Kenyataan Balas PKPIM Kepada Zainuddin Maidin Dalam isu Syria

PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM) merujuk kepada penulisan Zainuddin Maidin bertarikh 14 Mac 2012 pada ruangan Forum Utusan Malaysia yang bertajuk 'Tidak perlu tunjuk perasaan anti Presiden Syria'. PKPIM berpandangan bahawa kenyataan beliau yang mengkritik tindakan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk melancarkan Perhimpunan Aman Membantah Kezaliman dan Pembunuhan di Syria ini adalah satu manifestasi kecelaruan pemikiran dalam meletakkan prioriti terhadap isu kemanusiaan.Titik perbezaan pandangan dalam hal ini bermula daripada persoalan adakah Bashar al-Assad benar-benar zalim ataupun tidak. Kayu ukur yang digunakan oleh beliau dalam merujuk kepada kezaliman ini apabila beliau melakukan perbandingan dengan kezaliman percaturan kuasa besar Barat yang melakukan 'Jenayah Hasutan' luar untuk melakukan proses 'Regime Change' di negara-negara Arab.Beliau melontarkan hujah bahawa 'Jenayah Hasutan' Barat yang dilakukan secara terancang, tersusun dan kejam yang dijuarai oleh Amerika Syarikat dan Israel dengan dukungan negara-negara Barat mensasarkan matlamat akhirnya adalah Iran yang akan menyempurnakan cita-cita mereka untuk menguasai negara-negara ini dan melaksanakan demokrasi acuan Barat kepada dunia Arab.

Keputusan timbang tara yang digunakan dalam hujah beliau menyetujui kemenangan dan keuntungan sebenar akan dimiliki oleh kuasa-kuasa besar ini terutama Israel. Justeru, kesimpulan beliau dalam hal ini, walau tidak dinyatakan, tetapi merujuk secara jelas pandangan beliau bahawa keputusan dan percaturan di peringkat pertubuhan-pertubuhan Islam adalah satu kesilapan yang beliau perkuatkan lagi dengan kenyataan mempersoalkan kewibawaan dari segi intelektual pertubuhan-pertubuhan Islam ini. Ingin kami jelaskan di sini, pertamanya merujuk kepada tidak wajarnya bantahan ini dilakukan semata-mata kerana campur tangan percaturan Barat dalam proses 'Regime Change' ini, maka saya kira itu satu pendirian yang tidak tepat bahkan sebenarnya menampakkan lebih banyak kekeliruan di peringkat beliau dalam meletakkan pertimbangan soal kemanusiaan dan keadilan dalam membincangkan wacana perhubungan antarabangsa.

PKPIM dengan tegas berpendirian bahawa spekulasi campur tangan kuasa luar dalam isu Syria yang sifatnya tidak jelas dalam erti kata perbandingan dengan pembunuhan yang berlaku tidak membolehkan kita membenarkan dan membiarkan kezaliman secara terang-terangan yang dilakukan oleh rejim Bashar al-Assad kepada rakyatnya sendiri. Kezaliman dan penyeksaan terhadap rakyat sendiri yang dilakukan dalam pelbagai bentuk oleh pemimpin sendiri terhadap rakyatnya yang sepatutnya mendapat perlindungan dan pembelaan yang tidak berbelah bahagi daripada pihak pemerintah merupakan satu pengkhianatan yang tiada tara kejahatannya.Tindakan penyelesaian yang diambil oleh rejim Bashar al-Assad dalam menghadapi rakyatnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh beliau dan tentera-tentera beliau merupakan satu tindakan melampaui batas kemanusiaan dan etika kepimpinan.Dengan jumlah pembunuhan yang mencatatkan hampir 8500 orang yang mati, 39000 orang yang tercedera dan 18000 orang yang dipenjara dan didera dalam tahanan menunjukkan satu tindakan yang melampaui nilai-nilai kemanusiaan dan merupakan satu penindasan yang zalim daripada pemerintah sendiri kepada rakyat dibawahnya.

PKPIM melihat bahawa amanah kepimpinan dan kepercayaan kepada pimpinan daripada rakyat adalah sesuatu yang tidak lagi dihormati oleh rejim Bashar al-Assad. Tindakan penderaan yang dilakukan oleh tentera-tentera mereka melalui pelbagai bentuk penyiksaan terhadap rakyatnya sendiri melambangkan kehilangan nilai kemanusiaan dan kepercayaan dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin negara sebagai satu amanah dan tanggungjawab yang besar. Lantaran itu, apakah lagi yang mahu diharapkan kepada pimpinan sebegini dalam membela nasib umat Islam yang lain sekiranya rakyat mereka sendiri ditindas tanpa belas kasihan. Kezaliman dalam bentuk yang nyata dilakukan oleh rejim ini merupakan satu perkara yang harus ditentang oleh setiap umat Islam.

Islam merupakan agama yang membawa keadilan dan kesejahteraan.Hukuman yang dikenakan dalam Islam berlandaskan prinsip fikah yang menjatuhkan hukuman kepada sesuatu yang jelas dan tidak membiarkan spekulasi yang tidak tampak secara jelas menutup tindakan kezaliman yang dilakukan oleh individu. Dalam Islam, melindungi nyawa adalah salah satu matlamat yang diletakkan di tahap tertinggi.Maqasid syariah menggariskan bahawa perlindungan kepada jiwa atau nyawa itu sendiri mengatasi matlamat melindungi akal, harta dan juga keturunan. Dalam isu ini, strategi campur tangan kuasa Barat yang ingin mengusai Syria melalui bantuan kepada pihak pemberontak yang digunakan melalui proksi-proksi mereka di kalangan negara Arab itu sendiri merupakan satu perkara yang tidak boleh kita jadikan sebagai satu hujah untuk menghentikan tindakan umat Islam yang ingin membela nyawa saudara-saudara mereka di sana.Tidak dinafikan berkenaan elemen ini dalam isu Syria, namun, pertimbangan kita sebagai umat Islam seharusnya jelas menyemangati Maqasid Syariah yang melindungi kepentingan nyawa apatah lagi terdapat bukti-bukti jelas pembunuhan dan kezaliman yang dilakukan dari rejim itu sendiri.

Dalam pertembungan dengan percaturan kuasa-kuasa besar, kita masih mempunyai ruang untuk bermain dalam gelanggang pencak.Namun tidak kepada tindakan pembunuhan yang bersifat nyata yang jelas tidak akan dapat dihentikan jika tiada desakan-desakan luar yang menunjukkan rasa prihatin dan marah kepada kemungkaran yang maha besar tersebut.Dalam soal ini kita baru berbicara berkenaan isu pembunuhan, belum lagi mengambil kira tindakan melampau rejim Bashar dan tenteranya dalam mempersendakan umat Islam berfahaman Ahlul Sunnah wal Jamaah.Saya rasa kita semua maklum berkenaan hal ini.Dari sudut moral dan etika tentera yang mencabul rakyatnya sendiri serta pelbagai lagi tindakan-tindakan bersifat kebinatangan yang dilakukan rejim menunjukkan kepada kita bahawa ijtihad yang perlu kita lakukan dalam hal ini yang paling utama adalah memerangi kezaliman yang dilakukan secara terang-terangan.

Soal untung-rugi yang akan berlaku dalam episod Syria ini bukanlah sesuatu yang mutlak akan memberi kemenangan kepada pihak Barat. Di sinilah pentingnya peranan pemimpin-pemimpin negara umat Islam untuk membantu proses mendapatkan keadilan sebenar kepada rakyat Syria dan mengurangkan impak campur tangan Barat dalam percaturan ini. Namun, semua maklum, ketidakmampuan pemimpin-pemimpin negara Islam yang rata-ratanya terikat dengan kebergantungan material dan kepentingan peribadi yang terpaksa dijaga sehingga melemahkan keperibadian dan watak kepimpinan unggul dan sejati sebagai pemimpin umat Islam.Atas ketidakpercayaan ini, maka gerakan massa yang bertindak melalui pertubuhan-pertubuhan NGO dan rakyat yang tidak berkepentingan terpaksa tampil ke depan memainkan peranan dalam gerakan masyarakat sivil untuk melaksanakan tugas advokasi terhadap kuasa-kuasa besar yang zalim dan mencengkam pemerintahan pemimpin-pemimpin negara Islam.Maka, apa salahnya bagi pertubuhan-pertubuhan ini untuk melaksanakan tugas mereka atas kesedaran dan rasa kebertanggungjawaban terhadap saudara se-Islam mereka di seluruh pelosok duni yang ditindas bukan sahaja dari kuasa luar bahkan pemimpin negara sendiri yang sudah lemah keperibadiannya dan sentuhan kemanusiaannya kepada rakyat yang diperintah.


Perkara ini sepatutnya menjadi satu tamparan besar buat pemimpin-pemimpin negara umat Islam kerana tidak mampu bertindak dalam menunjukkan keprihatinan mereka kepada saudara mereka di negara lain terutamanya dalam isu yang jelas memaparkan kezaliman. Bahkan lebih mendukacitakan, pemimpin negara Islam ini terpaksa tunduk kepada kuasa besar yang akan menggunakan segala mekanisma yang ada.Bukan di peringkat kami tidak memahami kesukaran dan situasi politik antarabangsa yang berlaku, namun kemahuan serta 'political will' pemimpin itu yang rakyat mahukan sekurang-kurangnya sebagai tindakan yang memaparkan keprihatinan pimpinan yang ikhlas dalam soal umat Islam dan keadilan.

Dalam wacana ini, PKPIM tidak berniat untuk menyerang sisi-sisi peribadi mana-mana individu ataupun kumpulan sekalipun kami diserang dengan sisi tersebut melalui kenyataan memperkecilkan kemampuan intelektual pertubuhan Islam. Perbahasan ini hanya ingin membawa kepada persetujuan dalam pembelaan kepada nasib umat Islam melalui tindakan perdebatan yang matang dan bukan menyerang sosok subjek tersebut.Di peringkat PKPIM dan ABIM, sebelum melancarkan himpunan ini, kami sudah melaksanakan beberapa siri wacana yang membincangkan isu Syria ini seawal bulan Januari tahun ini lagi melalui siri wacana mengupas isu Syria dan 'Arab Spring' seperti Forum Lorong Tengah anjuran PKPIM yang panelnya diwakili oleh rakyat Syria yang berada di Malaysia, Nasir Mat Tap dari Akademi Kajian Ketamadunan, Haris Zalkapli selaku penganalisis politik antarabangsa dan juga saudara Jufitri Johar selaku Naib Presiden Antarabangsa ABIM. Diskusi yang memaparkan pelbagai pandangan dari sudut yang berbeza berkenaan isu Syria dan 'Arab Spring' telah dikupaskan secara matang dalam wacana-wacana ilmiah dalam skala bersiri sebelum memutuskan untuk melancarkan perhimpunan aman bagi menyatakan penentangan terhadap kezaliman dan pembunuhan di Syria.

Mewakili gerakan mahasiswa, PKPIM mengharapkan para pimpinan mahupun mantan pimpinan memahami aspirasi dan hasrat kami dan sewajarnya bersifat membantu dan menyenangi peranan pertubuhan Islam dan bukan memperlekehkan dan tidak menghormati pertubuhan-pertubuhan ini melalui penulisan yang masih berpencak dalam gaya politik.Usahlah dalam isu sejagat ini mahu dipolitikkan juga, jika tidak, sampai bila umat Islam akan terus ditindas dan diketawakan. Tidak mustahil sekiranya sebahagian lambang keberjayaan agenda hasutan Barat kepada umat Islam secara terancang, tersusun dan juga zalim jika ada barisan kepemimpinan atau tokoh negara yang terperangkap dalam identiti sebegini. Paling penting dalam isu ini, setiap umat Islam harus mempunyai kerangka pandangan alam Islam (worldview) yang jelas dan betul supaya mampu meletakkan timbang tara aqal yang adil dalam percaturan keputusan dan pandangan dan bukannya bergantung semata-mata kepada timbang tara untung rugi material yang merupakan salah satu indikator kejayaan dalam agenda demokrasi Barat.


AHMAD AFIF BIN AHMAD MOHTARI YASIM
NAIB PRESIDEN ANTARABANGSA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”