“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”

Satu peratus penduduk dunia kini terdiri daripada pelarian, pencari suaka atau pelarian dalaman di negara sendiri (IDPs). Sebahagian mereka mungkin pernah mengecapi nikmat dunia sepertimana yang dilalui 7.9 billion manusia lain. Pengalaman silam mempunyai pekerjaan, kenderaan, kediaman mahupun kehidupan bekeluarga dalam keadaan aman dan sejahtera pastinya merupakan kurniaan yang dirindukan. Kelompok rentan 1% ini majoritinya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita yang berisiko tinggi berhadapan dengan seribu satu kemungkinan disebabkan oleh peperangan, penganiayaan, pelanggaran hak asasi manusia dan segala bentuk keganasan lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam Laporan Global Trend 2019 yang dikeluarkan pada 18 Jun 2020 lalu mendapati sehingga penghujung tahun 2019, terdapat 79.5 juta orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka. Angka yang menghampiri 100 juta ini menunjukkan lebih dua kali ganda perpindahan global berlaku dalam tempoh sedekad. Sebagai perbandingan, 10 tahun lalu, jumlah penduduk dunia yang kehilangan tempat berteduh dianggarkan sekitar 41.1 juta. Ini bermakna bagi setiap satu minit, purata 30-40 individu terpaksa keluar berhijrah mengakibatkan berlakunya pertukaran status sosial mereka. Ya, mereka ini adalah muhajirin!

Ironinya, saban tahun penduduk bumi meraikan Hari Pelarian Sedunia pada tanggal 20 Jun dengan tema sambutan yang pelbagai. Tahun 2020, temanya ialah “Setiap Tindakan Diambilkira” (“Every Action Counts”). Sambutan Hari Pelarian Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang situasi yang dihadapi oleh pelarian di seluruh dunia. 

Persoalannya, Adakah masyarakat dunia kini semakin cakna dan prihatin terhadap mereka? Bagaimana pula dengan sentimen xenophobia atau ketakutan yang mendalam terhadap orang asing dan sikap diskriminasi kepada orang luar? Sejauhmana kita sebagai warga global sedar akan kewujudan golongan 1% ini? Adakah kita bersetuju bahawa konflik dan krisis dunia yang berterusan ini akhirnya akan mencetuskan pandemik pelarian.

Fakta yang dilaporkan oleh agensi pelarian PBB ini menunjukkan 26 juta orang pelarian mendapatkan perlindungan di negara lain, 45.7 juta individu merupakan pelarian dalaman di negara sendiri manakala 4.2 juta orang merupakan pencari suaka iaitu mereka yang meninggalkan kampung halaman tetapi status pelarian mereka masih belum dapat dikenalpasti oleh pihak berkuasa. Daripada 26 juta orang pelarian yang disahkan status mereka ini, seramai 20.4 juta orang adalah di bawah mandat UNHCR, sementara 5.6 juta orang berada di bawah mandat Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA).
Konflik peperangan di beberapa buah negara yang tidak berpenghujung antaranya di Syria, Yemen, Afghanistan dan Myanmar termasuk kejatuhan ekonomi dan faktor perubahan iklim (climate-change) di Venezuela, Congo dan Selatan Sudan menyebabkan majoriti besar atau 2/3 daripada mereka kini tidak mempunyai pilihan selain terpaksa keluar dari negara asal. Situasi ini menyebabkan pelarian politik atau ekonomi ini menyelamatkan diri dengan berjalan kaki atau menempuh lautan bergelora. Dilaporkan terdapat beribu kes kematian direkodkan demi meneruskan kehidupan yang semakin jauh daripada keamanan, kebebasan, kemerdekaan mahupun keselesaan. 

Lebih malang, dunia kini berhadapan dengan pandemik Covid-19. Penularan virus ini memberikan impak yang buruk dalam sejarah kesihatan global. Umumnya negara-negara miskin dan berpendapatan sederhana mahupun membangun seperti Bangladesh, Turki, Colombia, Jordan dan Pakistan adalah merupakan negara destinasi pilihan para muhajirin. Negara ini kini berperanan sebagai tuan rumah kepada hampir 85 peratus pelarian yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan.

Natijahnya, implikasi negatif ekonomi dan politik pasti akan berlaku dalam keadaan negara berkenaan juga bergelut dengan kehendak domestik rakyat negara sendiri. Manakala pertambahan jumlah pelarian yang terus keluar daripada negara asal walhasil akar permasalahan yang terjadi tidak dapat dikendurkan malahan bertambah parah. Dalam konteks ini, sinergi dan gabungan penggerak komuniti, masyarakat sivil, pemain politik dan organisasi antarabanga wajar memainkan peranan yang lebih signifikan dan berkesan agar konflik yang mengakibatkan pandemik pelarian ini dapat diselesaikan. 

Pastinya trauma penderitaan yang dialami pelarian ini tidak mudah untuk dilupakan. Namakan sahaja ‘siksaan dunia’ yang dialami mereka! Baik pembunuhan didepan mata, ahli keluarga yang diperkosa, diusir dan dinafikan hak kewarganegaraan, dipenjara mahupun berhadapan kesukaran dan penderitaan demi mencari rezeki yang mengakibatkan kekurangan zat dan nutrisi. Adakah kita mampu dan sanggup berada di tempat mereka? Wajar juga bagi kita untuk meletakkan diri kita di dalam kasut mereka untuk memahami dan merasai penderitaan ini. 

Dalam hal ini, sentimen kebencian dan prasangka buruk terhadap pelarian yang memohon perlindungan tidak dapat dielakkan. Kelompok ini disikapi dengan naratif negatif dan disogok dengan fitnah sehingga mempengaruhi orang ramai termasuk warga maya. Ya, kita tidak menafikan ada dalam kalangan pelarian yang membuat onar, namun untuk memukul rata kepada semua; adakah ianya adil buat mereka? Tidak kurang juga tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada pelarian ini kononnya mereka ingin menuntut hak warganegara sedangkan keberadaan mereka di negara kita adalah merupakan anugerah sementara setelah berjaya lari daripada neraka dunia. 

Justeru, kita jangan hilang fokus! Jika tidak dapat buat semua jangan tinggalkan semua. Penumpuan juga wajar diberikan kepada kelompok majoriti iaitu kanak-kanak daripada keluarga pelarian. Mereka tidak harus menjadi mangsa dan menanggung penderitaan disebabkan perbuatan yang bukan dilakukan oleh mereka. Anak-anak daripada keluarga pelarian ini tidak meminta agar mereka dilahirkan sebegini apatah lagi mereka tidak juga mempunyai pilihan untuk tidak dilahirkan daripada keluarga pelarian. Ada anak-anak kecil yang terpaksa menanggung dan menyara keluarga di usia yang masih muda. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa eksploitasi pemerdagangan manusia. Bayangkan pula jika peperangan dan konflik yang berlanjutan sehingga 10 tahun yang mengakibatkan kerugian hampir sedekad melibatkan generasi penerus harapan negara. Mereka akhirnya tidak mempunyai peluang dan ruang untuk mendapatkan pendidikan formal apatah lagi mengecapi kehidupan sebagai kanak-kanak normal. 

Oleh yang demikian, penekanan kepada aspek pendidikan amat dititikberatkan oleh gerakan madani seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ketika terlibat awal dalam memberikan peluang pendidikan formal kepada mangsa pelarian Bosnia termasuk Kemboja, Palestin, Nigeria dan negara konflik lain. Sebahagian daripada mereka dahulunya berada di Malaysia sehingga diberi ruang mendapatkan pendidikan sehingga ke peringkat universiti. Malahan ada yang menyambung pelajaran ke peringkat PhD. Terbukti, sebahagian daripada mereka kini adalah merupakan individu penting di negara masing-masing dalam pelbagai sektor termasuk politik, keagaman, perniagaan dan perkhidmatan. 

Justeru, model pendidikan dan penerusan pembelajaran yang memberi penekanan kepada elemen kepimpinan ummatik diteruskan sehingga ke hari ini. ABIM memberi peluang kepada ratusan pelarian Syria dan Rohingya termasuk mereka yang datang daripada negara konflik lain untuk mengikuti pendidikan secara formal melalui Jasmine Ash Sham Alternative Education Centre yang diusahakan oleh Malaysia For Syria (MFS) di bawah Global Peace Mission (GPM) iaitu agensi kemanusiaan ABIM yang beroperasi di Setiawangsa. Manakala Jaringan Rohingya Education Centre (JREC) yang mempunyai ribuan pelajar Rohingya melalui pembelajaran dan pengajaran formal di beberapa buah Sekolah JREC di negeri Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu. Kedua-dua sekolah alternatif yang mendapat pengiktirafan oleh UNHCR ini menawarkan pendidikan di peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah. 

Kewujudan institusi pendidikan alternatif ini merupakan langkah solidariti dan empati gerakan Islam yang berhasrat agar mereka yang terdidik dan terpimpin ini kelak menjadi pemimpin harapan masa hadapan. Kembalinya mereka kelak untuk membuka dan membangunkan semula negara yang dahulunya bergolak. Inilah formula terbaik menerusi integrasi pendidikan sebagai jalan keluar buat para muhajirin. Kesinambungan usaha ini melalui simbiosis pihak universiti awam dan swasta melalui tawaran biasiswa khas kepada yang benar-benar layak amat dialu-alukan bagi meneruskan pencarian ilmu di peringkat yang lebih tinggi. 

Sesungguhnya usaha kolektif, holistik dan bersepadu oleh semua pihak termasuk perundingan diplomasi kerajaan agar terus memberi tekanan kepada negara yang terlibat dengan konflik untuk segera menghentikan kezaliman dan peperangan seterusnya menerima kembali pelarian untuk kembali ke negara asal mereka.  Desakan agar komuniti dunia turut mengambil inisiatif kemanusiaan dalam menangani isu pelarian adalah merupakan suara yang perlu disokong dan didokong.

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul