Mahasiswa UIA sebagai agen Islamisasi?

Sumber: http://rausyanfikir.com



Saya bersama YB Senator Mumtaz dan pensyarah AIKOl, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz.


Sebelum Ramadhan kunjung tiba, saya sempat dijemput oleh persatuan mahasiswa fakulti undang-undang UIA (Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law) ataupun lebih sinonim dengan singkatan-nya AIKOL untuk berkongsi pentas dengan seorang tokoh muslimat yang disegani daripada PAS, Senator Hjh Mumtaz Bt Md Nawi dan beberapa orang pensyarah AIKOL dalam bicara tajuk Equality in Islam: Are Muslim women left behind?


Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi ruang oleh sahabat-sahabat Law Student Society AIKOL untuk menjadi panelis bagi mewakili suara siswa dalam forum tersebut. Tak pernah terbayang pun dapat kongsi satu pentas dengan pemimpin wanita sehebat Senator Mumtaz tapi Alhamdulillah malam itu rezeki saya dapat bersama dengan beliau.


Saya bukanlah orang yang berautoriti dalam tajuk ini tetapi sedikit sebanyak pengalaman berhadapan dengan Sisters In Islam (SIS) dalam beberapa majlis sebelum ini telah banyak membantu saya memahami mereka dengan lebih dekat, walaupun masih banya perlu dilakukan untuk membedah kerangka epistemologi gerakan feminis-liberal ini.


Dalam forum itu, panelis daripada AIKOL, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz yang bertugas selaku pensyarah banyak mengupas perihal undang-undang dan konsep kesamarataan tersebut yang saya kira sudah biasa diterangkan dalam media massa dan wacana undang-undang.


Senator Mumtaz selaku alumni AIKOL sendiri dan selaku seorang peguam mencambahkan forum itu dari sudut fiqh dan kerohanian, ( norma mode of reasoning kerangka ahli gerakan Islam kontemporari ) ditambah juga dengan pengalaman beliau berbahas dengan Zainah Anwar dalam beberapa persidangan berkenaan isu kewanitaan dalam dan luar negara. Memang penuh dengan fakta yang kukuh dan bersifat teknikal.


Sebelum giliran saya untuk berucap, saya cuba 'membaca' para hadirin di bawah pentas...




Ramai juga yang hadir daripada kalangan siswi atau sisters seperti yang diklasifikasikan oleh masyarakat UIA dan juga brothers baik warga tempatan dan juga siswa luar negara.


Apa yang saya nak cakap ni...kedua-dua panelis memang sudah sampaikan dengan jelas aspek teknikal dan fiqh berkenaan isu ini...lama juga saya berfikir tetapi bila saya tengok para hadirin majoriti-nya mahasiswa saya teringat subjek Pengajian Awam (General Studies) di UIA ya'ni UNGS 2030 The Islamic Worldview dan UNGS 2040 Islam, Knowledge and Civilization yang mana para guru saya merupakan para pensyarah mereka dalam subjek ini.


Maka saya pun 'tabur' rempah-ratus falsafah sedikit dan menghubung kaitkannya dengan masalah epistemologi golongan sufastai'iyyah (Sophist) yang mana golongan feminisme tergolong dalam kumpulan sufastai'iyyah jenis indiyah ya'ni berpegang kepada epistemologi yang nisbi (epistemological subjectivist) seperti dalam banyak wacana ilmu yang baru seperti eco-feminsim dan mencabar sistem yang didominasi elemen kelakian (patriarchal order). SIS merupakan golongan sebegini dari aspek kerangka keilmuan mereka.


Walaubagaimanapun saya tetap menjelaskan bahawa masalah kesamarataan atau penuntutan hak wanita ini bukanlah suatu ilusi. Benar, wanita merupakan golongan yang paling banyak ditindas jikalau kita membuka wacana ini seluas-luasnya dengan mengkaji faktor ekonomi, politik, moral dan agama baik negara membangun atau yang sedang membangun.


Masalah seperti pelacuran, pengkerahan tenaga kerja dengan upah yang amat murah di kilang-kilang para kapitalis, kelemahan birokrasi mahkamah syariah dan keganasan rumah tangga merupakan masalah yang benar-benar wujud dalam setiap masyarakat, .


Yang menjadi masalah ketika ini ialah gerakan feminis-liberal telah meng-'hijack' wacana hak wanita ini dengan hanya menumpukan kepada aspek mitos 'ketidak adilan' undang-undang syariah terhadap wanita Muslim tetapi tidak pula membicarakan tentang eksploitasi wanita secara berleluasa oleh golongan kapitalis dalam melariskan produk mereka seperti yang terpampang di dada-dada akhbar dan media massa yang lain.


Maka wacana ini akhirnya tenggelam disebalik keghairahan SIS, dan beberapa NGO feminis-liberal yang lain dalam memperjuangkan isu sebenar masalah kesamarataan, atau pun lebih tepat sebagai masalah ketidak adilan berkenaan wanita dalam masyarakat moden ini.


Di penghujung forum saya sempat peringatkan brothers dan sisters yang hadir untuk tekun menelaah kedua-dua subjek UNGS tersebut agar dapat memperbaiki kerangka ilmu kita dalam berhadapan dengan masalah ini yang datang dalam medium yang lebih abstrak.


Saya rasa amat rugi jikalau mahasiswa UIA tidak dapat manfaatkan sepenuhnya keberadaan mereka di sana untuk memahami dan mempersiapkan diri mereka, khususnya para aktivis dakwah dalam usaha berhadapan dengan masalah feminisme, dan hak keadilan wanita kelak di luar sana.


Kedua-dua subjek UNGS itu sebenarnya mampu menjadikan mereka mahasiswa yang tercerah dan jauh lebih baik dengan mahasiswa di universiti lain kerana kerangka keilmuan mahasiswa UIA yang dibekalkan secara formal dengan para pensyarah yang hebat-hebat, subjek yang mendasar serta suasana yang global lagi Islamik seharusnya mampu meningkatkan kredibiliti mereka sebagai pejuang ummah.


Saat ini kita sebenarnya sedang berhadapan dengan badai falsafah pluralisme dan liberalisme yang muncul dalam pelbagai medium akademik baik ekonomi, politik dan keagamaan. Para pendokong gagasan ini bukan calang-calang orang dan tanpa golongan intelektual yang mantap dari kelompok mahasiswa Islam, masa depan kita mungkin tidak berada dalam posisi yang baik kerana kita telah kalah secara intelektual dengan mereka ini dek kerana gagal berhujah dengan berkesan.


Saya fikir, mahasiswa UIA merupakan agen terbaik dalam melakukan check and balance berkaitan isu-isu sebegini tetapi sepanjang saya berbual panjang dengan para pensyarah dan sahabat handai yang menuntut di UIA, masalah 'minda tertawan' itu turut sama wujud biarpun suasana universiti tersebut yang cukup kondusif untuk melahirkan intelektual yang tercerah.


Fenomena ini seharusnya dikesali dan dipandang serius oleh ahli gerakan Islam UIA baik GAMIS ataupun PKPIM. Para mahasiswa Islamic Revealed Knowledge (IRK) yang merupakan golongan agamawan akademis seharusnya menjadi contoh buat mahasiswa pendidikan Islam di universiti-universiti yang lain dari segi kemantapan ilmu dan dinamika pemikiran. Ini kerana UIA empunya segala macam ruang dan peluang untuk menjadi ustaz dan ustazah yang integrated serta bersifat global kerana interaksi yang luas dengan para mahasiswa dan pensyarah dari luar negara mampu memberi extra edge buat mereka.


Siapa lagi nak menjadi juru bicara hal ehwal agama dalam suasana kontemporari dengan lebih berkesan jikalau bukan mahasiswa IRK?


Kita mahu lihat para pendokong liberalisme terbujur kaku dengan hujah-hujah mantap daripada golongan agamawan kelak yang mampu menyelam ke dasar permasalahan dengan mematahkan hujah dan dakyah mereka secara sistematik, bukan hanya laungan lantang dalam demonstrasi jalanan yang kerap kali kita saksikan setelah kehabisan (atau langsung ketiadaan?) intellectual bullets.


Tugas ini bukan sahaja patut dipikul oleh golongan agamawan daripada IRK tetapi juga mahasiswa daripada kuliyyah yang lain baik kejuruteraan, undang-undang, BENL, sains kemanusiaan etc. kerana itulah tugas utama para mahasiswa UIA seperti yang terpampang dalam bingkai I.I.I.CE.


Ya, yang saya maksudkan disini ialah tugas Islamisasi ilmu.


Seharusnya, secara ideal, para mahasiswa UIA merupakan prototype manusia yang di-Islamisasi-kan dari aspek fizikal, spiritual dan intelektual dan mampu menyebar luaskan agenda Islamisasi ilmu dari segi teori dan praktikal-nya di luar kampus kelak.


Budaya ilmu itu masih tidak wujud seperti yang para pensyarah mereka harapkan dan ini merupakan satu kerugian yang besar buat ummah. Saya percaya jikalau saya selaku orang luar yang boleh 'mengemis' ilmu daripada para pensyarah General Studies UIA dengan konsisten apakah anda semua tidak boleh lakukan lebih daripada itu?


Kita perlukan pencetus budaya ilmu di kalangan golongan yang berpengaruh di UIA agar agenda Islamisasi ilmu itu terus berjalan secara organik, bukan mekanikal semata-mata dan UIA merupakan tempat yang paling ideal untuk mahasiswa melakukannya. Jangan pula kita jadi agen de-Islamisasi yang hanya menguntungkan golongan liberalis ini!

Comments

Popular posts from this blog

KONVENSYEN PENCERDASAN RAKYAT: Memimpin Kesedaran Rakyat, Memartabat Karamah Insaniah:

“KONFLIK DUNIA BERTERUSAN CETUS PANDEMIK PELARIAN”

Dr Sidek Baba penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul