Wednesday, January 27, 2010
Bolehkah Diharapkan Anwar Ibrahim & PAS Untuk Memacu Kewangan Islam ?
Semua orang mempunyai harapan dan jangkaan terhadap beliau. Sama ada positif, negatif atau ‘tunggu dan lihat'. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad awal-awal lagi telah memberi indikasi bahawa DSAI akan gagal memacu ekonomi negeri tersebut malah lebih teruk akan mempersembahkan hasil bernilai RM 1, sama seperti bayaran elaun bulanannya.
DSAI sebelum ini terkenal sebagai salah seorang individu yang membolehkan perbankan dan kewangan Islam berputik di Malaysia. Walaupun ia bukanlah inisiatif beliau seorang diri, namun peranannya diakui oleh ramai.
Hasil dari itu, kini saya lebih ingin melihat sejauh mana beliau dapat menerapkan ekonomi dan perbankan Islam di dalam pengurusan kewangan negeri Selangor.
WUJUDKAH KEWANGAN DAN PERBANKAN ISLAM DI SELANGOR?
Saya faham dan tahu bahawa ruang lingkup takrif ‘ekonomi' adalah luas dan merangkumi banayk aspek. Namun salah satunya adalah yang melibatkan urusan perbankan dan pelaburan. Maka dalam konteks ini soalan-soalan berikut kerap bermain di minda saya :-
· Apakah kerajaan negeri Selangor akan mula mengikuti jejak langkah negeri Kelantan yang menutup semua akaun bank konvensional dan membuka akaun perbankan Islam selepas ini? Kita tunggu dan lihat.
· Apakah kerajaan negeri Selangor akan membuat satu garis panduan untuk semua anak syarikat kerajaan negeri agar menggunakan khidmat pembiayaan Islam dalam apa jua keperluan kewangan syarikat-syarikat tersebut?
· Apakah kerjaaan negeri akan mengeluarkan atau menamatkan pendapatan dari hasil pelaburan kerajaan negeri yang menggunakan instrument pelaburan riba seperti Fixed Deposit di bank konvensional, pemegangan bond konvensional, dan sebagainya?
· Apakah kerajaan negeri akan menukar Insuran konvensional Riba kepada Takaful untuk semua kakitangannya dan juga semua anak syarikatnya?
· Apakah kerajaan negeri akan menerbitkan bond Islam (SUKUK) untuk membiayai projek-projek besar kerajaan negeri dan syarikat di bawahnya?
· Apakah kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah koperasi Islam atau bank Islam yang benar-benar boleh menjadi model kepada seluruh bank-bank Islam di Malaysia yang dikatakan bermain silap mata oleh Menteri Besar Selangor? Saya benar-benar ingin melihat sebuah bank Islam yang dipelopori oleh kerajaan negeri dari PKR dan PAS yang boleh menyediakan kos pembiayaan yang jauh lebih murah berbanding bank-bank Islam yang wujud hari ini.
· Apakah kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan takrif jelas RASUAH dan seterusnya mengeluarkan arahan pekeliling untuk menjauhinya di semua peringkat. Saya juga ingin melihat apakah kaedah dan cara yang bakal dilakukan oleh DSAI untuk membuktikan beliau mempunyai idea untuk menguatkuasakannya dengan jelas di dalam kerajaan Selangor, berbanding kerajaan Pusat.
· DSAI dikatakan kerap berkunjung dan bertemu tokoh-tokoh ekonomi dan perniagaan islam di seluruh dunia. Apakah pelaburan-pelaburan baru yang akan ditarik masuk ini akan dipastikan semuanya menuruti proses pelaburan Islam atau tidak?
· Adakah kerajaan Selangor juga akan mengikut jejak langkah Kelantan menubuhkan gadaian Islam ar-Rahn dengan lebih meluas?
· Adakah kerajaan Selangor akan atau telah menyediakan pembiayaan mikrokredit Islam? Saya kira Kelantan mungkin menghadapi sedikit kekangan kewangan untuk ini, namun tidak bagi Selangor.
· Adakah tanah-tanah waqf di Selangor telah dan akan diurus secara dinamik melalui kaedah-kaedah kewangan Islam?
· Adakah kerajaan Negeri Selangor akan memperhebat dan menubuhkan pengajian kursus Perbankan dan kewangan Islam untuk semua institusi pendidikan di bawah urus tadbirnya? Ini perlu bagi menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang yang sedang berkembang luas ini.
· Adakah bajet kerajaan Negeri Selangor ada mempertekankan persoalan kewangan dan perbankan Islam?.
· Adakah Selangor akan mengikuti jejak langkah kerajaan PAS Terengganu dahulu yang melantik Chief Religious Officer bagi semua anak syarikat di bawahnya bagi memantau pergerakan dan aktiviti kewangan syarikat agar menepati Islam.?
· Adakah kerajaan negeri Selangor sanggup dan bersedia menamatkan mereka perkhidmatan tidak beretika dan tidak Islamik yang disediakan oleh anak-anak syaraikat di bawah mereka.? Cuba lihat senarai bisnes yang dilaksanakan oleh anak-anak syarikat ini, nescaya anda kan menjumpai aktiviti yang bercanggah dengan nilai Islam. Semakan ini mestilah sepatutanya dilakukan oleh DSAI atau pekerjanya.
· Adakah kerajaan Selangor akan atau telah menyediakan blue print projek kewangan Islam yang akan dilaskanakan?
· Adakah kerajaan Selangor akan menyediakan garis panduan atau Parameters yang menerangkan bentuk dan jenis dan portfolio yang boleh dilabur, disertai dengan penjelasan teknik pelaburan yang dibenarkan dan dilarang. Sebagai contoh tidak dibenarkan terlibat dalam short selling, aktiviti spekulasi matawang dan saham dan lain-lain.
· Adakah kerajaan Selangor akan membuat sebarang MoU dengan mana-mana bank-bank Islam untuk menawarkan tawaran khas buat kakitangan dan pelanggan kerajaan negeri Selangor sama untuk mengislamkan (refinancing) pinjaman pembelian kereta, rumah, aset lain dan sebagainya dengan harga istimewa. Saya kira, banyak bank Islam yang sudi berbincang jika ditawarkan.
SEDIKIT USAHA SAYA
Sebelum bertolak ke UK tahun lepas (2008), saya pernah dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Agama negeri Selangor yang dipengerusikan oleh YB Dato' Dr Hasan Mohd Ali. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua badan organisasi agama Selangor termasuk Mufti Selangor, Lembaga Zakat Selangor, JAIS dan lain-lain. Saya dijemput selaku ahli akademik untuk memberi idea, turut dijemput beberapa orang ahli ahli akademik dan individu berpengalaman seperti Puan Hjh Rohani Dato Sharir dan lain-lain.
Di dalam pertemuan itu, saya ada memberikan idea agar kerajaan Selangor menubuhkan Bank Islam mereka sendiri atau Koperasi Islam atau Yayasan yang mana fokusnya adalah memberikan model terbaik kepada kerajaan Persekutuan akan konsep perbankan Islam yang ‘tulen'.
YB Dato Hasan ketika itu amat bersetuju dan menyatakan bahawa sememangnya Selangor mempunyai dana yang mampu untuk tujuan itu. Namun cadangan itu lenyap dan hilang begitu sahaja.
Selain itu, saya juga pernah dijemput memberikan taklimat kewangan Islam kepada jabaatan pendbednaharaan Selangor ( tidak ingat namanya), di akhir taklimat tersebut para pengurus pelaburan dan pegawai-pegawai kewangan kerajaan Selangor tersebut kelihatan gusar dan risau dengan kerjaya dan tugasan yang sedang mereka laksanakan, lalu beberapa orang mendekati saya cuba mendapat nasihat yang lebih specifik, namun begitu perubahan mestilah datang dari pihak atasan. Itulah yang mereka harapkan, saya hanya mampu menyeru mereka untuk mendesak YB Dato Hasan bagi mengemukakan idea dan keperluan ini kepada MB Selangor. Sesudah itu, saya tidak pasti apa yang berlaku.
Saya cukup ingat, kenyataan Dato' Menteri Besar Selangor yang mengutuk perbankan dan kewangan Islam yang ada hari ini sebagai ‘bermain silap mata'. Dato' Seri Presiden PAS pula pernah mendakwa di dalam parlimen bahawa perbankan Islam terlalu mahal.
Jika itulah kritikan mereka, saya merasakan inilah masa yang paling sesuai kerajaan Selangor (dan juga Kedah) yang diwakili oleh PKR dan PAS untuk menunjuk contoh dan bukan hanya berkata dan mengkritik ‘kosong' tanpa alternatif dan modul. Malah jika perlu, boleh ditubuhkan secara bersama dengan kerajaan Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.
Jangan dibimbang DAP tidak bersetuju kerana pelanggan utama di bank-bank Islam seluruh Malaysia adalah pelanggan berbangsa Cina yang menyedari kelebihan perbankan Islam yang lebih menguntungkan dan menjimatkan. Saya yakin, penerangan yang jelas mampu untuk mendapatkan laluan dari mereka. Halangan sebenarnya adalah orang Melayu Islam sendiri.
TERTANYA-TANYA
Sehingga hari ini, ahli-ahli akademik dan pendokong industri perbankan dan kewangan Islam masIh tertanya-tanya apakah peranan, sumbangan dan gerak kerja yang telah dilakukan oleh Kerajaan Selangor dan Kedah untuk pembangunan sektor kewangan dan perbankan Islam?.
pasforall.jpg
Jika ditinjau Ucapan dasar Presiden PAS yang terbaru, tiada perkara baru yang disebut dalam hal kewangan dan perbankan Islam. Hanya perkara lama yang asyik diulang-ulang tanpa perincian untuk melaksanakannya.[2] Diharapkan perincian boleh dibahas oleh perwakilan, namun ia juga meleset. Tiada kedengaran ahli yang memperbahasakan kepentingan memastikan halal dalam pendapatan dan kewangan dan perbankan, apatah lagi cara lebih perinci untuk memastikan ianya dilaksanakan.
Saya masih ingat bertemu dengan Dato Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS di rumah beliau. Ketika itu saya bertanya dan mencadangkan kepada beliau, agar Majlis Syura PAS mengeluarkan satu arahan jelas kepada semua ahli PAS untuk TIDAK TERLIBAT dengan kewangan dan perbankan riba Konvensional. Beliau bersetuju tetapi tidak saya ketahui apa yang terjadi selepas itu.
Bukankah penglibatan dalam riba beerti perang dengan Allah dan rasulNya?.. sebagaimana difirmankan oleh Allah ( al-Baqarah : 278), kecaman berat juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. Justeru bagaimana PAS ingin memperjuangkan politik dan pentadbiran Islam sedang diringankan soal pendapatan, perbankan dan kewangan yang halal.!? Bukankah pendapatan ahli, pimpinan serta kerjaan pimpinan mereka yang haram serta syubhat boleh menggugat perjuangan politik Islam mereka.?
Saya boleh memuji Kelantan yang telah mencuba beberapa perkara dalam pentabdbiran kewangan mereka, yang paling menonjol adalah skim Kifalah dan Ar-Rahn. Namun saya masih tidak terbaca apa yang baru diperkenalkan oleh Kerajaan Kedah dan Selangor yang majoritinya adalah Islam.
PENUTUP
Sehingga hari ini, telah melebihi setahun pentadbiran kerajaan Pakatan rakyat di Kedah dan Selangor, saya dan rakan-rakan pecinta kewangan dan perbankan Islam masih menunggu-nunggu apakah yang dibuat oleh kerajaan mereka dalam hal ini. Apakah bezanya mereka dari kerajaan yang ada dalam hal ini, ataukah Kewangan dan perbankan Islam di bawah BN adalah lebih baik berbanding Pakatan Rakyat ?
Saya masih menunggu dan jika telah dilaksanakan sesuatu, diharap ada yang boleh berkongsi maklumat dengan kami. Saya sedar, kami ‘tidak tahu' tidak semestinya tiada. Cuma sebagai ahli politik, kebaikan khsusnya dalam hal ini perlulah segera diwarwarkan untuk umum mengetahui bahawa anda BERBEZA dan PRIHATIN.!
Tetapi persoalannya kini, adakah Anwar dan PAS sebenarnya boleh disandarkan HARAPAN untuk kemajuan kewangan dan Perbankan Islam? Adakah disana tanda-tanda pengharapan dalam ruang lingkup kuasa yang mereka TELAH MILIKI? (iaitu beberapa buah kerajaan Negeri).
Jika yang di dalam kuasa pun tidak mampu dijadikan contoh, apakah harapan untuk dilaksanakan dalam kerajaan yang belum mereka kuasai..
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Saturday, January 16, 2010
KEPUTUSAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DIKESALI
Biarpun penganut agama Kristian telah menggunakan kalimah “Allah” semenjak beratus tahun lamanya di Sabah dan Sarawak, itu bukan hujah untuk mengesahkan bahawa mereka boleh menggunakan kalimah “Allah”. Amalan dan praktis yang berkurun lamanya tidak menunjukkan kesahihan amalan atau praktis tersebut! Kebenaran bukan semata-mata ditentukan dengan lamanya sesuatu amalan itu diterimapakai oleh masyarakat. Sebagai analogi, apakah kita akan membenarkan sahaja istilah ‘paderi’ digunakan untuk imam-imam masjid sekiranya perkara tersebut sudah diamalkan beratus tahun lamanya? Isu ini bukannya tentang sama ada penganut Kristian sudah lama atau baru sahaja hendak ‘memohon’ untuk menggunakan kalimah tersebut. Isu ini adalah berkaitan dengan asas agama, berkaitan dengan ‘aqidah, berkaitan dengan teologi. Ini bukan persoalan teknikal.
Kalimah “Allah” itu adalah hak eksklusif umat Islam kerana beberapa sebab. Antaranya adalah kerana nama “Allah” itu adalah nama Tuhan yang diperkenalkan sendiri oleh Tuhan di dalam kitab suci umat Islam yakni kitab suci Al-Qur’an, di dalam bahasa asalnya yakni bahasa Arab. Apabila kaum kafir Quraisy bertanyakan kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam perihal Tuhan umat Islam adakah diperbuat daripada emas, perak atau besi (yang menunjukkan bahawa conception orang bukan Islam tentang Tuhan adalah berbeza), maka Allah Subhanahu wa ta’ala menurunkan Surah al-Ikhlas, yakni surah yang memperkenalkan siapakah Tuhan umat Islam itu, yakni Allah Yang Maha Esa!
Seterusnya, harus difahami – biarpun telah berulang-ulang kali dinyatakan dan dilaungkan oleh para ilmuan tanahair – bahawa “Allah” itu adalah satu kata nama khusus (proper noun), satu nama yang merujuk kepada Zat Tuhan. Manakala, perkataan bahasa Inggeris “God” atau “Lord” adalah merupakan kata nama am (common noun). Maka, jika hendak menterjemahkan “God” atau “Lord” kepada Bahasa Melayu, maka hendaklah juga digunakan kata nama am seperti “Tuhan”. Atau, jika hendak juga digunakan Bahasa Arab (for no rational reason) maka hendaklah dipilih kalimah-kalimah yang berbentuk am juga seperti “Rabb” atau “Ilah”. Adalah merupakan satu bentuk kecelaruan pemikiran yang serius apabila kalimah “God” atau “Lord” diterjemah sebagai “Allah”.
Sebagai seorang Islam, apabila kita membenarkan istilah “God” atau “Lord” diterjemahkan kepada “Allah”, maka kita sebenarnya telah membenarkan penipuan atau pemalsuan terhadap nama “Allah”. Hal ini demikian kerana apabila terjemahan seperti itu berlaku, maka kita akan menemukan terjemahan-terjemahan seperti “Gods” kepada “Allah-Allah”, “Son of God” kepada “Anak Allah”, “Goddess” kepada “Allah Perempuan”; Maha Suci Allah daripada semua itu! Bagi orang Islam, conception kita tentang siapakah Allah itu jelas, terangkum di dalam Surah al-Ikhlas. Orang Islam kenal siapa Allah, justeru orang Islam layak menggunakan kalimah “Allah”. Manakala, conception orang Kristian tentang Tuhan berbeza dengan orang Islam, justeru mana mungkin mereka boleh berkongsi nama Tuhan yang sama! Hal ini demikian kerana sesuatu kalimah itu membawa makna, dan dalam hal ini makna yang sangat khusus, yang seterusnya membentuk pandangan alam seseorang. Sebagai seorang Islam, apakah tergamak kita membenarkan nama “Allah” yang Maha Suci itu digunapakai dengan pemahaman dan konteks yang salah?
Memang benar secara hakikatnya, seperti yang difahami dan diyakini orang Islam, Tuhan itu ada satu. Namun, tidak bermakna semua orang di dunia ini mempunyai keyakinan yang sama. Itulah bezanya adalah seorang Muslim (orang yang menyerah diri) dan orang bukan Islam. Orang Islam menyerahkan dirinya kepada Tuhan yang satu itu, dengan penyerahan yang betul dan sahih yakni dengan berteraskan kalimah tauhid. Orang bukan Islam, menyerahkan diri kepada tuhan yang berbeza mengikut pemahaman mereka masing-masing. Jika tidak perlu kita membeza-bezakan atau menjadikan eksklusif “Allah” itu bagi orang Islam, maka apa perlunya Allah Subhanahu wa ta’ala mengutuskan Rasulullah untuk mengajar manusia siapa Tuhan? Dan, apa perlunya kalimah syahadah yang bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Allah” sebagai syarat asas untuk menjadi seorang Islam?
Pokoknya, adalah sesuatu keputusan yang tidak wajar apabila orang Islam membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”. Hal tersebut hanyalah menggambarkan insensitivity umat Islam terhadap Tuhan Yang Maha Agung! Mungkin ada yang menggunakan alasan bahawa membenarkan kaum bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” akan memudahkan umat Islam untuk memperkenalkan “Allah” kepada orang bukan Islam. Kenyataan tersebut adalah kenyataan yang agak naif kerana proses memperkenalkan “Allah” kepada orang bukan Islam hanya akan menjadi lebih rumit apabila kalimah “Allah” sudah biasa digunakan dalam konteks yang salah, sekaligus mewujudkan kecelaruan dan kekeliruan.
Saya memetik ayat Al-Qur’an yang dibacakan oleh tuan guru yang dikasihi, al-‘Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki tatkala mengupas tentang isu penggunaan kalimah “Allah” ini;
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
“Dan Allah memiliki Asamā’ul Husnā (nama-nama yang terbaik), maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut Asamā’ul Husnā itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahertikan nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Al-A’raf, ayat 180)
Wallahu’alam.
Sunday, January 10, 2010
Kaitan antara orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam di Malaysia
oleh: Muhammad Safwan bin Mohd. Noor Azmi
wanza348@gmail.com
Bilamana mahkamah tinggi memutuskan penggunaan kalimah Allah diberi kebenaran kepada penerbitan akhbar mingguan Herald, pelbagai persepsi dan pandangan timbul dalam kalangan masyarakat baik yang menyokong mahupun membantah. Isu pokoknya ialah sama ada boleh atau tidak perkataan Allah digunakan oleh masyarakat bukan Islam di negara ini.
Sebelum kita memahami isu ini dengan lebih lanjut, pembaca perlu mengenalpasti terlebih dahulu kandungan yang terdapat dalam Perkara 152. Artikel ini memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Kemudiannya, ia telah diwartakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 1 September 1967. Selain itu juga, dinyatakan secara jelas bahawa tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu selain tulisan rumi atau Roman.
Walau bagaimanapun, kesepakatan daripada Angkatan Sasterawan ’50 (Asas ‘50) semasa Kongres Bahasa ke-3 pada tahun 1956 telah membuat keputusan untuk menghapuskan tulisan jawi dan diganti dengan rumi demi mengangkat darjat bahasa Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Secara idealisnya, bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dapat bersama-masa menjadi lingua franca di wilayah nusantara.
Hal ini telah menyebabkan Tan Sri Mohamed Khir Johari, Menteri Pelajaran pada ketika itu, melakukan reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada Bahasa Melayu.
Implikasinya, sebilangan generasi hari ini didapati kurang mahir dalam tulisan jawi dan tidak tahu membaca Al-Quran. Selain itu, penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan jawi menjadi semakin tidak popular dengan penerbitan sekali sahaja dalam seminggu sebagai menjaga hati generasi lama dan peminat tulisan jawi.
Jikalau kita merujuk sejarah lampau, kekuatan Melayu bergantung kepada 3 faktor utama, iaitu Islam, bahasa Melayu dan amalan adat-istiadat secara warisan. Sekalipun kita pernah dijajah sekian lama, iaitu kira-kira 446 tahun, namun ketiga-tiga faktor tersebut masih kekal utuh sehingga hari ini.
Persoalannya, bagaimanakah proses tersebut berlaku?
BAHASA MELAYU
Penyerapan diksi daripada Arab/Islam yang begitu banyak sekali dalam bahasa Melayu telah menyebabkan berlakunya proses islamisasi terhadap bahasa Melayu secara tidak langsung. Contohnya, perkataan seperti alim, abah, kerusi, sahsiah, kamus, subuh, maklumat, iklan dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Hal ini telah menyebabkan penggunaan bahasa Melayu berlaku secara meluas dalam pelbagai lapangan dan seterusnya membentuk akal budi, jati diri, pandangan alam dan keperibadian orang Melayu secara keseluruhannya.
Akibat daripada proses ini, perkembangan Islam di Nusantara pada abad ke-15 berlaku dengan pesat dan mudah diterima oleh seluruh masyarakat Melayu baik dari keturunan raja-raja sehinggalah golongan masyarakat marhaen. Kemajuan yang dicapai melalui perkembangan ilmu dan teknologi menerusi bahasa Melayu menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan terkenal seantero dunia pada ketika itu.
Namun begitu, perasaan kecewa dan terkilan timbul bilamana terdapat para pemimpin negara yang cuba menafikan kehebatan bahasa Melayu dengan beranggapan bahawa bahasa Melayu cuma bersifat tempatan dan tidak maju dengan mengemukakan hujah-hujah yang tidak berasas!
Lebih mendukacitakan lagi, ada pula yang cuba berlagak pandai dengan mengubah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia demi keharmonian dan perpaduan negara. Walhal, bahasa Portugis yang digunakan di Brazil tidak pula ditukar menjadi bahasa Brazil atau bahasa Sepanyol di Argentina ditukar ganti menjadi bahasa Argentina!
Sebenarnya, penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ sebagai galang ganti kepada bahasa Melayu tidak akan membentuk keharmonian dan perpaduan di dalam negara kita yang memiliki kepelbagaian agama, bangsa, ras, etnik, adat dan budaya. Sebaliknya, kecenderungan berlakunya salah faham dan kecelaruan dalam masyarakat menjadi semakin tinggi.
Penggunaan istilah ‘bahasa Malaysia’ didapati seolah-olah kita membenarkan penyerapan semantik dan nilai-nilai yang terdapat dalam bahasa-bahasa yang lain seperti Mandarin, Tamil, Inggeris, Kadazan, Iban, orang Asli dan sebagainya. Proses ini dikhuatiri menjadi penyebab berlakunya de-islamisasi secara halus dan tersembunyi sebagaimana yang berlaku di Indonesia kini.
ISU KALIMAH ALLAH
Isu hangat berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Herald menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Islam kerana semantiknya bakal menimbulkan kecelaruan dan salah faham dalam masyarakat Malaysia.
Tidak salah sekiranya kalimah Allah digunakan untuk membandingkan antara agama Islam dengan agama dan kepercayaan yang lain. Namun begitu, jika kalimah Allah digunakan sebagai penyampaian dakwah oleh bukan Islam, ia boleh menimbulkan ketegangan dan perseteruan antara agama tanpa dapat dikawal lagi.
Dalam Islam, konsep Allah itu sangat berbeza daripada pemahaman bukan Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Ikhlas. Begitu juga sekiranya pembaca merujuk Kamus Dewan edisi ke-4, makna Allah ialah Yang Esa (tunggal). Bukan triniti, God the Father, God the Son mahupun the Holy Ghost.
Malahan, perkara ini turut bertentangan dengan pendirian Vatican yang menolak penggunaan kalimah Allah untuk merujuk sebagai tuhan mereka. Jadi, apakah alasan sebenar akhbar mingguan Herald dalam hal ini?
Selain daripada itu, sikap sebilangan ahli politik Melayu-Islam (UMNO, PAS dan PKR) yang mendiamkan diri daripada mengemukakan sokongan terhadap bantahan penggunaan kalimah Allah oleh Herald amatlah dikesali. Demi menagih undi, isu agama sanggup diperjudikan sebagai modal politik dan kepentingan masing-masing tanpa memikirkan nasib untung orang Melayu-Islam di kemudian hari.
Saya berpandangan bahawa isu ini bukan hanya melibatkan isu agama semata-mata sebaliknya turut melibatkan isu bahasa Melayu dan perpaduan negara. Tanggapan salah masyarakat hari ini terhadap isu tulisan jawi yang hanya diajar (kalau ada) dalam mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja adalah salah kerana tulisan jawi merupakan sebahagian daripada bahasa Melayu. Maka, kewajaran tulisan jawi untuk diperjuangkan semula supaya dimuatkan bersama dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu mempunyai asasnya. Dasar-dasar seperti PPSMI, pemansuhan tulisan jawi dan istilah bahasa Malaysia perlu ditolak bulat-bulat kerana bertentangan dengan Perkara 152.
Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua pihak akur dengan kontrak sosial dan perkara-perkara yang terkandung dalam Perlembagaan tanpa sebarang pertikaian. Selain itu, Rukun Negara yang menjadi tiang seri dalam membina negara bangsa perlu dihayati tanpa rasa berbelah bahagi demi merealisasikan 1 Malaysia.
Beliau merupakan Exco Pendidikan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.
Wednesday, January 6, 2010
KONTROVERSI KEGUNAAAN KALIMAH "ALLAH"
Soalan: Kenapa mahu marah-marah Kristian pakai kalimah Allah? Kenapa perlu berebut? Yang penting kita tahu Allah itu siapa sudahlah.
Jawapan: Isu 'Allah' ini bukan isu perebutan nama. Ia adalah isu akidah, isu falsafah, isu maqasid di sebalik nama itu.
Kita tidak marah kalau Kristian mahu menisbahkan Allah kepada Tuhan yg sebenar. Tiada masalah. Tapi kita tidak setuju kalau dikatakan Allah itu adalah Roh Kudus dan Jesus atau sebaliknya atas sebab Trinity yang mereka pegang. Bukankah di dalam Bible menyebut "Aku dan 'Bapa' adalah satu"?
Soalan: Tetapi musyrikin Makkah dan Arab pada zaman Nabi pun pakai nama Allah. Bapa Nabi pun bernama Abdullah. Apa masalahnya?
Jawapan: Memang musyrikin Arab memakai kalimah 'Allah' bila mereka merujuk kepada Tuhan. Betul. Tapi menjadikan alasan itu bagi menghalalkan penggunaan 'Allah oleh Kristian Trinity adalah tidak kena. Kerana musyrikin zaman itu memahami 'Allah' itu sebagai Tuhan yang sebenar. Mereka tidak menisbahkan 'Allah' itu sebagai Latta dan Uzza dan berhala-berhala yang mereka sembah. Sebab itu mereka digelar 'musyrikin'.
Soalan: Tapi Allah ada sebut “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (al-Ankabut:63).
Kan kita disuruh mengucap Alhamdulillah bila non-muslim mengaku Allah itu Tuhan. Jadi, kenapa anda hendak halang?
Jawapan: Sebab itulah pentingnya sebelum mengambil apa-apa dalil mesti kita faham asbabun nuzul dan tujuan ayat itu turun. Sama seperti ayat 'La ikraha fiddin'. Ia ditujukan kepada mereka yang memaksa bukan Islam masuk Islam bukan sebaliknya. Sebab itu adanya golongan Islam Liberal yang menggunakan ayat ini secara umum bagi menghalalkan murtad.
Hakikatnya ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Arab yang berada di sekitar Nabi saat itu. Bukan kepada seluruh 'bukan Islam'. Sebab itulah Islam tidak membantah. Sebab itu jugalah Nabi disuruh mengucapkan syukur. Sebab musyrikin itu masih kenal dan tahu siapa Allah yang sebenar walaupun disyirikkan dengan menyembah berhala.
Maka bersyukurnya Nabi pada hal itu adalah benar.
Bukannya untuk Kristian yang mengatakan Allah dan Jesus itu adalah satu. Yang mengatakan Allah itu Jesus dan Jesus itu Allah. Yang mengatakan Jesus itu diri Allah yang boleh disentuh, didengar, diam bersama, dirasa etc.
Munasabahkah kita bersyukur apabila Kristian mengatakan Allah Jesus yg menurunkan hujan dari langit?
Maka kesyukuran kita itu adalah pada hal yg batil.
Soalan: Tapi bukankah Allah ada sebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).
Jadi yang penting konsep. Bukan nama. Setuju?
Jawapan: Ayat ini secara jelas membantah penggunaan kalimah 'Allah' untuk dinisbahkan kepada Jesus dan Roh Kudus. Inilah yang mereka mahu buat pada hari ini. Ini yang kita bangun membantah. Inilah isu yang mendasarinya. Ini bukan soal istilah saja.
Kalau mereka menisbahkan Allah itu kepada Tuhan yang sebenar dan bukan kepada yang lain seperti yg dibuat musyrikin pada zaman nabi, kita pun tak mahu nak halang. Qulilhamdulillah!
Soalan: Bukankah Quran mengakui bahawa adanya tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam Surah al-Hajj ayat 40. Jadi apa masalahnya kalau gereja Katolik mahu menggunakan nama Allah? Mereka berhak.
Jawapan: Memanggil 'nama Allah' dan 'Allah' adalah 2 hal yg berbeza. Tolong bezakan.
Sudah berzaman penganut agama Tauhid memanggil Tuhan yang sebenar dengan bahasa mereka atau bahasa kitab mereka. Bani Israel mungkin memanggilnya Eloh, orang Nusantara mungkin memanggil-Nya Dewata Mulia Raya, orang Parsi mungkin memanggil-Nya Ahura Mazda. Dan bila mereka sebut nama-nama itu, memang mereka merujuk kepada Tuhan yang sebenar iaitu Allah
Sama apabila kita menyebut Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, maka kita merujuk kepada Allah, Tuhan yang sebenar. Bukan kepada yang lain.
Jadi andaikata mereka mahu meminta hak sekalipun, yang mereka boleh minta adalah kalimah yang ada dalam kitab mereka. Eloh, Elohim, Yahweh. Bukan 'Allah'.
Soalan: Tetapi bukankah Kristian Arab juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible mereka? Tidak pula kerajaan Arab menghalang.
Jawapan: Kebanyakan Kristian Arab yang memakai kalimah 'Allah' dalam terjemahan Bible (dipanggil Kitabul Muqaddas) adalah Kristian Unitarian. Yang percaya Allah itu Esa. Katolik Malaysia Unitarian kah? Tentulah tidak. Mereka adalah Kristian Trinitirian. Kristian Trinitirian mengkafirkan Kristian Unitarian
Soalan: Tetapi Kristian Indonesia juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible. Bukankah mereka Trinitirian juga? Dan Indonesia masih lagi kekal sebagai negara Islam terbesar di dunia. Tidak ada masalahpun. Kita ni mahu ditertawakan Indonesiakah?
Jawapan: Tahukah anda disebabkan liberalnya agama di Indonesia maka ada premis pada hari Jumaat menjadi masjid, pada hari Sabtu menjadi kuil dan pada hari Ahad pula bertukar menjadi gereja?
Mahu Masjid Putrajaya menjadi Gereja St Thomas pada hari Ahad? Mungkin tidak hari ini. Tapi 50 tahun lagi?
Soalan: Kita mesti menjaga akidah dengan ilmu. Maka didiklah generasi muda kita. Mesti mereka tak akan salah faham kalau Kristian gunakan 'Allah' sekalipun. Tak perlu larang pun.
Jawapan: Ini bukan masalah keliru sahaja. Ia juga masalah falsafah dan maqasid yang ada disebalik kalimah Allah. Syariat Islam turun dan memurnikan kalimah 'Allah' itu selama 1400 tahun. Hari ni awak sanggup membiarkan kalimah itu tercemar?
Dakwah dan mendidik satu hal. Preventif satu hal. Dua-dua kena ada. Tuhan tak suruh Iqra' sahaja. Tuhan suruh laksana Hudud Qisas juga. Tuhan suruh "Az-zaniyatu waz-zaani fadzlidu kulla wahidim-minhuma miata jaldah". Ini apa? Preventiflah.
Jika tak perlu preventif, rombaklah Kanun jenayah negara. Berikan pendidikan saja, nescaya rasuah, mencuri, rompak, rogol tidak akan berlaku.
Berani jamin?
Soalan: Bukankah dengan penggunaan kalimah 'Allah' akan menyebabkan mereka akan lebih memahami Islam dan kita boleh mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada mereka? Malah mungkin mereka juga akan terkeliru dengan konsep Triniti sebab 'anak Allah adalah Allah". Ini kelebihan kepada umat Islam!
Jawapan: Bagaimana untuk mereka lebih memahami Islam dengan cara begitu? Mereka bukannya baca kalimah 'Allah'. Sebab kalimah itu cuma ada dalam Bible bahasa Melayu atau akhbar Herald bahasa Melayu. Mereka baca dalam Bible berbahasa Inggeris. Yang ada cuma 'God'. Jadi, untuk siapa Bible Melayu ini ditujukan?
Kalau mahu ditujukan kepada Kristian Malaysia Timur, kaum Iban dan Kadazan contohnya, maka gunalah bahasa mereka. Kalau mahu standard di dalam bahasa Melayu, maka gunalah 'Tuhan'. Itukan bahasa Melayu? Kalimah 'Allah' bukan berasal dari bahasa Melayu, apatah lagi Iban atau Kadazan atau Murut.
Jika anda boleh mengatakan Kristian akan terkeliru maka kenapa anda tidak mengatakan orang Islam juga boleh terkeliru? Maka tak perlulah pakai. Dua-dua tidak akan terkeliru. Akidah orang Kristian terjaga, akidah orang Islam pun terjaga. Cari penyakit buat apa?
*Ini adalah antara soal-jawab saya dan rakan-rakan di pelbagai ruangan komen di Facebook. Ada editing dilakukan bagi memudahkan pemahaman.
Allahua'lam.
Prof. Al-Attas' view on the polemical usage of the word "Allah" by non-Muslims
by: Rausyanfikir.comKONTROVERSI KEGUNAAAN KALIMAH "ALLAH"
oleh: Che Det
2. Sebenarnya kontroversi ini bermula di waktu saya masih Perdana Menteri. Pendapat Kabinet pada masa itu ialah kegunaannya dalam kitab Injil adalah perkara yang sensitif. Perkara yang sensitif seperti ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya merujuk kepada undang-undang.
3. Sebagai perbandingan agak mudah dirujukkan perkataan "kaum pendatang" kepada mahkamah, Tetapi ia adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang.
4. Penyelesaian kontroversi berkenaan kalimah "Allah" juga tidak boleh dicapai dengan membuat rayuan kepada mahkamah rayuan. Undang-undang tidak mengambilkira soal sensitif atau tidaknya sesuatu, soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut-penganut agama yang berlainan. Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja.
5. Sebenarnya kalimah "Allah" tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah. Nama bagi Tuhan dalam bahasa yahudi ialah "Yahweh", yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai "Jehovah".
6. Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.
7. Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada "Allah" supaya mudah difaham oleh pendengar.
8. Mungkin juga kalimah "Allah" dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan "Tuhan" digunakan untuk God.
9. Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep "Trinity" yang mana terdapat "God the Father, God the Son and the Holy Ghost". Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci", maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam. Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa.
10. Di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, "God is dead". Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti denagn "Allah is dead"?
11. Di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?
12. Saya harap pihak Kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan. Wallahua'lam.
Gerakan Kempen Kesedaran (GKK-PKPIM)
Justeru, dalam entri ini dan entri yang seterusnya saya akan lampirkan beberapa artikel, sidang media, makalah mahupun laporan dan catatan penting aktiviti mahupun program yang membicarakan isu ini.
Diharap dengan adanya usaha kecil ini akan dapat memberikan sedikit penjelasan dan penerangan tentang apa sebenarnya yang berlaku dan para pembaca juga dapat memahami secara lebih jelas isu ini secara tuntas.
Terima kasih..
| SUMBER: MALAYSIAKINI PKPIM lancar kempen implikasi isu 'Allah' | ||
|
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tujuan utama gerakan itu - yang dikenali sebagai GKK-PKPIM - ialah untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan kefahaman Islam sebenar serta merungkaikan kekeliruan ekoran implikasi kes tersebut.
Menerusi platform ini, katanya, PKPIM akan menggerakkan beberapa siri program kesedaran seperti forum dan wacana ilmiyah, diskusi umum, pengedaran risalah, penerbitan makalah dan poster kesedaran, serta munajat perdana.
"Gerakan ini akan digerakkan ke seluruh negara dengan mensasarkan para pelajar dan mahasiswa secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad berkata, gerakan mendapat dokongan lebih 20 persatuan pelajar yang turut disertai 13 badan gabungan negeri PKPIM dan kelab-kelab mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
"PKPIM berharap agar gerakan kempen kesedaran ini dapat menanam kesedaran generasi muda terhadap kes ini, seraya merungkaikan kekeliruan dan salah tanggap yang melingkari persoalan aqidah dan teras kepercayaan umat Islam.
"Atas rasa tanggungjawab, PKPIM menyeru lebih banyak pihak tampil memberikan sokongan untuk menjayakan gerakan ini," tambahnya.
Dalam pada itu, PKPIM mendesak semua pemimpin Melayu Islam dalam semua parti politik - Umno, PAS dan PKR - duduk semeja bersepakat dan menyatakan pendirian bersama untuk mempertahankan Kalimah Allah.
"PKPIM bersedia menjadi NGO yang berperanan sebagai pihak ketiga untuk menghubungkan ketiga-tiga parti politik," katanya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.
The Herald yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah penggunaan kalimah "Allah" dalam seksyen Bahasa Malaysia, sebagai terjemahan kepada perkataan God.
Perkataan "Allah" digunakan secara meluas di kalangan suku kaum beragama Kristian di Sabah dan Sarawak, yang sebahagian besarnya bertutur dalam Bahasa Malaysia.
Sebelum ini, KDN melarang penggunaan perkataan 'Allah' oleh bukan Islam bagi mengelak wujud salahfaham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.
Berita sebelum ini...
| Kalimah Allah: PKPIM Buat Laporan Polis | | | |
| |
| Monday, 04 January 2010 07:32 |
| KUALA LUMPUR 3 Januari 2010: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bersama 12 badan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini telah membuat laporan polis kerana membantah tindakan majalah Herald The Catholic Weekly, menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya. Laporan yang dibuat kira-kira pukul 3.00 petang di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur tersebut dibuat atas dasar kebimbangan akan wujud pihak yang menganggap institusi kehakiman sivil telah menghina Islam dengan berdasarkan keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari Khamis lalu. Sementara itu, dalam laporan tersebut juga, PKPIM menuntut agar satu siasatan dijalankan ke atas pengurusan dan penganjur gereja akan motif dan agenda tersembunyi mereka menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya yang dilihat mahu melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memandangkan diketahui umum bahawa kalimah Allah hanya serasi dengan masyarakat Melayu Islam sahaja. Dalam pada itu, antara NGO lain yang terlibat membuat laporan polis ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Belia 4B, dan sebagainya. Sebelum itu, kesemua NGO tersebut telah berkumpul di hadapan IPD Sentul kira-kira beberapa minit sebelum laporan dibuat. Laporan disusuli dengan satu sidang media khas bagi menerangkan tujuan utama laporan ini dibuat. Dalam sidang media tersebut, kesemua NGO bersepakat untuk tetap dengan pendirian menggunakan apa jua cara yang dibenarkan undang-undang untuk terus membantah penggunaan Kalimah Allah ini oleh pihak bukan Islam. Ini memandangkan, ianya boleh mengganggu ketenteraman umat Islam dan mengakibatkan Negara menjadi kucar-kacir akibat prasangka dan perbalahan agama yang bukan mudah untuk dileraikan. Dalam perkembangan berkaitan, NGO juga bersepakat bahawa mereka bertindak atas semangat Rukun Negara pertama iaitu kepercayaan kepada Tuhan di mana Tuhan itu sebagai satu istilah umum dan setiap agama di Negara ini menggunakan perkataan Tuhan sebagai kata umum.
|



