi mendepani cabaran-cabaran seperti ini. Sudah semestinya isu-isu integral ini harus diberi perhatian sebagai agenda bersama. Gerakan para imam harus mempunyai individu yang berautoriti untuk berdialog secara bijaksana dan memberi nasihat berhikmah kepada muslim dan non-muslim dalam isu-isu berkaitan sehingga sebarang kekeliruan dapat diperjelaskan. Firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orangyang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk. (An-Nahl: 125) IMAM SEBAGAI JURU BICARA UMAT Barangkali telah sampai masanya istilah “umat” wajar diperluas bukan sahaja dalam masyarakat Islam semata-mata tetapi wajar diperluas untuk masyarakat bukan Islam sepertimana yang telah diungkapkan dengan tuntas oleh Prof. Dato’ Dr. Siddiq Fadzil dalam konteks Pembinaan Bangsa Malaysia yang harus berasaskan kepada formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.- “Muwatinun la dhimmiyyun”. Sudah sampai masanya untuk institusi agama khususnya para imam untuk keluar daripada kongkongan (circle of infulence) dan zon selesa (comfort zone). Akhirnya dianggap sebagai katak dibawah tempurung! Kita harus dapat bersikap positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai aset kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan. Islam wajib dilihat sebagai agama universal! Saudara-saudara baru daripada kaum Cina dan India dan kelompok minoriti lain juga perlu terlibat dengan gerak kerja yang dilaksanakan oleh kita. PERMASALAHAN REALITI SEMASA Dalam mengharung simpang-siur kerja gerakan dakwah ini rupa-rupanya sebahagian daripada kita turut dilandai dengan seribu satu permasalahan yang sangat menghambat pengembangan dan pertumbuhan gerakan dakwah; 1) Sindrom “Inferiority Complex” Salah satu penyakit yang kini rata-rata mencengkam ialah sindrom Inferiority Complex- hilang keyakinan diri. Sindrom ini menjadikan sebahagian daripada kita kurang berkeyakinan dengan kemampuan diri. Kita melihat wajah diri yang terlalu lemah, daif, dan kurang arif dalam mengendalikan apa-apa yang berkaitan dengan persoalan keorganisasian: apatah lagi memimpinnya. Diberikan pertanggungjawaban, dia tidak amanah: ditawarkan untuk turut serta berkhidmat melebihi waktu kerja, dia memberikan seribu satu alasan atau hanya melakukan tugas rutin membaca doa dalam majlis keramaian mahupun kesedihan. Mungkin sekadar terlibat hanya dengan sebagai tenaga samping-sampingan di pinggiran atau jika tidakpun turut serta sebagai penyokong yang hanya berperanan meramaikan majlis. Biasanya apa yang berlaku ialah mereka ini saling tunggu menunggu ‘titah perintah’ atau menunggu ‘wahyu’ dari pihak atasan khususnya daripada pihak pengurusan tertinggi untuk melaksanakan sesuatu kerja bagaikan resmi paku, bila dipukul barulah masuk. 2) Sindrom Lesu dan Beku Berputik daripada itulah, kepimpinan para Imam kini juga telah diresapi dengan sindrom lesu dan beku. Kita selalu terdengar disana sini suara-suara sungutan daripada pendukung dan makmum mahupun maklumbalas daripada media sosial yang meluahkan rasa betapa lesunya gerak kerja organisasi dan aktiviti kini. Di sesetengah tempat, institusi masjid kelihatannya seolah-olah hidup segan mati tak mahu. Lantaran itulah, kita dapat simpulkan bahawa corak program yang dilaksanakan didapati hambar dan serupa ataupun ‘syok sendiri’ sahaja sejak dahulu hinggalah kini. Sungutan para jamaah kerana memandangkan program-program ritual Islam adalah berbentuk stereotaip seolah-olah kehabisan modal sedangkan kurniaan ‘aqal dan hati’ daripada Ilahi yang mampu berfikiran kritis serta kreatif, progresif dan konstruktif justeru sifat fitrah dinamismenya belumpun digunakan semaksimanya. 3) Sindrom Kecelaruan Pengurusan Kelesuan dan kebekuan adalah berkait langsung dengan persoalan pengurusan. Seperti yang telah dijelaskan, sekiranya para Imam tidak dapat menguruskan sesuatu dengan baik, maka lahirlah hasil yang cacat. Budaya ‘last-minute’ – kerja akhir dan kecelaruan cara pelaksanaan masih lagi merupakan cara hidup umat Islam masa kini. Sebab itulah, malangnya kita dapati ramai dalam kalangan kita yang sudah dilekati suatu stigma bahawa mereka adalah juara budaya ad-hoc, last-minute dan budaya kerja tidak bersistem. Kita seolah-olah terkapai-kapai dalam kelemasan dihanyut ombak ketidaktentuan. Sekadar mengulangi kata-kata Ziauddin Sardar: “They know they want to achieve something, but do not know quite what they want to achieve. They know they must go somewhere, but do not know exactly where to.” PERLUNYA GERAKAN PENCERAHAN DAN PERUBAHAN Dalam kita merenung realiti yang melingkari umat Islam alaf ini, kita perlu bertanya kepada diri kita sebagai pendukung Islam sendiri sampai bilakah kita harus membiarkan begitu sahaja suasana yang relatif suram begini berpanjangan? Sampai bilakah kita-generasi pelapis umat- yang tergolong sebagai komponen umat Islam yang dianugerahkan status sebagai ‘khalifah’ dan ‘khayrah ummah’ rela membiarkan diri menjadi umat yang lemah dan menyerah? Alaf ini sepertimana yang telah disinggung tadi merupakan zaman yang amat mencabar lantaran situasi dan realitinya sudah berubah. Sekiranya kita tidak cekap membaca dan naif dalam membuat perkiraan nescaya umat mendatang merupakan generasi yang lesu (pesimis) dan cepat menyerah (defeatist) yang tidak lagi sanggup memikul bebanan tugas yang tidak akan berakhir ini. Kita harus merancang sesuatu bagi memperbaharui imej kita ini. Kita tidak perlu mewarisi gejala dan budaya umat yang tidak sihat tersebut seperti gejala ketidaktentuan hala tuju, perpecahan ummah dan keterlampauan dalam tindakan dan pendekatan. Mengapa harus kita meneruskan budaya tidak sihat ini? Mengapa kita harus menerima dan memusakai budaya yang merosak dan menjahanamkan umat sendiri? Kita harus menjadi movement da’wah yang serius- bukan sekadar pelakon tambahan dalam layar sejarah. Kepimpinan Imam harus menjadi suatu ‘historical force’ – kuasa sejarah yang mampu menjadi agen pencerahan, pembebasan dan perubahan yang membawa seribu satu pembaikan. Hanya generasi yang menyedari hakikat fenomena perubahan ini dan kemudiannya mengukir masa hadapannya sendiri sahajalah yang dapat memetik hasil dan mengambil manfaat daripada fenomena ini. Hickman dan Silva menjelaskan hakikat ini. Kata mereka: “Only those leaders who learn to anticipate and even invent the future will profit from, rather than surprised by change.” MENGURUS DENGAN MINDA, RUH & JIWA Anjakan paradigma boleh berlaku jika amalan mengurus dengan minda, ruh dan jiwa dihayati dan diamalkan sepenuhnya. Mengurus dengan minda bermaksud mengurus berpandukan dokumen yang akan disediakan kepada para imam sebagai panduan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEINS). Mengurus dengan minda juga bermakna kita mengurus dengan apa yang disebutkan oleh John C. Maxwell sebagai pemikiran orang berjaya seperti big-picture thinking; realistic thinking; creative thinking; dan strategic thinking. Mengurus dengan minda adalah mengurus dengan berpaksikan idealisme, budaya ilmu dan kemahiran agar output yang dihasilkan benar-benar mantap. Mengurus dengan ruh merupakan elemen yang penting agar pengurusan tersebut berlaku bukan sekadar dengan tubuh badan fizikal tetapi disertakan dengan ruh kerohanian yang jitu.Mengurus institusi masjid merupakan satu ibadah dan amal kebajikan yang bermanfaat membantu menambahkan saham akhirat. Mengurus institusi masjid juga membawa konotasi bahawa para imam perlu mengurus dengan penuh integriti dan ia merupakan amanah yang akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Mengurus dengan ruh disertakan dengan manajeman hati yang mempersatukan hati-hati pimpinan agar terus menjaga niat ikhlas dan kepentingan umum melebihi kepentingan peribadi. Mengurus jiwa adalah memimpin dan mengurus institusi agama dan dakwah dengan penuh semangat kesukarelawanan dan semangat pengorbanan yang tinggi. MEMAHAMI MAD’U ATAU KUMPULAN SASAR Lantaran itu, jika kita melihat kepada pola fikir, trend, sikap, perilaku, perkembangan psikologi dan gaya hidup kumpulan sasar yang semakin kompleks dan moden dalam dunia hari ini adalah suatu perkara yang sangat menarik. Walaupun terdapat pro dan kontra, rata-rata daripada kita tidak lagi berminat dalam aktiviti kesukarelawanan atau bepersatuan yang memerlukan mereka menyiapkan rutin organisasi seperti penyediaan minit mesyuarat, menghadiri mesyuarat agung dan sebagainya. Masyarakat hari ini lebih berminat dan cenderung kepada elemen “loose coalition” – gerakan yang tidak punyai banyak komitmen dan keterikatan kepada mereka secara langsung dengan organisasi. Walhal, ketika ini dengan hanya dengan menekan ‘like’ mereka akan diterima dan layak ‘subscribe’ dalam mana-mana kumpulan yang memperjuangkan isu yang mereka perjuangkan. Jika dilihat terutamanya anak muda alaf baru ini aktif di alam maya. Mereka tidak mempunyai pimpinan khusus dan cenderung mengamalkan prinsip personal demokrasi - semua ahli mempunyai hak, autoriti, suara dan tanggungjawab bersama - dimana pelantikan admin tertentu yang mengawal selia perbincangan dan diskusi sudah memadai. Mereka tidak lagi memerlukan kehadiran secara fizikal untuk memutuskan apa juga keputusan dalam mesyuarat maya mereka. Setelah bersetuju dengan perancangan program tertentu barulah mereka bertemu di alam nyata. Nah, ini merupakan trend semasa Generasi Y dan Generasi Z yang memerlukan kefahaman yang lebih jelas khususnya kepada pembuat dasar. Tidak dinafikan, ada juga sebahagian anak muda yang terlibat dalam gejala ‘ekstremisme sosial’ yang datang dalam pelbagai gagasan dan ideologi yang mampu mendorong mereka ke arah keruntuhan akhlak, sosial serta hilang jati diri dan nilai ketimuran yang didukung sejak sekian lama. Telah terbukti, ada yang telah ditangkap kerana terpengaruh dan tertarik dengan perjuangan kumpulan militan un-islamic (IS). Mereka bukan sekadar minat, malahan sanggup untuk turun ke medan peperangan, kononnya atas nama jihad. Terbaru, sekumpulan anak muda Malaysia juga telah berani mengeluarkan video rakaman berbau ugutan di YouTube ditujukan kepada pemimpin tertentu. Hal ini sudah tentu boleh menggangu-gugat keselematan Negara sekiranya tidak dibendung secara tegas oleh pihak berkuasa. Kita juga bimbang ianya akan menjadi satu lagi trend baru oleh anak muda untuk menyuarakan bantahan , ugutan dan sebagainya kepada mana-mana pihak selepas ini. Walaubagaimanapun, kita tidak hanya perlu melihat kepada elemen ekstrimisme dan sisi negatif yang memungkinkan idealisme dan perancangan hebat anak muda terhalang. Terdapat banyak lagi sisi positif lain dan pendekatan moderate;hikmah yang telah dan sedang dijalankan oleh turut memberi impak positif bukan sahaja kepada kelompok mereka malah kepada masyarakat dan Negara. Buktinya, umat semakin terhakupaya dengan penglibatan dalam isu-isu sentral negara. Mereka turut berpatisipasi secara aktif dalam berbicara soal isu-isu demokrasi dan proses pendemokrasian. Telah terdengar pelbagai isu yang diangkat oleh kelompok ini sama ada menerusi penulisan, program wacana-dialog, rapat umum, siri demonstrasi dan munculnya pelbagai sekolah pencerahan dan pemikiran yang secara tidak langsung turut menyentuh berkenaan soal kebebasan bersuara, hak sebagai warganegara, kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, masalah penggangguran, soal ekonomi dan kos sara hidup dan sebagainya. Menariknya, gerakan seperti ini ini datangnya dari umat kepada umat. Idea dan inisiatif mereka lahir dari permasalahan sosial dan realiti yang berlaku dalam masyarakat. Sudah tentu masyarakat umum mengambil maklum peranan gerakan kesukarelawan yang menggerakan projek Gerobok Rezeki, Dapur Jalanan, Projek Nasi Lemak, Program Bersama Gelandangan dan sebagainya. Anak muda hari ini menggunakan pelbagai medium dan berpatispiasi secara aktif dalam ruang sebagai ‘partner in problem solving’ dan ‘partner in nation building’. Pengisian yang ditawarkan mereka mempunyai keunikan tersendiri, dinamik, kreatif, inovatif, komprehensif, efektif, efisien, mesra orang muda, berorientasikan misi dan bukan sekadar ‘programme oriented’ yang bersifat ‘touch and go’. MENGURUS PERUBAHAN KEPIMPINAN MENERUSI BUDAYA Bagaimanapun, di peringkat ini adalah difikirkan secocoknya sekiranya kita membincangkan persoalan pengurusan masa hadapan kebangkitan Islam ini dengan memusatkan fokus perbincangan kita kepada persoalan mengurus perubahan dalam kepimpinan institusi Islam terlebih dahulu. Kita telahpun menegaskan bahawa institusi Islam memerlukan pencerahan dan pembaharuan imej. Imej itu sendiri terbit daripada budaya. Lantaran itu, yang perlu diubah sebenarnya adalah budaya merosak dalam yang sedikit sebanyak telahpun dikupaskan persoalannya sebelum ini dan untuk menguruskan perubahan budaya bukanlah sesuatu yang mudah. Malah mengubah dan merubah budaya sebarang jenis organisasi itu sendiri sememangnya sukar. Lawrence M. Miller mengakui hal ini, Katanya:Changing the culture of a corporation is no small task and requires a number of years of persistent and coordinated effort” Bukan mudah hendak mengubah budaya apatah lagi kalau budaya itu sudah berakar umbi menjadi tabiat. Tetapi, kita harus bermula dari sesuatu. Untuk membantu kita merungkaikan persoalan ini, kita kemukakan satu pertanyaan. Siapakah yang menghidupkan budaya? Bukankah budaya itu berpunca daripada watak-watak yang menjelmakannya dalam perilaku mereka? Justeru itu, kita menyarankan bahawa sebagai strategi awal, kita harus pertamanya menumpukan kepada penyemaian, pembinaan dan kelahiran sikap dan nilai-nilai positif ke dalam diri aktivis dan para imam masa kini. Dengan perkataan lain, kita harus melahirkan kepimpinan masjid yang cemerlang yang mampu menghadapi dan menjawab persoalan-persoalan semasa dengan segala keberanian, keyakinan dan kewibawaan. Hal ini kerana kecemerlangan itu bukan datangnya daripada institusi. Ia sebenarnya datang daripada individu. Inilah yang telah dinyatakan oleh Hickman dan Silva dalam bukunya “Creating Excellence” “Individuals, not organisations create excellence,” 1.Memugar budaya ilmu dan berakhlak mulia Budaya ini selaras dengan tuntutan Allah di dalam surah Al-Alaq yang pertama diturunkan sebagai permulaan suatu kebangkitan dominan ilmu serta alam. Gerakan Islam di dalam orientasinya meletakkan Ālamiyyah sebagai ukuran kekuatan insan bagi membezakan yang hak dan batil. Ianya didasari oleh Al-Quran dan As-Sunnah serta ilmu-ilmu keduniaan lain yang menjadi adunan terbaik pembinaan insan berkualiti. 2.Bersedia untuk belajar, mengajar dan diajar Sifat ini selaras dengan ciri-ciri pembinan generasi rabbāni yang melatih insan untuk bersifat terbuka, menerima pandangan dan dalam masa yang sama berhikmah dalam menegur pihak lain. Budaya ini mampu memupuk rasa rendah diri (tawad¸u`) atas kelebihan yang ada dan memperbaiki kelemahan sendiri serta orang lain. 3.Penghayatan amalan kerohanian Penghayatan budaya ini dilakukan melalui Qiamullail, zikir al-Mathurat dan amalan-amalan Rasulullah SAW secara istiqamah baik secara individu atau jemaah. Hubungan intim kita dengan Allah SWT merupakan prasyarat utama dalam membina kekuatan kita selaku gerakan pelajar Islam. 4.Memperkasa semangat ukhuwwah Semangat ini terbina atas dasar aqidah seterusnya melahirkan rasa kasih sayang sesama insan kerana Allah. Ia mendorong insan untuk sama-sama menjaga kebajikan dan kepentingan insan lain. Rasulullah SAW berpesan dalam hadithnya yang bermaksud: tidak sempurna iman seorang daripada kamu sehingga kamu mengasihi saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi saudara kamu sendiri. (Hadis riwayat Bukhari) 5.Menghayati amalan syura, amal jamā`iy & budaya kerja terancang Amalan syura secara bersepadu dalam sistem keorganisasian dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan gerakan. Manakala budaya kerja terancang merupakan satu latihan disiplin ahli sebagai tanda patuh dan taat kepada keputusan yang telah dipersetujui bersama. Namun kesatuan amal ini hanya terlaksana dengan terikatnya kesatuan fikrah sehingga membentuk satu gelombang dakwah yang berterusan dan terencana. 6.Prihatin dan iltizam dengan isu semasa Perbincangan dalam isu-isu sosial dan kemasyarakatan seperti isu pendidikan, kebejatan sosial, pencabulan hak asasi manusia dan lain-lain adalah antara usaha untuk membuka perspektif realiti umat Islam masa kini. Budaya ini penting dalam merancang, menganalisa dan merumus isu tersebut dalam rangka membela umat. 7.Menghayati rūh al-jihād fï sabïl al-Allah Inilah peringkat tertinggi yang dapat dicapai hasil latihan dan semangat untuk meratakan kalimah iman dan amal di segenap alam. Peringkat ini hanya teruji dengan pengorbanan tidak berbelah bahagi terhadap urusan jamaah bersandarkan fiqh al-awlawïyah (fiqh keutamaan). Jiwa yang terbina di atas landasan jihad menuntut kesediaan diri insan dengan semua persiapan di atas. IDEALISME, AKTIVISME, INTELEKTUALISME DAN SPIRITUALISME Selain budaya, penyediaan kepimpinan imam dalam institusi Islam alaf baru yang mapan sememangnya memerlukan adunan sebati di antara peranan Idealisme, Aktivisme, Intelektualisme dan Spiritualisme. Idealisme (Ketinggian Pemikiran) Merujuk kepada pegangan atau prinsip fundamental yang dihayati lagi diamali. Ia berasaskan kepada dua perkara pokok. Pertama ialah Al-Amru bil Makruf atau kecintaan terhadap prinsip kebenaran, keadilan dan keharmonian. Kedua ialah Wan Nahu ‘anil Mungkar atau kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kekacauan. Aktivisme (Kesungguhan Usaha) Merujuk kepada keupayaan merealisasikan idealisme melalui tindakan-tindakan yang praktikal. Ia merupakan suatu proses yang harus berlandaskan kepada kebijaksanaan mengolah idea-idea yang bernas dan kewibawaan menterjemah idealisme tersebut dalam aturan hidup secara kemas tanpa menimbulkan riak-riak negatif yang lebih memudaratkan. Melalui aktivisme inilah, lahirnya gerakan yang berintikan semangat pengorbanan dan perjuangan serta nilai-nilai kesukarelaan yang tinggi. Intelektualisme (Keluasan Ilmu) Tidak hanya merujuk mahupun tergantung kepada kehebatan pelajar dalam memperoleh markah yang tinggi dalam peperiksaan semata-mata. Bukan juga terbangun di atas kecenderungan pelajar untuk menjadi ulat buku dengan mengasingkan diri daripada cuba memahami dan menelaah apa yang berlaku di sekelilingnya. Spiritualisme (Kekuatan Rohani) Kekuatan rohani merupakan pra-syarat yang utama yang perlu dipenuhi. Ini kerana, kekuatan rohanilah yang akan memacu kita dalam perjuangan ini selain sebagai motivasi tulen yang memacu kita untuk terus berjuang. Maka persoalannya sekarang, di manakah sumber motivasi tulen ini? Di sinilah tampaknya keutamaan dan kepentingan amal ibadah serta selawat. Amal ibadah sebagai zikir kita memperingati Allah s.w.t. pada setiap masa dan selawat sebagai cinta kasih kita kepada baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. Seperti yang dianjurkan Al-Quran dalam Surah ar-Ra’d, ayat ke-28; “...ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram Manakala satu-satunya suruhan Allah s.w.t. yang turut dilaksanakan oleh Allah s.w.t. sendiri adalah selawat ke atas baginda Muhammad Rasulullah s.a.w. seperti yang terakam dalam Surah al-Ahzab, ayat ke-56; “Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat untuk nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya” FAKTOR LENGKAP MELENGKAPI Intelektualisme adalah suatu proses penghayatan budaya ilmu melalui olahan idealisme yang dikembangkan dalam bentuk aktiviti-aktiviti yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kritis sehingga berupaya mencetuskan idea-idea baru sekaligus menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan yang praktis bersandarkan kepada elemen spiritualisme yang merupakan pelengkap dan pengikat kepada kesemua adunan ini. Keempat-empat elemen ini harus diadun secara seimbang, komprehensif dan bersepadu dalam mendidik dan membangunkan kepimpinan generasi pelapis yang diharapkan mampu mewarnai corak ketamadunan bangsa akan datang. Ini kerana tanpa salah satu elemen ini, maka akan pincanglah kepimpinan negara masa depan. Umpamanya dengan hanya memiliki idealisme dan aktivisme tanpa melibatkan intelektualism, memungkinkan lahirnya pempimpin yang bersemangat waja dan rajin bekerja tetapi isi perjuangan kosong melompong. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme tanpa aktivisme pula memungkinkan lahirnya pemimpin yang gah oratornya dan mengeluarkan idea-idea yang tinggi melangit tetapi perancanaan dan tindakannya hancur melebur. Manakala yang ada aktivisme dan intelektualisme tanpa mempunyai kekuatan idealisme, maka lahirlah pemimpin yang kuat bekerja, berwawasan tetapi tidak mempunyai prinsip dan akhirnya mudah diperkotak-katikkan dan dijual beli Rahsianya, pembentukan seorang individu perlu diadun dengan kefahaman agama, kepetahan, keilmuan, dunia bacaan, jaringan networking, kepimpinan dan hikmah. Justeru, para imam harus membulatkan iltizam perjuangan untuk membina keunggulan keperibadian dan kepemimpinan. Malah, Umar Tilmisani, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin pernah mengungkapkan “Hikmah Asy-Syuyukh, fi hamasati As-Syabab” yang bermaksud “Hikmah orang tua, berada dalam semangat orang muda.” Kekuatan yang ada pada orang muda seperti masa lapang, tenaga yang kuat, akal yang masih cerdas, idea yang kreatif, idealisme yang masih membara dan semangat yang membuak perlu disertai dengan hikmah orang tua yang lebih lama menjalani kehidupan yang mana mereka lebih banyak berfikir, sudah melalui kesilapan demi kesilapan melalui pengalaman jatuh bangun di gelanggang perjuangan. Sudah tentu, imam muda sebagai generasi penerus harus mengambil hubungan antara tua dan muda secara sinergistik. Ayuh, tanggungjawab membina sumber daya insani yang seimbang dari segi akal, rohani, jasmani dan emosi merupakan keutamaan yang harus diletakkan sebagai keutamaan dalam kehidupan. Tanggungjawab mendidik manusia ini tidak hanya bersifat musim-musiman lebih-lebih lagi ketika wujudnya tekanan sosial yang memaksa. Sebaliknya, pelaksanaan ini perlu lahir dari dhamir kesedaran mendalam dan semangat yang jitu berlandaskan ilmu dan amal yang benar. PENGURUSAN ALAF BARU KEPIMPINAN IMAM Nah, kita menyakini bahawa pada dasarnya kita mempunyai sekurang-kurangnya dua alternatif dalam menghadapi masa hadapan iaitu masa depan yang tidak menentu atau masa hadapan yang dirancang. Jika kita memilih yang pertama, sudah tentu kita tidak mungkin mencapai masa hadapan yang bermakna. Tetapi, jika kita mengambil pilihan yang kedua, kita mampu untuk mencapai sesuatu yang lebih bererti sekiranya kita merancang secara konstruktif dalam bertindak berdasarkan ‘foresight’. Justeru itulah, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menasihatkan para aktivis dakwah Islam bahawa: “Semangat zaman kita sekarang ini ialah semangat perancangan. Kita tidak boleh membina segala gerak kerja kita berdasarkan kepada emosi dan lantunan-lantunan perasaan yang dibawa dan dipengaruhi perasaan.” Sesungguhnya, bukan mudah untuk kita mengemukan suatu ‘action-plan’ – pelan bertindak yang komprehensif dan praktikal dalam menguruskan masa depan sesebuah organisasi apatah lagi institusi Islam. Persoalan ini memerlukan kajian, dan perbincangan dan penilaian yang begitu teliti dan terperinci bagi mendapatkan sesuatu yang menyeluruh dan lengkap. Perbincangan dalam ruang seperti Kursus Profesionalisme Imam secara bersiri ini mungkin dapat menghuraikan secara sempurna hal-hal yang sebesar persoalan yang dikemukan tadi. KHATIMAH Marilah kita mengukuhkan tekad dan beriltizam dengan komitmen yang tinggi terhadap Allah SWT dan sentiasa berusaha menjalankan perintah-Nya sesuai dengan kemampuan kita. Kita perlu bersikap progresif dan proaktif dengan sentiasa melakukan penilaian terhadap kualiti hidup diri, adat tradisi dan pemahaman dan pengamalan amal Islami disamping mempunyai sarwa pandang (worldview) yang jelas tentang kehidupan yang perlu dibina bersama-sama makhluk lain iaitu kehidupan harmoni yang menjaga hubungan baik antara manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan alam semulajadi, manusia dengan manusia dan manusia dengan dirinya sendiri. Buat semua Imam, tokoh hebat dari Turki, Syeikh Bediuzzaman Said Nursi di dalam Risale i-Nur pernah menyebutkan bahawa perjuangan memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit. Perjuangan bukan hanya dengan ucapan semata-mata. Bahkan ia menjangkau kepada harta benda, masa, fikiran sehinggalah sampai kepada diri sendiri mesti menjadi taruhan. Paling mengesankan jika kita merenung makna disebalik kata-kata beliau iaitu ''kerehatan seorang pejuang adalah dalam perjuangannya” Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (At-Tawbah: 41) *Kertas iringan ini dibentangkan dalam Kursus Profesionalisme Imam Siri 2/2018, pada 25-27 Julai 2018 di Pusat Latihan Islam Kundasang, Ranau, Sabah. Beliau boleh dihubungi melalui no tel: 013-2226925, email; fahmi.iium@gmail.com, Twitter & IG: Fahmi_Samsudin

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”